Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Khamis, Januari 13, 2011

SHEIKH TAHIR JALALUDDIN AL-FALAKI


SHEIKH TAHIR JALALUDDIN AL-FALAKI

Latarbelakang

Syeikh Tahir Jalaluddin sebenarnya merupakan seorang anak Melayu Minangkabau yang telah berhijrah dan menetap di Tanah Melayu. Di belakang namanya kerap disunting perkataan “Al-Azhari, Al-Falaki Assyahir” iaitu bererti beliau merupakan keluaran Universiti al-Azhar di Mesir dan seorang ahli Falak yang terkenal.

Nama lengkap Syeikh Tahir Jalaluddin ialah Muhamad Tahir bin Syeikh Muhammad. Beliau dilahirkan pada hari Selasa, 4 haribulan Ramadhan, tahun 1286 Hijrah bersamaan 7 haribulan Disember 1869 Masehi di Empat Angkat (Ampek Angkek), Bukit Tinggi Sumatera Barat. Ayah beliau iaitu Syeikh Muhamad merupakan seorang ulamak terkenal di Sumatera. Di dalam masyarakat Minangkabau Syeikh Muhammad lebih dikenali dengan nama Tuanku Muhammad atau Tuanku Tjangking.

Kedua-dua ibu bapanya meninggal ketika Syeikh Tahir baru berusia dua tahun. Oleh kerana Syeikh Tahir masih kanak-kanak lagi ketika ditinggalkan oleh ayah dan ibunya, beliau telah dipelihara oleh ibu saudara di sebelah pihak ibunya. Menjelang usianya lebih kurang sebelas tahun, ibu saudaranya telah menghantar beliau menuntut ilmu di Mekah. Di Mekah beliau tinggal bersama sepupunya Syeikh Ahmad Khatib yang menjadi pemimpin Mazhab Imam Syafie di Masjid al-Haram.

Di Mekah

Syeikh Tahir telah datang ke Mekah pada tahun 1297H (1880 m) bersama datuk sepupunya Haji Abdul Rahman. Di Mekah beliau tinggal bersama Syeikh Ahmad Khatib di dalam pemeliharaan al-Syeikh Muhammad Salleh Kardabi Fidullah al-Kurdi. Pelajaran asas yang diterimanya di sini ialah mengaji al-Qur’an dan mentajwidkan Qur’an daripada Tuan Syeikh Abdul Haq. Pelajaran lain berhubung dengan keugamaan dipelajarinya dari Syed Umar Syah, Syeikh Muhammad al-Khayyat, Syed Barkasyah dan sepupunya sendiri Syeikh Ahmad Khatib. Dalam jangka masa dua belas tahun Syeikh Tahir menetap di Mekah, beliau berpeluang mempelajari ilmu-ilmu ugama dengan mendalam. Banyak daripada ajaran-ajaran sepupunya, Syeikh Ahmad Khatib telah mempengaruhi jiwa Syeikh Tahir teristimewa berhubung dengan masalah amalan beragama umat Islam yang dikatakan bercampur aduk dengan amalan bida’ah. Syeikh Ahmad Khatib juga merupakan seorang guru yang bertauliah bagi masyarakat Jawi di Mekah pada waktu itu. Hasil dari pergaulan dengan Syeikh Ahmad Khatib telah mendorong Syeikh Tahir belajar ilmu agama dengan lebih mendalam lagi dari guru-guru lain di Mekah seperti yang telah disebutkan tadi. Dengan ini ketokohan beliau dari segi keagamaan setanding dengan gurunya yang menjadi kebangaan kepada masyarakat Melayu Indonesia dan Tanah Melayu.

Setelah tujuh tahun berada di Mekah, pada tahun 1304H (1884 M) beliau pulang ke tanah airnya, Minangkabau. Pada tahun berikutnya beliau kembali semula ke Mekah untuk menyambung pelajarannya. Beliau telah berkahwin buat pertama kalinya pada tahun 1306 H. (1886 M) dengan seorang gadis bernama Aisyah binti Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Al-Khalid Kabul. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya itu mereka beroleh dua orang anak tetapi kedua-duanya meninggal dunia di Mekah ketika Syeikh Tahir berada di sana.

Semenjak beliau tinggal di Mekah pada tahun 1297 H (1880 M.), beliau mula mendalami ilmu al-Quran. Seterusnya beliau mempelajari Ilmu Nahu (grammer), Bayan (Ilmu ucapan dan keterangan yang fasih), Ma’ani (ilmu makna-meaning), Badi’a (ilmu boleh mengenal pertuturan), Tauhid (ilmu mengenal Tuhan), Fekah (ilmu undang-undang), Usul Fikah (ilmu mengetahui asal undang-undang), Hadis (ilmu mengetahui perkataan, perbuatan dan kelakuan Rasul), Tafsir (ilmu menghuraikan makna-makna al-Qur’an), Hisab (ilmu kira-kira), Hisab Bidasab (Ilmu kira-kira sukat menyukat), Hai-ah (ilmu bintang) dan ilmu Falak (ilmu membicarakan matahari, bulan dan bintang-bintang beredar). Berdasarkan ilmu yang dipelajarinya itu adalah tidak menghairankan jika dia sangat mahir dalam soal yang berhubungan dengan masalah agama Islam.

Di Tanah Melayu

Syeikh Tahir dikatakan telah datang ke Tanah Melayu menjelang tahun 1899. Dalam tahun itu beliau telah mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis Perak dari suku Rawa, bernama Aishah binti Haji Mustafa binti Datuk Menteri pada 28hb September 1899. Didapati beliau ini seorang yang tidak mudah berasa senang hati untuk tinggal menetap di satu-satu tempat. Sehingga tatkala beliau menetap di Tanah Melayu, beliau kerap belayar ke negeri-negeri di Indonesia dan negeri-negeri Timur Tengah, melawat sanak saudara, memberi ceramah-ceramah ugama dan sebagainya.

Di Perak setelah Syeikh Tahir berkahwin dengan isterinya Aishah binti Datuk Menteri, beliau mula menjalankan kerja-kerja harian untuk menyara keluarganya. Boleh dikatakan beliau seorang yang suka hidup berdikari. Pada tahun 1900 M. beliau pernah membuka kedai kain di Ipoh. Asas perniagaan ini dimulakan oleh bapa mertua beliau yang dikatakan agak `berada’ juga. Namun demikian kerja berjual kain itu hanya berjalan setakat setahun sahaja. Selepas itu beliau telah belayar lagi ke Kepuluan Indonesia pada tahun 1901 melalui Tanah Jawa, Bali, Beliling, Ampanan, Sumbawa, Bima dan Makasar. Dalam lawatannya itu ada kemungkinan beliau telah menyebarkan buah fikirannya mengenai ilmu agama ditempat-tempat yang di lawatinya.

Dalam tahun yang sama beliau berpindah pula ke Johor Baharu. Di Johor Baharu beliau dijemput oleh Yang Mulia Tengku Omar bin Ahmad, Hakim Besar Johor, bagi mengajar hakim-hakim pengadilan di mahkamah Johor. Diantara hakim-hakim yang mendapat tunjuk ajar beliau ialah Ungku Ismail bin Ahmad, Ungku Abdul Rahman bin Abdul Majid dan lain-lain pengadil bangsa Melayu. Tugas mengajar hakim-hakim tersebut berlangsung selama lebih kurang tiga tahun. Dalam masa beliau bertugas inilah, Sultan Idris (1887-1916) sebagai Sultan Perak mengajak beliau ke London kerana menghadiri kemahkotaan King George pada 22 Jun, 1911.

Pada 3hb Julai 1912 beliau meletakkan jawatan sebagai guru kepada hakim-hakim di Johor Baharu, dan mulai tahun 1914 beliau bertugas pula sebagai guru di sekolah Agama Johor Baharu dan menjadi Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor (Nazir). Ternyata kemudian sewaktu menjawat jawatan tersebut beliau berasa tidak puashati dengan system pendidikan dan cara pentadbiran sekolah-sekolah agama waktu itu. Dalam suratnya kepada Yang Di Pertua Jabatan Pendidikan Negeri Johor, beliau menyatakan dukacitanya kerana “tidak boleh menjalankan peraturan pelajaran yang terlebih berfaedah dan berguna bagi kanak-kanak yang belajar”. Beliau akhirnya meminta berhenti kerja pada tahun 1916.

Dua tahun setelah kembali ke Perak pada tahun 1920, beliau telah diminta oleh rakan seperjuangan Syed Syeikh bin Ahmad Al-Hadi, untuk menjadi guru di Madrasah Al-Masyhur Al-Islammiyah di Pulau Pinang bersama-sama seorang rakannya Syeikh Abdullah Maghribi. Khidmat beliau di Madrasah itu pun tidak lama kerana beliau telah jatuh sakit. Di Al-Masyhur beliau ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Ilmu Falak kepada pelajar-pelajar Madrasah itu. Dan menjelang tahun 1923, beliau berangkat pula ke Medan dan Deli untuk berubat dan melawat tanah tumpah darahnya Minangkabau selama enam bulan.

Sebagai seorang ahli falak

Sebagai seorang alim yang mempunyai kedudukan baik dimata masyarakat, beliau begitu dihormati. Jawatan-jawatan yang dipegangnya semasa berada di Perak dan juga di Johor membuktikan tenaga dan ilmunya mendapat perhatian. Pengetahuannya banyak dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakatnya. Beliau sering diberi kepercayaan untuk membantu menyelesaikan masalah hukum agama berdasarkan keilmuannya yang luas baik di dalam Ilmu Falak mahupun yang berhubung dengan soal keagamaan.

Sebagai seorang ahli Falak, beliau sering dihadapkan dengan pertanyaan-pertanyaan berhubung dengan cara menggunakan Ilmu Hisab bagi menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya. Banyak daripada pertanyaan-pertanyaan tersebut datang dari penduduk di Tanah Melayu mahupun dari Indonesia. Pandangan beliau mengenai tarikh kemunculan anak bulan Ramadhan atau pun bila berlakunya gerhana matahari, sering kali disiarkan diakhbar-akhbar tempatan. Selain itu beliau juga sangat mengambil berat tentang amal kebajikan di dalam masyarakatnya. Misalnya beliau sangat memberatkan pentingnya sesebuah masjid itu mempunyai kiblat yang betul dan tepat mengikut hala Kaabah di Mekah. Beliau berpendapat bahawa sembahyang tanpa menghadapi arah kiblat yang tepat adalah tidak sah. Dengan itu beliau merasa bertanggungjawab bagi membetulkan kiblat masjib oleh kerana beliau memahami Ilmu Falak.

Memandangkan betapa pentingnya kiblat bagi syarat sah sembahyang orang Islam, Syeikh Tahir pernah dilantik oleh Sultan Idris, Perak untuk menjadi pemeriksa kiblat diseluruh negeri Perak. Beliau pernah melahirkan kekesalannya kerana terdapat banyak mihrab masjid yang tidak sehala dengan arah kiblat. Misalnya ketika beliau menjadi pemeriksa kiblat masjid-masjid di Perak pada tahun 1900 beliau telah melapurkan bahawa terdapat banyak masjid-masjid di Tanah Melayu tidak menuju hala kiblat yang tepat seperti mana yang berlaku kepada masjid di Teluk Anson, Perak. Selain itu didapati juga masjid-masjid di Pulau Pinang, masjid di Kuala Lumpur dan Masjid Sultan di Kampung Gelam, Singapura turut tidak mengikut hala kiblat yang betul. Ekoran dari timbulnya kekeliruan dalam hal berkaitan dengan hala kiblat masjid, Syeikh Tahir telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan dua buah buku. Buku Pati Kiraan pada menentukan waktu yang Lima dan hal Kiblat dengan Logarithma, diterbitkan di Singapura melalui al-Ahmadiah Press pada tahun 1938. Seterusnya pada tahun 1951 diterbitkan pula buku Natijah al-Ummi (pendapat kira-kira pada takwim tarikh Hijrah dan Miladi, hala kiblat Mazhab Shafii).

Keilmuan beliau dalam bidang Ilmu Falak menyebabkan beliau digelar sebagai Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Falaki. Mengenai pentingnya ilmu falak itu beliau pernah menyatakan bahawa: “Ilmu Falak itu suatu ilmu yang mulia bagi menyukat, menimbang perjalanan bulan dan matahari”. Kenyataan beliau itu dilihat bersesuaian dengan sabda Rasul Allah yang mengatakan, “sebaik-baik hamba Allah itu mereka yang mengintai-intai matahari dan bulan dan naung bagi mendirikan sembahyang”. Berdasarkan kepada sabda Nabi itu Syeikh Tahir sangat menitik beratkan kepentingan mempelajari Ilmu Falak. Pentingnya pengetahuan ilmu Falak bagi orang Islam dikatakan berkait rapat dengan soal kiblat dalam sembahyang, menentukan waktu sembahyang serta menetapkan tarikh berpuasa dalam bulan Ramadhan dan berhari raya.

Kemahiran Syeikh Tahir dalam bidang Ilmu Falak menunjukkan beliau mempunyai minat yang mendalam tentang Ilmu Hisab atau matematik. Beliau turut mengecam mereka-mereka yang tidak mahu menghargai kepentingan Ilmu Hisab untuk menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya. Menurut Syeikh Tahir penggunaan cara Hisab untuk menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya adalah penting terutama jika berlaku cuaca buruk yang tidak memungkinkan kelihatan anak bulan untuk menandakan hari mula berpuasa dan berhari raya. Menurut beliau bagi mereka yang tidak mahu menggunakan kaedah Hisab untuk menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya samalah juga mereka itu seperti manusia yang jahil. Kejahilan mereka menyebabkan mereka hanya mengikut pendapat orang hingga menyebabkan berlaku puasa yang terdahulu sehari daripada sepatutnya dalam bulan Ramadhan.

Dalam soal kiblat pula beliau mengatakan orang Islam wajib mempelajari arah kiblat, dan wajib pula menyebarkan pengetahuannya itu. Mengenai hal ini beliau mengatakan:

Tiada boleh `berijtihad’ pada kiblat itu melainkan orang yang ada celik matanya dan mengetahui dalil-dalil kiblat seperti bintang-bintang, matahari dan bulan dan selemah-lemahnya angin dan sekuat-kuatnya khutub dan tiada boleh ia bersandar semata-mata sangka dengan tidak tanda dan dalil.

Beliau juga berpendapat bahawa orang-orang yang buta dikecualikan daripada mempelajari dalil kiblat demikian juga orang-orang celik yang tidak mampu mempelajarinya. Betapa pun mereka harus mengikut petunjuk orang-orang yang arif tentang dalil kiblat.

Kenyataan-kenyataan beliau yang disiarkan diakhbar-akhbar mengenai banyaknya masjid-masjid di Tanah Melayu dan Sumatera yang tidak mengikut hala kiblat, akhirnya menimbulkan kesedaran orang ramai. Kesannya di Tanah Melayu orang ramai juga turut mengakui banyak daripada masjid-masjid di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan lain-lain tidak mengikut hala kiblat yang betul. Mengenai keadaan ini seorang pembaca pernah mengulas:

Kedudukan ugama kita adalah di dalam kucar kacir. Satu-satunya yang menjadi suasana di dalam masyarakat ugama kita ialah masalah kiblat masjid dan masalah ini telah menjadi soal yang hangat di dalam masyarakat ugama kita.

Meskipun kesan daripada persoalan kiblat ini membuka mata masyarakat tentang banyak kesilapan hala kiblat yang berlaku di masjid-masjid Tanah Melayu, namun pendedahan ini menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pihak-pihak tertentu. Misalnya Syeikh Tahir pernah dibicarakan oleh mahkamah di Pulau Pinang oleh kerana beliau menjalankan penyiasatan letak kiblat di masjid Pulau Pinang. Pendapat beliau juga pernah ditentang oleh seorang pembaca akhbar yang menganggap soal kiblat itu tidak penting digembar-gemburkan, memadailah jika sembahyang menghadap kekiri atau kanan kiblat.

Melihat kepada ramai lagi mereka yang tidak memahami Ilmu Falak dan kepentingannya dalam soal agama, beliau terus menyebarkan ilmunya walaupun ketika beliau sudah tua dan uzur. Kegigihannya menyumbangkan tenaga untuk menyebarkan pengetahuan ini amat jelas kelihatan. Misalnya ketika beliau berusia 79 tahun beliau telah pergi ke Bangkok di Thailand untuk mengajar kira-kira hala kiblat. Menjelang usia 83 tahun, Syeikh Tahir dijemput pula oleh pihak Jabatan Agama Johor untuk mengajar Ilmu Falak kepada kakitangan jabatan itu. Ini dilakukan selama enam bulan dengan berulang alik dari Kuala Kangsar ke Johor Baharu.

*berdasarkan kertas kerja Mohd Sarim Hj. Mustajab, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah

Tiada ulasan: