Pejam, celik, pejam celik,bertemu lagi kita dengan bulan yang dirahmati , bulan yang diberkati , bulan yang sentiasa diingati , penghulu kepada bulan-bulan iaitu bulan Ramadhan . Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan , terlintas di kepala saya (barangkali turut terlintas di fikiran saudara-saudari) tentang puasa sepanjang harinya, tarawih pada malamnya , sahur dan berbuka pada permulaan dan pengakhiran puasa dan sebagainya .Puasa juga mengingatkan saya tentang zakat fitrah , tentang betapa ramainya manusia berpusu-pusu untuk melakukan ibadah dan laungan selawat di setiap corong masjid. Bulan inilah yang sentiasa dinanti-nantikan . Tidak salah rasanya jika dikatakan bulan inilah yang menjadi simbol amalan pengibadatan UMAT MUSILIMIN seantero dunia.
Saya teringat semasa kecil-kecil dahulu ,setiap kali mengaminkan doa-doa di masjid-masjid, sering kedengaran doa-doa yang antara lain memohon kepada Allah supaya dipanjangkan umur dan dipertemukan kembali dengan bulan Ramadhan yang akan datang .Doa ini begitu masyhur di mana-mana sahaja. Bila ingatan itu kembali , perasaan sayu datang menerpa. Serta-merta diri ini tertanya-tanya , “adakah umur aku mampu mencapai Ramadhan seterusnya?” Amalan aku sudah cukup ke belum ?” dan banyak lagi ‘monolog dalaman’ bergema dalam diri .Jawapan yang pasti - Tiada siapa yang tahu ! Berkenaan dengan umur ini , saya sentuh sedikit berkenaan dengan junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Walaupun baginda merupakan makhluk yang paling rapat dengan Tuhan Pencipta , namun ajal maut baginda, baginda sendiri tidak mengetahuinya. Dalam suatu sirah yang masyhur , baginda dikatakan khatam Al-Qur’an dengan jibril sekali pada bulan Ramadhan pada setiap tahun . Namun menjelang tahun kewafatan baginda , jibril datang 2 kali dalam bulan Ramadhan tersebut untuk diperdengarkan bacaan Al-Qur’an . itulah tanda yang diberikan Allah untuk memberitahu bahawa saat penghujung hayat baginda hampir sampai .Begitu nostalgiknya dan terkesannya doa tersebut kepada saya , dan mungkin juga kepada saudara-saudari di luar sana. Bulan inilah yang sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam yang syahadatain ada dalam ceruk jiwanya, kalimat Allahu Ahad bergema di bibirnya dan Izzah Islam dalam dirinya.
Jika diteliti dengan mata kasar , sebenarnya budaya orang kita( merujuk kepada orang Islam Malaysia khasnya dan umat Islam di dunia khususnya) sering menganggap hanya bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah ,hanya bulan Ramadhan sahaja bulan untuk bertaubat bahkan ada yang menganggap hanya bulan ini bulan kena elak maksiat. Memang benar pada bulan inilah yang sepatutnya kita menambahkan amalan kebaikan kita , namun bila segala perbuatan kita disandarkan atas bulan-bulan tertentu sahaja untuk mengelakkan maksiat, bulan-bulan tertentu sahaja untuk menambahkan ibadat, sebenarnya ia lebih melambangkan kejahilan si pelakunya . Tidak keterlaluan jika dikatakan hipokrasi .Sebagai contoh ,kita akan melihat ramai manusia-manusia yang di luar sana ,akan berderu-deru ke masjid ataupun surau apabila tiba Ramadhan , namun hilang lesap apabila Ramadhan yang diberkati ini berlalu. Pelik. Janggal. Aneh. Namun inilah realiti yang sedang melanda UMAT Islam Malaysia (saya ambil contoh Malaysia) sekarang. Umpama suatu ‘kewajipan’, bahkan terkadang dilihat sebagai persoalan hidup dan mati untuk melaksanakan ibadat dalam bulan Ramadhan .Rela bersakit berhujan untuk menunaikan ibadat dalam bulan Ramadhan , dan hanya dalam bulan Ramadhan! Dilihat bagus namun bermusim !
Mungkin mentaliti seperti ini ada juga baiknya . Bayangkan sendiri bila tiada beza suasana umat Islam tempatan sama ada pada bulan Ramadhan dengan bulan-bulan selain Ramadhan . Tentu lain rasanya . Suasana yang dimaksudkan adalah seperti kedatangan ke masjid ,ke surau , dari segi amalan harian yang wajib dan sunat serta pengawalan tingkah laku dan sebagainya. Bayangkan sendiri kaki yang suka bertemu janji (“dating” bahasa yang diterima pakai) akan berhenti ‘dating’ bila sahaja tibanya bulan Ramadhan . kaki rokok pun sahut kempen kerajaan “ nafas baru sempena Ramadhan” , kaki lepak berbondong-bondong ke masjid-masjid atau surau-surau untuk solat berjemaah dan banyak contoh lagi. Betapa besar pengaruhmu , wahai Ramadhan yang ku rindui!
Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan Fardhu, seolah-olah dia telah mendapat 70 pahala Fardhu di bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan amalam-amalan Sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan-amalan Fardhu di bulan-bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar. Ia adalah bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari Neraka…” (Riwayat Ibn Khuzaimah). Begitu besarnya ganjaran yang Allah S.W.T berikan kepada hamba-hamba-Nya yang tekun beribadah kepada-Nya pada pagi dan petang. Sebagai seorang hambaNya yang serba dhaif dan kekurangan , bulan inilah yang sepatutnya digunakan untuk menambahkan lagi pahala kita dengan peribatan . Namun harus ditekankan di sini , KEIKHLASAN menjadi syarat utama amalan bukan setakat pada bulan Ramadhan tapi bulan-bulan yang lain juga.
Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadhan ialah:
1) Memahirkan diri dengan segala rukun,sunat,harus,makruh yang berkaitan dengan puasa di bulan Ramadhan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.
2) Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajjud, untuk mendekatkan diri pada Allah, dan membiasakan tahajjud di bulan Ramadhan.
3) Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang telah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.
4) Menyediakan diri dengan kurang makan dan berpuasa, namun perlu diingat dengan sabda Nabi saw dari Abu Hurairah;
Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa (riwayat Muslim)
5) Strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran. Pada bulan ini kita mempunyai kelebihan kerana musuh ketat manusia telah di rantai, sebagaimana sabda Rasulullah saw dari Bau Hurairah;
Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka
serta syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Muslim)
6) Melatih diri semua sifat Islamiah seperti sabar, kurang bercakap lagha dan keji, menjauhi mengumpat dan mengata, dan perbanyakkan senyuman kepada semua sahabat.
Jadi sahabat sekalian, sematkan azam masing-masing untuk kita memperbanyakkan amalan fardhi dan amalan dakwah kita di bulan Ramadhan yang telahpun tiba. Persiapkan mental mulai sekarang dan tekunlah istiqamah dengannya.
Doa kita..Allahumma Balligna Ramadhan…amen….
Sempena ramadhan yang mulia ini, sama-samalah kita membuat refleksi amalan kita, membuat koreksi atas kelemahan kita serta membaiki segala aspek kehidupan kita. Jadikanlah Ramadhan ini sebagai suatu batu loncatan bagi kita untuk menggapai maghfirahNya. Ketahuilah , wahai saudara-saudaraku , kita sebenarnya beruntung kerana dibenarkan untuk memasuki sekolah paling ulung di seluruh alam, iaitu sekolah Ramadhan oleh Pengetua sekolah sendiri, iaitu Allah s.w.t.