Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Jumaat, November 06, 2009

Muhasabah Untuk Para Pejuang





Ditulis oleh Mohd Farhan Madzlan

Bila ditanya kepada mereka yang berjuang untuk mempertahankan Islam, apakah hadaf perjuangan mereka. Rata-rata mereka menjawab dengan penuh semangat, tegakkan Islam di mana kami berada. Suatu ungkapan yang menjadi nadi kekuatan dan rangsangan semangat untuk terus memperjuangkan Islam di muka bumi ini. Namun begitu, berapa ramai yang terkeliru dengan kekuatan ungkapan ini, ataupun mereka yang terkeliru dengan kehidupan perjuangan mereka. Mereka seakan ingin memperjuangkan Islam di mana mereka berada tapi mereka melupai betapa pentingnya keberadaan Islam pada jiwa raga mereka terdahulu. Lebih parah dari itu, mereka berjuang atas nama Islam tapi imej, syakhsiah, akhlak, iman dan amal mereka seolah-olah mereka yang tidak mengenali Islam bahkan lebih dari itu. Saidina Umar al Khattab berkata, tegakkan daulah Islamiyyah pada diri kamu masing-masing sebelum kamu menegakkan daulah Islamiyyah pada negara atau negeri kamu.

Pertama : Kekurangan Ilmu & Thaqafah

Kemantapan ilmu dan thaqafah yang kurang diambil berat oleh para pejuang menjadi satu fitnah yang paling besar dalam Islam sendiri. Musuh islam tidak kenal penat dan masa dalam mengaut segala displin ilmu dan thaqafah namun jauh disana, pejuang Islam masih terlalu ramai leka dan lagha dengan bayangannya sendiri tanpa ada kesungguhan yang tinggi untuk mendapatkan ilmu dan thaqafah. Bahkan yang lebih memalukan, menggunakan hujah mereka sibuk berjuang, mereka tidak sempat untuk menuntut ilmu. Kesannya, hadirlah para pejuang yang berjuang serta bertindak tanpa ilmu dan thaqafah yang tinggi. Lebih menjadi parah, bukan sahaja tanpa ilmu bahkan emosi dan perasaan didahulukan dari segalanya, seterusnya melemahkan gerakan dan juga menatijahkan ketidakpuasan hati dan pepecahan dalaman yang ketara.

Kedua : Tarbiyyah Ruhiyyah Yang Lemah

Setiap mereka yang menuntut ilmu agama pada dasarnya mereka adalah pejuang agama Allah. Mereka lebih memahami kepentingan dan kewajipan bersama dengan gerakan serta memperjuangankan Islam berbanding dengan mereka diluar bidang agama. Namun begitu, halnya berlaku sebaliknya. Tidak seperti yang diharapkan. Mereka yang menuntut ilmu agama meninggalkan tarbiyyah dalaman berbanding mereka diluar bidang. Lebih dari itu, mereka yang tiada rasa kepentingan dalam gerakan ini lebih maju amal ibadah dari mereka yang merasakan kepentingan tersebut.

Hal ini boleh dibuktikan dengan membuat culaan dan kajian rambang terhadap mereka yang bergelar pejuang ini. Berapa ramaikah yang solatnya sentiasa berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, berapa ramai yang melazimi al Quran, zikir atau hizib, berapa ramai yang sentiasa bersengkang mata di dini hari untuk bermunajat kepada-NYA, berapa ramai yang bersedekah dan beramal jariah jika masih ramai lagi yang bakhil atau malas dalam gerakan. Bilangannya terlalu sedikit, kekuatannya masih terlalu lemah, misi dan visinya masih terlalu jauh. Jika didatangkan ujian dan fitnah kepada mereka atau gerakan, masih belum boleh memberikan keyakinan yang penuh mereka akan terus thabat bersama dengan perjuangan ini masakan mereka dalam keadaan penggantungannya terlalu lemah. Tepuk dada tanyalah iman dan amal kita masing-masing.

Ketiga : Maksiat Menjadi Amalan

Menjadi satu fenomena baru kepada para pejuang yang tiada imuniti dan antibodi yang berkesan untuk melawan gelojak nafsu dan godaan syaitan yang menipu ditambah dengan tarbiyyah ruhiyyah yang sangat lemah. Tidak pelik sekarang jika terlihat pejuang pada kalamnya hanya lagha dan lucah sahaja, penglihatannya yang tidak mampu ditutup kembali, kaki tangannya sentiasa bertindak untuk memuaskan nafsunya, akalnya berperanan pengemudi yang terbaik dalam nafsu dan maksiat. Bibirnya sudah tiada istighfar dan istia’zah, jiwanya merasa semakin serasi dengan maksiat dan nafsu. Akhirnya, titik-titik kecil hitam semakin memenuhi hati yang putih & suci satu ketika dahulu seterusnya menjadi hati hitam yang degil dan susah ditenangkan.

Keempat : Ukhuwah Kian Pudar

Sibuk berjuang sehingga lupa persoalan ukhuwah. Walaupun asas perjuangan ini ialah untuk membentuk ukhuwah yang berlandaskan iman dan takwa. Kesannya, ia dipinggirkan, semangat ananiyyah, penting diri sendiri bermahajalela dalam sanubari pejuang. Sifat dengki, salah menyalah, tidak puas hati berlarutan sehingga memburukkan lagi keadaan. Berapa ramai yang mampu berkongsi perkara atau maddiyyah yang bernilai dengan sahabatnya. Berapa ramai yang rela berkorban, pada senyumnya kita turut tersenyum, pada susahnya kita turut merasainya begitu. Ukhuwahnya bagaikan api, tidak seperti lilin yang sanggup berkorban bagi mengeluarkan walaupun sedikit cahaya demi kepentingan dan kebersamaan. Api itulah juga iblis yang menjauhkan ukhuwah dan kasih sayang. Bagaimanakah para pejuang mampu meneruskan sisa perjuangan dan baki kehidupan ini tanpa motivasi luaran yang penting dalam mengimbangi dan memperkuatkan dasarnya. Lihatlah betapa hebat ukhuwah para sahabiah yang terbentuk dari bimbingan Rasulullah SAW juga pada diri mereka mempunyai kekuatan tarbiyyah dan keilmuan yang cukup mantap dan hebat. Senang dan susah mereka dirasai bersama, kelebihan dan kekurangan mereka dilengkapi bersama. Inilah ukhuwah sejati yang telah dilupai oleh para pejuang masa kini.

Kelima : Motivasi Dalaman & Luaran

Justeru itu, para pejuang perlu kembali menilai semula diri, membuat muhasabah membaiki diri dan kekuatan. Memadai muhasabah diatas sebagai asas kepada nilaian dan kajian semula ke arah pembinaan serta pengislahan diri berbanding mengambil muhasabah kecil yang juga padanya terkandung dari muhasabah-muhasabah pokok tersebut. Kemantapan ilmu dan thaqafah juga tarbiyyah ruhiyyah yang hebat menjadi satu motivasi dalaman yang sangat kuat dan thabat sebagai asas atau teras kepada perjuangan ini. Jiwa-jiwa inilah yang membuat satu ledakan kekuatan kepada ahli gerakan yang lain sebagai salah satu motivasi luaran dalam membina kekuatan gerakan dan survival perjuangan ini. Perlu diingat berapa ramai mereka yang telah gugur yang telah acap kali diulangi di dalam kitab suci al-quran mengenai mereka yang diuji dengan fitnah dunia yang mengelirukan ini. Nescaya tiada kekuatan melainkan pergantungan yang kuat kepada Allah dan menjauhkan diri dari kemurkaanNYA. Kita tidak terlalu merisaui kehadiran kita pada saat ini namun yang dirisaui adalah adakah kita akan tetap thabat dalam perjuangan ini ataupun kita jatuh dan gugur dari landasan perjuangan kita apabila kita benar-benar telah diuji kelak.