Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Rabu, Ogos 19, 2009

Pemikiran Skeptik yang menyakitkan Umat

habibbourguiba

Habib Bourguiba

“Kenapa dia berkata begitu? Dia tak faham al-Quran dan Sunnah ke?” seorang hadirin ceramah mengkritik.

“Apa dia tidak baca sirah? Buta sejarah?” tambah seorang lagi.

Semua naik angin.

Marah dengan Habib Bourguiba.

Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987. Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Ataturk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.

Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia, berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.

Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!

SINIS AGAMA

Pandangan Habib Bourguiba itu, jika mahu dikategorikan, ia termasuk di dalam apa yang dinamakan sebagai Religious Skepticism. Pemikiran skeptik atau sinis terhadap agama ini berperingkat.

Ada sinis yang merujuk kepada beberapa aspek di dalam ajaran agama. Seseorang itu mungkin sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah. Atau hukum menutup aurat. Mungkin juga soal harta pusaka yang dibahagian dua bahagian kepada pewaris yang lelaki dan satu bahagian kepada pewaris yang perempuan.

Ada juga pemikiran skeptik, ditujukan kepada institusi agama. Misalnya, anti ‘orang masjid’, mungkin juga kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dan lain-lain. Tidak lupa dengan alergi mereka kepada parti politik Islam, atau badan-badan yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.

Peringkat ketiga pula, ialah pemikiran skeptik terhadap keseluruhan ajaran agama. Mereka tidak semestinya anti Tuhan atau atheist namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.

Walau apa pun bentuk Religious Skepticism yang muncul, kesemuanya adalah reaksi. Apabila diertikan sebagai reaksi, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut.

YASMIN AHMAD DALAM KENANGAN

yasminahmad

Terkini, ASTRO mendedikasikan saluran 110 sebagai tribute kepada Allahyarham Yasmin Ahmad dengan menyiarkan koleksi filem terbitan atau arahan beliau seperti Sepet dan Gubra.

Jika kita menonton dengan teliti sebarisan filemnya bermula daripada Rabun, kepada Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan terkini Talentime, ada sesuatu yang konsisten di dalam semua sentuhan karya Yasmin Ahmad. Antaranya ialah elemen Religious Skepticism. Penonjolan babak imam yang mesra dengan jiran-jirannya yang pelacur di dalam filem Gubra, hubungan cinta antara seorang gadis Melayu dengan anak muda Cina, malah anjing yang dibelai mesra oleh bilal masjid, semua itu adalah simbol dalam menterjemahkan apa yang dinamakan sebagai pemikiran skeptik terhadap agama.

Oleh kerana Religious Skepticism semakin berleluasa mendominasi pemikiran masyarakat khususnya di dalam kelompok urban, maka hasil karya Yasmin Ahmad semacam menjadi jurucakap untuk meluahkan pandangan ini yang sejak sekian lama tidak mudah untuk diketengahkan ke perhatian massa. Yasmin Ahmad menerima penghormatan dan pengiktirafan yang sungguh luar biasa.

Jika kita bersetuju bahawa Religious Skepticism itu ialah satu bentuk reaksi, maka datang soalan kedua; pemikiran Religious Skepticism yang ada pada Yasmin Ahmad datangnya sebagai reaksi kepada apa? Saya tidak mempunyai sebarang penjelasan kerana saya tidak mengenali beliau secara peribadi.

Namun mungkin beliau menempuh episod hidup yang penuh dengan kejadian, penilaian, hukuman, malah mungkin cemuhan yang menggalakkan skepticism itu semakin meruncing.

SISTERS IN ISLAM

sm_6zainah

Zainah Anwar, teraju utama Sisters in Islam

Satu lagi topik yang berkait rapat dengan Religious Skepticism ialah sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Sisters in Islam. Pertubuhan ini mempunyai peranan yang signifikan dalam memperjuangan beberapa aspek bersangkutan hal kebajikan kaum wanita Muslim dan ia tidak boleh dinafikan. Kelancaran proses mahkamah yang mesti diperkemaskan agar wanita Muslim tidak menderita digantung tidak bertali, adalah di antara subjek yang banyak disentuh oleh sukarelawan SIS yang amat komited.

Namun, ada sesuatu yang juga konsisten dalam pemikiran dan ucapan tokoh-tokoh utamanya. Elemen yang saya maksudkan itu ialah Religious Skepticism. Keketaraannya lebih terasa dalam aspek sinis mereka kepada institusi agama yang dilihat tidak bertindak wajar dalam hal kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan kaum wanita Muslim di negara kita.

Mendesak agar al-Quran ditafsir semula, bukanlah suatu isu baru. Tetapi mendesaknya dengan alasan ahli-ahli Tafsir dahulu semuanya lelaki, lalu hukum yang keluar bersifat male chauvanist, adalah suatu manifestasi kepada Religious Skepticism. Justeru ramai sukarelawan yang terbabit di dalam gerakan-gerakan pembelaan wanita seperti Sisters in Islam, membawa mesej yang boleh digunapakai untuk memperbaiki banyak aspek perlaksanaan Islam, tetapi mencetus banyak kontroversi kerana ia diperjuangkan secara sinis atau skeptik, sedikit sebanyak berpunca daripada pengalaman diri sukarelawan tersebut berkaitan dengan lelaki.

Menyaksikan bapa mendera ibu yang diperhambakan dalam sebuah perkahwinan.

Melihat penindasan yang berlaku ke atas janda yang tergantung hidup oleh suami yang enggan mentalakkannya, tetapi terus menerus mendera emosi dan mungkin fizikal isteri.

Menjadi mangsa kejahatan lelaki.

Atau terus menerus dihentam golongan yang tidak bersetuju, kebetulannya mereka itu adalah ustaz, mufti, ulama, yang semuanya adalah lelaki.

Religious Skepticism adalah reaksi.

Ada sesuatu yang berlaku sebelum pemikiran skeptik itu menguasai.

Sesuatu yang perlu difikirkan.

BENJAMIN STEPHEN

badrulhisyam

Anak muda ini adalah bekas pelajar sebuah sekolah agama terkemuka di negeri Perak.

Bukan sedikit ilmu agamanya.

Tetapi hari ini, anak Perak yang dahulunya dikenali sebagai Badrul Hisyam, telah murtad dan menjadi pendakyah Kristian.

Apabila saya mendengar ceramah-ceramah yang beliau sampaikan di gereja dan di khalayak Kristian, saya mengesan sesuatu yang amat konsisten di dalam ceramah beliau. Ceramahnya tidak ilmiah dan tidak membantu Kristian memahami Bible. Sebaliknya, hampir keseluruhan ceramah beliau berbahasa skeptik dan sentiasa sinis serta menyindir serba serbi yang berkaitan dengan Islam dan Muslim. Malah ibu bapanya sendiri turut disindir dan diejek.

Tatkala bertanyakan kepada pelajar-pelajar sekolah beliau yang mengenalinya, anak muda ini yang berpewatakan lembut di sekolah sering diejek, dikutuk atau dalam bahasa rasminya dibuli, di sepanjang pengalamannya di sekolah. Pengalaman seperti ini sangat berpotensi untuk membentuk satu pola pemikiran memberontak yang luar biasa.

Akhirnya Badrul Hisyam dengan sinis dan skeptik beliau terhadap semua yang dialaminya tentang Islam dan Muslim, beliau murtad. Sesuatu yang mungkin tidak disangka oleh senior yang pernah membulinya!

Semasa mendengar ceramah beliau, saya terfikir, adakah Benjamin Stephen ini mengkritik Islam, atau mengkritik Sekolah Menengah Agamanya?

KASSIM AHMAD

mencari-jalan-pulang

Tidak dilupakan, tatkala saya membaca buku mutakhir Kassim Ahmad bertajuk MENCARI JALAN PULANG, saya melihat adanya unsur yang sama di sebalik pemikiran beliau. Sama ada ia berkaitan dengan Parti Sosialis pimpinannya, atau pun pemikiran yang dilabel sebagai anti Hadith.

Kassim Ahmad tidak sama sekali menafikan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tetapi beliau mengkritik sistem ilmu Hadith khususnya berkaitan dengan kredibiliti perawinya.

Di manakah kritikan itu bermula?

Berasal daripada kekecewaan Kassim Ahmad terhadap pemikiran dan sikap orang-orang agama yang ditemui di usia mudanya, ia berkembang kepada mempertikaikan institusi Ulama’ dan seterusnya hingga kepada pada perawi yang kesahihan Hadith banyak bergantung kepada kredibiliti perawi-perawi ini.

Ya.

Religious Skepticism yang ringan-ringan boleh berkembang menjadi satu pola pemikiran yang amat rumit dan membingungkan.

PUNCA PEMIKIRAN SKEPTIK TERHADAP AGAMA

Tidak dinafikan, manusia akan membentuk set of values mereka hasil pengalaman hidup dan pendedahan yang dialami. Kesan daripada pelbagai kejadian yang ditempuh oleh setiap kita dalam kehidupan, banyak mempengaruhi pertimbangan kita dalam menilai apa yang baik dan apa yang buruk.

Oleh kerana itu, Islam datang untuk meluruskan nilai ini agar manusia tidak terhoyong hayang di sepanjang tempat dan zaman dalam menentukan apa yang baik serta apa yang buruk tentang hidup ini semata-mata berbekalkan pengalaman diri. Jalan yang lurus (Sirat Mustaqim), diungkapkan berkali-kali dalam sehari semasa kita bersolat kerana jalan yang lurus itulah penentu kepada kedudukan masing-masing. Sejauh mana kita selari dengannya, atau sudah sejauh manakah kita terpesong dari landasan asal.

Namun, manusia akan mengalami krisis terhadap agama apabila mereka berdepan dengan suasana realiti yang terlalu jauh daripada apa yang dilakarkan oleh idea dan nas. Penghormatan adalah sesuatu yang terhasil daripada kualiti. Tatkala pendukung agama yang mewakili suara agama mengalami kemerosotan kualiti, rasa hormat itu mula terhakis. Tatkala hakisan itu berlaku, agamawan dan institusi agama terus kekal dengan grandiose attitude yang menambahkan rasa meluat serta benci kelompok yang tidak gentar dengan mereka.

Sebagaimana gereja hilang tempat daripada masyarakat akibat grandiose attitude itu, ia juga sedikit demi sedikit menimpa umat Islam. Rasa jelek dan meluat sekelompok masyarakat melihat sesetengah agamawan yang sombong dalam mempertahankan hujah-hujah ‘tidak masuk akal’ mereka, menambahkan kerumitan kepada berleluasanya pemikiran skeptik terhadap agama ini.

Misalnya, temuramah Gala TV di Astro 110 bersama Yasmin Ahmad, mendatangkan contoh yang boleh diberi perhatian.

Ketika filem Gubra dikritik kerana adegan bilal masjid menyentuh anjing, Yasmin Ahmad menegaskan bahawa sesuatu yang amat menghairankan apabila orang-orang agama ini yang kelihatannya berpelajaran tinggi di satu sudut, hakikatnya mereka tidak arif tentang ilmu Biologi (yang sepatutnya dikuasai oleh umat Islam atas galakan agama kita sendiri, kata beliau).

“Anjing itu kalau najis pun, menyentuhnya tidak haram!” kata Yasmin.

“Orang agama tidak faham Biologi. Jika mereka faham Biologi, mereka akan tahu bahawa anjing merembeskan peluhnya melalui lidah dan hidung…” tegas beliau lagi.

Saya tidak dapat mengesan apakah yang cuba dimaksudkan oleh Yasmin dengan kenyataan itu.

Tetapi beliau mungkin terkesan dengan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas dirinya oleh ustaz-ustaz atau tokoh agama yang ‘tidak faham Biologi’. Sifat menghukum, dan kejahilan terhadap ilmu sokongan seperti Biologi, menjadikan manusia semakin skeptik terhadap agama. Suatu kemalangan.

Namun, andaikata Yasmin Ahmad mengkaji lagi, beliau mungkin akan memperbaiki pandangannya tentang hal ini. Soal anjing merembeskan peluh daripada lidah itulah sebenarnya asas hukuman samak jilatan anjing yang terdapat di dalam Mazhab Syafie. Oleh kerana anjing sentiasa merembeskan peluh dari lidah, maka kebarangkalian najis untuk berada di lidahnya amat kecil. Justeru, jika lidah yang ‘bersih’ itu pun bekas jilatannya perlu disamak, maka lebih utamalah untuk sentuhan bahagian-bahagian lain pada seekor anjing disamak. Malah, anjing yang tidak disebut sebagai najis di dalam al-Quran itu pun, persentuhannya perlu disamak, maka babi yang diisytiharkan najis oleh al-Quran itu, lebih utamalah untuk ia disamak.

Dalam kes ini, Religious Skepticism mungkin terhasil daripada kombinasi agamawan yang tidak faham Biologi dan pengarah filem yang tidak habis mengkaji agama.

Pandangan skeptik terhadap agama banyak didorong oleh kegagalan agamawan mempertahankan hujah agama dalam bentuk yang seiring dengan pemikiran massa yang berubah dari satu ketika ke satu ketika. Hujah yang tidak berhasil menimbulkan keyakinan, atau menolak terus proses hujah menghujah dan menggunakan kuasa untuk menundukkan soalan atau kritikan (budaya membunuh soalan), menyuburkan lagi pemikiran skeptik orang ramai terhadap agama. Gereja sudah berpengalaman dalam krisis ini, mudah-mudahan kita Umat Islam mempelajari sesuatu mengenainya.

Apatah lagi, ada agamawan terbabit dalam salah laku yang bertentangan dengan imej yang sepatutnya dipertahankan. Perbuatan mendera isteri oleh ustaz atau oleh bukan ustaz tetapi atas nama agama, memutarbelikan hujah untuk memenangkan diri (misalnya berkata, Allah melaknat isteri yang menolak kehendak suami, tetapi tiada hadith yang menyebut Allah melaknat suami yang menolak kehendak isteri!), pecah amanah, pengotor pada pakaian dan penampilan diri, menerukkan lagi penyebaran gejala Religious Skepticism ini.

Dalam masa yang sama, pendekatan menghukum dan menghukum terus menerus digunakan semasa kredibiliti agamawan atau institusi agamawan berada di dalam krisis.

Sesungguhnya gejala ini boleh diperbaiki jika pendakwah dan agamawan mampu untuk mengusahakan beberapa perubahan. Sikap menyindir, menghukum, menyerang, tanpa kesimbangan dialog, diskusi dan lain-lain bentuk engagement, tidak banyak membantu.

PENDAKWAH MAMPU MENGUSAHAKAN PERUBAHAN

Jika perubahan itu mesti bermula daripada diri, maka usahakanlah perubahan pada diri kita, selaku pendakwah untuk lebih bertenang dan teliti dalam menghalusi dakyah-dakyah pemikiran skeptik terhadap agama ini. Andai mereka tidak mahu berubah, lancang mengkritik tetapi kurang mahu mengkaji dan mendalami secara adil, itu terserah kepada mereka. Religious Skepticism ialah penyakit. Lalu penganutnya harus dilihat sebagai orang sakit.

Bagi pendakwah yang yakin akan kesihatan pemikiran dan kepercayaannya, merekalah yang selayaknya untuk mengusahakan perubahan. Kita ubah cara kita memberikan penyelesaian, cara kita menguruskan cabaran, kerana kita mampu berbuat demikian. Jangan terlalu gelojoh menyerang, menentang, menghukum, ketika kita sendiri bukanlah saingan yang dihormati lawan (jika boleh disebut demikian).

Pendakwah yang hebat mampu mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Andai golongan yang skeptik terhadap agama mahu terus ego dalam mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Namun Islam yang dijulang pendakwah, menjadikan kita bersedia untuk mengambil sebahagian tanggungjawab memperbaiki keadaan. Memperbaiki cara kita berdakwah, mempunyai banyak faedah yang boleh meredakan penyakit minda ini.

SISI LAIN PANDANGAN HABIB BOURGUIBA

Berbalik kepada persoalan Habib Bourguiba, harus kita perhatikan sedikit.

Memang al-Quran berkata sebaliknya, Sunnah juga menegaskan sebaliknya. Malah Sejarah juga membuktikan sebaliknya. Namun Habib Bourguiba mungkin tidak memandang itu semua. Apa yang dijadikan asas pandangannya ialah pada apa yang ada di depan mata.

Benarkah umat Islam lebih produktif di bulan Ramadhan?

Tinggalkan Tunisia dan mari lihat keadaan kita di Malaysia.

Pada bulan Ramadhan, kita tidak boleh bermesyuarat dengan baik. Semua orang kebingungan dan lesu tanpa mampu memberikan idea yang bernas. Jika ada projek besar yang mahu dibuat, semua meminta agar ia dibincangkan selepas Raya! Malah jika di bulan-bulan lain kita habis kerja jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4 petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan!

Maka, tidakkah itu semua bukti bahawa kita tidak produktif di bulan Ramadhan?

Silapnya pada Habib Bourghuiba ialah kerana beliau menyalahkan puasa sebagai puncanya, dan bukan manusia.

PELIK

Jika anda ternampak sebuah kereta Mercedez ‘mata belalang’ tersadai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan Mercedez?

“Bodoh betullah syarikat Mercedez ini. Bagaimana mereka boleh buat kereta yang langgar tiang lampu!” kritik seorang yang bermazhab Habib Bourguiba.

Mustahil.

Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez.

Semua orang akan menyalahkan pemandu Mercedez itu.

“Macam manalah dia memandu. Sudah diberi Mercedez pun, masih terbabas melanggar tiang lampu!” kata-kata yang lebih lurus dengan kebenaran.

Silapnya Habib Bourguiba ialah, dia itu menyalahkan puasa dan Ramadhan sebagai punca rakyatnya tidak produktif. Suatu peringkat Religious Skepticism yang kritikal.

Justeru, jika kita tidak bersetuju dengan polisi Habib Bourguiba, maka buktikanlah dengan perbuatan. Buktikan Ramadhan ini, anda produktif, dinamik, aktif bekerja, dan tidak terjejas untuk buat apa sahaja, termasuk mungkin turun berkempen di Permatang Pasir!

Tetapi, jika kita bermati-matian memaki hamun Habib Bourguiba kerana tidak bersetuju dengannya, tetapi kita tidak bermaya, tidak produktif atau gagal untuk kekal normal di bulan Ramadhan, maka segala ayat al-Quran dan al-Hadith yang digunakan, serta fakta Sejarah yang dibentang, menjadi retorik serta menyuburkan lagi Religious Skepticism!

Anda mampu mengubahnya!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Pendidikan atau Pengsijilan?: Muhasabah buat para graduan


wanrausyan

oleh: Wan Ahmad Faysal*

Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah tiba musim graduasi para mahasiswa di seluruh negara. Jelas kelihatan kelibat ahli keluarga yang riang dan gembira melihat anak-anak merangkul ijazah yang menandakan “kejayaan” anak mereka.

Tapi apakah benar segulung ijazah tersebut menandakan para graduan benar-benar telah terdidik atau sekadar menerima latihan sepanjang 5 tahun bergelumang dalam institusi yang dinamakan universiti ini?

Ada beza antara education atau lebih tepat peng-ta’dib-an dalam Islam, dan certification atau pengsijilan yang banyak berlaku dalam senario pendidikan moden pada hari ini.

Anda mungkin pelajar terbaik universiti dengan CGPA 4.0 tapi apakah anda sudah berjaya keluar dari belenggu penjajahan minda yang lebih bersifat nadir dalam era pasca-kolonial ini? Apakah anda benar-benar “terbuka” dan “kritis” dalam memahami haqiqah atau paradigma anda sekadar terperangkap dalam aspek waqi’iy semata-mata?

Lupakah anda bahawa baginda Rasulullah sendiri pernah berdoa untuk dijauhkan daripada ilmu yang tidak bermanfaat (allahuma inni auzubika min ‘ilmi la yanfa’)?

Apakah anda menerima “ilmu” atau sekadar “maklumat” sepanjang anda menjadi mahasiswa di kampus masing-masing?

Semua persoalan ini merupakan tugas khas setiap individu yang menuntut ilmu untuk melakukan muhasabah kembali apakah benar-benar kita telah “berjaya” dalam mendidik diri menjadi apa yang sepatutnya terjadi setelah bergelar graduan.

Ada baiknya kita sama-sama tinjau kembali nasihat seorang pemikir Islam dari Pakistan, Sayyid Abul ‘Ala Mawdudi berkenaan nasihat beliau terhadap para graduan:

“‘Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.

Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. The degrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life.

I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses.’”

Terjemahan dalam Bahasa Melayu:

“‘Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini.

Syarah:

Mungkin, tidak ramai orang kita yang mengenali sosok pejuang Islam dari Pakistan ini. Sejarah telah mengukir betapa sosok ini berupaya berdiri sama tinggi dengan Imam Hassan Al Bana dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai Sistem Kehidupan di tanah air masing-masing.

Sayyid Abul Ala Maududi merupakan seorang pejuang, intelektual dan da’ie yang cukup disegani dalam abad ke-20. Namanya senantiasa meniti dibibir para pejuang Islam yang dahagakan tiupan semboyan daripada pemimpin sepertinya.

Beliau merupakan pengasas kepada Jamaat-e-Islami di Pakistan, sebuah gerakan Islam yang sama hebatnya dengan Ikhanul Muslimin dibawah Imam Hassan Al Bana.

Ungkapan yang tajam dan tersirat di atas merupakan salah satu ekspresi diri beliau terhadap realiti sistem pendidikan yang telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan semenjak zaman kolonial hinggalah ke hari ini.

Kenapa begitu teruk sekali pandangan beliau terhadap universiti? Adakah pengorbanan mahasiswa tidak bererti dalam menimba ilmu?

Persoalan ini akan terjawab jikalau kita bersikap kritikal dalam menilai sejarah dan impak yang tersirat didalam masyarakat.

Memang benar. Universiti telah menjadi pusat penyembelihan kepada anak-anak muda yang suci pemikirannya. Disinilah mereka dikelar mindanya, dipatahkan tulang kesedarannya dan digantung maruah mereka selaku pengubah masyarakat.

Para penyembelih yang terdiri daripada golongan aristokrat pendidikan telah mengupah manusia-manusia yang kelu untuk menyiat potensi minda perjuangan anak-anak muda ini. Diasingkan daripada realiti dan diangkat menjadi fantasi.

Itulah keadaan sebenar pada hari ini. Golongan mahasiswa sudah dicincang dengan lumat sehingga tidak dapat dikenali lagi sebagai seorang ‘insan’ yang berguna pada rakyatnya. Terkurung daripada cahaya kebenaran, mahasiswa akhirnya dibutakan dengan lambakkan makanan berupa sampah untuk dibuntalkan perut minda mereka agar tidak ada apa lagi yang perlu dipersoalkan.

Akhirnya, kegemukkan minda menghasilkan sifat kemalasan dan kepekaan kepada sekeliling menjadi pudar. Buta hati mula melingkar menusuk kalbu. Itulah mahasiswa. Hanyalah haiwan sembelihan buat golongan kapitalis yang menyedut darah merah yang segar daripada otak beku mereka.

Selagi mana golongan mahasiswa terpisah dengan realiti masyarakat, kehidupan yang sempit didalam kampus hanya mampu menjadikan mereka daging pejal buat golongan kapitalis yang saban hari menyediakan hidangan daging mentah buat umat manusia. Mungkin, inilah yang ingin cuba disampaikan oleh Pejuang Islam ini. Pendidikan warisan penjajah yang membunuh.

ACHTUNG 1 !
Untuk penjelasan lanjut berkenaan masalah berkenaan hakikat menjadi mahasiswa dan universiti sila rujuk makalah saya bertajuk The University and The Captive Mind

ACHTUNG 2 !
Forum Youth to Youth for a Better Malaysia sudah berpindah tempat dari Sunway University College ke 3K Inn di Petaling Jaya. Saya amat menyarankan ahli gerakan mahasiswa Islam turun menghadiri forum ini bagi bersama-sama timba pengalaman dan membina hubungan dengan rakan-rakan lain yang berbeza fikrah baik Muslim ataupun yang bukan Muslim.

————-

*Penulis ialah mahasiswa tahun akhir Universiti Teknologi Petronas (UTP). Beliau terlibat dengan pelbagai wacana intelektual mahupun ‘demonstrasi aman’. Buah fikir aktivis sosial, pemikir polisi alternatif, penulis amatur dan juga penceramah bebas” ini boleh dilayari di Rausyanfikir.

Sabtu, Ogos 15, 2009

KENYATAAN RASMI FORUM 14 OGOS 2009 - FORUM Mendesak Jeff Ooi Memohon Maaf dan Meletak Jawatan

KENYATAAN RASMI FORUM 14 OGOS 2009

FORUM Mendesak Jeff Ooi Memohon Maaf dan Meletak Jawatan

FORUM merujuk kepada kenyataan Jeff Ooi pada 9 Ogos 2009 lalu dan kenyataan-kenyataan pimpinan NGO-NGO Islam Pulau Pinang sebagai reaksi kepada kenyataan tersebut. NGO-NGO Islam dibawah Forum Penyelarasan Umat (FORUM) dan beberapa NGO lain di Pulau Pinang telah bermesyuarat dan sepakat mengambil keputusan seperti berikut:

FORUM berpandangan YB Jeff Ooi; Ahli Parlimen Jelutong dan Ketua Staff Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang bersikap angkuh dan enggan mengakui kesalahan beliau berkenaan kenyataan beliau yang mengaitkan Syariah Islam dengan ekstrimisme [rujuk The Star, 2 Ogos 2009, N12]. Kenyataan ini dikeluarkan berhubung pertelingkahan beliau dengan Hj Mohd Razali, Ahli Majlis MPPP yang juga ahli kepada Jamaah Islah Malaysia (JIM).

FORUM merasakan pendirian sebegini tidak seharusnya ada pada seorang ahli parlimen dan Ketua Staff Pejabat Ketua Menteri yang dilihat berbaur jahat terhadap Syariah Islam dengan mengaitkannya dengan ekstrimisme dan bertentangan dengan slogan kerajaan negeri mengikuti pemerintahan Saidina ‘Umar ‘Abd al-‘Aziz dan ‘Amar Ma‘aruf Nahi Mungkar. Prinsip ini adalah berpandukan Syariah Islamiyyah.

FORUM merasa kesal apabila Jeff Ooi enggan memohon maaf dan cuba mengelak dari isu yang lebih besar iaitu kenyataan beliau yang berbaur fitnah dan menghasut perpecahan dengan mengaitkan Syariah Islam dengan ekstremisme. Penarikan kembali kenyataan beliau terhadap JIM tidak menggambarkan sikap dan pendirian untuk memohon maaf dan mengakui kesilapan terhadap kenyatan beliau terhadap Islam.

Kenyataan ini dilihat menghina Islam dan penganutnya sebagai agama yang dianuti majoriti masyarakat Negara ini dan menghina perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan.

FORUM mendesak Jeff Ooi memohon maaf dan meletak jawatan sebagai Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri dalam tempoh 3 hari dari pernyataan ini.

FORUM berpandangan bahawa kenyataan Jeff Ooi telah menimbul kemarahan umat Islam khususnya di Pulau Pinang, menghasut kepada perpecahan dan menimbulkan salah faham terhadap Islam.

FORUM juga mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang memecat beliau sebagai Ketua Staff Pejabat Ketua Menteri jika beliau enggan memohon maaf dan melatak jawatan.

Mohd Hafiz Nordin & Md Roslan Hashim

(Jurucakap FORUM)

Kenyataan disahkan oleh NGO-NGO berikut (14 Ogos 2009):

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) P.Pinang

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah

Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)

Badan Anti IFC (BADAI)

Badan Kebajikan Nun (BAKUN)

Badan Kebajikan Pendidikan Islam P.Pinang(BAKIP)

Haluan Malaysia caw P.Pinang

Ikatan Muslimin Islam (ISMA) P.Pinang

Ikatan Pengkajian Syariah Malaysian (ISRA’)

Institut Al-Qayyim (IQ)

Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)

Islamic Propagation Society International (IPSI)

Jaringan Pemuda Da‘wah Islamiyyah (JUNDIYY)

Jawatankuasa Warisan Hadharah Islamiah (JAWHAR)

Jemaah Islah Malaysia P. Pinang (JIM)

Kelab Rakan Islah Malaysian (KARISMA)

Kelab Remaja JIM

Muhammadiyah International

Majlis Muafakat Warga Desa (RURAL CITIZEN)

Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP)

Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI)

Persatuan Anak Jati Melayu P.Pinang (PAJIM)

Rumah Upayadaya Dan Harapan Ar-Rahman (RAUDHAH)

Sekretariat Dakwah Non-Muslim P. Pinang (SDPP)

Sekretariat Himpunan Ulamak Rantau Asia (SHURA)

Sekretariat Ulama Dan Profesional Islam (SUFI)

Teras Pengupayaan Melayu(TERAS)

Ummah Aid

Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)

Wanita JIM

Warga Kilang.Com

Young Muslim Sport Club (YMSC)

* untuk tujuan perhubungan sila hubungi Saudara Roslan Hashim (JIM: 019-444 1404), Ustaz Mohamad Hafiz (PUMPP: 019-4127 440) dan Saudara Yusuf (PAJIM: 019-5766 440)

Rabu, Ogos 05, 2009

Salam 1Malaysia? kelakar.


Maafkan saya. Saya terasa" agak lain" (janggal) apabila terdapat sesetengah pembaca berita samaada di radio mahupun di televisyen yang akan mengucapkan Salam 1 Malaysia selepas berita dibacakan . Kenapa tidak assalamualaikum atau salam sejahtera sahaja? Sebab saya berpandangan apabila disebut 1 Malaysia, ia bermaksud tiada perbezaan antara kaum dan agama di Malaysia.

Saya berpandangan kalimah ini hanya sekadar retorika yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu, sama seperti beberapa slogan yang dikeluarkan sebelum ini. Slogan keluar dahulu sebelum isinya !Bagi saya slogan ini tidak membantu sedikitpun dalam usaha menyatupadukan hubungan antara kaum.

Orang yang sama kata 1Malaysia, bersatu padu dan berbilang bangsa. Orang yang sama juga kata bahawa kita kena tegakkan dan pertahankan bangsa kita sendiri daripada ditindas. Terkadang istilah Melayu itu disampaikan dan ditafsir dengan tafsiram yang sungguh sempit. Keris yang dikeluarkan , keris itu juga yang terpaksa disarungkan apabila kata-kata "perpaduan" antara bangsa sendiri dikeluarkan secara emosi dan menyentuh sensitiviti kaum lain

KENYATAAN AKHBAR-Zulkifli Nordin mnegenai isu penghinaan Islam oleh Adun P.Pinang

KENYATAAN AKHBAR

ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
Isnin 12 Sya'ban 1430 / 03 Ogos 2009

Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong (DAP)merangkap Ketua Staf YAB Ketua Menteri Pulau Pinang yang disiarkan didalam akhbar The Sunday STAR bertarikh 02.08.2009 mukasurat N.12.

Didalam kenyataannya, YB Ooi mengkritik hebat Sdr. Mohd. Razali bin Abdullah, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang daripada PKR.

YB Ooi menuduh Sdr. Mohd. Razali sebagai "Muslim extremist" kerana menjadi ahli Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang mempunyai misi "to develop Malaysia into a country which fully adopted Syariah law by 2020" (membentuk Malaysia sebagai negara yang menerimapakai undang-undang Syariah sepenuhnya menjelang tahun 2020).

YB Ooi mendesak "the council should not allow "a religious extremist" in its administration" (pihak majlis tidak sepatutnya membenarkan seorang ekstremis agama (Islam)didalam pentadbirannya) . Beliau selanjutnya menyatakan "the state was setting a dangerous precedent by allowing an alleged extremist religious activist to infiltrate the local government system" (pihak kerajaan negeri telah membuka ruang into membolehkan seorang ekstrimis agama (Islam) untuk menyusup masuk kedalam sistem kerajaan tempatan").

Saya mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan, tohmahan dan dakwaan yang dibuat oleh YB Ooi tersebut. Adalah jelas kenyataan tersebut dibuat samada sebagai seorang yang terlalu dangkal dan bodoh atau pun kerana kesombongan dan keangkuhan yang melampau.

Pertama, Sdr. Mohd. Razali Abdullah adalah seorang jurutera yang berkelayakan dan mendapat kelulusan akadamik yang cemerlang. Beliau adalah ahli Parti Keadilan Rakyat dan diberi amanah dan mandat mewakili PKR didalam Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang.

Kedua Jamaah Islah Malaysia adalah sebuah badan NGO berteraskan Islam yang menjadi badan naungan beribu-ribu pelajar Muslim Malaysia terutamanya yang belajar diluar negeri. JIM tidak ada kena mengena dengan Kumpulan JI yang difitnah dan ditohmah sebagai sebuah badan teroris oleh Barat dan yang sewaktu dengannya.

Buat pengetahuan YB Ooi, kebanyakan pelajar Muslim Malaysia yang belajar diluarnegeri akan menjadi ahli kepada beberapa gerakan dan NGO Islam samada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Jemaah Tabligh Malaysia ataupun Kelab Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan lain-lain.

Buat makluman YB Ooi dan yang sewaktu dengan beliau, menuduh seseorang Muslim sebagai ekstremis kerana "bercita-cita untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang menerimapakai undang-undang syariah sepenuhnya" adalah satu pertuduhan yang biadap dan melampau. Setiap Muslim yang beriman, samada di Malaysia atau dimana juga didunia ini, sudah pasti akan mempunyai cita-cita saperti itu. Hanya cara dan mekanisma untuk mencapainya sahaja yang berbeza. Ada yang berjuang melalui perjuangan bersenjata, ada yang melalui ruang politik, ada yang melalui proses demokrasi, ada yang melalui cara berdakwah dan banyak lagi kaedah dan cara. Pokok pangkalnya, setiap Muslim beriman mempunyai cita-cita yang sama.

Every Muslim worth his salt would definitely aspire to have full syariah law implemented in their way of life. To accuse such Muslim as extremist for believing so would mean you are accusing every single faithful Muslim gulity of being an extremist. And if aspiring to have syariah law implemented in full is considered extremist, then every faithful Muslim would be proud to be labelled as extremist!

Sebenarnya sikap yang ditunjukkan oleh YB Ooi dalam mengeluarkan kenyataan tersebut menyerlahkan sikap beliau sendiri sebagai seorang yang ekstremis dan chauvinis.

Saya dengan ini mendesak YB Ooi supaya menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka khususnya kepada Sdr. Mohd. Razali Bin Abdullah dan Jamaah Islah Malaysia, dan umumnya kepada umat Islam. Kenyataan dangkal, bodoh dan sombong yang dibuat beliau itu telah mengguris perasaan umat Islam yang telah lama bersabar dengan karenah dan mehnah serta sikap sombong melampau orang saperti beliau.

Saya khuatir dengan sikap Islamophobia dan prejudis dan prasangka terhadap agama Islam dan umat Islam yang ditunjukkan oleh pimpinan DAP saperti YB Ooi yang sudah pasti akan membawa kesan negatif kepada usaha untuk memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan diantara agama di negara ini. Malaysia tidak memerlukan mereka yang bersikap ekstremis dan chauvinis serta berfahaman sempit saperti YB Ooi ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
12 Sya'ban 1430 / 03 Ogos 2009

Selasa, Ogos 04, 2009

Islam membenarkan demonstrasi, 12 nokhtah perhatian

Ustaz Abdul Ghani Shamsudin
Mantan YDP Persatuan Ulama Malaysia

Berhimpun dan mengadakan demonstrasi; menunjuk perasaan secara aman adalah salah suatu tindakan yang sah dari segi syara dan undang-undang untuk menyatakan penentangan terhadap kemungkaran. Ia suatu pendekatan yang berkesan untuk menyerlahkan pengaruh dan kuasa kebenaran.

Dengan itu orang yang zalim akan kembali sedar menginsafi kesalahan diri mereka. Hukum asal berhimpun secara aman dan berdemonstrasi adalah harus .

Tapi kalau dirujuk kepada 'Maqasid al Syaria'ah' ia mungkin menjadi 'Mandub' atau sunnah. Malah ia mungkin beralih kepada hukum wajib seandainya tidak ada cara lain untuk menegur dan membetulkan kemungkaran kecuali dengan cara keluar beramai-ramai berhimpun dan berdemonstrasi di padang terbuka atau di jalan raya .

Hal seperti ini pernah dilakukan oleh golongan ulama tersohor sepanjang sejarah. Setakat yang kita tahu tidak ada ulama yang membantah mereka. Berhimpun dan berdemonstrasi adalah salah satu yang memberi petanda dan ukuran terhadap pandangan massa rakyat .

Demonstrasi juga memperkasa kecenderungan rakyat ke arah mempertahankan kebenaran.

Salah satu aras penanda utama yang menyerlahkan sifat kejantanan dan kelelakian ialah keupayaan seseorang menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah tirani yang zalim dan korup. Hal ini akan lebih nyatadan berkesan lagi jika dilakukan oleh rakyat seluruhnya .

Suara dan teriakkan ribuan para demonstran di jalan raya melaungkan kebenaran di berbagai pelusuk kota dan desa pastikan akan menyerlahkan kesepaduan tekad dan kekuatan umat membanteras kejahatan . Menyuarakan isu kebenaran dan membenarkan yang hak adalah suatu kewajiban moral ; malah dia adalah syiar agama.

Seandainya menyatakan kegembiraan justeru ketibaan hariraya dan menghimpunkan umat untuk berhari raya itu sunat termasuk menghimpunkan orang yang tidak wajib atau sunatpun mereka bersolat ; demi meramaikan majlis keraian orang orang Islam; sebagai menyatakan keceriaan dan kegembiraan dengan kedatangan hari raya maka apatah lagi berhimpun dan menunjukkan rasa solidariti dan simpati kepada mangsa kekejaman dan kezaliman yang telah dilakukan terhadap mana-mana manusia di dunia ini.

Sama ada rumah mereka telah dirobohkan atau maruah mereka telah dicabuli mahupun kerana pembunuhan terhadap anak dan isteri mereka. Kepentingan dan Keabsahan Demonstrasi Memandangkan masih ramai kalangan yang jahil dan keliru terhadap pandangan agama Islam terhadap demonstrasi ini maka di sini kita akan tampilkan dalil sunah daripada Sirah Rasul dan perspektif Islam terhadap hal ini berdasarkan asas dan kaedah yang difahami oleh ulama dan amalan mereka; baik pengucapan mahupun perbuatan.:
Keempat: ImageSemangat Perundangan Islam Membenarkannya Syariat Islam banyak mengandungi syiar amalan dan slogan yang menyerlahkan menifestasi kekuatan, pengaruh dan dakwah Islam itu sendiri.

Umpamanya solat berjamaah, solat Jumaah, solat dua hariraya dan sebagainya. Rasulullah sendiri memerintahkan agar kaum wanita samadan yang berhaidh atau anak dara keluar menghadiri solat hari raya samaada di masjid atau di tempat lapang dengan alasan yang beliau sebutkan :

Mereka hendaklah melihat( meramaikan) majlis kebaikan dan seruan dakwah Islam kaum muslimin. Antara kebaikan yang mereka saksikan ialah ramainya bilangan orang Islam dan bagaimana mereka beramai-ramai menampilkan syiar-syiar Islam.

Baginda juga pernah mengutus para utusan yang ramai dan ketumbukan perang yang matlamat utama baginda di sabalik pengiriman utusan tersebut ialah untuk mempamirkan kekuatan umat .

Sebab itu baginda pernah berkata kepada Usamah R.A. "Bawa (tentera berkudamu) memijakkan kakinya di bumi Balqa."

Kelima: Demonstrasi Pada Asasnya adalah Harus Demonstrasi adalah satu tatacara atau wasilah. Oleh itu hukumnya adalah hukum yang berstatus wasilah.'Al Asl fi al Wasaail al Ibahah.' (Hukum wasilah – pada dasarnya – adalah harus )

Oleh itu kalau ada pun perkara pelanggaran kecil yang dilakukan ketika itu maka hukumnya adalah mengikut hukum al Maqasid .

Perkara yang dimaksudkan oleh orang Islam ketika melaksanakan kegiatan seperti ini ialah menyatakan dan mendambakan kebenaran, menolak kezaliman , mendedahkan kejahatan golongan tirani . meniup semangat orang ramai menggalakkan mereka bertindak untuk menegur dan membanteras kejahatan.

Oleh itu demonstrasi boleh mengukuhkan kesepaduan pendirian dan solidariti sesama umat.

Keenam: Demonstrasi Memperkasa dan Menggerakkan Massa Umat Menghadapi Kuasa Tirani. Pada suatu ketika ada seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah tentang perangai buruk jiran tetangganya (sehingga menyusahkan ketenteraman hidupnya sebagai jiran) .

Baginda berkata kepadanya; Keluarkan barangan rumah tangga saudara di luar rumah. Diapun mengeluarkan barangan rumahnya di luar rumah. Ini menyebabkan setiap orang yang lalu lalang di situ bertanya .Lalu dia menerangkan sebab musabbabnya.

Maka orang yang lalu lang di situpun ikut mengutuk perbuatan jahat jiran tersebut. Orang berkenaan tidak tahan lalu pergi menemui Rasulullah . Rasulullah bertanya apa masaalah saudara. Dia menceritakan kepada baginda bahawa orang ramai mengutuknya .

Baginda menjawab . Allah mengutuk saudara lebih awal daripada orang ramai mengutuk anda. Orang itu menjawab . Kalau begitu aku taubat dan tidak akan mengganggu ketenteraman jiranku. Ia pulang menemui jiranya dengan berkata. Angkatlah barangan masuk ke rumah saudara semula saya berjanji tidak akan menyakit suadara lagi ( sebagai jiran).

Ketujuh; ImageDemonstrasi Dalam Zaman Modern Ini Adalah Sebahagian Daripada Wasilah Perjuangan Media informasi, sama ada tulisan , imej , video, demontrasi dan sebagainya adalah sebahagian daripada 'kempin raya' untuk memenangkan sesuatu agenda perjuangan atau peperangan.

Sebab itu kalau kita meneliti gerak kerja Zionist dalam hal ini kita akan dapati betapa gerakan mereka begitu rapi, banyak dan berpengaruh untuk menjuari perjuangan mereka. Peperangan media begitu gencar sekarang terhadap umat Islam.

Informasi Barat , Amerika khasnya sengaja menggelapkan berita berita kebangkitan dan demonstrasi orang Islam menentang penindasan mereka, kecuali berita yang membayangkan keburukan dan kemunduran Islam maka itu akan mereka paparkan seluas-luasnya .

Penampilan media mereka sampai kepada pembuat keputusan dan pengendali kuasa politik umat , Mereka sedar betapa seriusnya peranan informasi termasuk demonstrasi dalam menggegarkan sendi pemerintahan diktator dan penguasa yang zalim di dunia ini . Massa rakyat akan segera menyahut dan bertindak atas kebejatan mereka .

Ia adalah permulaan kepada kesedaran yang akan meniupkan semangat perjuangan umat. Kalaulah tidak kerana kesedaran pehak tertentu tentang peranan demonstrasi ini dalam menggerakkan dan menimbulkan kesedaran massa sudah pasti mereka tidak akan merubah sikap atau sudah pasti golongan penzalim tidak akan mengurangkan kezalimannya kerana adanya demo-demo menentang kezaliman mereka.

Umat Islam tidak kurang memiliki kesedaran seperti ini. Mereka tidak sepatutnya tinggal diam seribu bahasa membiarkan kejahatan dan kezaliman berlaku terus menerus terhadap diri dan rakyat . Mereka wajar tampil menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam berbagai bidang hidup demi kesejahteraan bangsa dan keselamatan negara mereka .

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang muslim adalah saudara orang muslim yang lain. Ia tidak wajar menyerahkan orang muslim yang lain (untuk dizalimi) atau membiarkannya (dizalimi)." Prinsip ini juga berlaku terhadap sesama manusia dan sesama warga negara .



Kelapan: Kalau Ada Fatwa Yang Mengharamkan Demonstrasi Maka Ia tunduk Kepada Perubahan Keadaan Namun ada juga segelintir yang terpengaruh dengan fatwa kumpulan Tariqat atau Tasauwuf tertentu yang mengharamkan perbuatan demonstrasi kerana terpengaruh dengan pendapat syaikh mereka yang agak terhad pemikiran mereka . Terhadap golongan ini mereka wajar bertaqwa kepada Allah .

Mereka tidak harus terbelenggu dalam minda terhad Syaikh-Syaikh mereka . Mereka tidak sepatutnya mengikut – begitu sahaja - secara membuta tuli . Yang benar atau al haq lebih wajar dipatuhi berbanding figure atau orang tertentu; betapapun besarnya mertabat orang berkenaan. Para Syaikh yang baik itu mungkin terpengaruh pada isu dan masa tertentu .

Manakala latar belakang isu berkenaan telah berubah dan tidak wujud lagi sekarang.Fiqh leluhur silam atau Fiqh Salafi sentiasa dinamis menurut keperluan dan tuntutan lingkungan.

Sebab itu fatwa mereka boleh berubah dengan perubahan situasi. Kalau Salafi difahamkan sebagai period masa lampau maka dia telah berlalu dengan ciri khasnya. Kalau al Salafi itu dihubungkaitkan dengan Manhaj atau methode maka tentulah ia manhaj yang responsive terhadap perubahan lingkungan dan zaman. Kini adalah zaman ilmu dan akal .

Sesungguhnya menurut Rasulullah adalah selaras dengan tuntutan kontemprori atau al Muasarah yang didambakan oleh orang sekarang. Manhaj yang baik ialah manhaj yang sentiasa responsive dengan bijak terhadap perkembangan situasi dan kondisi semasa. Ia bukan manhaj yang beku dan statis.

Kesembilan: Hujjah Amalan Para Ulama Sepanjangan sejarah para alim ulama ramai yang telah meluahkan perasaan dan pandangan mereka melalui demontrasi aman tanpa dipersalahkan oleh ulama yang muktabar. Di Kuwait, algeria, Mesir dan Syam.

Ulama seperti Rashid Redha Rahimullah pernah turut berdemo untuk mengeluarkan penjajah Perancis dari tanah air mereka . Ulama Azhar pernah keluar beramai-ramai berdemo menentang penjajah Inggeris pada tahun 1919 dan baru baru ini menentang regim tirani di Mesir.

Tiada seorang ulama pun mengeluarkan fatwa mengharamkannya. Malah Sami Budha Burma pun turut tampil berdemo untuk menuntut keadilan dan demokrasi dalam Negara mereka.

Kesepuluh: Demonstrasi Parameter Denyutan Keperihatinan Massa Tunjuk perasaan aman adalah petanda hidupnya keperihatinan massa rakyat; baik kafir mahupun muslim pada zaman ini. Kita tidak akan dapat mengesan pandangan rakyat terhadap golongan atau parti yang memimpin mereka yang memerintah dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan kepentingan rakyat melainkan dengan gerakan massa seperti ini yang mendedahkan golongan mana yang tidak setuju dan golongan mana pula yang bersekongkol.

Demonstrasi aman seperti ini bukan perkara baru dalam sebuah negara maju seperti Britain, Amerika dan lain-lain. Dalam Negara tersebut semua jentera negara – termasuk polis dan pegawai trafik - memberi laluan, kerjasama dan melindungi para penunjuk perasaan aman berkenaan.

Kesebelas: Hasil Demonstrasi Ialah Umat Berjaya Mengatasi Sebahagian Kemusykilan Hidup Mereka Demonstrasi besar-besaran di berbagai pelusuk dunia telah menghasilkan buahnya yang positif di beberapa buah negara sepanjang sejarah.. Yang terakhir ialah dapat kita lihat kejayaan demonstrasi rakyat Afrika selatan sehingga berhasil memerdekakan negara mereka.

Di Indonesia rakyat berjaya meruntuhkan kekuasaan Suharto yang korup dan digantikan dengan pemerintahan era reformasi golongan Orde Baru. Di Yugoslovia rakyat yang berdemonstrasi secara besar-besaran berjaya menjatuhkan Slobodan Milosonich dan mengembalikan maruah dan kehurmatan bangsa mereka dari dilumuri kehinaan dan kebejatan regim yang korup. Malah dalam banyak lagi negara negara lain kita melihat kejayaan demonstrasi rakyat mengubah nasib mereka; samada sebahagian atau keseluruhan sosok dan wajah kehidupan mereka.

Keduabelas: Demonstrasi Perlu Demi Mempertahankan Kebenaran di Samping Menentang Kebatilan dan Kezaliman Keluar beramai-ramai menobatkan kebenaran, menumpaskan kebatilan adalah suatu hak yang sah .

Amalan ini juga diperakukan oleh Allah untuk menunjukkan penentangan serta penolakan terhadap amalan munkar . Sebab itu Allah memerintahkan agar perlaksanaan hudud diperlihatkan kepada segolongan orang ramai . Allah juga memerintahkan supaya umat keluar beramai-ramai menyambut hari raya , bahkan beginda Rasulullah menggesa rakyat agar ikut serta mengucapkan pamitan kepada rombongan mujahid dan pejuang Islam yang akan bergerak ke medan tempur atau menyambut kepulangan mereka ketika mereka kembali dari medan perjuangan.

Baginda pernah memamirkan kekuatan dan kehebatan ketumbukan tentera Islam kepada Abu Sufian agar dia tidak berani bertempur dengan ketumbukan berkenaan. Sebelum itupun Rasulullah pernah menyuruh umat Islam yang menunaikan tawaf di Mekah agar melakukannya dengan tangkas , berlari anak sambil mendedahkan bahagian bahu dan lengan (Kaedah al Raml dalam tawaf) sebagai petanda keperwiraan , kecekatan dan kesiapsiagaan umat Islam untuk berjuang .

Perincian perkara ini boleh dirujuk dalam huraian mengenai bab Haji atau Umrah. Seandainya kita semua – sebagai bangsa dan rakyat yang merdeka - enggan melahirkan sikap penentangan kita terhadap kejahatan , penipuan , rasuah dan kezaliman yang berlaku serta tindakan pengkhianatan dan menghakis kemerdekaan dan maruah umat yang dilakukan oleh pehak-pehak tertentu; dengan cara yang berkesan maka apakah lagi yang ada dari sifat kejantanan dan dakwaan kemerdekaan kita sebagai umat yang bermaruah.

Jelas daripada hujah di atas bahawa melahirkan sikap dan menunjuk perasaan atau berdemonstrasi secara aman adalah suatu yang dibenarkan dalam Islam; bahkan pernah diamalkan oleh para leluhur di zaman silam dan malah menjadi amalan bangsa-bangsa yang bertamadun, bermaruah dan merdeka.

Semoga Allah memberikan kita semua keyakinan dan keberanian untuk merubah nasib umat dan rakyat. Semoga bangsa, warga dan rakyat Malaysia amnya bebas dan merdeka dalam erti kata yang sebenarnya. - mks. _

: Adakah H1N1 satu agenda Yahudi::

Sehingga hari ini, dilaporkan 429 kematian diseluruh dunia disebabkan oleh virus H1N1. Laporan ini dikeluarkan berdasarkan statistik yang dibuat merangkumi 135 buah negara. Jumlah kematian tersebut jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan jumlah jangkitan yang dilaporkan iaitu 94,450 kes. Berdasarkan perkiraan, kadar kematian ini hanyalah 0.45%, iaitu kurang daripada 1%[1]. Adakah ia bermakna bahawa penyebaran virus ini bukanlah suatu yang membimbangkan?


Pelbagai langkah keselamatan yang telah dilakukan oleh negara-negara seantero dunia bagi memastikan virus tersebut tidak menular masuk ke dalam negara mereka. Jakarta sebagai contoh telah mengambil langkah dengan memberi 73,000 vaksin kepada pusat kesihatan awam dan hospital di seluruh bandar tersebut[2]. Burma dan Singapura pula tidak ketinggalan dengan perancangan mengawal pergerakan masuk dan keluar penumpang di lapangan terbang masing-masing, dengan mengambil suhu badan para penumpang dan menggunakan pengimbas suhu badan (thermal scanner)[3].

Kata-kata ‘mencegah lebih baik daripda merawat' (prevention is better than cure) adalah apa yang diamalkan, untuk mengelak daripada perkara-perkara yang tidak diingini daripada terjadi di dalam sesebuah negara. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari iaitu, "Allah SWT tidak akan menurunkan sesuatu penyakit tanpa turut memberi penawarnya." Melalui hadis ini, kita dapati bahawa setiap penyakit pasti ada penawar ataupun ubatnya yang disediakan oleh Allah SWT. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa sehingga hari ini, masih ada penyakit yang tidak ditemui penawarnya.Tetapi, hadis tersebut juga membawa makna bahawa mencegah adalah salah satu cara untuk merawat bagi penyakit-penyakit yang masih tidak ditemui ubatnya ini. Malah tidak dapat dinafikan bahawa mencegah adalah salah satu bentuk antidote yang berkesan!

Dalam usaha semua negara di atas muka bumi ini bersiap sedia menghadapi sebarang serangan yang bakal dibuat oleh virus ini, timbul beberapa persoalan yang mungkin tidak pernah terfikir oleh kita.


Senjata Biologi

Pernahkah anda dengar tentang ‘senjata biologi' (biological weapon)? Mungkin ada antara kita yang pernah dengar tentangnya, tetapi tidak begitu mengetahui mengenainya. Mungkin kerana sikap diri yang merasakan tidak perlu untuk mengetahui tentang sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri sendiri. Sedangkan perlu untuk diketahui bahawa seseorang yang cetek ilmunya akan mudah ditindas dan dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu. Maka, sewajarnya sebagai seorang individu muslim,untuk sentiasa bersiap sedia dan berwaspada dengan keadaan sekeliling. Musuh; sama ada yang mampu dikesan oleh pancindera ataupun tidak, sentiasa berlegar-legar untuk menjatuhkan kita. Musuh ini terkadang bukan sahaja berniat tidak baik terhadap umat Islam, malah kepada sesiapa sahaja yang pada pandangan mereka yang tidak memberi manfaat kepada mereka.

Senjata biologi ini boleh ditakrifkan sebagai ‘senjata' yang diperbuat menggunakan agen seperti mikrob (bakteria, virus dan lain-lain) untuk melumpuhkan musuh. Agen ini akan merosakkan proses biologi (biological process) sel-sel badan manusia atau pun haiwan serta tumbuhan, yang dianggap sebagai ‘musuh' tadi. Ciri-ciri yang membolehkan pemilihan kepada sesuatu agen ini ialah ianya murah serta mudah didapati, senang untuk dipindahkan daripada satu individu ke satu individu yang lain, dan bertoksik tinggi[4].

Virus influenza H1N1 berasal daripada virus influenza type A. Virus dikategorikan sebagai benda bukan hidup (non living thing), tetapi, berbeza dengan benda bukan hidup yang lain, virus mampu membiak dengan bantuan sel rumah (host cell)[5]. Kebiasaannya, sel rumah yang digunakan untuk tujuan pembiakan virus ini ialah sel-sel badan manusia, haiwan mahupun tumbuhan-tumbuhan. Hal ini adalah kerana, sel-sel ini mempunyai keupayaan untuk memberi nutrient kepada virus tersebut untuk membiak.

Bagi mereka yang mempunyai ilmu tentang ini, sudah tentu mereka akan mempunyai pandangan yang lebih jauh ke hadapan. Maka, bukanlah suatu yang mustahil jika ada pihak yang mendakwa bahawa virus influenza H1N1 ini, adalah salah satu bentuk penyerangan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tertentu.

Trudeau Institute

Dakwaan-dakwaan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada beberapa bukti dan perkaitan yang mungkin mempunyai hubung kaitnya. Antaranya ialah apabila Pengarah Makmal Universiti of Rockefeller diberi anugerah perubatan beberapa hari sebelum berita tentang influenza ini terjadi. Pengarah tersebut juga merupakan Ketua Pengarah di sebuah institut penyelidikan vaksin yang dilantik oleh kerajaan Amerika, Trudeau Institute . Institut ini juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan Amerika. Individu yang dimaksudkan ialah Dr. Ralph Steinman[6]. Kepakaran yang dimiliki oleh beliau dalam bidang "dendritic cells" dan pemvaksinan memungkinkan beliau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu."Dendritic cells" berperanan dalam menghasilkan tindak balas terhadap immune badan."Dendritic cells" ini juga memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan badan kerana ia termasuk di dalam sistem pertahanan pertama (primary immune response),[7]. Apabila suatu mikroorganisma berbahaya bertindak untuk menyerang badan manusia, sistem pertahanan pertama memainkan peranan yang penting dalam mengawal kemasukan mikroorganisma tersebut. Jadi, peranan yang dimainkan oleh sel tersebut adalahyang terpenting. Seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang nya mampu memanipulasi, mahupun mengawal fungsinya. Jadi, apabila apabila ada pihak yang mahu menggunakan senjata biologi sebagai alat untuk menyerang, adalah suatu yang penting untuk mereka ketahui proses perjalanan sistem pertahanan badan manusia.

http://esciencenews.com/files/images/200902121124581.jpg
Trudeau Institute

Dakwaan yang kedua pula ialah berdasarkan ucapan yang telah dibuat oleh Dr. David L. Woodland, iaitu Presiden dan Direktor Trudeau Institute[8]. Ucapan tersebut dibuat oleh beliau pada bulan Oktober tahun 2008, iaitu lebih kurang 5 bulan sebelum virus influenza H1N1 menghantui penduduk dunia. Institut tersebut turut diberi bantuan sebanyak $1.6 million atas tujuan pembiayaan untuk pembangunan vaksin bagi sesuatu pandemic influenza[9]. Apabila diteliti ucapan yang dibuat oleh beliau, beliau seperti dapat menjangka bahawa satu pandemic akan muncul di atas muka bumi ini. Jadi, timbul suatu keraguan diatas ucapan tersebut. Apakah beliau, mahupun pihak-pihak yang bersekutu mempunyai suatu kuasa yang membolehkan mereka menjangkakan dan meramal sesuatu yang terkehadapan? Ataupun adakah mereka yang mendalangi pandemic tersebut? Hanya Allah yang lebih Mengetahui.

Peristiwa runtuhan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001, juga di dakwa sebagai salah satu muslihat yang dibuat oleh pihak tertentu untuk memburukkan nama Islam. Bermula daripada tarikh tersebut perkataan "terrorism" semakin mendapat tempat di bibir penduduk dunia. Penggunaan istilah tersebut di dakwa digunakan oleh pihak tersebut dalam usaha mereka mendesak U.S Senate untuk membuka semula Biological Weapon Programme yang pernah ditutup dibawah Protokol Geneva[10]. Secara generalnya, protokol ini telah menghentikan sebarang penggunan senjata biologi, dimana boleh dikatakan seluruh negara telah menandatangai protokol ini sebagai persetujuan. Namun, ada pihak yang menjadikan peristiwa 11 September sebagai alasan untuk menggunakan kembali senjata biologi ini dengan alasan bahawa ada kemungkinan "terrorist" menggunakan senjata biologi dalam serangan-serangan gerila[11].

Bukanlah suatu yang mudah untuk menentukan sama ada sesuatu pandemic yang terjadi itu adalah hasil daripada serangan secara biologi oleh pihak yang tertentu, ataupun tidak. Jika benar ia adalah suatu penyakit yang telah dirancang dengan hebatnya, sudah tentu si perancang akan berusaha untuk menafikan segala perbuatannya. Penafian demi penafian akan dibuat, dalam masa yang sama segala bukti akan cuba ditutup dan dikaburkan agar agenda mereka yang sebenar tidak kelihatan. Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga.

Waspada dan Beringatlah

Bagi pihak yang yakin dengan usaha penyerangan menggunakan senjata biologi ini, sudah pasti penyiasatan demi penyiasatan akan dilakukan sehingga mereka dapat membongkar satu demi satu kebenaran. Seharusnya, sebagai salah seorang penduduk di muka bumi ini, kita perlu untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling. Apabila sekali kita telah dicerahkan dengan satu pembongkaran dan diberi maklumat tentang sesuatu, tentang kepincangan sesuatu, usah lagi berdiam diri, sebaliknya bertindaklah. Jikalau pun kita tidak mampu untuk menyiasat hingga ke akar umbi, paling tidak, beringatlah! Apabila muncul satu demi satu musibah dan masalah, ligatkan akal untuk berfikir mengenainya. Bukan bersangka buruk terhadap sesetengah pihak semata, tetapi berfikir juga untuk menyelamatkan ummah. Jika benar ianya adalah perancangan daripada pihak musuh, kita berikhtiar untuk ‘menyelamatkan' diri dan masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, dengan berfikir untuk ‘menyelamatkan' diri dan masyarakat daripada dijangkiti oleh virus influenza H1N1, ia sedikit sebanyak dapat membantu umat Islam ini sendiri. Istilah ‘menyelamatkan' ini merangkumi melindungi mereka (umat Islam) yang membantu membawa agama Allah ini, agar tiada yang menjadi ‘mangsa korban' bagi influenza ini.

Bukan itu sahaja, malah umat Islam juga diberi kelebihan dan kekuatan dengan berdoa. Maka, manfaatkanlah segala kelebihan dan kekuatan yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita, sebagai umat Islam, disamping bersyukur kepada-Nya, kerana diberi nikmat Islam ini. Disebut oleh Allah SWT di dalam Surah Ghafir, ayat 60,

Dan Tuhanmu berfirman, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina."

Mensyukuri nikmat keberadaan di dalam Islam perlu difikir secara dalam-dalam, terutama apabila kini, dunia dilanda dengan masalah pelbagai penyakit. Islam banyak mengajar umatnya nilai-nilai yang sebenarnya mampu menyelamatkan umatnya, jika kita berusaha mengikutinya sebaik mungkin. Melihat kepada hadis ke-23 daripada himpunan 40 hadis Imam Nawawi, ada dinyatakan bahawa "Kebersihan adalah sebahagian daripada iman....".

Kebersihan yang dititikberatkan oleh Islam bukan sahaja kebersihan jasmani, tetapi juga rohani. Apabila dilihat kepada langkah berjaga-jaga yang diambil oleh masyarakat sekarang, semuanya akan menitikberatkan tentang kebersihan. Antaranya ialah membasuh tangan selepas dan sebelum menyentuh sesuatu untuk mengelakkan daripada penyebaran virus dan penggunaan sanitizer. Dalam sedar atau tidak sebenarnya setiap masa pun kita (umat Islam) akan berada dalam keadaan yang bersih, kerana sebelum solat, kita dituntut untuk bersuci, iaitu berwuduk. Dalam masa kita berwuduk itu juga, bukankah kita dituntut untuk membasuh tangan hingga ke siku? Jadi, tanpa perlu untuk menunggu pandemic pun sebenarnya umat Islam sentiasa membersihkan diri mereka. Paling kurang pun, 5 kali sehari.

Kita juga perlu ingat bahawa kesibukan kita menjaga keselamatan diri dan masyarakat sekeliling, bukanlah bermakna kita perlu melepaskan tanggungjawab kita terhadap masyarakat Islam yang berada di negara yang tertindas seperti Palestine, masyarakat Islam Uighur dan lain-lain. Sedangkan terdapat juga hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang persaudaraan sesama Islam.

.... Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya...[12]

Jadi, tiada alasan untuk sekali pun untuk kita melupakan saudara seagama kita yang lain. Luangkan masa kita, walau sekejap cuma, selepas menunaikan solat, untuk mendoakan kesejahteraan mereka. Bersiap sedialah kita dalam menjalankan hak-hak syahadah dalam hidup sehari-hari ini!


Disediakan oleh,
Nur Syamimi Mohamad Napis
Setiausaha Media I iLuvislam.com

Menjengah ESQ WAY 165- Angkatan 20 zon Utara- langkawi

Saya berkesempatan untuk mengikuti program yang telah lama saya impikan ,iaitu ESQ WAY 165, di Pulau Langkawi. Program ini seandainya saya membayar sendiri kos penyertaan , saya terpaksa mengeluarkan RM 1000- elaun untuk sebulan lebih. Jadi pada pandangan saya , peluang ini tidak harus dilepaskan/ tambahan pula apabila saya berkeinginan untuk menyertai lagi program ini, saya tidak perlu walau membayar sesen pun.

Penyertaan saya ini telah ditaja oleh Pusat Urus Zakat Pulau Pinang . Terima kasih kepada PUZ dan terima kasih juga kepada Kak Wardah SPAQ yang rela memberikan kerusi kosong ini kepada saya . Terima kasih saya ucapkan.

Penggunaan sound system dan 2 skrin layar besar yang dipancar dari belakang benar-benar mewujudkan "keadaan " yang diingini. Pak Airef yang menjadi moderator berjaya membawa legasinya yang cukup mantap, dan saya kira beliau merupakan presenter yang terbaikm pernah saya temui.
Kenapa ESQ 165?
ESQ- singkatan bagi Emotional -Spiritual- Quotient dan 165 mewakili 1- Ihsan 6-Iman 5 -Islam .Program ini boleh dikatakan gabungan antara seminar pembentangan Quran dan Sains, kem bina semangat , sufi moden , dan kem kesedaran.

Bahkan teringat kata-katra Pak Arief- "Kami di ESQ ni bukan ustaz-ustaz, bahkan kami biasa sahaja. Seandainya kami ada satu( kelebihan) .Tuan-tuan ada 10 (kelebihan ) berbanding kami. Jangan dilihat satu itu sehingga menolak yang satu itu. Jadikan satu itu kepada 11 .

Kata-kata lain ialah , jangan kagum dengan kami di ESQ , kagumlah dan pujilah orang yang membawa kalimah ini , yakni Nabi Muhammad S.A.W .

Program ini benar-benar membuka mata kita untuk lebih meneutralkan taun-taun sekular yang selama ini membusuk di jasadiah dan akliah kita. Saya selalu membaca tentang hadis-hadis dan ayat-ayat Quran , tetapi saya tidak begitu nampak antara perkaitannya dengan dunia. Pak Arief berjaya menyampaikan disebalikm ibadah saie, tawaf , lontar jamrah dan sebagainya, terdapat perkaitannya dengan organisasi dan diri ahli-alhi dalam organisasi.

Banyak belajar tentang cara-cara untuk meninggalkan segala aspek negatif dalam diri melalui upacara kemuncak melontar sudut negatif dalam diri. Suatu pendekatan yang menggunakan kaedah lontar jamrah.

Selama ini tidak pernah terfikir pun (atau kalau terfikir pun dalam konteks yang lain) bahawa aspek ibadah dalam islam ada kaitan 100% dalam pembinaan organisasi. Selama ini saya pernah tahu bahawa terdapat hadis yang pernah ditanya kepada Saidatina Aisyah r.anha bahawa "apakah akhlak Rasulullah?".jawab ummul Mukminin itu ,Akhlak Rasulullah adalah Al-quran. Namun saya tidak pernah terfikir bahawa hadis ini mempunyai konteks yang lebih besar dalam pembinaan satu organisasi.

Dari segi penegakan daulah Islamiyyah sebagai mana yang digariskan oleh Imam As-Syahid Haasan Al-Banna , terdapat pemeringkatan di mana bermula dari pengislahan diri, keluarga ,masyarakat , negara , pemerintahan dan penegakan daulah Islamiyyah. Segalanya bermualnya daripada diri sendiri sebelum adanya pembinaan sebuah empayar kerja yang bermakna yakni syarikat atau organisasi.
" Tegakkan Islam di dalam dirimu sebelum kamu tegakkan di bumi yang nyata" Imam Hassan Al-Hudhaibi.- Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin ke 2

Ahad, Ogos 02, 2009

Di palang ini- La khauf


Di kamar gelap Aku melukis
Di kamar gelap Gambar isteri
Di kamar gelap Gambar misteri
Di kamar gelap Menyendiri
Di samar gelap Ayah dan ibu
Di samar gelap Anak di rindu
Di samar gelap Kesudahanku
Di samar gelap Tersendiri

Chorus:

Tolonglah bilang Apa salahku
Apakah bukti kesalahanku
Tolong jelaskan Apakah dosaku
Apakah erti menghukumku
Hakim yang tiada Bukti yang di reka
Apakah ini keadilan, oh Ilahi

Tuhanku
Kau tunjukkkanlah cahaya
Berikanlah sejalur harap padaku
Yang pasrah di haribaanMU
Di palang ini Aku tersaksi Tangisan anak & doa isteri
Di palang ini Aku di rampas Sebuah maruah dan harga diri
Di malam ini Aku menolak di malam ini aku mengharap
Setiap ehsan dari kuasa Yang Maha Besar Maha Menyaksi

Ahad, Julai 26, 2009

Bila kalam mula berbicara-satu intropeksi

Sesungguhnya perjalanan seorang daie sungguh jauh dan meletihkan . orang yang lalai akan bertanya kepada daie ,"kenapa kau rela bersusah payah begini?", .Maka jawab si daie dengan yakin dan pasti ,"Aku mengharapkan pengistirehatan yang kekal di akhirat kelak". Kata-kata ini merupakan antara mutiara kata yang terkeluar daripada mulut reformer agama atau mujadid yang terkenal , Ibnu Qaiyyim Al-jauziyyah . Kata-kata ini sebenarnya memberi maksud yang mendalam kepada diri saya kebelakangan ini .

Demi Allah , saya mula meneliti semula perjalanan dakwah saya ini yang dilihat penuh kontroversi , suka duka dan perit. Saya akui untuk menjadi seorang Zhafri agak sukar kerana Zhafri ini dilihat keras , tidak mampu bertolak ansur dan sebagainya. Tetapi hakikatnya niat itu hanya Allah yang tahu .Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi untuk menjadi seorang daie itu sehinggakan kita sendiri terdetik dalam hati adakah pertolongan Allah itu sudah dekat ? Bukan bererti kita hendak menafikan pertolongan Allah kerana dalam Al-Quran sendiri memberi jaminan kepada pejuang-pejuang agamaNya bahawa pertolongan Allah sungguh dekat. Bahkan seorang daie itu sedar bahawa Allah s.w.t telah berfirman di dalam kitabNya yang mulia , "Adakah kamu (dibiarkan berkata) kami telah beriman sedangkan kamu tidak diuji? "Namun ia lebih sekadar pertanyaan dalam diri. Sabar atas sabar-merupakan satu azimat kepada setiap ujian yang Allah tetapkan. Mahukah Aku tunjukkan kepadamu perniagaan yang tidak akan rugi? -Allah secara jelas menerangkan bahawa di dalam dakwah kita tidak akan bertemu istilah yang dipanggil rugi.

Saya lebih suka bekerja seorang diri walaupun agak memenatkan sebab saya jenis yang suka melakukan sesuatu secara cepat dan pantas . Bukan niat saya untuk mencari pangkat atau kedudukan , demi Allah , seandainya ada yang lebih layak memikul jawatan atau bebanan saya ini ,saya rela lepaskan semua jawatan saya . Saya berpendapat bahawa ada sesetengah perkara kita kena lakukan secara bersama,iaitu bersama tanzim lokaliti. Sebagai contoh program high impact seperti ceramah , pertandingan hafazan tafsir dan sebagainya,

Namun ada sesetengah perkara yang kena kita lakukan sendiri seperti mengisi kelompongan atau kekosongan pada program tanzim seperti membuka kelas aqidah ,kelas guru sedar dan sebagainya. Ada sesetengah orang yang tidak faham menganggap perkara ini seumpama satu ANCAMAN terhadap pangkat dan kedudukan mereka, sesetengah menentang atas alasan yang cukup kelakar seperti tidak mendapat kebenaran daripadsa HEP dan masih dalam perbincangan dan sebagainya.

Saya ulangi bukan niat saya-bahkan pangkat itu menjadi bebanan kepada saya suatu hari nanti. Tugas saya hanya bekerja -dan terus bekerja walaupun demam, kecederaan , keletihan dan ditentang . Kekerasan kepala saya juga terserlah bila saya berpandangan bahawa "kalau ada yang hendak bekerja bersama saya ,silakan , alhamdulillah saya terima dengan hati terbuka.

Kalau tidak mahu bekerja bersama saya ,syukur terima kasih ,saya tidak mengharapkan pertolongan sesiapa kecuali kepada Allah" . Prinsip ini seharusnya dipegang oleh setiap daie sebab saya melihat ramai daie2 atau penggerak-penggerak yang begitu takut untuk menyatakan pendapat atau membuat sesuatu yang disifatkan sebagai "lain dari kebiasaan" , "thinking out of the box" , berisiko tinggi dan takut akta! Ramai takut untuk kehadapan sehingga mesyuarat atau perjumpaan hanya dihadiri oleh orang-orang yang pasrah menerima tugasan pihak atasan dan takut untuk membangkang dan hanya bercakap di belakang.

Saya juga berpandangan bahawa institusi surau atau masjid haruslah diperkasakan dengan pengisian berbentuk tarbiyah dan sebagainya. Tidak cukup jika kita hanya bercakap bahawa kita mempunyai banyak kumpulan usrah, tetapi pengisian yang bersifat umum ini tidak ditekankan.

Usrah itu lebih kepada khususiyah manakala majlis ilmu lebih kepada umum. Bukan semua orang yang mahu dan mampu mengikuti sistem usrah ini. Pengisian juga tidak harus diskemakan , di mana setiap majlis ilmu itu terpaksa mendapat kebenaranan daripada pihak atasan , mendapat permit dan harus melalui musyawarah (yang terkadang tidak relevan dan tidak perlu) dan sebagainya. Sesetengah pengunjung masjid atau surau begitu mendambakan majlis ilmu , tetapi kehendak mereka itu tidak dipenuhi. Surau dan masjid tidak harus dimilikperibadikan , atau diswastakan atau dikawal aktiviti di dalamnya kecuali aktiviti tersebut bercanggah dengan hukum syarak .

Wanita ? Bagi saya wanita merupakan makhluk paling indah dicipta oleh Allah di alam ini. Bahkan kehormatan seorang wanita itu lebih berharga dari segala emas dan harta di dunia ini. Nabi Muhammad s.a.w begitu menyayangi kaum ini ,di mana antara kalimah baginda sebelum menghadap Rabbul jalil adalah "wanita, wanita, lindungi wanita". Sesungguhnya Islam telah mengangkat kaum ini ke tempat yang seharusnya dan sepatutnya. Apabila Islam datang , wanita dipandang sebagai suatu kaum yang terhormat, mulia, makhluk paling dipuji dan disanjungi , sesuai dengan sifat wanita yang lebih pelembut, penyabar dan mempunyai belas insan yang tinggi. Wanita seharusnya sedar tentang "harga " diri mereka sendiri dan tidak terperangkap dalam kancah pemikiran dan eksploitasi yang dicetuskan oleh kaum Adam .

Kaedah sirr (rahsia) dan hazaar (hati-hati) seharusnya tidak menjadi alasan untuk kita tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Ramai orang begitu takut menegur kesalahan sahabat lain atas dasar hendak jaga hati , hendak jaga supaya dia tidak lari usrah dan sebagainya. Kaedah ini relevan dipakai apabila ia melibatkan unsur-unsur strategi seperti pembentukan kabinet bayangan dan pemilihan pemimpin secara rahsia.

Namun dalam ,konteks dakwah di Malaysia , secara umumnya, kaedah seperti ini tidak sesuai digunakan kerana dakwah hari ini merupakan dakwah yang disampaikan secara terbuka dan telus. Orang ramai yang tidak menerima tarbiyah juga tidak akan begitu takut untuk menghampiri sahabat-sahabat tarbiyah ini seterusnya ini akan menarik sahabat-sahabat di luar tarbiayah untuk menyertai tarbiyah. Sudah masanya kita bangkit dan menuruti sabda nabi dalam satu hadis sahih <" Sesungguhnya jihad yang paling besar adalah dengan menyatakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim". Ramai yang suka jaga periuk nasi sendiri dan takut bertindak. Inilah ciri-ciri wahn sepertimana yang ditekankan dalam satu hadis nabi.

Saya juga tersentuh dengan satu rangkap kata-kata yang dinukilkan oleh sahabat nabi yang besar , Saidina Omar RA. Beliau berkata , "seorang pemuda tidak akan menyatakan itu adalah ayahku ,tetapi seorang pemuda yang berani akan berkata inilah aku!" Kata-kata itu sebenarnya merupakan satu azimat kepada diri saya sebenarnya . Saya ada identiti sendiri . iNILAH AKU !

Ahad, Julai 19, 2009

Bepelajaran Tidak Berpendidikan

PETIKAN DARIPADA WEB SAIFUL ISLAM

“Ramai yang beranggapan bahawa kalau belajar Sains dan Matematik, boleh jadi kaya. Boleh buat duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang Sejarah, bidang Geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ia tidak mendatangkan keuntungan”, rungut Prof. Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama malam tadi.

Saya tidak mampu berkata apa-apa kecuali mengangguk dan terus mengangguk.

Mengangguk setuju dan mengangguk kecewa.

Hari ini Buletin Utama membangkitkan isu kegagalan sistem pendidikan kita berfungsi melahirkan modal insan, sebagaimana yang diharapkan oleh negara.

Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan.

Apa maknanya itu? Biar pun saya sedikit kebingungan dengan penjelasan Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz tentang beza berpelajaran dan berpendidikan, tetapi mesejnya jelas. Kita mengukur kecemerlangan dari jumlah A yang terkumpul, hingga ada sekolah yang menyekat pelajar dari mengambil mata pelajaran tertentu di dalam peperiksaan SPM, demi untuk tidak menjejaskan rekod cemerlang sekolah!


S. Subashini,12, a student of Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Simpah died in hospital, a day after she was found hanging from the ceiling of her room. [The New Straits Times Online]

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.

Sejauh mana isu ini diperbahaskan?

Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?

Sesungguhnya berita itu benar-benar menjadikan saya kecewa dan hampir putus harapan terhadap masa depan negara ini. Lebih-lebih lagi dengan komen simplistik semua pihak yang ditemui oleh pihak media. Sedangkan kes adik S. Subashini sepatutnya menggegarkan seluruh sistem pelajaran Malaysia, izinkan saya menggunakan perkataan rasmi ‘pelajaran’ biar pun jiwa ini lebih mencari nilai sebuah ‘pendidikan’.

“Modal insan bukan bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara”, komen Profesor Khoo Kay Kim lagi.

Dan saya terus kecewa dan berduka di depan televisyen.

Siapakah yang peduli kepada saranan beliau?

Siapakah yang mahu bersungguh-sungguh berfikir tentang hal ini?

HARAPAN DARI SEBUAH PENDIDIKAN

Saya teringat kembali kepada presentation saya semasa menjadi panelis bagi Seminar Ibn Khaldun II yang diadakan bulan lalu di Institut Integriti Malaysia. Saya memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam menjawab soalan “Islam: A Blessing to Malaysians?”

“Biar pun saudara Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Islam dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, sedangkan pembayar cukai Malaysia lain yang Hindu, Kristian dan Buddha dirangkumkan dalam satu kategori dan diberikan pendidikan MORAL, saya tidak dapat melihat ia sebagai suatu kelebihan bagi umat Islam di Malaysia. Bahkan mungkin mata pelajaran itulah punca kepada masalah mengapa kita sulit untuk menjawab ISLAM: A BLESSING TO MALAYSIANS?”, saya memulakan ucapan.

Sejauh manakah pendidikan Islam di Malaysia berjaya melahirkan Muslim yang boleh menjustifikasikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia (boleh juga dibaca sebagai wa maa arsalnaaka illaa rahmatan lil ‘aalameen)?

Saya lontarkan isu ini kerana saya tidak melihat kecenderungan masyarakat kita untuk meletakkan pendidikan sebagai suatu keutamaan dalam menggarap masalah-masalah yang wujud di negara kita. Semuanya mahu diselesaikan dengan politik, ketika politik kita gersang dari integriti dan kejujuran. Masakan tidak, jika dulu parti politik banyak digerakkan oleh guru selaku pendidik, tetapi kini trend berubah kepada kemenangan politik bagi yang punya wang dan sokongan mereka yang punya wang. Itu sahaja sudah cukup untuk menjelaskan warna politik negara kita.

Apabila saya sebutkan pendidikan, saya maksudkan ia sebagai pendidikan formal dan tidak formal. Malah saya lebih menjurus kepada mengharapkan agar kita kembali kepada fungsi pendidikan tidak formal yang menjadi tanggungjawab setiap individu. Ibu bapa ada tanggungjawab pendidikan kepada anak-anak, imam dan paderi ada tanggungjawab mendidik pengikut masing-masing, dan seterusnya mereka yang mempunyai minda kritis mempunyai tanggungjawab untuk membawa pemikiran mereka kepada masyarakat melalui seminar, dialog, perbincangan yang merupakan sebahagian daripada maksud pendidikan.

Tetapi kita tidak minat dengan semua itu.

MEMPOLITIKKAN SEGALANYA

Kita lebih cenderung untuk mensensasikan apa sahaja yang boleh melakukan surat khabar.

Asalkan ada sahaja isu yang muncul, semuanya mahu ditangani dengan kuasa, dengan politik dan kemudian semuanya berakhir sebagai berita sensasi dan tidak ada apa-apa yang dapat diketengahkan sebagai bahan untuk mendidik masyarakat.


Antara buku yang diharamkan di Malaysia, biar pun ia telah banyak membetulkan salah faham masyarakat antarabangsa tentang Muhammad SAW, malah ramai pula yang memeluk Islam kerananya

Ada buku yang pelik sedikit, haramkan!

Ada sahaja wacana yang lain dari definisi rasmi, ban!

Timbul isu penggunakan kalimah Allah dalam literasi Kristian, sekat, haramkan, saman… segala-galanya disensasikan dan berakhir dengan sentimen yang tidak punya apa-apa nilai pendidikan.

Malah kadang-kadang kita begitu gelojoh mahukan hasil tanpa mahu melalui prosesnya. Saya meragui rasionalnya permintaan Luthfi Assyaukanie dari Jaringan Islam Liberal yang mahukan dialog dihentikan, sebaliknya terus sahaja kepada menghasilkan polisi kebebasan beragama kerana baginya, dialog itu membuang masa.

Saya 50-50 dalam mengiya dan menidakkannya.

Dialog membuang masa, jika kita sensasikan apa sahaja yang ingin dibicarakan. Kita berdialog bukan untuk mendidik dan tanpa ketulusan motif. Kita pilih tajuk-tajuk yang mencetus emosi masyarakat dan kemudian kita memuncung bibir apabila dialog gagal menghasilkan apa-apa.

DIALOG POLISI

Tetapi semasa Seminar Ibn Khaldun II berlangsung, saya cuba meminjam pengalaman ketika mengendalikan dialog antara agama ketika saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara. Dialog itu bukan dialog teologi tetapi ia adalah dialog polisi. Kita bukan berhasrat mahu mengheret agama bertanding di medan dialog tentang siapa benar dan siapa batil, tetapi mengajak pandangan agama dikongsi bersama untuk mencari formula penyelesaian kepada isu Euthanasia. Memanfaatkan agama untuk menghasilkan polisi yang boleh disepakati bersama.

Tiada siapa yang membawa superiority attitude dalam dialog berkenaan.

Wakil Protestan dan Katholik memberikan pandangan berdasarkan kepercayaan masing-masing, dan saya memberikan pandangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Hasilnya kami dapat mengutip beberapa pandangan bernas dari kesemua wakil untuk diajukan kepada National Health Service (NHS) sebagai polisi kesihatan dalam kes Euthanasia.

Ia suatu pengalaman berharga.

Pengalaman yang memberikan keyakinan kepada saya bahawa seteruk mana sekali pun polemik politik, ekonomi dan sosial masyarakat, sinar harapan tetap ada di dalam pendidikan.

Semua pihak harus kembali kepada tugas yang lahir bersama tujuan hidup kita… mendidik yang makruf dan menegah yang keji. Jalannya adalah pada mendidik masyarakat.

Tetapi apabila pendidikan diinstitusikan secara membuta tuli, ramai yang melihat pendidikan sebagai tugas guru dan sekolah, manakala sekolah pula menunding jari bahawa ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak mereka. Segalanya berakhir dengan tiada siapa yang memberikan sepenuh hatinya kepada komitmen mendidik.

Semakin bertambah ilmu dan maklumat masyarakat, tindak tanduknya semakin dungu dan tidak masuk akal.

SERANGAN SOCRATES

Inilah yang menjadi kritikan Socrates terhadap golongan Sophists dan relativism mereka dalam menangani pendidikan.


Golongan Sophists ini hanya sibuk mengajar kemahiran dan skil kerja kepada anak-anak Athens tetapi mereka mengabaikan soal yang lebih penting.

“Apakah tujuan hidup ini?”

“Apakah nilai yang sepatutnya dipegang oleh seorang manusia dalam hidup ini?”

“Bagaimanakah seorang manusia itu boleh menyempurnakan karaktor dan personalitinya?”

Persoalan sebegini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah melahirkan ‘pekerja’, melahirkan ‘ahli politik’ yang licik dan bijaksana.

Sedangkan Socrates berjuang bermati-matian untuk memberitahu masyarakat Athens bahawa matlamat pendidikan adalah untuk menyempurnakan watak seorang manusia, memulihkan akal agar terguna secara bijaksana dan melatih murid-murid agar berdialektik dan tidak kekok mengemukakan soalan dalam mencari kefahaman.

Tetapi seruan Socrates tidak diendahkan.

Akhirnya pada usia 70 tahun, Socrates telah dikenakan tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens, bahkan mengimani Tuhan lain yang bukan Tuhan rasmi masyarakat arus perdana.

Tidakkah itu sejarah yang berulang?

Bahawa masyarakat kita juga menuju ke arah yang sama.

Jika segala-galanya berorientasikan keuntungan semata-mata… tidak hairan ilmu agama menjadi beku tanpa makna, ilmu sains kemanusiaan terabai tanpa perhatian… kerana yang diutamakan hanyalah untuk melahirkan ‘pekerja’, dan ahli politik yang licik dan bijaksana… bukan pemikir yang sering dituduh sebagai peracun minda.

SAYA HIDUP UNTUK MENDIDIK

Biar pun profesyen saya bukan sebagai seorang guru, tetapi sebahagian maksud hidup saya adalah untuk membentuk dan mendidik manusia… biar pun terpaksa ‘meracun’ minda mereka.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
6 Januari 2008

Sabtu, Julai 18, 2009

Guru Pelatih Jangan Terkebelakang


DIPETIK DARIPADA BLOG AKH FAKHRUL EZAM (IPGM KAMPUS RAJANG ,SARAWAK)

Gerakan Mahasiswa kini nampaknya semakin berbisa. Mereka sudah sampai ke tahap menjadi de facto dalam dasar- dasar negara. Sememangnya inilah peranan mahasiswa. Mereka lantang bersuara mebidasa dan menjadi check and balance pada kerajaan dalam segenap isu. Mereka membuktikan kekuatan mereka dengan ilmu yang mereka miliki dmi memastikan masa hadapan terus cerah dan tidak terancam di tanah air sendiri.

Sirna baharu mereka ini dilihat sebagai sesuatu yang positif oleh masyarakat. Mahasiswa tidak lagi lesu sebagai pembela masyarakat. Kalau dahulu ya masyarakat kita buta huruf, buta teknologi tak tahu apa- apapun tentang erti kemajuan. Maka tanah terjual, kampung tergadai. Tatkala itu terjadi hanya dua tiga orang sahaja anak kampung menjadi mahasiswa maka mereka bersuara. Kini kian ramai anak kampung bergelar mahasiswa. Malahan mereka juga punya bekalan fikrah dan kerohanian yang tinggi.

Jauh nun di ibu kota, di Universiti Malaya mahupun di Universiti Kebangsaan Malaysia, mahasiswa kita berdepan dengan satu ranjau penuh berani. Memperjuangkan hak mereka, hak masyarakat, hak agama dan generasi masa hadapan. Mereka membantah isu PPSMI. Mereka juga sudah terkehadapan dengan penyerahan memorandum dan membawa suara masyarakat jauh lebih penting dari peranan ahli parlimen.

Kerajaan pula janganlah hanya memainkan retorik sahaja menyatakan bahawa mahasiswa adalah modal penting negara. Peranan mereka ditagih untuk membangunkan negara mancapai tahap dan status negara maju. Dengarlah dan ambil perhatian pada suara mahasiswa ini. Dalam segenap hal, mahasiswa lebih memahami dan arif berbanding ahli parlimen. Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara yang bakal berlangsung Julai ini adalah hasil inisiatif Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) harus menjadi perhatian dan medan kerajaan mengkaji keberkesanan sistem pendidikan nasional ketika ini.

Mahasiswa IPTA sudah jauh ke hadapan. Kemalapan pula menghantui mahasiswa bergelar guru pelatih di 28 buah IPGM seluruh negara. Mahasiswa IPGM dikatakan tidak bersuara. Persoalannya, adakah kami tidak bersuara atau kami dikunci mulut? Inilah yang harus diketahui pihak di luar sana sebelum menyatakan apa- apa berkenaan kemalapan mahasiswa IPGM. Mahasiswa IPGM inilah yang akan berada di barisan hadapan kelak mendidik anak bangsa kita menjadi insan berguna dan terpelajar. Tetapi kami juga yang dirundung kemalapan kini.

Guru pelatih kini dalam situasi terkongkong. Terus ditekan dan tiada punya kebebasan segah mahasiswa IPTA. Mahasiswa IPTA hebah dengan mengusung keranda Akta 152, membanjiri jalanan mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI tetapi guru pelatih hanya diam membisu? Kenapa? Bukankah mahasiswa IPGM ini adalah guru. Mereka sepatutnya mempertahankan bahasa kebangsaan.

Keruntuhan akhlak dan hedonisme yang kian merebak dalam kalangan belia negara juga menjadi perhatian mahasiswa IPTA. Tetapi kenapa guru pelatih masih berdiam diri? Tiada sebarang kenyataan atau bantahan sehebat mahasiswa IPTA. Mahasiswa IPTA sanggup ke parlimen menyerahkan memorandum, pergi ke Kompleks Perdana di Putrajaya menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri. Apa bezanya Universiti Malaya dan IPGM Kampus Bahasa Melayu juga Kampus Bahasa-Bahasa Antarabangsa yang hanya bersebelahan?

Sedarilah bahawa kita adalah barisan paling hadapan. Kita yang mengerakkan dan berada dalam dasar ini kelak. Andai PPSMI terus gagal, kita adalah yang mengagalkannya. Andai bahasa kebangsaan dianak tirikan di negara sendiri, kita lah yang gagal membangkitkan dan menjadikannya sebagai bahasa citra bangsa kita.

Hari-hari aku dizalimi-suatu tafsiran

Melihat ke luar jendela
Memagar pemikiran dalam kalimat insani
melihat dengan mata hati anak kecil meaung hiba,
mana ayahku, mana ibuku , mana rumahku,
kisah anak di Palestin, Kosovo dan xinjiang

Anak desa pulang menjengah ke kampung,
masih mampu tersenyum melihat indahnya bendang yang bapa semaikan padi semalam
Sesetengah anak desa hanya mampu melihat jentolak meratakan tanah,
Pak Saoid dari kota mula menjengah tanah di sini,
mencari tanah setelah kota penuh dengan binaan bangunan berteraskan besi

Pencabulan, seks ,rogol ,pembunuhan,
berlaku di tepi rumah kita, di kejiranan kita,
mana sifat manusiamu?
Adakah jnaluri manusia itu sendiri terpadam
apabila semua manusia mula meninggalkan fitrah?

Aku tertipu, sunguh tertipu,
rupanya musang berbulu ayam, pemimpin puaka memakan haloba duit rakyat,
eh, mana duitku? ke mana kamu wahai pemimpin membawa lari duit kami?
masih belum kenyang dengan penindasan terhadap rakyat,
masih tersa lapar bila makan hasil korupsi ?

Remaja, oh remaja,
pemimpin masa depan yang akan menggagas masa depan
ke mana hilangmu?
masih di cyber cafe kah? masih di dalam khayalan cintakah?
masih dalam shoppng complexkah? ataupun di masjid atau pesantren
sekadar menambah ilmu?

Hari-hari aku dizalimi.
dengan segala permasalahan yang berlaku,
masih adakah penyelamat di sini,
mujadid oh mujadid
ke mana kamu.,.