Jumaat, November 06, 2009

Muhasabah Untuk Para Pejuang





Ditulis oleh Mohd Farhan Madzlan

Bila ditanya kepada mereka yang berjuang untuk mempertahankan Islam, apakah hadaf perjuangan mereka. Rata-rata mereka menjawab dengan penuh semangat, tegakkan Islam di mana kami berada. Suatu ungkapan yang menjadi nadi kekuatan dan rangsangan semangat untuk terus memperjuangkan Islam di muka bumi ini. Namun begitu, berapa ramai yang terkeliru dengan kekuatan ungkapan ini, ataupun mereka yang terkeliru dengan kehidupan perjuangan mereka. Mereka seakan ingin memperjuangkan Islam di mana mereka berada tapi mereka melupai betapa pentingnya keberadaan Islam pada jiwa raga mereka terdahulu. Lebih parah dari itu, mereka berjuang atas nama Islam tapi imej, syakhsiah, akhlak, iman dan amal mereka seolah-olah mereka yang tidak mengenali Islam bahkan lebih dari itu. Saidina Umar al Khattab berkata, tegakkan daulah Islamiyyah pada diri kamu masing-masing sebelum kamu menegakkan daulah Islamiyyah pada negara atau negeri kamu.

Pertama : Kekurangan Ilmu & Thaqafah

Kemantapan ilmu dan thaqafah yang kurang diambil berat oleh para pejuang menjadi satu fitnah yang paling besar dalam Islam sendiri. Musuh islam tidak kenal penat dan masa dalam mengaut segala displin ilmu dan thaqafah namun jauh disana, pejuang Islam masih terlalu ramai leka dan lagha dengan bayangannya sendiri tanpa ada kesungguhan yang tinggi untuk mendapatkan ilmu dan thaqafah. Bahkan yang lebih memalukan, menggunakan hujah mereka sibuk berjuang, mereka tidak sempat untuk menuntut ilmu. Kesannya, hadirlah para pejuang yang berjuang serta bertindak tanpa ilmu dan thaqafah yang tinggi. Lebih menjadi parah, bukan sahaja tanpa ilmu bahkan emosi dan perasaan didahulukan dari segalanya, seterusnya melemahkan gerakan dan juga menatijahkan ketidakpuasan hati dan pepecahan dalaman yang ketara.

Kedua : Tarbiyyah Ruhiyyah Yang Lemah

Setiap mereka yang menuntut ilmu agama pada dasarnya mereka adalah pejuang agama Allah. Mereka lebih memahami kepentingan dan kewajipan bersama dengan gerakan serta memperjuangankan Islam berbanding dengan mereka diluar bidang agama. Namun begitu, halnya berlaku sebaliknya. Tidak seperti yang diharapkan. Mereka yang menuntut ilmu agama meninggalkan tarbiyyah dalaman berbanding mereka diluar bidang. Lebih dari itu, mereka yang tiada rasa kepentingan dalam gerakan ini lebih maju amal ibadah dari mereka yang merasakan kepentingan tersebut.

Hal ini boleh dibuktikan dengan membuat culaan dan kajian rambang terhadap mereka yang bergelar pejuang ini. Berapa ramaikah yang solatnya sentiasa berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, berapa ramai yang melazimi al Quran, zikir atau hizib, berapa ramai yang sentiasa bersengkang mata di dini hari untuk bermunajat kepada-NYA, berapa ramai yang bersedekah dan beramal jariah jika masih ramai lagi yang bakhil atau malas dalam gerakan. Bilangannya terlalu sedikit, kekuatannya masih terlalu lemah, misi dan visinya masih terlalu jauh. Jika didatangkan ujian dan fitnah kepada mereka atau gerakan, masih belum boleh memberikan keyakinan yang penuh mereka akan terus thabat bersama dengan perjuangan ini masakan mereka dalam keadaan penggantungannya terlalu lemah. Tepuk dada tanyalah iman dan amal kita masing-masing.

Ketiga : Maksiat Menjadi Amalan

Menjadi satu fenomena baru kepada para pejuang yang tiada imuniti dan antibodi yang berkesan untuk melawan gelojak nafsu dan godaan syaitan yang menipu ditambah dengan tarbiyyah ruhiyyah yang sangat lemah. Tidak pelik sekarang jika terlihat pejuang pada kalamnya hanya lagha dan lucah sahaja, penglihatannya yang tidak mampu ditutup kembali, kaki tangannya sentiasa bertindak untuk memuaskan nafsunya, akalnya berperanan pengemudi yang terbaik dalam nafsu dan maksiat. Bibirnya sudah tiada istighfar dan istia’zah, jiwanya merasa semakin serasi dengan maksiat dan nafsu. Akhirnya, titik-titik kecil hitam semakin memenuhi hati yang putih & suci satu ketika dahulu seterusnya menjadi hati hitam yang degil dan susah ditenangkan.

Keempat : Ukhuwah Kian Pudar

Sibuk berjuang sehingga lupa persoalan ukhuwah. Walaupun asas perjuangan ini ialah untuk membentuk ukhuwah yang berlandaskan iman dan takwa. Kesannya, ia dipinggirkan, semangat ananiyyah, penting diri sendiri bermahajalela dalam sanubari pejuang. Sifat dengki, salah menyalah, tidak puas hati berlarutan sehingga memburukkan lagi keadaan. Berapa ramai yang mampu berkongsi perkara atau maddiyyah yang bernilai dengan sahabatnya. Berapa ramai yang rela berkorban, pada senyumnya kita turut tersenyum, pada susahnya kita turut merasainya begitu. Ukhuwahnya bagaikan api, tidak seperti lilin yang sanggup berkorban bagi mengeluarkan walaupun sedikit cahaya demi kepentingan dan kebersamaan. Api itulah juga iblis yang menjauhkan ukhuwah dan kasih sayang. Bagaimanakah para pejuang mampu meneruskan sisa perjuangan dan baki kehidupan ini tanpa motivasi luaran yang penting dalam mengimbangi dan memperkuatkan dasarnya. Lihatlah betapa hebat ukhuwah para sahabiah yang terbentuk dari bimbingan Rasulullah SAW juga pada diri mereka mempunyai kekuatan tarbiyyah dan keilmuan yang cukup mantap dan hebat. Senang dan susah mereka dirasai bersama, kelebihan dan kekurangan mereka dilengkapi bersama. Inilah ukhuwah sejati yang telah dilupai oleh para pejuang masa kini.

Kelima : Motivasi Dalaman & Luaran

Justeru itu, para pejuang perlu kembali menilai semula diri, membuat muhasabah membaiki diri dan kekuatan. Memadai muhasabah diatas sebagai asas kepada nilaian dan kajian semula ke arah pembinaan serta pengislahan diri berbanding mengambil muhasabah kecil yang juga padanya terkandung dari muhasabah-muhasabah pokok tersebut. Kemantapan ilmu dan thaqafah juga tarbiyyah ruhiyyah yang hebat menjadi satu motivasi dalaman yang sangat kuat dan thabat sebagai asas atau teras kepada perjuangan ini. Jiwa-jiwa inilah yang membuat satu ledakan kekuatan kepada ahli gerakan yang lain sebagai salah satu motivasi luaran dalam membina kekuatan gerakan dan survival perjuangan ini. Perlu diingat berapa ramai mereka yang telah gugur yang telah acap kali diulangi di dalam kitab suci al-quran mengenai mereka yang diuji dengan fitnah dunia yang mengelirukan ini. Nescaya tiada kekuatan melainkan pergantungan yang kuat kepada Allah dan menjauhkan diri dari kemurkaanNYA. Kita tidak terlalu merisaui kehadiran kita pada saat ini namun yang dirisaui adalah adakah kita akan tetap thabat dalam perjuangan ini ataupun kita jatuh dan gugur dari landasan perjuangan kita apabila kita benar-benar telah diuji kelak.

Rabu, November 04, 2009

Mukh De' Syarif 09...


TENTATIF MUKH de SYARIF 09

JADUAL SOLAT
Tarikh Hari Imsak Subuh Syuruk Zuhur Asar Maghrib Isyak
20-11-2009 Jumaat 5:38 5:48 7:08 13:06 16:28 19:01 20:14
21-11-2009 Sabtu 5:38 5:48 7:09 13:07 16:28 19:01 20:14
22-11-2009 Ahad 5:38 5:48 7:09 13:07 16:28 19:01 20:15


HARI PERTAMA (20 NOVEMBER 2009 - JUMAAT )
MASA AGENDA
1700 - 1800 Ketibaan dan Pendaftaran Peserta
1800 - 1930 Persediaan tempat perkhemahan, urusan kendiri dan makan malam
1930 - 2000 Solat Maghrib
2000 - 2115 Solat Isya'
2115 - 2330 Eksplorasi Air Batu
2330 - 0400 Minum malam, rehat

HARI KEDUA (21 NOVEMBER 2009 - SABTU)
MASA AGENDA
0400 - 0530 Qiam
0550 - 0700 Solat Subuh, Al Mathurat, Kuliah Hati 1
0700 - 0830 Urusan kendiri, Solat Dhuha, sarapan
0830 - 1030 Eksplorasi Alam
1030 - 1045 Rehat
1045 - 1300 Eksplorasi Alam
1300 - 1430 Solat Zuhur, makan tengah hari
1430 - 1630 Eksplorasi Alam
1630 - 1700 Solat Asar, Al Mathurat, minum petang
1700 - 1800 Eksplorasi Alam
1800 - 1930 Riadhah, urusan kendiri dan makan malam
1930 - 2000 Solat Maghrib, Kuliah Hati 2
2000 - 2115 Solat Isya'
2115 - 2330 Eksplorasi Minda & Emosi
2330 - 0400 Minum malam, rehat

HARI KETIGA (22 NOVEMBER 2009 - AHAD )
MASA AGENDA
0400 - 0530 Qiam
0550 - 0700 Solat Subuh, Al Mathurat, Kuliah Hati 3
0700 - 0830 Urusan kendiri, Solat Dhuha, sarapan
0830 - 0945 Refleksi Diri
0945 - 1000 Rehat
1000 - 1200 Eksplorasi Diri
1130 - 1300 Evaluasi program dan Penutup
1300 - 1430 Solat Zuhur, makan tengah hari dan bersurai

Hubungi JK Promosi Lokaliti anda sekarang. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 NOVEMBER 2009(AHAD)!


(I4P)
Akh Zhaf (019-4554508)
Ukht Izma (013-4209545)

(K-Kedah)
Akh Razman (013-4488379)
Ukht Salehah ((019-3928714)

(Minden)
Akh Syahid (013-4687892)
Ukht Salwani (013-9878562)


(Transkrian)
Akh Yaakob (019-6052850)

(JMTI dan UiTM)
Akh Zaid (013-5074580)

Pernyataan Media Berkenaan Isu Penangkapan Dr. asri

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

3 November 2009/15 Zulkaedah 1430

JIM PERSOAL KAEDAH PENANGKAPAN BEKAS MUFTI PERLIS



Pada hari Ahad, 1 November 2009, negara dikejutkan dengan penangkapan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Dr Mohamad Asri Zainul Abidin oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan bantuan Polis di sebuah rumah banglo di Hulu Kelang. Penangkapan dilakukan atas dakwaan bahawa Dr Asri tidak mempunyai tauliah ketika beliau menyampaikan kuliah agama kepada lebih kurang 300 orang di rumah berkenaan.



Dr Asri bukan sahaja seorang ilmuan Islam dengan kelulusan ijazah doktor falsafah dalam pengajian Al-Qur’an dan sunnah, beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan pensyarah bahagian pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia .



Berikutan penangkapan tersebut, pelbagai pihak telah mempertikaikan cara penangkapan dilakukan. Menurut laporan-laporan media, beliau ditahan pada jam 12.10 tengah malam dan dibawa ke Balai Polis sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 1.10 pagi. Beliau kemudian diarah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada jam 9.00 pagi keesokkannya untuk dituduh. Namun setelah disemak peguam beliau, didapati bahawa tiada pendakwaan telah difailkan di mahkamah. Beliau akhirnya dibebaskan pada kira-kira jam 12.30 tengahari dengan jaminan JAIS tanpa sebarang pendakwaan tetapi boleh dipanggil oleh JAIS pada bila-bila masa untuk siasatan lanjut.



Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Dr Asri di minta ke mahkamah bukan untuk didakwa tetapi untuk jaminan bon bagi melanjutkan tempoh siasatan. Menurutnya lagi, Dr Asri akan didakwa selepas jabatan itu selesai menjalankan siasatan berhubung kesalahan mengajar agama tanpa tauliah. Katanya, Dr Asri akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) yang menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS.



Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mempersoalkan kaedah penangkapan yang dilakukan. Mengapakah beliau ditahan secara mengejut dan mengaibkan seperti penjenayah besar sedangkan beliau boleh dipanggil dengan cara yang lebih profesional dan hormat untuk bertemu JAIS atau mana-mana pihak berkuasa? Pengarah JAIS sendiri menyatakan bahawa Dr. Asri telah lama dipantau. Mengapakah pula tiada pertuduhan atau pendakwaan difailkan di mahkamah sedangkan tangkapan telah dibuat pada hari sebelumnya? Apakah motif di sebalik penahanan begini?



JIM melihat bahawa adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam apabila berselisih untuk mereka kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah.



Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-Nisa : 59)



Apatah lagi sekiranya perkara yang diperselisihkan itu adalah perkara yang boleh diselesaikan secara musyawarah dan tidak perlu dibawa ke mahkamah.



JIM berpendapat bahawa sewajarnya JAIS lebih berhemah dalam membuat penangkapan dan pertuduhan terhadap sesiapa juga tidak kira rakyat biasa atau seorang bekas Mufti kerana dikuatiri tindakan mereka boleh mengakibatkan salah tafsir atau boleh mencacatkan sistem keadilan Islam itu sendiri. Dalam melaksanakan tindakan, sandaran Al-Qur’an dan sunnah harus dijadikan panduan selain mengambil pendekatan kaedah-kaedah fiqh seperti Al-Aslu bara’atu zimmah iaitu seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Di samping itu, keadilan bukan sahaja dilaksanakan tetapi harus dilihat dilaksanakan dalam proses dan prosidur berkaitannya.



JIM berharap JAIS akan bersikap amanah, jujur dan profesional dalam melaksanakan siasatan yang bebas, adil dan telus ke atas Dr Asri. Pemeliharaan keadilan dan hak asasi serta karamah insan haruslah menjadi pegangan.



JIM juga mengesyorkan supaya JAIS mengambil kesempatan ini untuk meneliti semula Enakmen-enakmen Pentadbiran Agama Islam yang bersifat subjektif supaya ia tidak mengekang pengembangan ilmu yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam.



Sekian. Terima kasih.



HJ ZAID KAMARUDDIN

Presiden

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia

Jumaat, Oktober 30, 2009

MUKHAYYAM KARISMA ZON UTARA 2009

MUKH DE' SYARIF 09
MUKHAYYAM KARISMA ZON UTARA 2009

TARIKH : 20, 21 dan 22 NOVEMBER 2009
TEMPAT : KEBUN PAK SYARIF , TELUK KUMBAR , PULAU PINANG
SASARAN : IKHWAH AKHAWAT yang mengikuti Modul Usrah 00 dan 01 (60-70 orang)
ANJURAN : KARISMA PULAU PINANG dengan kerjasama KARISMA KEDAH dan JIM IPT PERLIS


SEBARANG PERTANYAAN, BOLEH HUBUNGI JK PROMOSI LOKALITI ANDA :-

  1. IPPPP - Ahmad Zhafri -019-4554508 Nurizma Harliana -0134209545
  2. UUM - Razman - 013-4365669 Salehah -0193928714
  3. USM Minden - Syahid -013-4687892 Salwani -0139878562
  4. USM Trans - Yaakob - 0196052850
  5. JMTI dan UiTM- Zaid - 0135074580

Sabtu, Oktober 24, 2009

Berita kepada kawan .-Tribute untuk mangsa Gempa ,Padang







klik sini untuk video

Perjalanan ini
Trasa sangat menyedihkan
Sayang engkau tak duduk
Disampingku kawan

Banyak cerita
Yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering bebatuan

Tubuhku terguncang
Dihempas batu jalanan
Hati tergetar menatap
kering rerumputan

Perjalanan ini pun
Seperti jadi saksi
Gembala kecil
Menangis sedih ...

Reff#

Kawan coba dengar apa jawabnya
Ketika di kutanya mengapa
Bapak ibunya tlah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut
Kukabarkan semuanya
Kepada karang kepada ombak
Kepada matahari

Tetapi semua diam
Tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri
Terpaku menatap langit

Barangkali di sana
ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang

Khamis, Oktober 22, 2009

Darah muda...

Zul menatap timbunan baju yang masih tak terbasuh di tepi wardrobe nya. "Alamak , letih gile nak basuh. Kalau sehelai dua takpelah, ni dah jadi bukit.Adui." , Zul merebahkan pinggulnya yang sekeping itu di penjuru kepala katil blok penginapannya. Masih terngiang kata-kata dan Justify Fullmesej daripada Aida, tunangnya , yang seolah-olah memberinya satu kekuatan baru, secara dalaman, dan Zul sendiri hairan dengan perasaannya ketika itu ." akh tak bertepuk sebelah tangan .Percayalah".

"Wah, letih banget dong. Kalu camni, elok aku kawin dulu, baru senang kerja dakwah aku.hehe" Fikiran nakal mula membaur dalam fikiran letih lesu itu. Zul terkadang terlampau advance pemikirannya, sampaikan sahabat-sahabatnya ada yang tidak memahami apa yang berada dibenak pemikiran Zul walaupun mereka satu usrah. Zul baru lepas meeting marathon, satu meeting di Taman Pegaga bersama jemaahnya, satu lagi bersama sebuah syarikat fasilitator. Letih meeting semalam tak habis lagi. Esok jadual penuh lagi. Usrah , pengisian di surau dan tampal poster. Itu tak masuk promote kelas perbandingan agama lagi. Update blog lagi.
"Wah pecah kepala gu lawan gini gak"
, getus zul dalam loghat separa timur separa selatan.

Dia mengambil keputusan untuk mandi. Biarkan baju yang tak terbasuh di situ. Malam tu Zul tidur awal. Bangun tahajud menjadi niatnya dan rutinnya semenjak sekolah menengah lagi . walaupun dia sedar dia bukanlah orang baik akhlaknya. Darah muda . Biasalah . Dalam telefon bimbitnya penuh mesej perempuan dan nombor wanita. Ada yang dikenali ,ada yang tidak. Layan semua ,itu prinsipnya.

Setiap hari semakin deras waktu rasanya. Masa berlalu tak disedarinya. Gastriknya juga kian mencengkam disebabkan tidak makan seharian. Dua tiga kali dia hanya termuntah angin. Dia redha. Banyak kali juga. Dalam seminggu boleh kata tiga ke empat hari dia dalam berkeadaan begitu .Migrainnya jangan diceritakan lagi, hampir setiap pagi menyerang.

Masa bersama temanpun semakin berkurang. Bila ditanya kemana dia pergi, Zul dengan muka selamba berkata ,"Ada kerja sikit."Dia tidak mahu sesiapa mengetahuinya , hatta rakan baiknya sendiri .

Namun bila perpisahan antara Aida dan Zul berlaku, akibat pertengkaran hebat yang berlaku di antara mereka, Aida mula bertukar hati bila Zul sedikit menekan Aida mengenai soal jodoh. Zul rasa Aida tidak serius dengan soal jodoh dan perkahwinan.Dan akibat perbalahan yang turut melibatkan orang ketiga itu, mereka putus. Zul pasrah.

"Mungkin dia tak sesuai untukku"
. getusnya di dalam hati. Akibat perpisahan tersebut Zul ,mula tawar hati untuk membuka pintu kepada muslimah yang ingin menghampirinya. Walaupun dia redha, tetapi perpisahan itu telah memberi kesan terhadap emosinya dan menggugat sedikit keputusan peperiksaannya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu hati ini. Ramai yang mempersoalkan gerak kerja dakwahnya ini. Ramai juga yang mengaitkan dengan pencapaian rendah ini dengan berkata "inilah "dosanya" akibat terlampau bersemangat untuk berdakwah".

Selepas buka semester baru, Zul mula membuka lembaran baru dan dakwahnya semakin kencang. Mungkin Zul ini terlampau laju sehingga sahabat-sahabat dia pun tak terkejar . Zul ingin memanfaat sepenuhnya masa yang ada demi dakwah. Biarlah sahabat-sahabat terus leka bermain dan menonton wayang, biarlah sahabat-sahabat terus dalam keadaan itu.Puas diajak program , liat .Bila ditegur pula dia sendiri dipulaukan . Sehingga dia sendiri pun agak tertekan dengan keadaan tersebut .
"Biarlah aku menjadi seperti Cikgu Mi, Presiden Teras Perpaduan Melayu Bersekutu itu, yang sentiasa berjalan programnya , walaupun hanya dia seorang yang menggerakkannya."
Katanya dengan nada yang sedikit merajuk. Mungkin kecewa.

Sebut sahaja ,program apa, dari program fasilitator, kelas perbandingan agama, mukhayyam, program bersama wadah-wadah lain, semua dia buat dengan bantuan sahabat-sahabat sefikrahnya yang berada di luar isntitusinya.Bukan memboikot atau menjauhkan diri daripada penggerak dalaman, tapi dia tak nak kacau orang dalam lagi."Nanti kena marah",monolog hati kecilnya."Mungkin aku akan kacau depa punya periuk nasik kot, takpe la", bisik hati kecilnya penuh pasrah. Baginya diari perjuangan ini tidak akan pernah berhenti. Dia banyak terpengaruh dengan Cikgu Mi, mentor tak rasminya.

Orang luar tak faham ,hatta naqibnya sendiri yang terkadang dia merasakan tidak mempercayainya lagi. Biarkan .

Takziah kepada Ustaz Ramadhan fitri dan Ukht kHadijah

TERAS gesa segerakan pemansuhan PPSMI

21 10 2009

TERAS menyambut baik pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu yang mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Walaupun TERAS tetap berpendirian bahawa sepatutnya dasar asal iaitu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu boleh segera dilaksanakan pada tahun depan , namun keputusan muktamad bahawa PPSMI dimansuhkan adalah keputusan yang wajar.

Kami berpendapat rancangan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sekaligus memperkukuhkan Bahasa Inggeris tidak seharusnya terlalu sukar untuk dilaksanakan. Dengan memastikan guru-guru mencukupi dan terlatih , kami tidak nampak kenapa ia perlu terlalu lama untuk kembali kepada dasar asal.

Soalnya pihak Kementerian Pelajaran sepatutnya sudah tahu apakah kelemahan yang ada dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selama ini. Bukahkah hal ini telah berjalan sedemikian lama dan sudah sedia dimaklumi oleh pihak Kementerian .

Langkah memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Melayu terletak kepada penggunaanya secara praktik dalam semua sektor kehidupan rakyat , pengurusan pentadbiran negara , operasi sektor swasta dan penggunaannya dikalangan ahli professional.

Sementara itu pihak Kementerian hanya perlu melakukan perancangan melatih guru yang cukup mahir bukan sahaja diperingkat sekolah malah juga diperingkat pra Universiti.

Demikian jugalah langkah memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Faktor paling penting ialah soal kecukupan guru dan juga teknik pengajaran yang berkesan serta bahan pengajaran seperti buku teks yang lengkap dan boleh mempercepatkan kemahiran membaca , menulis dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Kami berpendapat isu ujuran keperluan melatih guru dan penempatn guru bukan perkara yang baru. Sudah acapkali dibangkitkan soal guru tidak mencukupi dalam matapelajaran tertentu akibat pihak yang berkenaan gagal merancang dengan baik. Kes guru bahasa Inggeris berlebihan di sekolah Bandar manakala tidak mencukupi di sekolah luar Bandar bukan suatu rahsia lagi.

Oleh itu persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012 sebenar tidak perlu menggunakan terlalu banyak masa dan sumber.

Sebelum PPSMI diperkenalkan guru-guru yang sedia ada sepatutnya tidak bermasalah untuk kembali mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu kerana segala rujukan dan kurikulum asal sudahpun ada.

Kami berfikir sememangnya ramai guru-guru terutama di sekolah luar Bandar yang mendapati amat sukar mengajar dua pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris secara tidak langsung sudah mengajarnya dalam Bahasa Melayu setiap kali berhadapan dengan pelajar-pelajar yang sukar memahami perantaraan dalam bahasa Inggeris.

Jadi tidak timbul masalah yang terlalu berat untuk mempersiapkan supaya bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010.

Kelemahan yang jelas harus dipelajari dari kesilapan melaksanakan PPSMI ialah penafian hakikat bahawa pelajar sukar menguasai matapelajaran diperingkat awal dalam bahasa yang bukan bahasa ibundanya.

Bukan sahaja pihak yang berkenaan telah sedemikain gopah berbelanja lebih RM5 bilion untuk PPSMI , kesannya yang parah tidak dapat dijangka oleh para penggubal PPSMI terutama kepada pelajar luar Bandar.

Jika benar dasar baru ini memerlukan kita menyediakan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru Bahasa Inggeris baru yang mahir maka yang boleh dilakukan untuk mempercepatkan keperluan ini ialah dengan mempertingkat kualiti pengajaran guru yang sedia ada dan bilangan guru pakar yang boleh menyelia dan membantu guru yang lain.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu

Rabu, Oktober 21, 2009

Bila Fikiran "jahat" menerpa....

Ku rasakan tidurku tidak lagi terganggu
dengan panggilan meeting, meeting dan meeting
atau sms yang mengajak ku ke majlis sekian sekian
atau mengigau bilamana aku terpaksa membuat sekian sekian
atau suara Kak Lat yang bertanyakan tentang program..haha
atas nama dakwah

Mungkin itu dulu...
aku masih kecil ketika itu tapi jarak umur hanya tolak setahun dengan sekarang
kepala selalu bagaikan nak pecah
eh, poster ni tak tampal lagi
alamak , kertas kerja ini masih belum siap lagi
aduh, fasi program tak cari lagi
alahai, usrah tak buat lagi
atau sekadar pemikiran sekali lalu- sahabat sefikrah tengah dating
atau anak usrah yang semakin jauh menjauhi...

Fikir, fikir dan terus berfikir
Aku naik heran bila ada penggerak yang mampu tarik sebuah kereta
mampu keluar hujung minggu tonton wayang sinema di Bukit Jambul
atau masih mampu tidur lena dihujung minggu
atau balik kampung berjumpa saudara mara
atau masih mampu bergelak ketawa dengan orang silang jantina
Palestin terus "dirogol"
Selatan Thai masih lagi dicabul,
Pemikiran Umat masih lagi terbelenggu dalam
pemikiran fasik dan jahiliah...
dan Islam itu umpama satu ketulan hina di tandas
di mata para munafik dan kafir dan pendewa-pendewa mereka...

Ah..
hari ini aku bangun
senang...
mungkin semangatku semakin luntur
atau tapak aku semakin teguh
hingga tiada apa yng rungsing menerpa di minda
Aku tak pasti
yang pasti aku terasa beban itu sedikit lucut...
mungkin beberapa tanggungjawab telah aku selesaikan..

Alamak! kumpul duit ,ma...
Nak kawin ooo...
tukar moto jadi kereta wooo....
nak beli baju baru looo...
nak hantar kat mama muda lagi....
orang dah tak pandang motor Lagenda DBF 3691
orang dah tak hirau orang yang pergi program..
orang pandang adalah orang yang seperti orang ....
bukan orang yang seperti insan yang ihsan...
Persetan itu semua...
kita hanya nak orang realistik..menerima hedonisme sebagai tuhan
menerima pop sebagai juadah sehari-hari
menerima tuhan dalam erti kata hamba
kau kau aku aku ...agama generasi muda yang baru
serba individualistik
Wargh....aku berlepas diri dari pemikiran ini

Pemansuhan PPSMI mungkin 2011


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

"Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu.

"Namun ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk memansuhkan PPSMI pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI.

Menjawab soalan tambahan Mohd. Nor, Muhyiddin menegaskan, keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

"Ini adalah keputusan yang muktamad. Jadi apa pun keadaan kita telah menyatakan kesediaan untuk tidak kembali kepada dasar lama iaitu meneruskan PPSMI.

"Segala persiapan telah mula dilakukan mulai sekarang dan saya beri jaminan walaupun PPSMI hanya akan dimansuhkan mulai 2012, insya-Allah ia akan dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh tersebut ditetapkan kerana kerajaan memerlukan masa untuk membuat semua persiapan sebelum MBMMBI dilaksanakan.

Jelasnya, persiapan itu penting kerana kerajaan telah belajar daripada pengalaman lalu apabila tempoh terlalu singkat iaitu hanya enam bulan sebelum melaksanakan PPSMI menyebabkan pelbagai masalah timbul.

"Dasar baru ini memerlukan kita menyediakan 13,000 guru termasuk sekurang-kurangnya 1,000 guru Bahasa Inggeris baru yang mahir," katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak) mengenai pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam keputusan kerajaan, Muhyiddin menjelaskan, bekas Perdana Menteri itu memahami keputusan yang dibuat oleh kepimpinan sekarang.

Jelasnya, walaupun Dr. Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tetapi penentangan bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu keras.