Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim
Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan

Khamis, Februari 11, 2010

PAKATAN RAKYAT DAN AGENDA RAKYAT DI PULAU PINANG


Pendahuluan

Rakyat menaruh harapan dan amat terpengaruh dengan janji-janji PR untuk membela nasib rakyat yang terpinggir di P.Pinang.Ia merupakan cahaya dihujung jalan setelah mengalami masa kelam yang panjang. Pembangunan pesat tetapi rakyat merempat. Hendak mendapat satu unit rumah pun susah apa lagi tapak berniaga.
Sedangkan keperluan asas adalah tanggung jawap kerajaan untuk menyediakannya secara teratur. Dasar Pengkorparatan menjadikan kerajaan banyak melepaskan tanggung jawap sosialnya. Rakyat kehilangan pergantungan.
Laungan REFORMASI menandakan era peralihan. Bermakna perubahan dan kebangkitan sudah tiba. Di tambah pula dengan penegasan kuasa rakyat adalah kuasa keramat. Pakatan Rakyat adalah sebuah bentuk permuafakatan yang mengutamakan rakyat . Semestinya ia mempunyai AGENDA RAKYAT lebih daripada BN yang melaungkan RAKYAT DIDAHULUKAN.

Sebelum PRU Mac 2008, apa saja rintihan rakyat mendapat simpati DAP, PKR dan PAS. Menjelang PRU 2008, Datuk Sri Anwar Ibrahim turun padang menelusuri isu rakyat ke segenap ceruk rantau, turun ke akar umbi. Beliau ke Kampung Buah Pala memberi jaminan PR akan membela rakyat jika menang. Lim Guan Eng pun begitu.
Beliau sangat peka terhadap isu rakyat. Tokoh ini menjenguk dan menyelami isu rakyat Kampung Tg To’kong dua kali, sebelum dan selepas kemenangan PRU 12. Apa pula yang berlaku selepasnya, mesrakah muafakat mereka bersama rakyat. Rakyat yang meletakkan mereka di takhta menuntut keadaan yang terlebih baik daripada sebelumnya.

MUHASABAH

Renungan ini untuk menilai PR sebagai muhasabah awal sebelum menghadapi PRU ke 13. Rakyat sedang menilai dan menganalisis tindak-tanduk mereka.PR perlu peka, memperbaiki imej di P. Pinang . Rakyat sedang menekuni dasar-dasar dan hala tuju mereka. Jeritan rakyat wajar didengari. Mereka perlu sensitif terhadap tanggapan yang sedang terbina kini .
Bahawa terdapat kegelisahan terhadap dasar-dasar mereka yang bersifat menyakiti rakyat. Mereka harus mempamerkan model kerajaan yang telus dan tuntas. Kerajaan yang perihatin terhadap rakyat tertindas. Gejolak rakyat diperhati. Mesejnya difahami. Jika mereka hendak terus berkuasa, mesti tonjolkan model terbaik.

Tinjauan ini untuk menilai apa yang berlaku sebelum dan selepas PRU 12, melihat corak pemerintahan yang diamalkan supaya jelas terbeza di antara PR berbanding dengan BN. BN dikatakan membelakangki rakyat walau pun diberi peluang 50 tahun lebih memerintah. Natijahnya rakyat terpinggir. Dasar penswastaan telah meminggirkan rakyat kerana mengutamakan korprat. PR baru 2 tahun berkuasa.
Tidaklah adil untuk menghukum mereka. Namun mereka harus peka untuk menghindarkan kecelakaan yang bakal menimpa. PR mesti berwaspada. BN yang lebih berpengalaman sedang menunggu-nunggu peluang untuk membelasah mereka,menggunakan isu yang sekecil-kecilnya.

Isu-isu di bawah ini dianalisis berdasarkan insiden 2009-2010 untuk dipertimbangkan secara objektif. Penilaian yang adil mesti dibuat untuk menilai prestasi PR daripada kaca mata rakyat yang terlibat. Rakyatlah penilai yang sebenar.
Jawapannya akan menentukan jangkaan apa yang bakal terjadi. Rakyat berpengharapan tinggi pada sebuah kerajaan yang telus,bersih dan adil. Kerajaaan pro rakyat. Rakyat telah lama diketepikan daripada arus ekonomi perdana. Mereaka dianggap sampah yang tidak berguna.Justeru timbul gerai-gerai haram untuk mencari rezeki secara halal. Perancangan mesti dibuat untuk menempatkan semula sektor penjaja secara teratur.Itulah pembaharuan yang dipinta, menguntungkan kerajaan, rakyat dan ekonomi mikro kerakyatan yang berpotensi besar.


REAL POLITIK

Jalan politik adalah berliku- liku. Kita berfikir secara biasa orang politik berfikir secara luar biasa, di luar kotak logika. Banyak yang tersirat daripada yang tersurat. Banyak tangan-tangan ghaib yang bermain di belakang tabir. Namun orang yang arif cepat mengerti kelibat dan permainannya.Terkilat ikan di air sudah tahu jantan betinanya.
Ahli-ahli politik adalah sama, mereka bukannya nabi yang maksum tanpa dosa.Mereka adalah manusia biasa yang istimewa, aktor paling tersohor. Mereka memang pandai memperagakan watak pembela rakyat di pentas ucapan. Dalam masa yang sama mesra dengan korprat yang berkemungkinan besar menjadi kroni dan sekutu mereka.
Ahli politik mudah berubah dan bermungkinan tergiur menyalahgunakan kuasa.Kuasa yang sering ditafsirkan sebagai amanah tetapi yang dipraktikkan kesempatan untuk menjarah. Politik membawa serba kemungkinan yang tidak terduga. Ukuranya rakyat terbelakah ?

Rakyat boleh menumpang rahmat jika para pemimpinnya beramanah seperti nabi dan para sahabat terawal. Mahatma Ghandi pernah mengungkapkan bahawa bumi ini cukup buat memenuhi keperluan setiap manusia tetapi menjadi tidak cukup untuk memenuhi nafsu serakah setiap insan tamak dan haloba. Lebih malang lagi jika mendapat pemimpin yang jauh semanggang dari api daripada sifat-sifat yang terpuji.
Hanya menjadikan ucapan nabi sekadar retorika buat memukau pesona rakyat dalam masa singkat. Realitinya keadaan hidup rakyat tetap tidak berubah. Pi mai pi tok tang tu jugak atau lebih gawat lagi. Isu – isu di bawah boleh dijadikan sandaran untuk melihat fenomena dan menilai keperihalannya.
Adakah agenda rakyat di dahulukan, dapat pembelaan yang wajar atau sebaliknya.Isu –isu di bawah dikaji untuk membongkar punca mengapa ia jadi sebegitu rupa.Di zaman BN mereka masih boleh bernafas.Tentu di era PR mereka boleh menarik nafas lega. Sebagai kerajaan, mereka perlu adil, menghindari kesewenangan.

ISU KAMPUNG BUAH PALA

Sebelum PRU 12, BN terima 10 peratus wang pendahuluan penjualan tanah Kampung Buah Pala daripada Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri P.Pinang. Tanah tersebut bernilai ratusan ringgit sekaki per di pasaran tetapi dijual dengan harga kurnia oleh BN.Manakala selepas PR menang, Kerajaan negeri P.Pinang yang diterajui DAP di mana CM memegang portfolio tanah menerima yang selebihnya.

Penduduk kampung Buah Pala mendakwa bahawa tanah itu telah di kurnia dan di amanahkan oleh pihak ”Brown Estate” untuk tapak kediaman mereka sebelum merdeka. Mereka telah menang round pertama penghakiman ke atas tanah yang dipertikaikan itu di Mahkamah Tinggi P.Pinang. Ini bermakna ada asas yang kuat untuk menuntut.
Terdapat permintaan supaya mereka diberi peluang untuk membeli tanah yang dihuni ratusan tahun daripada pihak berwajib yang memegang amanah. Dari segi prinsip Islam, tanah adalah hak pihak yang meneroka, mengusaha dan mendudukinya terlebih dahulu secara sah.Pada prinsipnya mereka mesti diberi keutamaan bukan yang datang kemudian. Hakikatnya Kampung Buah Pala adalah warisan penempatan India terawal di P.Pinang.

Jelas kerajaan negeri yang terbentuk selepas PRU 12 telah menerima wang baki 90 peratus daripada koperasi tersebut. Penerimaan ini mungkin kerana tersilap pandang atau tergesa-gesa untuk mengisi perbendaharaan kewangan negeri. Tindakan ini menyebabkan Kerajaan negeri PR tidak ada hak lagi untuk mempertahankan tanah tersebut demi kepentingan rakyat secara tulin.Tanah telah berpindah milik dengan kebenaran kerajaan negeri kepada pemilik dan pemaju.
Jika kerajaan negeri menahan dan mengkaji semula kesahihan syarat –syarat kelulusannya semasa BN , keadaan pasti berpihak kepada penduduk. Ini baru jelas dasar PR yang pro rakyat. Walau pun rakyat telah bangkit melawan tetapi hak mereka telah diinjak-injak, harapkan pagar pagar makan padi.
Mereka kehilangan tonggak pelindung, walau pun sebelumnya diberi jaminan yang kuat untuk membela. Mereka menjadi mangsa keadaan. Kerajaan telah berubah tetapi tidak berpihak kepada mereka. Mereka menyahut seruan PR - UBAH DEMI MARUAH UPAH SEBELUM PARAH. Namun merekalah yang parah.

PERSOALAN

Di sini timbul persoalan, adakah isu-isu rakyat minoriti tidak lagi menjadi keutamaan PR selepas kemenangan, di mana DAP adalah tonggak dan pemain utama. Mereka mendapat undi dan mandat penuh masyarakat Cina, jadi tidak perlu peka lagi kepada kaum lain. Gambaran yang terpantul secara kebetulan ialah sikap perkauman yang masih menebal pada imej DAP.
Jika isu ini ditangani dengan baik, PR akan mendapat kredit dan laluan mudah ke Putraya Jaya. Imej DAP jelas terpancar sebagai parti yang mengutamakan semua. Mereka tidak perlu berkempen banyak untuk membuktikannya pro rakyat, tidak perkauman dan double standard. Lebih mudah menghadapi BN kerana terbukti mereka benar-benar jaguh rakyat.
Namun politik banyak teka-teki dan tidak selalunya lurus dan telus.Rakyat sekali lagi tergamam dengan dasar-dasar yang membingungkan di era parti yang mereka pilih memerintah tetapi bermasalah.Terdapat kecelaruan, ”conflic of interst” ke manakah kecenderungannya. Mungkinkah jika kawasan tersebut dihuni oleh rakyat berbilang kaum keadaan akan berubah. Ada kepentingan kaum tertentu di situ.
Sukar menafsirkannya. Politik berkepentingan masih tebal mempengaruhi pertimbangan walau pun banyak yang menafikan. Dulu mereka menjunjung Malaysian Malaysia, yang memperjuang keadilan untuk semua. Namun kini rakyat kini telah dimangsakan.

PENAMBAHBAIKAN

Masih ada ruang untuk memperbaiki keadaan sekiranya PR memikirkan masa depan bahawa nasib mereka ditangan rakyat.Undi dan sokongan minoriti boleh menentukan kemenangan di saat kritikal dan sengit. BN mengutarakan Dasar I Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Apa pula agenda PAKATAN RAKYAT , tentulah ekonomi kerakyatan,agihan yang lebih adil untuk semua. PR bukan BN!
Jadi PR mesti menunjukkan imej keadilan yang jelas kerana baru 2 tahun berkuasa. Sedikit belang akan mencacatkan imej PR yang sering mewar-warkan kebencian terhadap politik sempit perkauman dan pembolotan. Para pemimpin PR kini sedang diteropong adakah mereka mulai lupa daratan dan seronok bermain kuasa untuk mengumpul harta.
Masih ada masa untuk berubah kerana keadaan belum parah. Mereka ada maruah sebagai para pemimpin yang lebih baik daripada BN. Jangan biarkan rakyat terperangkap tanpa ada pilihan,siapakah yang lebih baik? PR atau BN. Rakyat cenderung kepada PR tetapi PR tidak berpihak kepada mereka secara nyata. Rekod yang awal mesti baik sebagaimana ditunjukkan oleh kerajaan PAS Kelantan.Meski diasak hebat masih mempan bertahan.

ISU RAKYAT TERPINGGIR

Umum mengetahui rakyat terbanyak terutama Melayu di P.Pinang amat terkebelakang dalam sosio ekonomi. Sebahagian besar kegiatan ekonomi dibolot oleh para kroni, korprat Melayu dan China secara besar-besaran. Tidak ada agenda besar untuk mengangkat martabat Melayu di Pulau Pinang sekadar janji dan retorika. Mereka terus dipinggir dan tidak dipedulikan.
Hanya tinggal 2 peratus sahaja tanah pemilikan Melayu di Timur Laut P.Pinang. Itu pun termasuk tanah wakaf. Populasi Melayu terus merosot di George Town, kurang lebih 10 peratus sahaja yang masih bertahan. Kata Mat Sabu, itu pun kerana ada institusi kerajaan seperti polis, kastam, marin,bomba dll.

Pembangunan pinggir bukit dan kawasan reklamasi membuka ruang kepada rakyat luar negara yang kaya membina ”second home ” di P.Pinang. Jadi rakyat setempat tidak menjadi keutamaan. Tanah dan peluang perniagaan dibuka untuk pembangunan komersial seluas-luasnya. Disebabkan muak dengan propaganda, rakyat menolak BN dan memilih PR.
Namun adakah Pakatan Rakyat di P.Pinang benar-benar mempunyai agenda rakyat dan terbukti membela kepentingan rakyat yang daif setelah 23 bulan memerintah? Sehingga kini amat kontra diantara janji dengan pelaksanaan dalam bentuk tindakan. Tidak ada agenda yang jelas untuk rakyat. Rakyat terus dipinggirkan kerana tidak ada projek untuk mereka. Berapa lamakah lagi mereka harus menunggu? Sama seperti BN yang memperdaya mereka. Pembangunannya pesat tetapi rakyat bawahan hidup merempat.Timbul fenomena MELAYU TERPINGGIR kerana DIPINGGIRKAN!


GERAI PENJAJA DAN KAFE RAKYAT - TUNJANG EKONOMI RAKYAT

MPPPP terus megah dengan dengan peranan lamanya menyaman dan meruntuhkan gerai-gerai rakyat tetapi menutup mata terhadap rumah – rumah mewah yang membuat tambahan sehingga memakan tanah ekses jalan dan pantai. Rakyat miskin yang baru meningkat dalam perniagaan terus diburu dan diganasi. Mereka yang terlibat merayu ihsan dan pertimbangan supaya sektor ekonomi mereka diberi inovasi mengikut piawaian baru yang diingini para pelancong, namun inilah yang berlaku :

a) Paling terbaru gerai DO RE MI yang menggunakan kreativiti membina rumah di atas pokok ala rumah P.Ramlee dalam filem Laksamana Doremi telah dirobohkan pada 18 Januari 2009. Beliau dapat bertahan selama 6 tahun di bawah BN tetapi dirobohkan tidak sampai 2 tahun PR berkuasa. Beliau memberi perkhidmatan rehat, libur dan makan kepada para pelancong dari dalam dan luar negara dengan membina bangsal tradisional untuk para pengunjung berteduh.
Kafenya telah diklankan sampai ke Eropah sebagai salah satu destinasi yang harus dilawati kerana keunikannya semasa berkunjung ke P.Pinang. Begitu juga dengan gerai ikan bakar TNB Jelutong diroboh tanpa tangguh.
Perniagaan mereka terkubur dan periuk nasi mereka telah dibubur pasir. Rakyat telah disakiti tanpa belas kasihan sedangkan rakyat sebeginilah yang telah berhempas pulas berkempen demi kemenangan PR . Mereka berharap ihsan kerajaan negeri .Berilah sedikit peluang setelah sektor ekonomi penjaja diabaikan sebegitu lama. Perniagaan kecil yang berpotensi usah diganasi. Orang yang dizalimi permintaannya dimakbul Ilahi.

b) Tidak ada agenda untuk menyusun gerai penjaja yang bertaburan sebagai punca rakyat mencari rezeki. Gerai penjaja di Taman Sardon padat dan penuh sesak dengan penggan. Langsung tidak ada ikhtiar untuk dinaik taraf dengan membina bangunan bertingkat bagi menempatkan semula perniagaan makanan yang telah melimpah ruah.
Ia harus menjadi bazar pelbagai. Kuasa beli pelanggan yang terus meningkat menyebabkan para peniaga berniaga hingga ke kaki lima. Adakah MPPP tergamak menghalau mereka semata-mata kerana ia melanggar undang undang. Penyelesaian yang inovatif mesti dicari bagi meningkatkan kepedulian kepada para penjaja supaya perniagaan yang maju terus berkembang. Penyemarakan ekonomi rakyat harus menjadi keutamaan kerajaan.

c) Pasar awam di Teluk Bahang memakan tanah yang luas tetapi dibina bangunan se tingkat sahaja. Rakyat berniaga dalam masa yang singkat dan terhad .
Apakah tidak molek Kerajaan PR membina bangunan bertingkat bagi menempatkan pasar basah dan kering, arked serta hotel sederhana bagi menarik kehadiran pelancong dalam negara yang tidak mampu menghuni hotel mewah di Batu Feringhi. Formula perlu diteroka menjadikan perniagaan hidup sepanjang masa dan para pengunjung datang secara berterusan ke destinasi ini melalui promosi dan kemudahan yang tersedia.
Bukan membunuh perniagaan mereka yang berselerak tanpa membuka ruang untuk penempatan baru. Tidaklah diketahui apa pula nasib para peniaga di sini apabila MPPP mula bertindak berani meruntuhkan gerai-gerai rakyat.
Para penjaja perlu diberi penyelesaian yang konkrit, bagaimana memperkembangkan perniagaan kecil terus maju. Sumbangan mereka penting kepada pertumbuhan ekonomi dalam negeri. Teluk Bahang sedang majudan bakal menerima limpahan para pelancong dalam masa terdekat. Sudahkah disediakan prasarananya? Gerai-gerai yang berprestij perlu dibina sebelum merobohkan premis perniagaan yang dibangunkan bertahun dan memakan modal yang melelahkan.

d) Tapak penjaja di Padang Brown, Lorong Kulit, Jalan Perak dan sekitarnya tetap tidak berubah,berwajah hodoh dan memalukan.Sepatutnya tempat-tempat sebegini telah berubah menjadi bazar dan arked yang menggamit para pelancong.
Bukankah P. Pinang adalah pintu masuk utama daripada sebelah utara ? Pembinaan baru mampu menempatkan semula gerai penjaja yang bertabur sekitar Jalan Johor, Jalan Datuk Keramat dan Jalan Perak. Masalah mesti ditangani menerusi perancangan masa depan bukan membunuh dan mengabaikannya atas dasar mereka melanggar undang-undang. Tidakkah ada niat untuk membina Pasar Seni dan Pasar Budaya seperti di KL.Kenapa ruang untuk para peniaga bumiputera terus dikecamukkan tanpa di atur semula.

IMEJ PULAU PINANG

Melaka dan Pulau Pinang telah diisytiharkan sebagai bandar raya warisan dunia. Melaka telah meninggalkan P.Pinang dalam menginovasi sektor pelancongan sedangkan P.Pinang masih mengekalkan imej lama sebagai bandar yang kurang bersih dan padat dengan bangunan lama, jalan raya yang sempit dan sistem perparitan yang ketinggalan.Berbanding dengan Singapura imej P.Pinang sebagai bandar pelancongan begitu jauh ditinggalkan. Namun pulau ini memiliki keunikan. Rakyat menuntut perubahan daripada keadaan sebelumnya dalam bentuk:

a) Pulau Pinang perlukan pembaharuan sebagai bandar raya warisan dunia. Rakyat sama ada Melayu,Cina,India dan lain-lain menuntut perubahan yang lebih baik daripada keadaan sebelumnya. P.Pinang tidak banyak berubah sebagaimana ulasan Senior Minister Singapura Lee Kuan Yew dalam lawatannya ke P.Pinang pada tahun 2008.
Pembangunan gerai penjaja mesti diatasi dengan diberi penampilan baru yang bermakna. Mereka wajar dibela bukan dihela. Kehadiran mereka merupakan satu identiti yang sebati dengan jatidiri P.Pinang, salah satu dengan sektor perniagaan yang terlama. Perlukan penampilan untuk diberi wajah dan piawaian baru menarik pelancong luar dan dalam.

b) Terlalu banyak ruang perniagaan penjaja yang dibazirkan kerana pembangunan gerai para penjaja tiada berperancangan mendepani masa langsung dan dibiarkan hingga teruk tanpa ada penambahbaikan. Mereka perlu didekati untuk dinaik taraf.
Bagi penjaja yang maju perniagaan mereka mengapa dirobohkan.Bukannya senang untuk memajukan satu perniagaan yang telah berjaya. Kerajaan tidak harus menyia-nyiakan kreativiti mereka. Mereka patut diurus dengan lebih baik serta dicari mekanisme bagaimana menempatkan di premis baru.Juga dalam yang sama beri pulangan kepada pendapatan negeri.

b) Sebagai bandar yang terlalu banyak ”bad sector” dan kotor, imej P.Pinang mesti berubah. Sebahagian besar George Town terdiri daripada bangunan lama kedai batu dua tingkat berusia ratusan tahun. Apakah ini semua hendak dikekalkan sedangkan ia memakan ruang yang diperlukan oleh orang lain. Lihat persekitaran di pasar Chowrasta dan belakangnya.
Keadaan lintang pukang dan menyusahkan pergerakan kenderaan Mengapa kerajaan negeri tidak bertindak membetulkan keadaan.Begitu juga dengan suasana di Little India, Beach Street dan lain-lain sektor buruk tidakkah perlu diperbandarkan semula dengan susun atur mengikut keadaan semasa. Tindakan kerajaan negeri mestilah adil dan menyeluruh supaya pembaharuan yang disasarkan berjaya sehingga jelas jasa PR kepada pembangunan sosio ekonomi P.Pinang.

DOUBLE STANDARD

Banyak insiden-insiden yang boleh menimbulkan tanda tanya adakah PR di P.Pinang memberi layanan yang patut kepada semua kaum atau sedang mengamalkan double standard. Jika bertindak begitu bermakna mereka lebih kejam daripada BN. Adakah rakyat mendapat keutamaan atau para korprat yang kini sedang mengelilingi dan menguasai. Penelitian semasa menunjukkan banyak tangan-tangan ghaib yang sedang bekerja mempengaruhi dasar-dasar tertentu yang tidak terduga.



Kes-kes yang berlaku dapat membongkar apa yang sedang terjadi untuk ditelti

a) Bertahun Pasar Ramazan di halaman Komtar menjadi tempat para peniaga Islam berniaga.Pada Ramadan yang baru lalu mereka telah dipindahkan dengan tergesa-gesa ke tapak baru di Penang Time Square.Tapak yang begitu strategik dan mudah dikunjungi telah diberi kepada para peniaga bermodal besar terutama China untuk memberi laluan membina kafe ala barat yang mewah. Dalam hal ini para pemimpin PKR terus membisu.
Hilang satu tempat berniaga yang strategik untuk para peniaga bumiputera direbut dengan mudah oleh mereka yang datang kemudian. Adakah ini satu keadilan.Tapak rezeki dirampas orang lain dengan mudah. Sepatutnya kerajaan negeri membina bangunan bertingkat yang menambah ruang niaga. Peniaga lama dikekalkan dan para peniaga baru diberi peluang. Bukannya menghilangkan hak peniaga bumiputera dengan mudah kerana ingin membuka peluang kepada peniaga baru yang tiba-tiba menjelma.


b) Begitu juga dengan YTL telah diberi izin membina hotel mewah dan diberi tanah milikan bebas untuk melayan permintaan syarikat berskala besar tersebut membina hotel mewah di P.Pinang. Sedangkan permohonan rakyat yang telah lama berniaga ditepi pantai ”DO RE MI” yang memohon TOL tidak dilayan langsung . Gerainya dirobohkan. Sedangkan berhadapan dengan gerainya terdapat rumah-rumah mewah yang mengambil akses jalan dan pantai dibiarkan membina pagar batu.
Kita berharap para pemimpin Melayu dan bukan Melayu yang perihatin dan tidak bersifat perkauman dapat membuka mata mereka menyuarakan perkara-perkara mungkar dan zalim yang sedang dilakukan Mereka jangan membisu dan bungkem kononnya kami menumpang DAP yang kini seperti berkuasa mutlak. DAP juga mesti menterjemahkan bahawa mereka bukan Parti Perkauman Cina. Yang sering menjadi mangsa ialah para peniaga Melayu yang daif. Perangkaan menunjukkan kebarangkaliannya amat menonjol.

c) Para peniaga yang kebanyakannya China di Batu Feringhi tidak pun diambil tindakan walau pun perniagaaan mereka melimpah di atas jalan. Perniagaan mereka terus berkembang dan tidak dikacau ganggu meski pun menyekat kelancaran aliran lalu lintas sepanjang jalan di Batu Feringhi. Adakah hal ini disengajakan ?
Sedangkan Kafe Rakyat DO RE MI yang jauh daripada jalan besar dirobohkan dua kali. Rakyat yang menunjukkan kreativiti dengan menghighlightkan warisan P.Ramlee, seniman agung anak jati P.Pinang yang menjadi idola rakyat Malaysia telah ditutup pintu rezekinya. Beliau dianiaya dengan zalim.Permohonannya untuk mendapatkan TOL tidak dilayan sedangkan syarikat besar YTL mendapat laluan mudah.

d) Gerai peniaga yang lintang pukang di banyak jalan di belakang pasar Chowrasta terus dibiarkan tanpa tindakan. Jadi bersikap adillah sedikit kepada nasib rakyat.Mereka telah dipinggir oleh BN.Mereka kini berharap kepada ihsan Pakatan Rakyat, simbol pembela rakyat. Adakah masih tidak ada ruang dan peluang untuk Melayu naik. Baru hendak berkembang telah diranapkan. Rancangan-rancangan besar seperti Theme Park seperti mendapat laluan yang mudah adakah ini kerana ianya melibatkan kroni yang dapat memberi pulangan kepada mereka.
Kini masanya telah tiba untuk membantu mereka
dengan ikhlas dan berkesan. Pelaburan ini pasti akan memulihkan keyakinan rakyat kepada PR dan tidaklah sia-sia rakyat mengundi mereka untuk mengambil alih tampuk kepimpinan ke Putera Jaya. Rakyat mahu bukti bahawa PR adakah pejuang agenda rakyat yang benar. Ayoh buktikan secara konkrit. Cakap mesti serupa bikin.

Semasa BN memerintah, CM Dr Koh Tsu Koon telah mengambil inisiatif menyusun semula tapak penjaja Cina di Fettes Park yang berselerak dan mengganggu jalan.Kini mereka diberi kedai dan lesen.Mereka dapat berniaga dengan selesa dan teratur.Kerajaan negeri yang baru mampu melakukannya lebih baik dan menyeluruh berbanding dengan BN.Inilah cabaran yang mesti dilakukan dengan membawa penyelesaian yang memuaskan kepada semua pihak terutama penjaja yang terlibat.Punca rezeki mereka diperluaskan menerusi penyelesaian yang konkrit dan berhasil.



AGENSI- AGENSI KERAJAAN NEGERI

Di zaman pemerintahan PR tidak ada perubahan dalam dasar-dasar yang menyentuh agensi kerajaan seperti PDC dan MPPP .Tidak terdengar pun tumpuan atau ura –ura diberikan untuk membina rumah untuk rakyat yang kritikal dan amat memerlukan di P.Pinang. PDC terus kekal dengan dasar membina rumah-rumah mewah berjuta ringgit untuk siapa ? Tanah reklamasi di Tg Tokong terus dibolot oleh para korprat dan swasta secara leluasa.Sedangkan bilangan rakyat yang tidak berumah mencecah 2000 keluarga.
Mereka terpaksa membina rumah haram.Adakah kerajaan negeri akan meruntuhkan rumah –rumah mereka untuk mencari penyelesaian yang mudah. Adakah mereka tidak ada hak langsung untuk ditempatkan semula di kawasan yang ditebusguna daripada laut ?

BN menghilangkan kepentingan KGN dan PDC dalam menebusguna tanah laut seluas 1000 ekar. Adakah kerajaan negeri akan meneruskan dasar yang serupa dengan memberi laluan yang lebih luas kepada para korprat sekutu mereka pula menebusguna yang selebihnya hingga ke masjid terapung di Tanjong Bunga.
Di manakah peranan kerajaan sebagai penanggung jawap sosial rakyat ? Sehingga kini tidak terdengar apa pun dasar pro rakyat yang nyata daripada kerajaan negeri. Mereka mesti mendedahkan agenda rakyat yang jelas untuk mengisi semangat dan dasar-dasar pro rakyat.Jika tidak rakyat sekali lagi terperangkap dengan retorika kosong yang tidak bermakna sama sekali. Kata mesti dikota,janji mesti ditepati, susah sama dihadapi, nikmat sama dikecapi.





KESIMPULAN

Dalam isu kampung Buah Pala, PAS terlalu ghairah menanganinya. Bila berhadapan dengan isu Melayu, Pas nampaknya enggan, kemere dan takut dituduh perkauman. Rakyat berharap PAS dapat mengambil alih dan menggantikan peranan UMNO yang mengecewakan mereka. Seperti kata YB Husam Musa, UMNO tidak mempunyai lokus bercakap tentang perjuangan membela nasib Melayu di P.Pinang kerana parti itu telah menyebabkan Melayu terpinggir di sini.
Jadi apa pula peranan Pas dalam menangani isu tanah, perumahan, penjaja, pelancongan, perindustrian, IKS serta isu yang lebih menyeluruh dalam sosial ,ekonomi dan politik. Politik harus diterjemahkan dalam kerja SOSIAL seperti mendekati NGO dan rakyat. Pas bukan semata-mata parti untuk pilihanraya tetapi wadah perjuangan Islam dan rakyat yang tertindas. PAS harus kompeten menangani perubahan secara real seperti yang ditujukkan oleh gerakan Amal di Lebanon yang sentiasa peka dan membantu rakyat.

PAS mesti proaktif dan tidak wajar menjadi seperti UMNO yang hanya baru tersedar setelah kalah kononnya mahu menjadi pembela Melayu menerusi demontrasi jalanan depan Komtar. Itu pun dek terkejut apabila Lim Guan Eng mengumumkan kontrak yang diterima secara runding terus akan ditamatkan dan dibuat secara terbuka.
Implementasi PAS FOR ALL adakah bermakna Melayu sekali lagi harus dikorbankan demi untuk membela orang lain. Golongan rakyat terpinggir terutama Melayu patut mendapat agihan ekonomi yang lebih adil dalam perkembangan ekonomi negeri yang maju.Zaman kebangkitan telah tiba PAS mesti menerajuinya,menterjemahkan keadilan kepada semua. merata.
Kemakmuran untuk semua bukan segelintir. Isu –isu di atas yang telah dipinggirkan oleh kerajaan P.Pinang mesti diangkat menjadi keutamaan mereka. Jika tidak sia-sialah rakyat menyokong PR yang tidak ghairah membantu rakyat. Rakyat berhak mendapat habuan agihan ekonomi yang lebih adil bukan diketepikan begitu sahaja dan biarkan menyelesaikan masalah secara sendirian.

Penulis : PI Mohd Salleh Yahaya Pulau Pinang.

Rabu, Ogos 05, 2009

Salam 1Malaysia? kelakar.


Maafkan saya. Saya terasa" agak lain" (janggal) apabila terdapat sesetengah pembaca berita samaada di radio mahupun di televisyen yang akan mengucapkan Salam 1 Malaysia selepas berita dibacakan . Kenapa tidak assalamualaikum atau salam sejahtera sahaja? Sebab saya berpandangan apabila disebut 1 Malaysia, ia bermaksud tiada perbezaan antara kaum dan agama di Malaysia.

Saya berpandangan kalimah ini hanya sekadar retorika yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu, sama seperti beberapa slogan yang dikeluarkan sebelum ini. Slogan keluar dahulu sebelum isinya !Bagi saya slogan ini tidak membantu sedikitpun dalam usaha menyatupadukan hubungan antara kaum.

Orang yang sama kata 1Malaysia, bersatu padu dan berbilang bangsa. Orang yang sama juga kata bahawa kita kena tegakkan dan pertahankan bangsa kita sendiri daripada ditindas. Terkadang istilah Melayu itu disampaikan dan ditafsir dengan tafsiram yang sungguh sempit. Keris yang dikeluarkan , keris itu juga yang terpaksa disarungkan apabila kata-kata "perpaduan" antara bangsa sendiri dikeluarkan secara emosi dan menyentuh sensitiviti kaum lain

Isnin, Mei 11, 2009

Pengabaian bahasa di Malaysia; fenomena tuntutan ekonomi komersial

Bahasa Melambangkan Bangsa. Adakah benar-benar rakyat Malaysia menghayati makna klausa berkenaan? Sebuah negara bangsa yang berindentiti, memiliki segala khazanah bahasa, adab dan adat, periatur dalam permasyarakatan dan memiliki segala perundangan yang berteraskan melayu, nusantara dan Islam, namun masih ketinggalan adalah rakyatnya sendiri. Kita berbahasa tetapi berbahasa untuk tujuan ekonomi dan kemajuan. Apabila kita melihat dunia hari ini berbahasa Inggeris dalam segala segi, kita mula mencampur adukkan bahasa baik di dalam filem, industri, pendidikan malah dalam penggunaan bahasa pemimpin masyarakat. Kita tidak pula perkasakan penggunaan Bahasa Inggeris yang betul sekaligus terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita sendiri dan meletakkan bahasa kebangsaan di tempat yang sewajarnya.



Masyarakat Malaysia masih ada yang berpragmatik dalam berbahasa. Pragmatik hingga mengabaikan idealisme dalam berbahasa. Terlalu pragmatik hingga anjal dan mudah mengikut-ikut cara budaya lain berbahasa. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi malah ia adalah perlambangan. Tidak salah jika sedikit asimilasi dan transaksi bahasa lain ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu, namun terlalu banyak penutur di kalangan rakyat dan pemimpin yang mengutamakan orbit budaya popular dunia, mengutamakan bahasa pasaran ekonomi serta hingga hanya mengikut acuan kemajuan yang ditajai barat.



Istilah pragmatik disini lebih saya sasarkan kepada konotasi terlalu terbuka dalam memasukkan unsur luar dalam berbahasa. Dari kamus dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Tiga, istilah Pragmatik (mempunyai sifat atau pendirian yg) lebih mementingkan (mengutamakan) kesan-kesan sebenar sesuatu daripada ciri-ciri teori, bersifat praktikal. Saya tidak menggunakan istilah pragmatik linguistik yang bermaksud cabang linguistik yg berkaitan dgn kajian tentang makna dan kesan yg timbul daripada penggunaan bahasa dalam situasi tertentu. (Kamus Dewan Edisi Empat)



Suatu ketika dahulu terdapat banyak wacana di kalangan masyarakat kita berkenaan bahasa rojak dan bahasa pasar yang dijenama semula. Bahasa rojak yang mencampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris seperti kelihatan suatu fenomena biasa namun tanpa disedari ia berjaya menghasilkan masyarakat yang berparadigma pragmatik juga. Paradigma pragmatik yang juga menurut perubahan dunia sehingga mengabaikan ciri tempatan dan ciri negara bangsa Malaysia. Alasan ekonomi, kemajuan dan sifat utiliti bahasa dan budaya eropah selalu diberikan hingga kita menurut sahaja lambakan budaya barat dalam berbahasa.



Penggunaan bahasa yang rojak mencerminkan rakyat kita yang tiada beridealisme. Beridealisme alam berbahasa bukan bermakna anti kemajuan dan transasksi bahasa ilmu lain. Beridealisme juga bukan bermaksud ego dan taksub dengan penghayatan serta diksi bahasa sendiri, tetapi idealisme adalah asas dalam pembentukan jiwa yang berpendirian dalam bersaing dengan kemajuan bangsa luar negara. Idealisme dalam berbahasa tidak menghalang keluwesan dan keterbukaan mencitrakan dan mengglobalisasikan kekayaan bahasa kita.



Hari ini gejala pragmatik dalam berbahasa juga jelas kelihatan apabila istilah-istilah bagi nama tempat, restoran dan syarikat-syarikat yang digunakan adalah istilah saduran dari bahasa yang pernah menjajah tanah air ini. Sebagai contoh kegilaan menggunakan pangkal perkataan D’ atau De sebelum meletak apa-apa perkataan. D’ Utara Restoran, D’ Palma Apartmen dan sebagainya melambangkan jiwa dab pemikiran rakyat yang pragmatik dengan populariti budaya tertentu tanpa menyelidik mengapa ia tersebar, dari aman asal penggunaan istilah dan apa kesan kepada jiwa anak-anak bangsa akan datang.



Menurut kenyataan Dr Abu Hassan Hasbullah yang disiarkan dalam Dewan Bahasa keluaran April 2009, Zentrum Future Study Malaysia menemui hanya 23 kondominium daripada 1000 kondominium di Malaysia menggunakan bahasa Melayu atau berunsur tempatan. Kini istilah seperti Seri Keruing, Restoran Anggerik Biru, Mayang Sari serta istilah melayu keislaman seperti Restoran Al Amin, farmasi Ikhwan sudah janggal dan asing digunakan apatah lagi bagi menamakan konsultan dan syarikat-syarikat berteraskan perniagaan atas alasan tidak komersial. Isu komersial adalah berpunca dari kita. Bahasa Melayu hilang nilai ekanya, muram dan ketinggalan dalam arus moden berpunca dari kita yang menindas bahasa sendiri.



Gejala peminggiran bahasa boleh diatasi jika Pendaftar Pertubuhan dan Jabatan Perlesenan mengambil kira permasalahan ini serta dijadikan syarat dalam meluluskan nama-nama ini sebagai nama syarikat, kondomnium, resort dan restoren. Berilah galakan kepada rakyat yang mahu menggunakan istilah bahasa Melayu, atau mengutamakan istilah bernama ketimuran nusantara melalui peluang tender, kemudahan pemprosesan lesen atau permit, pengiklanan dan peluang-peluang yang berunsur komersial. Hal ini sekaligus akan menerbitkan daya saing serta memberi harga diri dan kemahawangsaan kepada bahasa kebangsaan kita. Kepada rakyat Malaysia terutama yang memacu industri dan perniagaan, tinggalkan sikap pesimistis kita terhadap nilai Bahasa Kebangsaan kita.



Muhammad Nuruddin Bashah

Jurutera Metallurgis

Setiausaha TERAS Perak



http://munawwarah. blogdrive. com

Hadapan 360 MKJ Kampung Terang

11000 Balik Pulau

Pulau Pinang

017 6291368

Selasa, April 14, 2009

Transformasi Melayu- Baca untuk suapan pemikiran

PETIKAN DARI BLOG TERAS PENGUPAYAAN MELAYU

Berikut ialah suatu rencana yang TERAS berpendapat berguna untuk bangsa Melayu renungi agar mengambil mana-mana yang difikirkan baik untuk mengangkat daya usaha mandiri dan keusahawanan di kalangan bangsa Melayu Rencana ini TERAS kutip dari seorang penulis Shen Yeen Aun dari web “Shen Yee Aun Di Persada Nusantara”Falsafah Perniagaan Kaum Cina

Sejarah perniagaan cina di tanah Melayu sebenanya bermula pada zaman pemerintahan British di Negara kita. British membawa imigran cina ke tanah Melayu untuk mengusahakan lombong dan ladang. Mereka sebenarnya datang ke sini tanpa membawa ahli keluarga mereka. Motif utama kedatangan mereka adalah untukmencari dan mengumpul duit. Kaum cina juga dipengaruh dengan cerita bahawa tanah Melayu merupakan satu syurga yang mudah mencari duit dan dapat menjadi kaya.

Malangnya cerita yang didengari tidak menggambarkan keadaan yang sebenar.

Pada mulanya bila mereka berada di sini sebenarnya mereka juga hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Ada juga dalam kalangan cina yang ditipu menjadi buruh dan kuli. Walaubagaimanapun kesusahan yang dialami di sini tidak sesusah negara asal. Kita tidak dapat menafikan bayangan awal terhadap tanah Melayu berubah dan pendapatan yang diperoleh amat sedikit tetapi mereka mampu makan dengan kenyang di sini jika hendak dibandingkan dengan negara asal mereka.

Budaya perniagaan yang diamalkan ialah sifat kerajinan. Orang cina percaya sekiranya mereka hendak menjadi seorang peniaga yang berjaya mereka perlu rajin dan bersungguh-sungguh. Kerajinan ini bukan sahaja perlu diamalkan sebelum berjaya tetapi juga selepas berjaya juga perlu kekal rajin.

Mengikut kajian yang diperoleh secara umumnya orang cina yang terlibat dalam perniagaan bekerja 16 hingga 18 jam sehari. Boleh kita bayangkan atau tidak ? Dapat kita bayangkan apabila orang tengah tidur orang cina sudah mula bekerja dan apabila orang sedang tidur orang cina baru tamat bekerja.

Seterusnya orang cina mempunyai mentaliti dan persepsi yang amat unik terhadap perniagaan. Mereka berfikiran bahawa tiada yang menang tak menang semua dan pada masa yang sama kalah tak kalah semua. Mereka juga tak suka berniaga sekiranya tidak menyumbang dari segi bentuk tenaga dan modal. Keuntungan yang diperoleh pula tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya kerana keuntungan yang diperoleh harus digunakan untuk menambah modal dan juga untuk melabur.

Musuh utama mereka ialah takut hendak bersaing , takut untuk mencuba dan tak sanggup hadapi kegagalan. Antara pemikiran yang paling ditekankan ialah situasi menang-menang dalam sesuatu urus niaga supaya berlaku keadilan dan kebaikan kepada semua pihak. Orang cina juga tak harap dan bermimpi keuntungan mampu diperoleh dalam sekelip mata sahaja.

Sebelum dan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan orang cina merancang dengan teliti, bijak dan sistematik. Bagi orang cina sesuatu perniagaan bukan permainan sebaliknya merupakan sesuatu ibaratkan antara hidup dan mati. Oleh itu mereka tidak boleh tersilap merancang pada setiap masa. Perancangan yang baik menjanjikan pulangan dan masa depan perniagaan yang baik manakala perancangan yang dilakukan secara sambil lewa hanya akan memudaratkan sesuatu peniagaan.

Baik atau buruknya sesuatu perniagaan bergantung kepada perancangan yang rapi .

Selain itu , orang cina sentiasa mencari peluang untuk menerokai tempat dan pasaran baru. Mereka tidak akan berhenti di tempat mereka berada. Mereka senantiasa mahu terus maju dan bertambah baik dari satu hari ke satu hari. Oleh itu , cita-cita orang cina adalah membuka sebanyak rantaian perniagaan yang boleh sehingga ada yang membawa rantaian perniagaan mereka ke luar negara.

Sementara itu , peniaga-peniaga cina mudah menyesuaikan diri dengan keadaan. Bangsa Cina merupakan satu bangsa yang paling fleksibel apabila berniaga. Hal ini disebabkan mereka mudah mengeksploitasi keadaan dan pantas belajar menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi dan keadaan.

Pada masa yang sama , bangsa cina juga merupakan bangsa yang berpandangan jauh. Sebelum memulakan perniagaan mereka sudah melihat dan meramal perjalanan

Perniagaan mereka sehingga berpuluh-puluh tahun ke depan. Batu loncatan mereka besar tetapi realistik. Boleh dikatakan segala yang difikirkan oleh peniaga ialah masa depan perniagaan , keuntungan yang diperoleh dan berapa rantaian dan pasaran yang mampu ditembusi.

Bangsa Cina juga merupakan satu bangsa yang tak takut kepada persaingan dan kerugian Persaingan digalakkan untuk memotivasikan dan meningkatkan perniagaan dari masa ke masa. Perasaan cemburu tidak digalakkan tetapi perasaan cemburu yang positif harus dibenarkan demi kemajuan. Mereka sanggup menghadapi segala bentuk rintangan , masalah , cabaran , dugaan , kesusahan dan sebagainya. Bagi mereka mustahil seseorang mampu berjaya tanpu mengharungi pelbagai rintangan. Kejayaan yang manis datang dari usaha dan pengorbanan yang pahit.

Sejajar itu , bangsa Cina juga bersifat agressif dalam perniagaan. Tiada sebarang unsure kompromi berkaitan dengan perniagaan dan wang. Terdapat juga perbezaan antara urusan peribadi dengan perniagaan. Oleh itu sesuatu ahli keluarga tidak boleh menggunakan wang yang diperoleh daripada keuntungan perniagaan. Hal peribadi tidak harus dicampurkan dengan perniagaan. Kenyataan tersebut terlalu dipraktikkan sehingga majikan atau bos sendiri tak dibenarkan menggunakan wang keuntungan dengan sesuka hati walaupun perniagaan tersebut miliknya.

Segala peluang harus dieksploitasi dengan baik dan pantas kerana bangsa Cina percaya peluang hanya datang sekali dan sekali terlepas sukar untuk mengejar kembali. Oleh itu , segala tindakan diambil dengan cepat , laju dan pantas. Hal ini disebabkan dipercayai lagi lama tunggu semakin lama sama terbuang. Dipercayai juga semakin lambat bertindak semakin tipis sesuatu peluang.

Dalam pada itu , peniaga yang berjaya juga merupakan peniaga yang berani mengambil risiko. Kalau tak berani mencuba maka sampai bila pun seseorang tidak akan mendapat apa yang dimimpikan sekiranya tak berani mengorak langkah ke arah mimpi yang dimimpikan.

Kegagalan dan kerugian bukan sesuatu yang harus ditakuti oleh setiap peniaga tetapi sesuatu yang telah diramal mungkin berlaku.

Kita harus sedar tiada jaminan dalam dunia ini dan apatah lagi dalam dunia perniagaan yang tidak menentu. Seseorang harus berani mencuba , meneroka , melabur dan juga melancarkan pembaharuan dari masa ke masa. Penakut tidak mungkin berjaya dalam perniagaan kerana seseorang peniaga tidak harus ada perasaan ragu-ragu dalam segala tindakan dan keputusan yang dibuat. Apabila perasaan keraguan timbul maka sesuatu perniagaan akan terhenti di situ dan sukar bergerak ke hadapan.

Falsafah dan budaya seterusnya pula seseorang peniaga mesti bertahan lasak iaitu mempunyai daya ketahanan dan stamina yang kuat. Tiada satu benda yang mampu dikecapi tanpa pengorbanan. Antara pengobanan yang perlu dikorbankan mungkin seluruh simpanan wang sebagai modal , masa bersama keluarga tercinta , masa untuk besuka ria dan melakukan perkara yang disukai.

Seterusnya seseorang peniaga mesti sanggup bekerja siang dan malam walaupun letih dan penat dan kadang-kala sakit juga tidak boleh rehat sesaat pun. Daya ketahanan dari segi mental dan fizikal perlu kuat apabila menghadapi tekanan. Mereka sedar bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian daripada bersenang dahulu dan bersusah kemudian. Tiada alasan yang boleh diberi tetapi mengaku segala kesalahan dan kelemahan demi kemajuan. Segala kekurangan , kelemahan dan kesalahan harus dikaji dan belajar untuk memperbaiki dari masa ke masa.

Sehubungan itu , seseorang dipercayai tidak harus mudah tunduk kepada takdir dan nasib. Walaupun orang cina percaya kepada takdir tetapi tak mudah berserah kepada takdir sebelum mencuba dan berjuang. Sekiranya pada waktu tertentu mereka berada dalam jangka masa yang kurang baik iaitu menanggap sial dan malang maka sebenarnya sial dan malang tidak berkekalan kalau tidak berputus-asa. Mereka berfikiran tiada yang mustahil di dunia ini sekirannya kita berusaha.

Dipercayai juga setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Peniaga yang unggul juga merupakan peniaga yang mempunyai semangat kepahlawanan yang tinggi . Seorang pahlawan mesti gagah , teguh dan berani apabila menghadapi sebarang bentuk tekanan dan cabaran. Seseorang harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga pada setiap masa. Setiap masalah dan bencana yang bakal menimpa harus diketahu awal.

Perniagaan juga dilihat sebagai satu perjuangan yang berada di medan perang. Oleh itu , strategi yang baik dan semangat juang yang tinggi perlu ada.

Feng Shui juga merupakan salah satu elemen yang amat dititik beratkan dalam dunia perniagaan cina. Bangsa cina perlu ada rangsangan dan dorongan psikologi yang baik untuk bergerak ke hadapan. Mereka percaya alam memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita.

Alam dipercayai mempunyai hubungan dengan kelahiran , nasib dan perjalanan masa depan seseorang orang.

Oleh itu , kedudukan dan masa yang sesuai diperlukan untuk memulakan sesuatu perniagaan. Wang beratus hingga berpuluh-puluh ribu sanggup dibelanjakan demi mendapat khidmat pakar Feng Shui yang terbaik. Pemikiran yang unggul perlu ada untuk menjadi antara yang terbaik dalam dunia perniaaan. Mengikut falsafah dan budaya cina bahawa seseorang harus melihat dari pelbagai sudut dan tidak fokus kepada satu pandangan yang sempit sahaja. Matlamat yang jelas perlu diberi perhatian. Otak mesti terus berfikir , berinovasi dan bergerak. Idea pula perlu terus berkembang. Kemahiran membaca pemikiran orang ramai , pesaing dan pekerja juga perlu ada. Oleh itu pemikiran yang unggul melibatkan analisis , membaca , mengingat , meramal , menentukan dan sebagainya.

Adat yang diamalkan dalam perniagaan pula orang cina akan menutup akaun setiap tahun. Sesuatu perniagaan dikira berjaya kalau untung. Segala bentuk hutang harus diselesaikan 3 hari sebelum menjelang tahun baru. Hutang tidak digalakkan dibayar pada tahun baru cina kerana menjadi pantang larang dalam adat cina yang dianggap membawa kesan yang tidak baik.

Segala janji seseorang peniaga harus dikotakan walau sesusah mana. Perniagaan juga tidak digalakkan dibuka pada tahun baru cina. Biasanya selepas setahun bekerja kuat dan keras maka orang cina biasanya akan berehat minama 3 hari hingga maksima 15 hari terus. Setiap pembukaan perniagaan biasanya ada pembakaran mercun.

Pembakaran mercun dipercyai mampu menghalau dan membuang roh , semangat , nasib dan benda yang tidak baik. Majlis pembukaan perniagaan juga harus dibuka pada tengah hari dan kurang baik sekiranya dibuka pada waktu malam.

Sebelum merdeka kaum Cina sebenarnya sudah menguasai ekonomi negara disebabkan oleh dasar pecah dan perintah oleh pihak penjajah iaitu British. Kini sudah

50 tahun kita merdeka adakah kita masih boleh melabelkan kaum Cina sebagai sebuah komuniti yang menguasai ekonomi negara ? Jawapannya tidak walaupun tidak dapat dinafikan terdapat ramai kaum Cina yang kaya dan berjaya dalam sektor ekonomi. Sehubungan itu , sekiranya terdapat juga golongan Melayu yang maju dan mundur maka realitinya terdapat juga kaum Cina yang kaya dan juga miskin pada masa yang sama.

Kumpulan kita melihat setiap kaum masing - masing maju dalam kelajuan yang berbeza. Sememangnya antara 20 orang yang terkaya di Malaysia kebanyakannya terdiri daripada kaum cina tetapi beberapa puluhan individu ini tidak boleh menggambarkan 6.3 juta kaum Cina yang lain. Kemungkinan besar juga total perolehan berpuluh - puluh tokoh korporat ini menyamai dengan percampuran pendapatan 6 juta kaum cina yang lain.

Melalui kaji selidik didapati kaum Cina amat mementingkan pelajaran. Majoriti keluarga amat mengutamakan pelajaran dan biasanya ibu bapa mahupun kadang - kala nenek atau datuk cina sanggup bermatian - matian tidak kira menggunakan cara apa sekali pun untuk memastikan generasi muda dalam keluarga cina mendapat pendidikan yang sempurna. Keluarga cina yang sederhana dan kurang kaya sanggup bekerja 2 hingga 3 pekerjaan tanpa henti demi menyimpan sejumlah wang yang besar untuk pelajaran generasi muda.

Ada juga yang sanggup menjual segala harta yang ada demi pelajaran dan pendidikan. Ada juga yang sanggup berjimat cermat sehingga seperti kais pagi makan pagi , kais petang makan petang yang bermaksud makan dengan amat jimat dan sedikit. Ada juga golongan tua yang sanggup berjalan berbatu - batu jauhnya demi mengutip tin dan menyumbang sedikit dalam pelajaran mahupun pendidikan generasi muda.

Keadaan yang digambarkan jelas menunjukkan biasanya majoriti generasi kaum muda cina berpendidikan tinggi dan dengan ilmu serta sijil yang dimiliki telah memudahkan mereka mencari pekerjaan. Terdapat juga dalam kalangan graduan cina yang menggangur tetapi biasanya mereka tidak menggangur dengan lama sebab mereka tidak putus asa mencari kerja dari utara hinggalah ke selatan. Bagi sesetengah kaum cina tidak kira betapa susah sesuatu perkerjaan itu tetapi asalkan ada pekerjaan untuk mereka untuk bekerja maka mereka sudah mudah puas hati.

Di samping itu , ramai juga golongan cerdik pandai iaitu biasanya golongan profesional cina kini tengah bekerja dan berkhidmat di luar negara. Hasil kajian menunjukkan biasanya golongan ini merupakan pelajar yang berjaya bertapak di Universiti yang terkemuka seperti Universiti Oxford dan Cambridge di United Kindom , Harvard dan Yale di Amerika Syarikat , Ontario di Kanada , Auckland di New Zealand , National University Singapore di Singapore dan sebagainya. Mereka biasanya terus mendapat tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian mereka.

Kategori seterusnya pula golongan yang bekerja di luar negara dengan pekerjaan yang kurang tinggi seperti menjadi buruh , mencuci pinggan penjaga keselamatan , promoter dan sebagainya. Hal ini disebabkan pendapatan mereka akan berlipat kali ganda apabila mereka membawa kembali ke negara kita. Dikatakan dengan hanya mencuci pinggan di United Kingdom bersamaan dengan hampir RM 6000 sebulan. Terdapat juga kategori seterusnya yang memohan untuk bekerja dalam negara sendiri tetapi tidak berjaya mendapat peluang pekerjaan maka mereka keluar untuk mencari rezeki demi meneruskan kehidupan.

Ahad, November 30, 2008

Ketuanan Melayu ?

Apa yang sedang berlaku di Malaysia pada kebelakangan ini dapat ana ringkaskan di sini :

1. seruan ketuanan Melayu yang tidak sudah-sudah tanpa menegtahui apakah itu sebenarnya "ketuanan"

2. beberapa tindakan yang dikatakan sebagai perlanggaran kepada ketuanan Melayu . Sebagai contoh pernyataan yang mempersoalkan ketuanan Melayu, DEB , isu penentangan fatwa (pengkid dan yoga) dan pelbagai isu yang menyentuh "sensitiviti' melayu oleh bukan Melayu(termasuklah orang Melayu sendiri).

3. fitnah berleluasa yang pastinya memalukan bangsa sendiri seperti isu liwat, pembunuhan berprofil tinggi yang dikaitkan dengan TPM , dsb.

4. rasuah yang dikira "sedekah" seperti politik wang dalam pemilihan UMNO, percakaran sesama Melayu dalam merebut jawatan tertinggi ,dan penyalahgunaan istilah sedekah untuk berzina oleh ahli PKR.

5. gejala sosial (hidu gam, hisap dadah, rempit, rogol , dsb di kalangan Melayu , kemiskinan (peratusan tinggi isi rumah kurang dari RM 1000 bagi orang Melayu) ,

6. tindakan penggunaan papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang yang mengundang reaksi yang pelbagai dari khalayak.

7. peratusan penghuni di pusat serenti dan pemulihan akhlak masih "dijuarai" oleh bangsa Melayu.

8. cadangan kontoversi seperti pemansuhan 30% bagi pemilikan perniagaan oleh figur bukan Melayu dan cadangan kemasukan 10% pelajar bukan melayu ke UiTM oleh MB Selangor.

9. Pernyataan yang emosional dan tidak mengira sensitiviti kaum tertentu seperti kaum cina pendatang atau kaum Melayu pendatang .




Kesimpulan yang ana dapat paterikan di sini :

* kita masih tidak tahu apakah itu ketuanan Melayu dan konsep kontrak sosial mengikut perlembagaan sehingga mengeluarkan cadangan atau pernyataan yang menyentuh sensitiviti kaum yang tertentu yang menungkinkan berulangnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Ini tidak mustahil sebab ramai golongan radikal perkauman muncul dan berani tunjuk belang.

* Orang bukan Melayu banyak menyentuh sensitiviti orang Melayu tanpa menyedari bahawa itu melukakan banyak hati orang Melayu yang masih berpegang kepada konsep ketuanan yang tak jelas yang dipelopori oleh UMNO yang menganggap merekalah pejuang bangsa yang sebenar. Ingat. Boleh dikatakan peratusan besar Melayu menyokong UMNO dan konsep ketuanan yang mereka canangkan tersebut..

* Kalau lihat situasi sekarang orang Melayu umpamaorang bermasalah . Kalau masalah sosial, orang nampak Melayu, kalau pusat serenti orang nampak Melayu , kalau buang anak , rempit ,hidu gam, tercicir sekolah orang kaitkan dengan Melayu. Kemiskinan pun dikaitkan dengan Melayu.

* Kita bercakap berkenaan dengan keistimewaan Melayu dan perkauman secara berlebihan sedangkan kita sendiri dilihat sebagai orang bermasalah dalam negara sendiri.

* pemimpin masih bertelagah .


Solusi :

* fahami apa itu konsep ketuanan Melayu dan kontrak sosial , baru bercakap dan mengeluarkan pernyataan. Berkata tanpa berfikir memungkinkan timbulnya "chain effect" ke atas keharmonian antara kaum.

* pemimpin Melayu hendaklah saling bersemuka untuk membincangkan permasalahan yang melibatkan orang Melayu dan perhubungan orang Melayu dan bukan Melayu. Cadangan Mufti Perlis , Dr. Asri Zainul Abidin supaya pemimpin-pemimpin Melayu duduk semeja merupakan cadangan yang bagus.


Sekadar coretan kecil seorang pengembara,

Ahmad Zhafri bin Md Noor @ Mujahid Page
http://deafeningsilent.blogspot.com