Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Isnin, November 08, 2010

Jiwa Yang Luhur Mencari Kebenaran

Kembara insan mencari kebenaran adalah tuntutan fitrah yang murni. Insan yang luhur jiwanya tidak akan menemui kepuasan sanubari sehinggalah dia menemui jalan kebenaran yang diyakini oleh akal yang matang dan fitrah yang tulus.

Kekayaan sekalipun jika dimiliki oleh seorang insan, tidak akan dapat memberikan ketenangan jiwa selagi dia tidak menemui jalan Tuhannya yang sebenar. Demikian itu, disebabkan Allah telah memfitrahkan dalam jiwa insan kehendak kepada kebenaran dan keinginan menyelusuri hidup dengan cara yang diredai-Nya.



Jika ada insan yang menyeleweng dari fitrah ini, jiwanya akan menderita sekalipun dia mewah dan berkuasa. Sekalipun kelihatan gembira dan bersuka, namun di sudut sanubarinya kekosongan yang memeritkan. Insan yang tidak menyelusuri hidup atas landasan Tuhan akan sentiasa merasai kekosongan dalam jiwa atau pencariannya yang belum selesai. Jika dibiarkan, ia akan menjadi barah amat perit.


Kita selalu membaca berita artis-artis terkenal mengambil dadah atau orang ternama membunuh diri. Mereka bukan kekurangan harta, pengaruh atau kehilangan ruang untuk berpesta. Mereka kehilangan fitrah yang luhur.


Maka akidah yang benar, pegangan agama yang jujur dan kehidupan berpandukan peraturan Allah adalah keperluan jiwa insan dan ubat bagi kesakitan perasaan. Jika insan tidak mengambil ubat ini, sekalipun kita melihat senyuman manisnya, namun di sudut perasaannya, ada seakan pemberontakan jiwa dan gangguan ketenangan yang tidak berkesudahan. Jika dia sedar, dia akan mencari kebenaran.


Sebab itu kita membaca ramai tokoh terbilang di Barat dan Timur mencuba berbagai-bagai agama. Sehingga akhirnya – alhamdulillah – ada yang menganut Islam. Jika dia tidak sedar, dia akan mengubatinya dengan mendapatkan kegilaan hidup menerusi aktiviti-aktiviti yang bermacam sebagai cubaan mencari ketenangan jiwa.


Itulah sebabnya, sesetengah manusia membuat berbagai-bagai aktiviti yang pelik seperti merempit motosikal dengan cara yang memusnahkan diri, terjun dari tempat tinggi dengan cara yang berbahaya dan seumpamanya. Atau mungkin aktiviti yang baik seperti perjuangan membela kehidupan haiwan atau tumbuhan tertentu.


Walaupun amat baik dan bersesuaian dengan Islam, namun sebahagian aktiviti yang terlibat itu sebenarnya sedang mencari ruang mengisi satu kekosongan yang tidak dapat difahami dalam jiwa mereka. Firman Allah (maksudnya): Dan sesiapa yang berpaling (tidak mengikut) dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Surah Taha: 124).


Kesempitan itu bukan kesempitan harta atau kuasa, tapi jiwa yang gagal menemui hakikat sebenar kebahagiaan. Ia seakan sesak dan penuh resah meraba-raba sesuatu yang dirasakan bagai kehilangan. Sesuatu itu sebenar adalah cahaya hidayah Allah.


Saya membaca sebuah majalah ‘mat saleh’ yang mendedahkan penderitaan ‘Mother Terasa’; agamawan dalam Kristian dan menumpukan kehidupan kepada usaha-usaha kebajikan membantu golongan miskin semasa hidupnya. Namun, surat- menyurat beliau yang dihantar kepada pihak tertinggi agama tersebut menggambarkan penderitaan jiwanya yang gagal merasai kehadiran Tuhan yang sebenar dalam jiwanya. Beliau seakan ragu dengan kewujudan tuhannya. (lihat: Letters Reveal Mother Terasa‘s Secret, cbsnews.com.)


Sebenarnya, bagi saya bukan kewujudan Tuhan yang diragui. Beliau keliru antara kegagalan menemui jalan Tuhan yang sebenar dan kewujudan Tuhan. Jiwanya menderita bukan kerana Tuhan tidak wujud, sebaliknya kerana alamat yang dituju kurang tepat. Jiwa luhur adalah jiwa yang mencari petunjuk Tuhan yang sebenar.


Demikianlah al-Quran menceritakan tentang nabi Allah yang mulia, Nabi Ibrahim, firman Allah (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata. Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami) di langit dan di bumi, agar dia termasuk dari kalangan mereka yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang, lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam. Kemudian apabila dia melihat bulan terbit, dia berkata: “Inikah Tuhanku?” maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika Tuhanku tidak diberikan petunjuk kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian apabila dia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”, setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ‘Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dengan cenderung kepada agama yang benar dan aku bukan dari orang-orang yang menyekutukan Tuhan. (Surah al-An‘am 74-79).

Demikian jiwa yang luhur itu akhirnya Allah tabalkan Ibrahim sebagai salah seorang rasul-Nya.


Mungkin tajuk ini agak berbeza dengan perbincangan sebelum ini. Namun ini penting apabila saya menyedari ramai bukan Muslim membaca tulisan saya. Pengalaman kerohanian mereka sudah pasti akan akur terhadap keperluan insan bersungguh-sungguh mendapatkan agama yang benar.


Demikian juga, kepada sebahagian yang Muslim, yang mengikuti ruangan ini, cuma kehidupan berteraskan agama belum menjadi tema hidup mereka. Walaupun saya berterima kasih atas sokongan mereka, namun kita mesti sedar, Islam ini tidak berpada hanya sekadar perbahasan minda.


Perasaan kegembiraan mereka dengan cetusan-cetusan saya sebelum ini diharapkan dapat membawa semua pihak mendampingi Islam yang hakiki. Bukan sekadar falsafah dan teori, sebaliknya Islam yang benar itu hendaklah mengalir dalam urat nadi kehidupan kita.


Di samping itu, satu perkara perlu diketahui bahawa seseorang yang mengetahui kebenaran itu bukan semesti akan mengikut kebenaran. Saya menemui berbagai-bagai manusia yang akur apa yang saya tulis dan sebutkan, namun mereka beritahu “jika kami terima apa yang saudara sebutkan bererti kami merendahkan kedudukan kami”. Saya masih berterima kasih, sekurang-kurang dia akur. Namun demikian tabiat sebahagian manusia. Bukan semua orang akan patuhi perkara baik yang mereka faham dan tahu.


Justeru, Allah mendedahkan sikap buruk para ulama Yahudi dengan firman-Nya: (maksudnya): Orang-orang yang Kami berikan Kitab itu (ulama ahli Kitab) mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui. (al-Baqarah: 146). Maksudnya, menerusi ilmu yang mereka peroleh melalui Taurat dan Injil, mereka kenal Muhammad bin Abdillah ialah seorang rasul yang diutuskan. Namun sikap bongkak atau menjaga kepentingan telah menewaskan hakikat kebenaran yang mereka ketahui.


Demikian sesetengah golongan agama di kalangan kita, pengetahuan mereka tentang kebenaran kadangkala tidak lebih kuat dari hasrat mereka untuk mempertahankan kepentingan diri, atau kebiasaan yang ada. Umpamanya, saya melihat seorang yang berlabel agama mengharamkan orang lain bersolat tarawih kurang dari 20 rakaat. Bahkan beliau menganggap sesiapa yang bersolat 11 rakaat (lapan tarawih dan tiga witir) itu tidak sah.


Lebih keras, beliau menyatakan sesiapa yang tidak solat 20 adalah pengikut ajaran kaum muda dan sesat. Saya katakan, betapa ramai mereka yang bersolat lapan rakaat di masjid-masjid kemudian keluar, mereka tidak tahu-menahu pun apa itu kaum muda atau apa itu kaum tua. Barangkali mereka ada urusan, atau sekadar itu kemampuan mereka.


Malangnya manusia suka berprasangka. Lagipun solat tarawih adalah solat sunat, tidak perlu arahan untuk menetap secara keras seperti itu. Apatah lagi menghukum tidak sah. Kemudian ada pihak menunjukkan kepada orang berkenaan hadis al-Bukhari, Muslim dan lain-lain yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. bersolat tarawih hanya 11 rakaat dan dalam riwayat lain 13 rakaat. Mana mungkin untuk dihukum tidak sah. Apakah solat Nabi s.a.w. tidak sah?


Dia menjawab; saya tidak kiranya, hadis ke, apa ke, sahih al-Bukhari ke, sahih Muslim ke, yang penting ini keputusan di negeri kami. Saya mengeluh panjang. Atas fanatik dia menolak hadis dan memaksa orang ramai tanpa alasan yang kukuh. Jika sekadar dia menyebut, kami menggalakkan 20 rakaat, ringanlah sedikit bunyinya. Sepatutnya, hadis sudah jelas pilihan patut diberikan.


Tidak perlu berbalah. Lebih menarik, dia menuding jari ke pihak lain dengan menyatakan: Puak-puak muda ini keras dengan pandangan mereka. Aduhai bak kata pepatah; dia yang memukul orang, dia pula yang menangis. Dia yang memaki orang, dia pula pergi mengadu. Demikianlah, mengetahui yang benar, belum tentu ingin mengikutnya. Hadis pun ditolaknya mentah-mentah. Sehingga ada orang apabila mendengar ustaz menyatakan kurang dari 20 tidak sah, terus sahaja tidak solat tarawih, kerana mereka hanya mampu sekadar lapan.


Ini bererti insan memerlukan kekuatan tambahan dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap kebenaran. Justeru itu, hidayah atau petunjuk itu berbagai-bagai jenis. Salah satunya dinamakan dengan Hidayah al-Taufiq. Bermaksud seseorang setelah mengetahui kebenaran diberikan pula hidayat kekuatan untuk mengikut yang benar tersebut. Sebab itulah setiap kali bersolat, kita menyebut Ihdina al-Sirat al-Mustaqim (tunjukkan kami jalan yang lurus).


Mengapakah kita meminta petunjuk sedangkan kita sudah Muslim dan bersolat. Maksudnya kita meminta petunjuk yang memberikan kita kekuatan untuk mengikut jalan yang benar. Allah menyebut dalam surah al-Ahqaf (maksudnya) …setelah insan sampai ke peringkat dewasa dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, dia berdoalah: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau redai; dan baikilah untukku anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan Sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu). Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami (Allah) ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (Mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka. (ayat 15-16).


Demikian Allah gambarkan insan yang soleh ialah insan yang merintih kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk bersyukur dan beramal soleh. Maksudnya, tanpa bantuan Allah, insan tidak mampu menyempurnakan tanggungjawab terhadap kebenaran.


Justeru, di dataran Ramadan ini, untuk sekalian pejuang dan penyokong suara perubahan kepada agama yang lebih luhur, setelah kita cuba memahami kebenaran, kita hendaklah merintih sebanyak-banyak kepada Allah agar Dia memberi kekuatan kepada kita bukan sekadar mengenali yang benar tetapi juga berpegang dengannya. Sehingga terpancar di wajah kita hasrat memilih jalan yang benar dan ciri-ciri pemegang kebenaran.


Jika tidak, Islam hanya menjadi tulisan falsafah, tanpa jelmaan dan kesan dalam kehidupan insan. Maka jiwa yang murni dan perasaan yang hening disebabkan keindahan Islam itu tidak dapat dikecapi. Akhirnya agama ini sekadar perbahasan ilmiah dan ketajaman minda. Islam hendaklah muncul dan memberikan kesan mendalam terhadap kehidupan kita.


Akidah kita hendaklah mengikut Islam, bebas dari sebarang kesyirikan, khurafat dan karut-marut. Demikian ibadah yang ditetap seperti solat, puasa, haji mesti tulen sama seperti diajar Rasulullah tanpa edisi tambahan. Sebarang inovasi dalam ibadah adalah sendaan terhadap peranan Rasulullah yang diutuskan untuk diteladani.


Demikian urusan kehidupan; percakapan, pergerakan seboleh mungkin kita cuba memastikan tidak melanggar peraturan Islam. Demikian kerohanian kita; hendaklah bebas dari hasad dengki, tamak yang dibenci, bersangka buruk pada orang lain tanpa alasan yang benar dan seumpamanya. Jiwa kita juga hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah dan mengharapkan rahmat-Nya semata. Akal yang mantap, renungan minda yang tajam jika digabungkan dengan kesemua ini menjadikan kita insan Muslim yang amat harmoni jiwa dan berwibawa hidupnya.


Oleh: Dr. Asri Zainul Abidin