Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Sabtu, Mac 27, 2010

Apabila Ulama Disifat Bagaikan Anjing


Ibn Taimiyyah (661-728H) atau dikenali dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, lagi pejuang yang berperang menentang menaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.


Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.


Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”


Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.


Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.
Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.


Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.


Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.


Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.


Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).


Saya memetik cerita ini bagi menggambarkan kadang-kala betapa ramai mereka yang memakai gelaran agama seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementingkan jubahnya agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan tanggungjawab mereka sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran kerana Allah.


Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang ‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah ulama di zaman keresahan rakyat miskin kini disebabkan kenaikan harga barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan itu lalu mereka juga akan ‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas yang patut menggunakan harta rakyat.


Saya menulis tajuk ini bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar.


Hari ini mungkin sesetengah ulama sudah tidak bimbang jubah putih mereka tercemar lagi, kerana mereka memiliki koleksi pakaian yang cukup banyak hasil dari kemewahan memakai gelaran rasmi agama. Sehingga ada yang jumlah gajinya mengejutkan parlimen dan rakyat.


Namun di zaman moden ini, mereka mungkin bimbang habuan yang dijanji tidak diberi, kontrak mereka tidak disambung, atau pangkat mereka tidak dinaikkan, atau bisnes yang mereka menjadi ‘duta produk’ atau juru larisnya terjejas, atau perlantikan mereka di institusi-institusi yang menghasilkan elaun bulanan itu terganggu.


Atau ada pula yang menjaga kepentingan parti mereka melebihi daripada membela kebenaran dan fakta. Sehingga ada yang sanggup mengubah-ubah fatwa, hanya kerana partinya sudah berubah. Lalu mereka akan menjauhkan diri dari sesiapa yang cuba mengikuti semangat Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.


Kalau pada zaman Ibn Taimiyyah, untuk mengelakkan mereka terpaksa berjuang bersama Ibn Taimiyyah dan rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan tersebut menulis atau menyebarkan fitnah untuk memburukkan Ibn Taimiyyah. Tujuannya, untuk menutup kelemahan diri dan menjaga kepentingan sendiri. Sebelum dan selepas zaman Ibn Taimiyyah pun, gelagat ulama jenis ini tetap sama.


Apabila ulama mengutamakan kepentingan sendiri, maka umat akan kehilangan garis panduan terutama pada waktu gawat dan getir. Pandangan dan pendapat yang benar disembunyikan sedangkan umat kehausan bimbingan. Jika diberikan pandangan pun hanya tajuk-tajuk yang dipersetujui oleh panaja.


Kadang-kala kita rasa tidak padan tajuk yang dicakapkan dengan jawatan yang dipegang. Maka amatlah buruk golongan yang menamakan diri mereka ulama jika hanya kelihatan ketika majlis-majlis rasmi untuk hadir hanya sebagai pembaca doa semata. Lebih menyedihkan lagi, dalam doa itu ‘ada udang di sebalik mee’, untuk dimakan sendiri. Sehingga kita yang mendengar pun terasa seram sejuk dengan pujian kepada pihak tertentu yang ‘lebih daripada yang patut’.


Atau golongan ini hanya kelihatan dalam majlis jamuan rasmi untuk memenuhi kerusi VIP yang dikhaskan untuk mereka. Hanya mampu makan jamuan yang diambil daripada peruntukan rakyat, namun tidak mampu bersuara jujur membela rakyat. Ada pula ulama-ulama rasmi yang minatnya adalah lawatan atas nama jawatannya ke sana-sini. Kononnya, untuk mengiringi orang itu dan ini.


Mereka kelihatan sibuk, namun umat tidak pula tahu apakah hasil dan sumbangan mereka untuk kepentingan rakyat. Apa yang disibukkan itu? Apakah kesibukan itu bersesuaian dengan peranan mereka yang sepatutnya? Atau sekadar sibuk menjadi pengiring atau sebagai panel memenuhi kerusi jamuan?. Atau sibuk untuk harta dan pangkat sendiri.


Ulama jenis ini, tidak mereka berjuang dengan suara, tidak juga dengan pena. Tentu jauh sekali dengan darah dan airmata. Walaupun pena atau komputer mereka mungkin berjenama mahal, tetapi kita tidak tahu apa yang mereka tulis dan sumbangkan untuk umat. Suara mereka tentu lebih mahal. Bak kata perpatah ‘suara emas’, sebab itu ia amat sukar untuk dikeluarkan walaupun keadaan amat memerlukan.


Bicara mereka bicara ‘ranggi’. Cerita mereka tentang kereta baru, perabut baru, lawatan keluar negara, lantikan baru, anugerah gelaran tambahan dan yang sewaktu dengannya. Wajah mereka berseri-seri jika bergambar di samping orang besar atau ‘pak menteri’.


Malangnya, sebahagian wajah yang berseri-seri itu tidak mampu untuk hadir mengajar atau memberikan pandangan untuk kepentingan orang awam. Kalau pun diberi, pandangan yang amat tidak berkualiti, atau dalam perkara yang kurang diperlukan. Mereka mungkin berfatwa tentang ‘haram kanak-kanak bermain mercun’ pada musim hari raya. Kerana itu kata mereka ‘pembaziran’.


Tetapi tidaklah pula mereka berfatwa tentang bunga api yang dibakar di sambutan-sambutan rasmi yang memakan belanja puluhan bahkan mungkin ratusan ribu. Padahal pembazirannya lebih jelas dan wangnya adalah wang orangramai.


Maka tidak hairanlah jika ada yang berjawatan tinggi dalam agama, tetapi tidak dikenali oleh rakyatnya. Jika dikenali pun, tidak pula diketahui apakah peranannya dalam membela kemaslahatan umat yang menjadi tuntutan agama?


Ulama yang seperti inilah yang menjual fatwa untuk kepentingan kedudukan, pangkat dan harta. Umat akan keliru, bahkan mungkin akan tersesat. Justeru, janganlah hairan jika al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing melainkan golongan ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.


Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).


Ayat ini menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang tidak sahih menyebut nama orang tersebut ialah Bal’am. Kita tidak menerima periwayatan tanpa sokongan yang seperti itu.


Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopoh dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain.


Maka Allah menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).


Bagi ulama yang telah menyembunyikan kebenaran dan menyelewengkan fakta yang sebenar tiada jalan untuknya mendapat keampunan melainkan taubat dan menerangkan semula kebenaran yang disembunyikan atau fakta yang diselewengkan.


Firman Allah (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).


Ya! ulama itu bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa. Namun walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T.


Mereka juga boleh menjaga kaya dan berharta, tetapi tanpa menggadaikan kebenaran. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia. Jika seseorang memakai pakaian ulama, atau menduduki jawatan ulama, atau memakai gelaran ulama tetapi dia kontang ilmu, dia sebenarnya bukan ulama walaupun diletakkan berbagai gelaran dan bintang.


Perkataan ulama itu berkait dengan ilmu dan peranan mereka menyampai dan menyatakan kebenaran. Bukan kerja ulama menjadi pembela setia sesebuah kerajaan ataupun parti atau individu. Ulama membela kebenaran ajaran Allah dan RasulNya. Tiada kompromi dalam soal kebenaran, keadilan dan fakta sekalipun terpaksa menghadapi teman yang rapat, atau pihak berjasa lagi dikasihi.


Sebab itu, seseorang apabila ingin menjadi penuntut ilmu-ilmu Islam, wajib baginya membetulkan niatnya. Jangan dia, atau ibubapa yang menghantarnya berfikir tujuan mempelajari ilmu-ilmu Islam untuk mendapatkan jawatan, atau menjadi penceramah yang lumayan, atau kerana ruang pekerjaan dalam bidang agama luas, atau melariskan bisnes.


Jika itu berlaku dari awal, maka lahirlah ulama-ulama ‘kakak tua’ yang akan memperkatakan apa yang digemari oleh orangramai, atau apa yang diminati di pasaran, atau apa yang dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak tertentu. Maka Nabi s.a.w mengingatkan: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).


Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat. Kita memerlukan ilmuwan seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a., bukan ulama yang menjaga jubah dari percikan darah pengorbanan dan kebenaran.