Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Ahad, Mac 01, 2009

Seputar di Pilihan Raya pertama JPP, IPGM Kampus Pulau Pinang.

Jika dikatakan ini fenomena baru dalam lembar hidup pelajar IPTA, tidak. Tetapi buat warga guru pelatih IPGM Kampus Pulau Pinang, ya. Pilihan raya pertama dijalankan dengan bauran pandangan positif dan negatif.

Saya melihat pilihan raya pertama ini benar-benar mewarnai kancah organisasi tertinggi bagi pelajar khususnya. Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), iaitu bukan sekadar lantikan semata-mata tetapi membuka satu ruang untuk menggali tunjang demokrasi dalam menyuarakan pendapat dan idea-idea yang selama ini mungkin tidak terluah dek kekangan sistem pemilihan JPP yang asal.

Tanggal 6 Februari menyaksikan ‘gelanggang’ suara demokrasi dibuka dengan proses penamaan calon dilaksanakan dengan kehadiran 52 orang calon di Dewan Agong IPGM Kampus Pulau Pinang.

Seusai proses penamaan calon ini, saya cuba membuka sudut pandangan sebagai seorang penganalisis politik, tapi sukar. Saya buka pandangan sebagai penulis, masih sukar. Saya buka pandangan sebagai pemikir, tetap sukar.

Saya buka pandangan sebagai guru pelatih, ah! Baru ada sinar. Benarlah, hendak capai tingkat akhliah paling tinggi memang payah. Kita sisihkan dulu perihal itu. Begini, secara kasarnya pilihan raya ini memberi peluang kepada guru-guru pelatih untuk memilih siapa pemimpin yang mereka yakini mampu membawa sebuah revolusi.

Revolusi dalam acuan bagaimana, itu yang masih menjadi tanda tanya. Semua itu disandarkan pada calon-calon yang mengandar ikrar dan janji. – pastinya janji yang manis belaka.

Di sini saya lihat sesuatu yang positif apabila pihak institut menerapkan pilihan raya sebagai satu usaha memilih kepimpinan guru pelatih.

Jika sebelum ini, (tidak keterlaluan untuk saya katakan) pemilihan kepimpinan pelajar hanya sekadar ‘muat turun’ sahaja, tetapi sistem demokrasi ini meletakkan kuasa semua warga IPGM untuk menentukan siapa yang lebih layak dan mampu mereka terima dengan seadanya.

Selain itu, pendedahan ini mampu memudahkan guru-guru pelatih untuk menghadapi cabaran dunia politik yang sebenar setelah melangkah keluar dari persekitaran kampus.
Beralih kepada perjalanan pilihan raya pertama IPGM Kampus Pulau Pinang.


Tidak lengkap bagi sesebuah pilihan raya itu tanpa proses pembentangan manifesto. Hari sabtu bertarikh 14 Februari 2009, hampir seluruh warga IPGM Kampus Pulau Pinang memenuhi Gelanggara untuk mendengar pembentangan manifesto yang julung-julung kalinya.

Di sinilah kepimpinan dan kematangan calon terserlah melalui komunikasi untuk menyampaikan idea dan fikrah. Potensi dan kredibiliti juga mampu dilihat melalui cara penyampaian manifesto mereka.

Biarkan warga guru pelatih sendiri yang menilainya kerana ini mampu melatih sisi kritikal mereka untuk memilih pemimpin negara kelak- semestinya dalam pilihan raya yang sebenar. Hal ini kerana, cara inilah yang paling relevan.


Secara keseluruhannya, saya melihat inti manifesto cukup lemak dan lekit dengan ikrar dan janji-janji manis. Terangkul di benak kita semua, dan mengharapkan ianya bakal ditunaikan.

Medan ini bukan sekadar medan menabur janji, tetapi harus disertai dengan istiqamah yang mapan. Terngiang-ngiang sorak-sorai guru-guru pelatih yang teruja dengan apa yang dijanjikan.

Saya melihat semua calon, calon beragama islam khususnya, perlu memiliki kekuatan dengan ciri al-mu’minu`l-qawiyy (mu`min yang kuat) dan keunggulan peribadi al-qawiyyu `l’-amin (watak yang gagah dan amanah).

Semua ini memang sukar dilihat dengan mata kasar, tetapi hanya jelas terpancar jika ditatap dengan mata hati. Bukankah kita sendiri tahu, manusia itu seorang pemikir sebetulnya.


Saya sempat menangkap kata-kata dari seorang calon (saya lupa namanya). Katanya, “ Saya akan selesaikan semua masalah yang anda hadapi. Masalah anda, keutamaan saya.” Hebat bunyinya.

Kita harus realistik, pemilihan peringkat pelajar/guru pelatih ini bukan bermakna semua masalah mampu diselesaikan sepenuhnya. Seharusnyaa kata-kata sebegini perlu diteliti kembali.

Mungkin berkesan untuk memantapkan semangat dan keyakinan tetapi unsur-unsur sebegini mampu menjerumuskan kita ke lembah kelam penyakit hati. Nau’zubillah. (Mungkin saya overthinking, wallahua’lam).

Seharusnya calon melihat jawatan itu sebagai buah yang sekun untuk dipetik tetapi penuh duri di dalamnya.

Jangan terlalu keterlaluan dalam menjanjikan sesuatu hingga menyebabkan orang lain muak seolah-olah mereka mampu merubah dunia sedangkan ia cubaan kecil sebelum jawatan besar di dunia nyata nanti.

Walau apapun , saya tetap meyokong proses pembentangan manifesto ini kerana ia mampu membina keberanian dalam generasi muda untuk lantang bersuara tetapi diiringi dengan hikmahnya.

Bukan sekadar percakapan kosong yang memualkan. Selain itu, skop pandangan juga mampu diluaskan dan diperkembangkan untuk menyelongkar isu-isu yang melanda segenap jihat dunia.

Tiba hari pembuangan undi pada 18 Februari 2009, bermulalah pemilihan dan penilaian yang sebenar bagi warga IPGM Kampus Pulau Pinang untuk memilih barisan kepimpinan mereka. Biarlah, saya mahu juga sentuh isu ini.

Hendak dikatakan kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun, tidaklah wajar diletakkan kesilapan ini sepenuhnya kepada mereka, sementelah ini pilihan raya pertama.

Tetapi, kesilapan meletakkan nama calon dalam jawatan yang salah di atas kertas undi menyebabkan ketidakpuasan hati bagi penyokong-penyokong calon berkenaan.

Sebolehnya, pilihan raya kampus ini tidak mewujudkan satu pengakhiran yang berpalit sentiment benci-membenci, fitnah-menfitnah, tuduh-menuduh dan penuh dengan putar belit dan manipulasi seperti politik kepartian di luar sana.

Namun saya yakin, ini hanya sekadar kesalahan teknikal semata-mata. Mudah-mudahan.
Apa yang dapat saya simpulkan, terlalu banyak yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa untuk menggapai mutu dan kualiti pilihan raya yang bertaraf tinggi.

Nah! Pemenang bagi setiap jawatan memang bertepatan dengan hasrat hati warga IPGM Kampus Pulau Pinang- kerana itu pilihan mereka sendiri. Gabungan ‘lama’ dan ‘baru’, tampak kemas dan padu. Moga revolusi yang digembar-gemburkan terlakar pada kanvas putih perjalanan IPGM Kampus Pulau Pinang bagi tahun ini.

Pilihan raya bukan setakat pilihan raya. Bukan sekadar menyebar, menampal, menggantung poster untuk promosi diri, bukan sekadar melaungkan janji dan manifesto yang tak pasti, bukan sekadar duduk menunggu kiraan undi, bukan sekadar untuk bermegah diri, bukan sekadar kelihatan berintelektual tinggi.

Ini sebuah amanah dan takhlif makin berganda. Asingkan tasyrif yang merengsa dada. Terus mara, ke jalan mustaqim.

Bingkisan tinta di jalan dakwah , Ukht Aini PAI IPPPP

PIBG seluruh negara bantah PPSMI


PIBG seluruh negara bantah PPSMI

Malaysiakini.com/bm
Jimadie Shah Othman | Feb 26, 09 1:57pm
Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.

Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.

"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.

Sabtu, Februari 28, 2009

Mereka Yang Mengkritik PPSMI Bukan Anti Bahasa Inggeris - Dato' Dr Anwar Ridhwan


ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di dalam bahasa Inggeris akan terus dibantah selagi Kementerian Pelajaran tidak mengembalikan semula ke bahasa Melayu.Bantahan terbesar bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Mac oleh beberapa NGO yang mewakili masyarakat dan pejuang bahasa Melayu.Ia ditegaskan oleh Datuk Dr Anwar Ridhwan,Pengerusi Jemaah Pesara, Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam temubual dengan wakil Siasah Zain A Ghani di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Februari baru-baru ini.Temubual itu dapat mendedahkan lagi kelemahan hujah mereka yang mempertahankan PPSMI di dalam bahasa Inggeris:

Bagaimana perkembangan mutakhir isu PPSMI ini, kenapa pihak berwajib masih di dalam kekelam-kabutan dan lambat membuat keputusan; sedangkan ia suatu yang amat penting?

Sangat menghairankan bagaimanakah suatu dasar seperti PPSMI ini yang akan melibatkan nasib masa depan ratusan ribu atau jutaan pelajar dan bagaimana sebuah kementerian boleh melaksanakan suatu dasar yang bertentangan dengan Perkara 152(1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga melanggar dan bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550,-Akta Pendidikan 1996. Rakyat tentu musykil bagaimana Kementerian Pelajaran telah memperkosa Akta Pendidikannya sendiri, dan memperkosa Perlembagaan Persekutuan, untuk suatu dasar penuh kontroversial.

Mungkin pada masa itu Perdana Menteri yang ada sangat berkuasa dan tidak ada orang Melayu di kalangan pemerintah yang berani membantah?

Ya, mungkin itu suatu perkara, tetapi pada masa yang sama banyak orang menyoal; kenapa diletakkan pengajaran itu kepada Sains dan Matematik.Jika mahu memahirkan anak-anak pelajar kita di dalam bahasa Inggeris, kenapa tidak baiki sahaja pedagogi pengajaran bahasa itu? Anak-anak kita didedahkan dengan bahasa Inggeris selama sebelas tahun di sekolah; iaitu mulai Tahun Satu sehinggalah ke Tingkatan Lima.Itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

Padahal jika pergi keluar negara untuk belajar bahasa itu, tiga atau enam bulan sudah memadai. Jadi kenapa harus menumpang (memparasitkan) bahasa Inggeris ini kepada dua subjek tadi.Ada juga orang kata kerana beberapa sebab yang lain yang di luar daripada itu.

Bercakap tentang dasar kementerian ia tentulah dasar yang dibuatnya melangkaui dari Perlis hingga Long Pasia atau ke hulu-hulu di seluruh Semenanjung.Pada masyarakat bandar atau kepada anak-anak menteri, mungkin mereka tidak bermasalah kerana penggunaan bahasa Inggeris di rumah dan pelbagai kemudahan yang dapat diakses sebagai alat membantu pembelajaran.Tetapi bagaimana dengan anak-anak miskin dan tiada kemudahan di tempat yang sebutkan tadi?

Hasil daripada dasar yang sudah berjalan lebih kurang enam tahun; saya dengar peratus keputusan peperiksaan Sains dan Matematik menurun, tetapi mereka terpaksa memanipulasi nisbah untuk menunjukkan peningkatan-sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi.

Pada pandangan Dr, bilakah tamadun bahasa Melayu bermula di negara kita?

Mengikut tulisan Ismail Raji al-Faruqi, apabila tauhid tiba ke sesebuah negara, maka datanglah bersama tamadun Islam itu.Tetapi jika sesesebuah masyarakat itu mempunyai teknologi yang tinggi, mempunyai bandar-bandar yang besar dan hebat di samping kehidupan yang makmur, namun jika tidak bertauhid ; ia masih tidak dapat dianggap sebagai bangsa yang bertamadun.

Merujuk kepada tamadun kita ia telah bermula pada kurun ke-11 atau ke-12M lagi.Di mana penggunaan tulisan Jawi telah digunakan, dan ia telah dianggap sebagai tamadun Islam.Sejak beratus tahun umpamanya di Aceh, juga di kepulauan Riau, kitab atau buku-buku kita telah membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan falsafah, tasauf dan agama secara mendalam.Di sini jelas menunjukkan bahasa Melayu berkemampuan dan terbukti sebagai bahasa ilmu.

Jadi cara terbaik ialah belajar apa sahaja ilmu termasuk Sains dan Matematik itu harus dengan bahasa ibunda supaya akhirnya memberi kesan besar?

Pakar pendidikan yang jujur menyatakan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah diajar melalui bahasa sendiri. Tetapi Kementerian Pelajaran berlagak 'bodoh-sombong' sehingga tidak mahu mengakui hakikat bahawa pelajar kita harus belajar sesuatu melalui bahasa ibunda.Tampaknya sehingga hari ini, enggan menarik balik dasar PPSMI itu.

Bilakah kedegilan kementerian berkenaan akan menampakkan kesan besar kepada pelajar-pelajar atau anak-anak kita?

Oleh kerana dasar PPMSI melibatkan semua pelajar termasuk majoriti yang berada di luar bandar dan pedalaman, dasar itu akan membuat ratusan ribu atau jutaan pelajar (dalam jangka panjang) tidak menguasai ilmu Sains dan Matematik, padahal jika mendapat penguasaan ilmu itu besar kemungkinan akan dapat mengubah nasib masa depannya.

Akibatnya, dasar pelik ini hanya akan melahirkan generasi pekerja kelas dua atau kelas tiga, apabila mereka hanya layak 'makan gaji' (dalam bahasa kasar, sebagai 'kuli'- mungkin selama-lamanya) dalam sektor perkhidmatan; bukan sebagai pekerja kelas pertama yang berilmu dan dapat memanfaatkan ilmunya.

Pada jangka panjang ia akan memberi kesan besar kerana anak-anak ini akan tercicir di dalam pelbagai aspek kerana ilmu sains dan matematiknya agak dangkal kerana dasar yang kita sebutkan tadi.

Saya pernah berbual-bual dengan buruh, petani dan nelayan yang menyatakan kesukaran mereka untuk membantu 'kerja rumah' anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris.

"Dulu masa sains dan ilmu hisab masih dalam bahasa Melayu, dapat juga pak cik tolong sikit-sikit. Sekarang pak cik tak faham apa-apa. Anak pak cik pun tak faham apa benda." Kalau begitu, dasar ini seolah-olah meneruskan dasar pendidikan zaman penjajahan dulu, yang hanya ingin melahirkan pelajar Melayu menjadi buruh. petani dan nelayan yang lebih berpelajaran sedikit daripada bapa mereka.

Saya difahamkan cendekiawan kita yang mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu di UKM juga cemerlang dan tiada masalah menguasai Inggeris bahkan bahasa asing lain…

Tanyalah kepada lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baik dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, dan lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi, adakah prestasi mereka terhalang dek bahasa Melayu?

Mereka tiada masalah mendapatkan ilmu-ilmu melalui bahasa Melayu; sementara penguasaan bahasa Inggeris turut berkembang seiring dengan pengajian mereka. Sebab itu ramai lulusan UKM boleh melanjutkan pengajian di seberang laut dan mendapat kejayaan cemerlang di sana.

Kalau sistem dan dasar tersebut berjalan dengan baik, mengapa 'gatal tangan' sangat untuk mengubahnya sesuka hati?

Mereka yang mengkritik PPSMI bukan anti bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain. Jadi untuk memperkuatkan penguasaan sesuatu bahasa, perbaiki pedagogi pengajaran bahasa.

Bukan memparasit subjek sains dan matematik. Kita mahu anak-anak kita mengusai bukan sahaja bahasa Inggeris. Kalau boleh mereka boleh kuasai bahasa Arab, Mandarin, Itali, Sepanyol, Perancis dan sebagainya.

Penguasaan bahasa-bahasa asing kini semakin penting, kerana kerajaan bukan lagi majikan terbesar di negara ini. Justeru itu, pengajaran bahasa-bahasa asing mesti dilakukan dengan kaedah yang lebih sistematik dan berkesan; bukan memparasit subjek lain.

Bagaimana pandangan Dr tentang bahasa kebangsaan di negara-negara maju?

Di mana-mana negara di seluruh dunia, kerajaannya akan mengembangkan bahasa kebangsaan sendiri sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bahasa nasional, dan bahasa antarabangsa. Aneh apabila terdapat dasar kerajaan yang dilihat menyekat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bahasa nasional, dan lebih jauh lagi menjadi bahasa antarabangsa.

Kecualilah negara-negara kecil seperti Singapura yang tidak mempunyai ‘akar’ sendiri dan hanya mementingkan komersil semata-mata.Tetapi negara-negara yang mempunyai ‘akar’ sendiri seperti Jepun, Korea atau Perancis, mereka mahu memantapkan bahasa kebangsaan sendiri.Itu yang tidak berlaku di negara kita sehingga dianggap ‘pelik dan ajaib.’

Temubual ini telah tersiar di Siasah edisi 22-28 Februari 2009

Selasa, Februari 17, 2009

PUMPP selar penganjuran MUSAWAH membawa agenda Islam Liberal ke Malaysia dan mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam


Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dengan ini menyelar sekeras-kerasnya program ‘Musawah’ iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS). Pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama’ muktabar.

Perjumpaan ini bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulama’ Islam muktabar. Mereka yang hadir termasuklah Muhammad Khalid Masud iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.

200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 40 buah negara dan berkumpul di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2009 bagi menghadiri mesyuarat 5 hari tersebut. Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. PUMPP melihat perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai program terbabit.

Perjumpaan ini juga akan akan memberi persepsi dan negatif kepada Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita terutama apabila perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan merasmikan perjumpaan tersebut.

PUMPP juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program tersebut seolah-oleh tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak autoriti agama dalam negara seperti JAKIM dan Majlis Mufti.

Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang bakal dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al-Qur’ān dan al-Hadīth dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala syari‘at yang dibawa oleh al-Qur’ān dan al-Sunnah.

PUMPP juga mengharapkan kumpulan-kumpulan dan masyarakat bukan Islam tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan Liberal Islam ini dan tidak campurtangan dalam urusan aqidah dan prinsip-prinsip ajaran Islam sepertimana Islam mengajar penganutnya untuk tidak campurtangan dan menghormati dalam ajaran agama-agama lain sepertimana penegasan al-Qur’ān:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (109:6)

109:6 Unto you, your religous law, and unto me, mine!

Sehubungan dengan itu, PUMPP menyelar pelaksanaan program ini dan dilihat bakal merosakkan lagi aqidah umat Islam di Malaysia seterusnya membawa perpecahan kepada umat Islam dan member persepsi yang salah kepada Islam kepada semua pihak termasuk masyarakat dunia yang hadir dan melihat perkembangan di Malaysia.

Dr Wan Salim Wan Mohd Nor,

Yang di Pertua,

Persatuan Ulama’ Malaysia

cawangan Pulau Pinang (PUMPP).

*Sebarang perhubungan boleh dibuat melalui Mohd Nizam (SU PUMPP) di 018-4654074 atau `Izzat Anwari (SUK PUMPP) di 013-4025

[AktivisMuslim] Musawah SIS: Muhasabah Buat Pendakwah

Panas. Walaupun duduk dalam dewan persidangan berhawa dingin, rasa panas berunsurkan metafizika itu menjalar ke seluruh badan. Mungkin apa yang sedang saya alami pada waktu tersebut bertentangan dengan fitrah kefahaman Ad-Din yang kita anuti ini.



Persidangan yang bernama “Musawah: Global meeting for Equality and Justice in the Muslim Family” ini sememangnya menimbulkan rasa “panas” yang tidak patut tetapi mereka nekad perjuangan harus diteruskan!


Dengan semangat juang yang tinggi, kumpulan feminis liberalis Muslim, Sisters In Islam (SIS) terus memalu kuat gong “reform” dalam undang-undang keluarga Islam bagi “membela” golongan wanita Muslim yang terindas dibawah undang-undang Islam (syariah) yang patriarchy (utamakan lelaki) sifatnya.



Slogan seperti Equality, Justice, Fairness, Partiarchy, Fundamentalist, Extremist, Modern dan segala macam lagi kosa kata berbau falsafah dilontarkan semahu-mahunya oleh para delegasi dalam membincangkan bagaiamana caranya hendak mengubah undang-undang syariah mengikut acuan hak asasi manusia tajaan Tamadun Barat.



Memang panas. Bukan saya sahaja yang rasa begitu, Sahibus Samahah Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pun turut sama berkumat-kamit dengan saya di belakang dewan ketika melihat para delegasi feminis liberalis ini berpencak di atas pentas.



Jangan tanya saya bagaimana dapat masuk ke program tertutup ini.



3 jam saya duduk diam di belakang dewan persidangan mengamati satu per satu gerak geri bahasa, idea dan sentiment para delegasi yang memegang mikrofon. Dr. Juanda masih bising dalam diam mengkritik para feminis liberalis yang sudah naik “syeh” dalam agenda mereka “membela” nasib wanita Muslim yang “tertindas” oleh undang-undang syariah.



Saya tak sempat untuk mengajukan soalan-soalan “panas” kepada mereka kerana rasanya di situ bukan “playing field” kami kaum Adam. We were outnumbered – literally.



Tapi ada eloknya para feminis ini menjawab soalan-soalan di bawah yang digariskan oleh sahabat-sahabat NGO Islam saya:


1. Why is the Global Meeting not open to the public since the issues to be discussed are of public interest?


2. What is wrong with Muslim Family Law in Malaysia ?


3. Will the family law you advocate cover gay couples?


4. What is the "contemporary approach" in interpreting the Quran?


5. Are you opposed to the use of Islamic teachings as a source of law and policy?


6. Are you going to use the UN machinery to pressure the Malaysian government to bring Islamic Family Law in line with the secular Family Law?


7. Some of your critics say that you are being funded by foreigners to promote "liberalisation" of Islam in line with the foreign policy objectives of the US and certain Western countries. What's your comment?


8. Who is funding this conference? Foreign funding?


9. Do you want polygamy to be banned and criminalized? What about adultery?


10. What are your views on Islamic inheritance rules?



Kalau SIS dan para feminis yang beria-ria benar ingin melakukan “reform” itu dapat menjawab soalan ini dengan baik maka saya yakin dialog yang lebih bertamadun dan adil dapat dilakukan oleh pihak berwajib.



Melihat skala persidangan ini, disamping promosi di media massa yang meluas, SIS sekali lagi berjaya menunjukkan mereka mampu menjadi satu “force” dalam memporak perandakan kefahaman masyarakat Malaysia berkenaan undang-undang syariah dan juga kedudkan wanita dalam Islam.



Pada kali ini mereka benar-benar memberi impak ditambah pula ketidak pekaan majoriti gerakan Islam berkenaan isu ini.



Kekeliruan dan permasalahan yang timbul berkenaan isu ini harus dilihat secara objektif oleh semua pihak. Jangan kita tenggelam dalam emosi tanpa mencari di mana akar masalah itu sebenarnya.



Pada hemat saya, masalah yang diperjuangkan SIS dan para feminis liberalis ini perlu dilihat dari dua sudut:


1) Agenda hegemoni pemikiran liberalisme agama, dan hak asasi manusia tajaan Barat (ancaman luar)

2) Kelemahan komuniti Muslim dalam menangani permasalahan kekeluargaan dan kefahaman agama ( ancaman dalaman)


Memang kerja golongan kafir harbi memusuhi Islam secara sistematik melalui pelbagai cara yang sulit. Kantung kewangan yang banyak memudahkan lagi gerak kerja mereka di merata dunia Islam. Ini memang sudah jadi sunnatullah. Yang haq (kebenaran) pasti ditentang batil. Kalau tidak masakan akan berma’na haq itu.



Tetapi yang sulit dan rencamnya sebenarnya adalah KITA sendiri yang menjadi pemegang saham dalam isu ini. Kelemahan komuniti Muslim dalam negara kita telah membuka ruang dan peluang untuk para kafir harbi ini untuk menjustifikasikan agenda mereka untuk “reform” kerana BUKTI KEGAGALAN kita sebagai komuniti Muslim jelas terpampang dalam realiti kehidupan sehari-harian.



Kes tertunggak di makhamah, penceraian yang meningkat secara exponentially, tekanan kekeluargaan akibat desakan kehidupan etc.



Siapa yang memperjuangkan nasib kaum Hawa yang tertindas ini? Siapa yang membantu mereka secara konsisten? Siapa yang mendidik mereka?



Ternyata bukan kita para pendakwah tetapi mereka golongan feminis liberalis! Mereka komited membela mangsa-mangsa ini secara konsisten dan inilah hasilnya!



Semua ini menyumbang kepada kanser masalah institusi kekeluargaan Muslim. Penindasan yang dicanang oleh golongan ini memang benar berlaku cuma kadang kala diputar belitkan faktanya untuk memperlihatkan kelemahan kita secara lebih berkesan.



Sama macam cerita di Darfur-lah. Gembar-gembur je lebih tetapi benar-benar bermasalah.



Masalah ini sebenarnya adalah masalah dalaman umat Islam di Malaysia. Tetapi dalam era globalisasi maklumat yang pantas, rupa cita masalah itu telah diangkat ke malakut yang lebih tinggi-dengan saduran sandiwara dan rambu permasalah yang diperhias dengan cantik oleh golongan feminis liberalis ini. Maka jadilah ianya satu fenonema sosial yang mana Islam dikambing hitamkan secara efektif. Orang biasa yang tidak faham Islam, baik Muslim mahupun bukan Muslim terperdaya secara halus maka bersimpatilah mereka kepada perjuangan golongan feminis liberalis.



Ya, tidak semua yang menyokong dan mendokong isu ini sebenarnya “jahat”. Banyak yang keliru kerana KITA yang mendabik dada sebagai pejuang Islam TIDAK “ENGAGE” secara efektif dan berhikmah. Ini untuk yang tidak faham-lah - jahil murakkab – jahil2 (kuasa dua)



Golongan ini perlu dididik dengan berhikmah oleh umat Islam yang faham agar tidak terjerat dalam jaringan liberalis yang suka memutar belitkan fakta dan kefahaman berkenaan hukum hakam Islam. Ramai wanita muda, mahupun yang sudah berumur terperangkap dalam jaringan ini. Mugkin kerana kecetekkan ilmu agama Islam, maka mereka menjadi keliru dengan realiti tersebut.



Golongan ini masih boleh diselematkan jikalau kita benar-benar mengambil kisah akan masalah ini. Tetapi tertnyata perjuangan akar umbi sebegini kurang menarik perhatian para amilin amal Islami kerana politik kepartian yang sempit, parochial lebih digemari mereka.



Benar inilah realiti. Saya lihat, golongan yang terbaik untuk melakukan kerja-kerja de-feminisasi, dan de-liberalisasi ini adalah mahasiswa terutamanya golongan Muslimat. Dengan ilmu yang cukup, kita mampu berdialog, menerangkan kepada golongan ini baik Muslim dan bukan Muslim akan perihal sebenar isu ini.



Sekarang ini, imej political Islam itu lebih tebal berbanding kelembutan Islam itu sendiri. Masakan tidak, ramai orang sudah muak dengan pendokong Islam yang pandai beretorik tetapi masalah komuniti sendiri tidak selesai-selesai juga. Kita gagal mendidik ahli masyarakat kita dengan berkesan kerana kita sendiri yang meletakkan benteng pemisahan tersebut! Pemburuan kuasa secara melampau dan memabukkan telah menghakis kredibiliti kita sebagai pendakwah dan agen Islamisasi!



Pergilah ke kampus-kampus dan lihat apakah golongan Islamis ini berkawan dengan budak-budak yang kontemporari? Sangat minimum sekali. Bagaimana nak memerintah negara kalau satu tahap daripada prinsip sulbah –ya’ni masyarakat Islam pun tak settle lagi.



Melihat Musawah ini begitu rancak diusahakan, saya rasa inilah peluang gerakan Islam untuk bermuhasabah kembali manhaj dakwah kita. Benda ini tidak perlu dipolitikkan. Bodoh kalau kita politikkan perkara yang memerlukan kesatuan ummah. Ini masalah yang perlu diambil peduli oleh semua orang tetapi disebabkan golongan Islamis yang lebih bersedia maka amanah itu lebih berat di pundak mereka berbanding orang awam.



Nasihat saya, mahasiswa muslimat, persiapkanlah diri anda dengan kefahaman yang tajam. Janga asyik buat program “syok sendiri” sahaja. Event tak selesaikan masalah sebab antuna tak campur dengan yang free hair, dan macam-macam lagi!



Nasihat saya kepada gerakan Islam pula, kendurkanlah tali politik kepartian yang sempit. Tak ada ma’na menang pilihan raya kalau masyarakat tidak ditarbiyah dengan baik. Sunnatullah bukan tertegak atas prinsip revolusi tetapi evolusi. Sikit-sikit mengikut kemampuan masing-masing. Kalau terus langkah prinsip sulbah tu maka memanglah kelam kabut semuanya.



Masih belum terlambat.


http://rausyanfikir .com/2009/ 02/musawah- sisters-in- islam-muhasabah- buat.html

Sabtu, Februari 14, 2009

Buat apa kau kat sini- you are not welcomed here!

Lepas solat jumaat di Masjid Sg Gelugor , ana bergegas ke Padang Kota , Georgetown untuk menyertai demonstrasi bantahan kehadiran armada kapal US yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang dikepalai oleh Ustaz Hafiz Nordin dan Cikgu Azmi Hamid dari TERAS pengupayaan Melayu (TERAS) .


Menurut sumber yang tersebar , dianggarkan 800 orang tentera dari armada laut US berada dalam kapal tersebut. Tu tak tau boleh dipercayai atau tak jumlah tersebut, tapi kalau tengok kapal dari jauh, memang munasabah jumlah tersebut. Kapal tersebut dikatakan berada di perairan negara semenjak hari rabu (11/2/2009) yang lalu dan akan berada sehingga esok (ahad, 15/2/2009)


Di sini ana letakkan beberapa capture :



Beberapa kapal /bot sederhana besar dilihat keluar dari kapal induk. Kapal sederhana besar tersebut pun lebih besar dari kapal perang kita.




Anda boleh bayangkan sendiri betapa besarnya kapal yang mendarat ini.Dari jauh sudah boleh dilihat dengan jelas



Demonstrator dari Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang. KelihatanUstaz Hafiz Nordin berjubah kelabu sedang menyampaikan ucapan

Kelihatan Cikgu Azmi menyampaikan ucapan penuh bersemangat kepada para peserta demonstrasi




















Jumaat, Februari 13, 2009

penerusan tarbiyah...suatu renungan


slm sejahtera kepada pengunjung. Ana mula meneliti balik apa yang ana lakukan sepanjang 2 tahun terlibat dalam dunia dakwah. Muda lagi ni-umpama baru boleh merangkak.

Mula tertarik kepada pergerakan Islam bila membaca Maalim Fittariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) ,karya syed qutb yang berada dalam simpanan kat rumah. Buku cetakan tahun 1978, berhabuk dan kertas sudah bertukar kuning tapi ayatnya standard. tak seperti buku-buku pada zaman tu yang masih mencari halatuju bahasa. sbg contoh , chantek .Kejadian bermula pada tahun 2004/2005

Mula-mula baca dah rasa," ini yang aku nak cari". Masa tu ana berada di form 4 sekolah sekular -Sultan Ismail College , Kota Bharu. Masa tu tak kenal sapa itu As-syahid Imam Hassan Al Banna , syed qutb,apa itu ikhwanul muslimin, JIM , ISMA, Hizbuttahrir , atau apa-apa saje yang ada hubungkait dengan fikrah dan tanzim. Yang tahu cuma kena sembahyang , membaca al-qur'an dsb.

Sejak kali pertama baca buku tersebut, ana ulang baca 2 atau 3 kali. Sungguh berkesan susun atur ayat dalam buku tersebut, seumpama ana turut sama terseret ke dalam kantung pemikiran pejuang agama ini.

Bertekad dalam jiwa untuk mencari halatuju sebenar hidup dan ana temui dakwah. Berkenalan dengan tabligh bila masuk IPPPP , kemudian aktif bersama JIM (Karisma) sehingga sekarang sebab dirasakan lebih menepati jiwa .

Berpandangan bahawa setiap tanzim, walaupun cara bergerak yang berbeza, golongan sasar yang berbeza dan darjah keaktifan berbeza, semua adalah sama bagi ana kerana setiap dari tanzim menuju matlamat yang sama, menegakkan daulah Islamiyyah di dunia ini dan menebarkan fikrah Islamiyah tulen dalam masyarakat. Tidak kira siapa anda- hizbi(PAS), JIM , ISMA, Tabligh , PMI , PAI, atau apa2 saje tanzim..

Ana tidak suka berbalah tentang hal2 khilafiyah. Buang masa. baik makan keropok lekor, baru syok... kadang-kadang orang cakap-cakap merapu pun , rasa cam malas nak tegur, takut timbulkan perbalahan dan dakwah tak berjalan.

Berpandangan bahawa guru merupakan pendakwah yang paling ramai dan kerap berjumpa dengan mad'u, iaitu anak murid mereka. Alangkah ruginya kalau tiada penerapan Islam diberikan oleh guru-guru kepada anak-anak murid mereka di kala Islam dipermainkan , gejala sosial semakin membusuk dan sebagainya. Anda semua boleh membaca pemikiran ana berkenaan topik ini dengan klik kategori "Ana Sebagai seorang bakal guru".

Guru sepatutnya terkehadapan dalam sebarang aktivisme dan isu . Teliti balik sejarah perjuangan guru-guru dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah. subjek ni ana cuba kaji secara lebih detail lagi dan kongsikan bersama sahabat-sahabat semua.

Valntine.....oh...valentine...

Zainuddin menliti balik buku Petunjuk Sepanjang Jalan tersebut, hasil cetusan fikrah As-Syahid Syed Qutb beberapa ketika sebelum beliau dimuliakan di tali gantung. "Subhanallah, sungguh dekat buku ini terhadap diriku", beliau memuji kebesaran Allah sebelum meraut wajahnya yang kusam itu dengan jari-jarinya yang panjang dan kurus itu.
Dia menemankan sahabatnya ,seorang perempuan, bekas rakan sekelasnya dahulu ketika sekolah rendah yang ketika itu datang berdua dengan pakwenya.

Athirah,sahabatnya itu cuba menyentuh buku tersebut, namun cepat-cepat Zainuddin melarikan buku tersebut. "Segan siol kalau dia tahu aku baca buku ni", Zainuddin bermain-main dengan fikirannya." Orang macam aku mana layak baca buku ni, tapi aku rasa cam ada chemistry la dengan buku ni...." ,perasaan dan pemikirannya kini berbolak balik. Pulang ke rumah, buku tersebut dibeleknya 2 3 kali, seumpama seseorang perindu yang mencari cintanya, tapi masih tak ketemu.

Zanuddin lupa sebentar perkara yang dibaca dalam buku tersebut, banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun 2005, tahun dia akan menduduki SPM. "Ai, payah gak sekolah sekular ni, pikir nak dapat A je, pale otak dan jiwa orang dia tak kira.." keluh Zainuddin kerana dirasakan perjalanan setahun untuk menempuh SPM dirasakan begitu lama, persis seabad lamanya . "Pagi sekolah ,petang sekolah , malam pun sekolah, ingat aku robot ke?", jiwa Zainuddin memberontak.

Dirasakan "pemakanan" jiwanya tidak begitu terjaga, umpama kapal kehilangan layarnya. Dia sedar bahawa sistem pendidikan yang melingkunginya sepanjang alam persekolahannya merupakan "kahak" dari penjajah, yang merekrutkan "barua-barua" Melayu bagi penerusan dasar pendidikan yang digariskan penjajah bagi melahirkan golongan terpelajar yang tandus iman dan tercabut roh Islam dalam diri mereka.

Zainuddin suka mencari. Dia sedar segala perkara tentang ini. Dia bukan orang yang hanya tahu melangut dan mengangguk. Dia pencari hakikat insan. Dia pencinta yang sedang dalam kerinduan. Mengharapkan kerinduan dan cinta dari satu kuasa yang berkuasa di atas segala. Dia tahu ada sesuatu tidak kena dengan sistem ini.Sistem pembentukan manusia di Malaysia. Tapi siapakah dia! Orang kerdil. Bahkan dia tidak tahu pada siapakah yang sudi mendengar keluhan hati nurani seorang pelajar yang suka memberontak sepertinya itu.

Puas mencari dan menagih cinta manusia , dia menyatakan kepada dirinya, "cukuplah, mungkin ini jalan yang bakal aku tempuhi nanti ! Perjalanan menuju fitrah. Perjalanan menuju Rabb nya yang sentiasa mendengar keluhannya ini

Khamis, Februari 12, 2009

Program sempena Valentine....kasih sebenar bagi yang berkasih.

Kempen Jangan Dekati Zina

‘Muslim Do Not Celebrate Valentine’

12 – 28 Februari 2009

Anjuran: Jaringan Pemuda Da‘wah Islamiyyah (JUNDIYY)*



Tarikh: 12 Februari 2009 (Khamis)

Masa: 7.30 malam – 11.00 malam

Tempat: Surau Dewan Budaya, USM

Program: Iftar (berbuka puasa) & pengisian oleh Dr Hasanah (USM) – “Cinta, Bercinta, & Percintaan”



Tarikh: 14 Februari 2009 (Sabtu)

Masa: 8.30 pagi – 1.00 tengah hari

Tempat: Akan dimaklum kemudian

Program: Forum Demi Kekasih – “Di Sebalik Kedurjanaan Valentine Day”

Panel: Dr Fadhlullah Jamel (USM), Ustaz Kamarudin Kassim (Koordinator UNGGAS), dan panel jemputan khas



Tarikh: 14 Februari 2009 (Sabtu)

Masa: 3.00 petang – 4.00 pagi

Tempat: Sekitar Pulau Pinang

Program: Latihan Aktivis Da‘wah Dalam Isu-isu Sosial (LANDAS) edisi khas Valentine Day – program turun ke lapangan mendekati remaja & belia berpasangan di kawasan-kawasan sekitar Pulau Pinang



Tarikh: 27 Februari 2009 (Jumaat)

Masa: 8.30 malam - 11.30 malam

Tempat: Dewan Kuliah SK4, USM

Program: Bicara Cinta Remaja oleh Ustaz Hasrizal (Saifulislam.Com)



Dan pelbagai lagi aktiviti da‘wah berupa edaran risalah, pengucapan umum, penyebaran artikel, roadshow ‘Mengapa Valentine Tidak Islamik’, dan berbagai lagi! Pertanyaan dan perhubungan boleh diemelkan ke akucahaya@gmail.com atau hubungi `Izzat Anwari (013-4025770), Saiful Afindi (019-4131472), Waahidah (019-4553985)

Anggota JUNDIYY (mengikut abjad):

Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API), Kelab Remaja Islah Malaysia (KARISMA) Pulau Pinang, Penang Muslim Student Association (PiSA), Pergerakan Perkhidmatan Masyarakat USM (PPMUSM), Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM), Remaja HALUAN Pulau Pinang, Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ), dan beberapa lagi gerakan pemuda da‘wah Pulau Pinang.

*JUNDIYY dahulunya dikenali sebagai Sekretariat Bring Islam Back (SBIB)

Sekilas Diariku sepanjang Januari 2009

Merenung kembali kejadian yang berlaku selama 1 bulan ini. Sekadar suatu perkongsian berbentuk peribadi:

7-14/1/2009-
Jadi Person In charge bagi Tabung Kutipan Untukmu Palestin dan Gerai Jualan Produk HPA. Dibuat atas nama Exco Biro Agama dan Kerohanian Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) ipppp.


15/1/2009 -
Hari asyura di Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (IPPPP) walaupun terlambat 8 hari dari 10 Muharram. Melibatkan ahli-ahli Persatuan Agama Islam (PAI) dan pensyarah-pensyarah IPPPPP. Masakan bubur berkonsepkan utara, suatu rasa baru yang lebih berempah berbanding bubur asyura timur yang lebih manis dan ber"daging" .
Malam aku pergi mendengar talk berkenaan isu Palestin di Surau Dewan Budaya USM Minden . Isu disampaikan oleh pak ck JIM ,Dr. Roslan yang juga menjadi tenaga pengajar di USM. Dr. Roslan merupakan seorang akh yang tidak jemu-jemu bercakap tentang Palestin ,hampir 12 tahun pusing se Malaysia bercakap mengenai isu ini. Ikhwah akhawat dari IPPPP ramai yang turut hadir.

17/1/2009-
Perjumpaan dalam merangka Strategic Planning Karisma Pulau Pinang sesi 2009. Banyak perkara yang kami rangka dalam meneruskan gerak kerja dan menampung segala kelemahan dan kekurangan (sedikit sahaja) dalam tadbir urus sem lepas.

18/1/2009-
#Kelas Tajwid dilakukan oleh Akh Rozaimi Rajid , guru pelatih IPPPP di Surau Al-Falah
#Jadi Person In Charge untuk Kelas Pengajian Aqidah dan Isu-isu semasa yang dibuat oleh Muallim Nuruddin Bashah dari Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ) . Isu yang ditekankan kali ini adalah berkenaan dengan Palestin dan segala isu yang berkaitan dengannya. Kelas ini diadakan di Surau IPPPP, Surau Al-falah dan dihadiri oleh 40 orang pendengar termasuk yang datang dari USM.
#Selepas itu diadakan Usrah Gempur Mingguan SPAQ yang dianggotai oleh 10 orang pemuda-pemudi pejuang aqidah(insyaallah) yang terplih.

19/1/2009-
Kuliah Maghrib disampaikan oleh Abang J-QAF. Memang bersemangat.

20/1/2009-
#Petang-Dr. Roslan dari Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia mengaakan "talk" berkenaan Palestin di Surau Al-falah , ipppp. dihadiri oleh 30 orang guru pelatih.
#Malam-selepas solat maghrib Akh Izzat Anwari Hasni dari Angkatan Pemuda pemudi Islam (API)/Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang(PUMPP) adakan talk yang bertajuk "Dari Institut Perguruan Ke Baitulmaqdis" . Isi yang sungguh bernas. Akh Izzat banyak menekankan peranan yang sapatutnya dimainkan oleh guru dan bakal guru dalam mendepani isu Palestin . Tak sempat menyentuh berkenaan Akta 174- sensitif sangat sebenarnya. aku jadi PIC bagi kedua-dua program ini.

21/1/2009-
Jadi runner untuk pertandingan syarahan-sempena Maal Hijrah pada waktu malam selepas isya' sebelum bergegas k Taman Pekaka untuk hadiri Meeting Karisma.

22/1/2009-
Majlis Ceramah Maal Hijrah diadakan di Surau Al-falah Hampir 100 orang hadir pada malam ini. Selepas habis ceramah , kami adakan slot khas untuk menyampaikan dana sumbangan pihak IPPPP kepada wakil JIM , Haji Nahar. Jumlah kutipan mencecah RM 1800.00 dikutip hasil pembukaan kaunter sepanjang 1 minggu di kafe dan kutipan sumbangan dari blok penginapan ke blok penginapan yang lain selama 2 minggu.

24/1/2009-
Pelancaran LANDAS+SPAQ di USM Minden. Gabungan kerjasama antara Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ, bawah kelolaan Muhammad Nuruddin Bashah) dan Latihan Aktivis Dakwah dalam Menangani Isu-isu Sosial( LANDAS, Ustaz Kamaruddin) . Slot gejala-gejala sosial disampaikan oleh Ustaz Kamaruddin dan banyak menyentu tentang kaedah-kaedah merapati golongan remaja yang bermasalah.

25/1/2009-
Mesyuarat Kelab Remaja Jim (KRJ) di Pejabat Jim PP.

26/1/2009-
Ceramah Palestin oleh Ustaz Ramadhan Fitri Eliyas di Masjid Darul Ulum , Bukit Jambul. Disertai oleh beberapa orang ikhwah .Ceramah diberi penekanan terhadap pemboikotan 7 barangan buatan AS yang digunakan sehari-har termasuklah Pampers, coca-cola dsb.