Istilah wahabi,kaum muda ,salafi dan sunnah umpama satu perkataan keramat sekarang. Keramat dengan maksud baik dan buruk. Banyak kata wahabi ini tidak ikut mazhab, tidak hormat ulama . suka mencerca dan menyesatkan orang lain, membidaahkan orang lain, keluar dari pemikirian umum dan pemecahbelah masyarakat,
Artikel saya kali ini cuba merungkaikan apa itu wahabi dalam konteks saya yang serba kekurangan ini. Artikel ini sebenarnya bukan membela atau ,menentang mana-mana aliran tetapi lebih kepada pandangan saya berdasarkan bahan bacaan, diskusi dan percayalah, kebanyakan lebih kepada pengalaman saya sendiri
Sepanjang pencarian saya , saya tidak pernah jumpa orang wahabi sebab saya sendiri tidak pernah tahu apa itu wahabi! Ada yang kata Dr. Asri Zainal Abidin ini wahabi, ada yang kata Ustaz Rasul Dahari ini wahabi, ada yang kata Dr . Johari Mat ini wahabi, ada yang kata Maulana Asri Yusof ini wahabi, ada yang kata ustaz Abdul Kadir Sahak ini wahabi , ada yang kata Al Ustaz Abdullah Qari sebagai wahabi ada yang kata orang tu wahabi, orang ni wahabi sedangkan kalau kita mengkaji dan meneliti tanpa bias dan prasangka, kita akan dapati pendekatan mereka semua itu berbeza, sekurang-kurangnya pandangan mereka.
Bahkann Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah dikatakan wahabi. Kalau dahulu, orang yang dikaitkan dengan wahabi ialah orang yang belajar di luar Negara seperti Mesir ,Jordan dan Pakistan di mana budaya ilmu mereka lebih terbuka.
Tidak semua orang yang digelar wahabi ini mahu atau tahu mereka digelar wahabi. Apa itu wahabi? Adakah mereka digelar wahabi sebab mereka membawa pemikiran yang terkeluar sedikit daripada masyarakat? Adakah mereka digelar wahabi sebab mereka mengamal dan menyeru kepada sunnah? Adakah mereka digelar wahabi disebabkan mereka banyak menegur perlakuan ynag dilambangkan bidaah?
Adakah mereka digelar wahabi kerana mereka meninggalkan kebiasaan pada masyarakat ? Saya di Pulau Pinang mengikuti kuliah aqidah Tauhid tiga serangkai (Uluhiyah, rububiyah, asma wa sifat) daripada seorang ustaz yang juga mantan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang. Saya akui mengikut kuliah pengajian kitab Riyadussolihin daripada seorang ustaz daripada Institut Ibnu Qaiyyim. Namun sampai sekarang saya tidak menjumpai apa itu wahabi dan kenapa wahabi ini sesat. Ramai kata saya wahabi, saya Tanya balik, apa itu wahabi? Adakah wahabi itu sesat?
Adakah dengan memiliki pandangan yang lebih sukakan sunnah, menentang bidaah, menegakkan aqidah berlandaskan alquran dan sunnah , akan segera digelar wahabi? Saya ada pengalaman berdebat dengan salah seorang pengikut Tariqat sesat Ahli Salikin di Bachok ,Kelantan.
Orang tersebut Tanya apa pandangan saya mengenai agama. Saya jawab,” saya lebih suka menggunakan dalil berlandaskan al quran dan sunnah, tidak sukakan perkara-perkara yang baru dalam masyarakat , menentang syirik dan khurafat”. Beliau segera berkata ” enta ni wahabi ke?”
Kalau hendak kata puak-puak yang orang kata wahabi ini suka sesatkan orang , saya mempunyai pengalaman seorang saudara sampai mengkafirkan kita di depan muka . sampai tidak mahu solat di belakang orang yang dikatakan wahabi ini.
Kalau hendak dikatakan puak-puak wahabi ini tidak ada mazhab , seorang tokoh yang dikaitkan dengan ajaran wahabi ini, As Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab juga mempunyai mazhab , beliau bermazhab hambali. Tinggal yang terang-terang kata dia tiada mazhab ialah Astora Jabat !
Ada yang kata wahabi ini ini suka membidaahkan orang, tetapi sepanjang pemerhatian saya , hanya beberapa kerat sahaja yang suka membidaahkan orang. Yang lain lebih suka berdakwah dengan lebih halus seperti member nasihat dan pandangan. Takkan kerana seorang kita ingin berhukumkan kepada semua? Saya sendiri tidak berapa gemar dengan tokoh-tokoh yang suka “cari pasal” ini. Bukankah dakwah itu seharusnya disampaikan dengan berhikmah?
Saya akui ada sesetengah sahabat saya yang begitu taksub kepada tokoh-tokoh yang dikatakan wahabi ini seperti Salih Al Uthaimin, Albani dan beberapa tokoh lagi , tetapi adakah ketaksuban itu “bertepatan” dengan ajaran imam mazhab itu sendri?
Ada sesetengah tokoh yang dikatakan wahabi ini kata kita jangan taksub tokoh, dan saya akui ada sesetengah anak murid kepada tokoh taksub kepada tokoh mereka itu. Puak-puak yang dikatakan sunnah ada juga yang tak sunnah! Mereka Kata jangan taksub tokoh tapi mereka amat melampau dalam menerima pendapat tokoh mereka. Amat ironi dengan perjuangan mereka . Ini pemikiran yang tidak boleh diterima oleh sesiapa .
Ada sesetengah aliran mengkafirkan golongan yang dikatakan wahabi ini. Mereka guna lah hujah bahawa puak-puak wahabi ini seperti mujassimah ,iaitu golongan yang suka menjisim dan menjasadkan Allah jalla wa ala. Mereka kata wahabi pakai pendekatan tauhid yang terkeluar dari ahlusunnah wal jamaah.
Mereka kata wahabi ini ini tidak diterima amalan sebab tauhid mereka pun tak betul! Sebagai orang yang mengkaji dan meneliti aliran pemikiran dengan ilmu yang terhad, saya boleh menyifatkan mereka yang suka mengkafirkan orang ini sebenarnya taksub tokoh, taklid membuta tuli dan malas membaca !
Mereka mungkin tidak mengkaji pergerakan ikhwanul muslimin melalui pemikiran Imam As Syahid Hassan Al Banna dalam usul 20. Namun persoalan aqidah (sama aqidah tiga serangkai atau sifat 20) ini tidak menjadi isu utama sebab ia telahpun Berjaya memporakperandakan masyarakat muslim sekian zaman .
Sampai sekarang saya mencari apakah kesesatan wahabi ini. Andai aqidah yang dipegang wahabi ini sesat maka ikhwanul muslimin pun patut disytiharkan sesat. Padahal mereka dalam sedar atau tak sebenarnya telah mengkafirkan banyak jemaah islam di seluruh dunia . Mereka kalut dok kafirkan dan sesatkan orang. Mungkin inilah satu-satunya jasa mereka dalam menegakkan agama ini!
Kita tinggalkan persoalan sifat Allah. Ada yang kata wahabi ini pemecahbelah masyarakat. Tetapi secara jujur saya melihat sesetengah yang anti wahabi ini lebih giat memcahbelahkan masyarakat ! Ada yang sampai mengunakan jawatan mereka yang tinggi dalam jabatan agama kerajaan untuk mengkafirkan dan menyesatkan orang lain.
Ada yang sampai menuduh orang itu ekstremis dan radikal! Contohnya tindakan seorang ustaz yang berbincang dengan Bukit Aman mengenai ancaman wahabi ini. Sampai sekrang ,saya ulangi tidak pernah tahu apa itu wahabi..
Ada sesetengah kata wahabi ini tidak baca doa qunut dan tidak membaca doa lepas sembahyang. Saya rapat dengan seorang akh yang menentang wahabi,bermazhab syafie tetapi dia tidak pun baca doa qunut dan baca doa lepas solat! Sebab itu sampai sekaranga saya tidak mengerti apakah yang dikatakan wahabi itu. Adakah orang yang bermazhab hanafi patut digelar wahabi hanya kerana beliau tidak berqunut?
Saya akui saya pernah dikatakan wahabi dan kafir pada suatu ketika oleh pengikut satu aliran . Namun saya lebih suka membuatt kajian di mana apa yang baik kita terima, apa yang kurang baik kita tolak ataupun apa yang kita tak gemarkannya kita letak tepi. Senang cerita ! Kelemahan orang melayu ialah malas membaca dan mengkaji. Sebab tulah dok kalut sesatkan orang kafirkan orang tak memasal.
Dua kesimpulan daripada celoteh saya kali ini :
Kesimpulan pertama : Saya tidak tahu dan tidak pernah tahu apa itu wahabi sebenarnya. orang boleh memberi beberapa definisi tentang wahabi, cirri-ciri seorang wahabi tetapi persoalannya adakah mereka yang dikatakan wahabi itu tahu mereka itu wahabi?
Sebab itu saya berasa agak ironi kepada kebanyakan orang yang suka menyesatkan orang tu, mengkafirkan orang ni, pada masa yang sama mereka tak tahu sebenar-benarnya apakah benar tuduhan tersebut. Mereka ini kebanyakannya malas mengkaji dan malas membaca. Ada seorang pelajar p*****k di Kelantan secara jelas mengkafirkan Ibu Taimiyyah dalam satu program di Kelantan pada tahun ni, program yang menghimpunkan Dato’ Nakhaie Ahmad, Ustaz Fendi, Dato’ Nik Amar dan Dr Asri Zainul Abidin.
Ironinya, saya berani kata dia tak kenal pun siapa orang yang dikafirkannya itu . Kadang-kadang dakwaan mereka itu(baca: fitnah atau cakap-cakap tanpa bukti) itu mencetuskan perasaan gelihati saya ini . Secara jujur, banyak buat tuduhan tanpa asas.
Kesimpulan kedua : Janganlah kita mudah-mudah mengkafirkan dan menyesatkan orang lain tanpa hujah dan dalil yang jelas. Ketaksuban membuta tuli dan taklid secara membabi buta hanya melahirkan manusia yang tidak seperti manusia kerana ketidakupayaan mereka menggunakan akal yang dikurniakan.
Andailah wahabi ini sesat dan kafir, setakat ini yang saya tahu syiah , tarikat sesat, qadiani dan astora jabat banyak terluka disebabkan wahabi ini ! Mana yang lain? Mungkin yang lain lebih suka mengkafirkan orang lain yang berbeza aliran . Kuman di seberang Nampak, tetapi gajah di depan mata tak Nampak ! Berfikirlah dengan akal bukan dengan hawa nafsu ! Orang Melayu kita ini jiwanya lembut tetapi suka bertengkar.
Saya tinggalkan dua kesimpulan ini kepada kita semua untuk direnungi bersama. Berlapang dadalah . Jangan bertaklid membuta tuli !