Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Ahad, Mac 01, 2009

Seputar di Pilihan Raya pertama JPP, IPGM Kampus Pulau Pinang.

Jika dikatakan ini fenomena baru dalam lembar hidup pelajar IPTA, tidak. Tetapi buat warga guru pelatih IPGM Kampus Pulau Pinang, ya. Pilihan raya pertama dijalankan dengan bauran pandangan positif dan negatif.

Saya melihat pilihan raya pertama ini benar-benar mewarnai kancah organisasi tertinggi bagi pelajar khususnya. Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP), iaitu bukan sekadar lantikan semata-mata tetapi membuka satu ruang untuk menggali tunjang demokrasi dalam menyuarakan pendapat dan idea-idea yang selama ini mungkin tidak terluah dek kekangan sistem pemilihan JPP yang asal.

Tanggal 6 Februari menyaksikan ‘gelanggang’ suara demokrasi dibuka dengan proses penamaan calon dilaksanakan dengan kehadiran 52 orang calon di Dewan Agong IPGM Kampus Pulau Pinang.

Seusai proses penamaan calon ini, saya cuba membuka sudut pandangan sebagai seorang penganalisis politik, tapi sukar. Saya buka pandangan sebagai penulis, masih sukar. Saya buka pandangan sebagai pemikir, tetap sukar.

Saya buka pandangan sebagai guru pelatih, ah! Baru ada sinar. Benarlah, hendak capai tingkat akhliah paling tinggi memang payah. Kita sisihkan dulu perihal itu. Begini, secara kasarnya pilihan raya ini memberi peluang kepada guru-guru pelatih untuk memilih siapa pemimpin yang mereka yakini mampu membawa sebuah revolusi.

Revolusi dalam acuan bagaimana, itu yang masih menjadi tanda tanya. Semua itu disandarkan pada calon-calon yang mengandar ikrar dan janji. – pastinya janji yang manis belaka.

Di sini saya lihat sesuatu yang positif apabila pihak institut menerapkan pilihan raya sebagai satu usaha memilih kepimpinan guru pelatih.

Jika sebelum ini, (tidak keterlaluan untuk saya katakan) pemilihan kepimpinan pelajar hanya sekadar ‘muat turun’ sahaja, tetapi sistem demokrasi ini meletakkan kuasa semua warga IPGM untuk menentukan siapa yang lebih layak dan mampu mereka terima dengan seadanya.

Selain itu, pendedahan ini mampu memudahkan guru-guru pelatih untuk menghadapi cabaran dunia politik yang sebenar setelah melangkah keluar dari persekitaran kampus.
Beralih kepada perjalanan pilihan raya pertama IPGM Kampus Pulau Pinang.


Tidak lengkap bagi sesebuah pilihan raya itu tanpa proses pembentangan manifesto. Hari sabtu bertarikh 14 Februari 2009, hampir seluruh warga IPGM Kampus Pulau Pinang memenuhi Gelanggara untuk mendengar pembentangan manifesto yang julung-julung kalinya.

Di sinilah kepimpinan dan kematangan calon terserlah melalui komunikasi untuk menyampaikan idea dan fikrah. Potensi dan kredibiliti juga mampu dilihat melalui cara penyampaian manifesto mereka.

Biarkan warga guru pelatih sendiri yang menilainya kerana ini mampu melatih sisi kritikal mereka untuk memilih pemimpin negara kelak- semestinya dalam pilihan raya yang sebenar. Hal ini kerana, cara inilah yang paling relevan.


Secara keseluruhannya, saya melihat inti manifesto cukup lemak dan lekit dengan ikrar dan janji-janji manis. Terangkul di benak kita semua, dan mengharapkan ianya bakal ditunaikan.

Medan ini bukan sekadar medan menabur janji, tetapi harus disertai dengan istiqamah yang mapan. Terngiang-ngiang sorak-sorai guru-guru pelatih yang teruja dengan apa yang dijanjikan.

Saya melihat semua calon, calon beragama islam khususnya, perlu memiliki kekuatan dengan ciri al-mu’minu`l-qawiyy (mu`min yang kuat) dan keunggulan peribadi al-qawiyyu `l’-amin (watak yang gagah dan amanah).

Semua ini memang sukar dilihat dengan mata kasar, tetapi hanya jelas terpancar jika ditatap dengan mata hati. Bukankah kita sendiri tahu, manusia itu seorang pemikir sebetulnya.


Saya sempat menangkap kata-kata dari seorang calon (saya lupa namanya). Katanya, “ Saya akan selesaikan semua masalah yang anda hadapi. Masalah anda, keutamaan saya.” Hebat bunyinya.

Kita harus realistik, pemilihan peringkat pelajar/guru pelatih ini bukan bermakna semua masalah mampu diselesaikan sepenuhnya. Seharusnyaa kata-kata sebegini perlu diteliti kembali.

Mungkin berkesan untuk memantapkan semangat dan keyakinan tetapi unsur-unsur sebegini mampu menjerumuskan kita ke lembah kelam penyakit hati. Nau’zubillah. (Mungkin saya overthinking, wallahua’lam).

Seharusnya calon melihat jawatan itu sebagai buah yang sekun untuk dipetik tetapi penuh duri di dalamnya.

Jangan terlalu keterlaluan dalam menjanjikan sesuatu hingga menyebabkan orang lain muak seolah-olah mereka mampu merubah dunia sedangkan ia cubaan kecil sebelum jawatan besar di dunia nyata nanti.

Walau apapun , saya tetap meyokong proses pembentangan manifesto ini kerana ia mampu membina keberanian dalam generasi muda untuk lantang bersuara tetapi diiringi dengan hikmahnya.

Bukan sekadar percakapan kosong yang memualkan. Selain itu, skop pandangan juga mampu diluaskan dan diperkembangkan untuk menyelongkar isu-isu yang melanda segenap jihat dunia.

Tiba hari pembuangan undi pada 18 Februari 2009, bermulalah pemilihan dan penilaian yang sebenar bagi warga IPGM Kampus Pulau Pinang untuk memilih barisan kepimpinan mereka. Biarlah, saya mahu juga sentuh isu ini.

Hendak dikatakan kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun, tidaklah wajar diletakkan kesilapan ini sepenuhnya kepada mereka, sementelah ini pilihan raya pertama.

Tetapi, kesilapan meletakkan nama calon dalam jawatan yang salah di atas kertas undi menyebabkan ketidakpuasan hati bagi penyokong-penyokong calon berkenaan.

Sebolehnya, pilihan raya kampus ini tidak mewujudkan satu pengakhiran yang berpalit sentiment benci-membenci, fitnah-menfitnah, tuduh-menuduh dan penuh dengan putar belit dan manipulasi seperti politik kepartian di luar sana.

Namun saya yakin, ini hanya sekadar kesalahan teknikal semata-mata. Mudah-mudahan.
Apa yang dapat saya simpulkan, terlalu banyak yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa untuk menggapai mutu dan kualiti pilihan raya yang bertaraf tinggi.

Nah! Pemenang bagi setiap jawatan memang bertepatan dengan hasrat hati warga IPGM Kampus Pulau Pinang- kerana itu pilihan mereka sendiri. Gabungan ‘lama’ dan ‘baru’, tampak kemas dan padu. Moga revolusi yang digembar-gemburkan terlakar pada kanvas putih perjalanan IPGM Kampus Pulau Pinang bagi tahun ini.

Pilihan raya bukan setakat pilihan raya. Bukan sekadar menyebar, menampal, menggantung poster untuk promosi diri, bukan sekadar melaungkan janji dan manifesto yang tak pasti, bukan sekadar duduk menunggu kiraan undi, bukan sekadar untuk bermegah diri, bukan sekadar kelihatan berintelektual tinggi.

Ini sebuah amanah dan takhlif makin berganda. Asingkan tasyrif yang merengsa dada. Terus mara, ke jalan mustaqim.

Bingkisan tinta di jalan dakwah , Ukht Aini PAI IPPPP

PIBG seluruh negara bantah PPSMI


PIBG seluruh negara bantah PPSMI

Malaysiakini.com/bm
Jimadie Shah Othman | Feb 26, 09 1:57pm
Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.

Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.

"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.