Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Khamis, Disember 30, 2010

SAHABAT R.A.: ANTARA AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH DAN SYI’AH

SAHABAT R.A.: ANTARA AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH DAN SYI’AH

Oleh: Ust. Ahmad Nasim bin Abd. Rauf

Di antara perbezaan asas antara Syi’ah dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah kepercayaan berkenaan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.. Perbezaan pendapat antara kedua aliran ini sama sekali tidak dapat berhimpun kerana ia adalah punca pertelingkahan dan perbalahan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan perbezaan tersebut maka kitab rujukan utama kedua pihak menjadi asas kepada perbincangan ini.

Pandangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah Terhadap Sahabat-Sahabat r.a..

Sebelum mengemukakan pandangan Ahlus Sunnah terhadap sahabat-sahabat r.a. berdasarkan hadith-hadith rasul dan al-Quran sangat perlu sekali untuk mengenali siapakah yang dikatakan sebagai sahabat-sahabat Nabi s.a.w. itu.

Ta’rif Sahabat:

Ulama berselisih pendapat berkenaan ta’rif sahabat. Di antara ulama yang membincangkan dengan panjang lebar berkenaan perselisihan tersebut ialah Hafidz Ibnu Hajar di dalam kitabnya al-Isabah. Di antara beberapa pendapat tersebut, pendapat yang disepakati adalah seperti berikut:

أن الصحابي من لقى النبي صلى الله عليه وسلم مؤمنا به ومات على الاسلام ". فيدخل فيه من لقيه من المسلمين ممن طالت مجالسته أو قصرت، روى عنه أو لم يرو، غزا معه إو لم يغز، من رآه رؤية ولو لم يجالسه، ومن لم يره لعارض كالعمى. ويدخل في هذا العموم الاطفال الذين ولدوا في عهد النبي صلى الله عليه وسلم ورأوه في حال الطفولة.

Sesungguhnya sahabat adalah orang yang bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan beriman dan mati di atas Islam. Termasuk di dalamnya ialah yang bertemu Baginda dari kalangan orang-orang Islam sama ada lama tinggal bersamanya atau seketika, meriwayatkan hadith daripadanya atau tidak, berperang bersamanya atau tidak, melihatnya walaupun sekali dan tidak pernah bersamanya dan tidak pernah melihatnya kerana sesuatu sebab seperti buta. Termasuk di dalam ta’rif umum ini ialah kanak-kanak yang dilahirkan di zaman Nabi s.a.w. dan melihatnya ketika masih kecil lagi.

Setengah ulama memasukkan di dalam ta’rif tersebut ‘walaupun diselangi dengan murtad ditengah-tengahnya dan ia kembali semula kepada Islam sama ada bertemu pula dengan Nabi s.a.w. atau tidak’. [i]

Keutamaan Sahabat Berdasarkan Al-Quran.

Ayat-ayat al-Quran yang menyebutkan kelebihan sahabat-sahabat r.a. terlalu banyak untuk dikemukakan kesemuanya. Sebahagiannya akan dikemukakan di bawah ini.

Pertama: Golongan sahabat yang telah memberikan pengorbanan sebelum pembukaan kota Makkah oleh Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya diberikan kedudukan yang sangat tinggi berbanding dengan yang selepasnya. Ini adalah disebabkan pengorbanan pada ketika itu sangat diperlukan dan umat Islam berhadapan dengan cabaran yang sangat besar daripada musuh-musuh. Walaubagaimanapun kedua-dua golongan sahabat tersebut dikurniakan ganjaran besar iaitu al-Husna. Ulama-ulama mentafsirkannya sebagai ganjaran yang besar dan syurga.[ii]

لَا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan. [iii]

Kedua: Janji Allah taala kepada golongan sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar bahawa syurga disediakan untuk mereka. Bukan hanya mereka yang akan memperolehi ganjaran besar tersebut bahkan orang-orang yang mengikuti mereka juga. Firman-Nya:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [iv]

Ketiga:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللَّهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. [v]

Keempat: keredhaan Allah terhadap seramai lebih dari seribu empat ratus orang sahabat yang berbai’ah dengan Nabi s.a.w. di bawah pokok yang dipanggil bai’ah ar-redhuan.

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya[vi]

Kelima: golongan sahabat adalah merupakan golongan pertama yang ditujukan oleh Allah taala sebagai golongan sebaik-baik umat di dalam firman-Nya yang berbunyi:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. [vii]

Keenam: di dalam ayat di bawah sahabat juga merupakan golongan pertama yang dimaksudkan oleh Allah taala dan merupakan yang paling layak untuk menjadi saksi keimanan manusia yang lain.

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. [viii]

Ketujuh: sahabat-sahabat merupakan neraca untuk menilai sejauh mana tahap keimanan umat kemudian sama ada berada di atas landasan kebenaran atau sebaliknya. Ayat ini pada asalnya ditujukan kepada golongan Yahudi sebagai menilai kebenaran iman mereka dengan dibandingkan dengan keimanan sahabat-sahabat r.a. dan ia tetap membuktikan ketinggian serta kebenaran sahabat berdasarkan al-Quran.

فَإِنْ آَمَنُوا بِمِثْلِ مَا آَمَنْتُمْ بِهِ فَقَدِ اهْتَدَوْا وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا هُمْ فِي شِقَاقٍ

Maka jika mereka (umat kemudian) beriman kepada apa yang kamu (sahabat-sahabat) telah beriman kepadanya, sungguh mereka telah mendapat petunjuk; dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam kebengkokan.[ix]

Banyak lagi ayat al-Quran yang menyebutkan berkenaan kedudukan tinggi sahabat-sahabat r.a..

Kedudukan Sahabat-Sahabat r.a. Berdasarkan Hadith-Hadith Rasulullah s.a.w.

Kedudukan mulia sahabat-sahabat r.a. juga diriwayatkan dengan begitu banyak melalui sabdaan Rasulullah s.a.w.. Sebahagiannya akan dikemukakan di sini:

Pertama: pengorbanan yang telah diberikan oleh sahabat-sahabat r.a. amat besar dan cabaran serta rintangan yang dihadapi mereka juga begitu hebat dalam memperjuangkan agama Nabi s.a.w.. Kerana itu pengorbanan mereka walaupun sedikit tetapi nilainya begitu besar di sisi Allah. Nabi s.a.w. bersabda:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu mencaci sahabat-sahabatku, sesungguhnya kalaulah seorang kamu membelanjakan emas sebesar bukit Uhud nescaya tidak akan menyamai perbelanjaan mereka walaupun secupak bahkan setengah cupak”.[x]

Kedua: Disebabkan sahabat-sahabat r.a. adalah manusia terbaik pernah dilahirkan di kalangan umat ini maka zaman yang dilalui oleh mereka adalah merupakan zaman keemasan dan zaman paling gemilang sebagaimana yang diakui oleh Junjungan s.a.w.:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku kemudian orang-orang yang mengiringi mereka kemudian orang-orang yang mengiringi mereka”.[xi]

Ketiga: Sahabat-sahabat r.a. adalah orang yang benar-benar mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w.. Perjalanan hidup mereka tidak melencong daripada apa yang dibawa Baginda walaupun sedikit sehingga Baginda mengatakan bahawa seolah-olah merekalah orang yang diutuskan oleh Allah taala kepada umat kemudian walaupun pada hakikatnya yang diutuskan oleh Allah adalah Nabi s.a.w. sendiri. Di antara pengakuan tersebut ialah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. berkata kepada mereka (sahabat-sahabat): “Kamu hanya diutuskan untuk mempermudahkan dan kamu bukan diutuskan untuk menyusahkan”.[xii]

Keempat: Kecintaan kepada sahabat-sahabat r.a. merupakan di antara tuntutan agama Islam kerana kecintaan kepada mereka pada hakikatnya adalah kecintaan kepada Nabi s.a.w. juga dan begitulah sebaliknya. Kerana itu menjadi kewajipan kepada umat kemudian agar mengambil sikap berhati-hati bila berbicara berkenaan sahabat-sahabat r.a. supaya tidak terjerumus di dalam golongan yang akan diazab oleh Allah taala.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُغَفَّلٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي لَا تَتَّخِذُوهُمْ غَرَضًا بَعْدِي فَمَنْ أَحَبَّهُمْ فَبِحُبِّي أَحَبَّهُمْ وَمَنْ أَبْغَضَهُمْ فَبِبُغْضِي أَبْغَضَهُمْ وَمَنْ آذَاهُمْ فَقَدْ آذَانِي وَمَنْ آذَانِي فَقَدْ آذَى اللَّهَ وَمَنْ آذَى اللَّهَ يُوشِكُ أَنْ يَأْخُذَهُ

Daripada Abdullah bin Mughoffal katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “(bertakwalah kamu) kepada Allah berkenaan sahabat-sahabatku, (bertakwalah kamu) kepada Allah berkenaan sahabat-sahabatku, janganlah kamu menjadikan mereka sebagai sasaran (kebencian kamu) sepeninggalanku. Sesiapa yang kasih kepada mereka maka kerana kasihkan kepadaku dia mengasihi mereka dan sesiapa yang membenci mereka maka kerana bencikan aku dia membenci mereka. Sesiapa yang menyakiti mereka bermakna dia telah menyakitiku, sesiapa yang menyakitiku bermakna dia telah menyakiti Allah dan sesiapa yang menyakiti Allah pasti Allah akan mengazabnya”.[xiii]

Mempertikaikan mana-mana sahabat walaupun sekecil-kecil sahabat yang tidak dikenali namanya pun bermakna mengingkari al-Quran dan hadith Nabi s.a.w.



[i] Al-Isabah Fi Tamyiz as-Sahabah jil. 1 hal. 7, Ma’rifah ath-Thiqah al-‘Ijli jil. 1 hal. 95, Taisir Mustalah al-Hadith hal. 97

[ii] Lihat tafsir-tafsir seperti Ruh al-Ma’ani, Tafsir Ibnu Kathir, at-Tahrir wa at-Tanwir dan lain-lain.

[iii] Al-Quran surah al-Hadid ayat 10

[iv] Al-Quran surah at-Taubah ayat 100

[v] Al-Quran surah al-Anfal ayat 63

[vi] Al-Quran surah al-Fath ayat 18

[vii] Al-Quran surah Aali-Imran ayat 110

[viii] Al-Quran surah al-Baqarah ayat 143

[ix] Al-Quran surah al-Baqarah ayat 137

[x] Sahih al-Bukhari Bab Sabda Nabi s.a.w. Kalaulah Aku Hendak Menjadikan Seorang Kekasih, Sahih Muslim Bab Haram Mencela Sahabat Nabi s.a.w.

[xi] Sahih al-Bukhari Bab Kelebihan Sahabat r.a., Sahih Muslim Bab Kelebihan Sahabat r.a. Kemudian Orang Yang Mengiringi Mereka.

[xii] Sunan Abi Daud, Sunan At-Termizi, Musnad Ahmad

[xiii] Sunan at-Termizi Bab Berkenaan Orang Yang Mencaci Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w.

Tiada ulasan: