Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Ahad, Julai 26, 2009

Bila kalam mula berbicara-satu intropeksi

Sesungguhnya perjalanan seorang daie sungguh jauh dan meletihkan . orang yang lalai akan bertanya kepada daie ,"kenapa kau rela bersusah payah begini?", .Maka jawab si daie dengan yakin dan pasti ,"Aku mengharapkan pengistirehatan yang kekal di akhirat kelak". Kata-kata ini merupakan antara mutiara kata yang terkeluar daripada mulut reformer agama atau mujadid yang terkenal , Ibnu Qaiyyim Al-jauziyyah . Kata-kata ini sebenarnya memberi maksud yang mendalam kepada diri saya kebelakangan ini .

Demi Allah , saya mula meneliti semula perjalanan dakwah saya ini yang dilihat penuh kontroversi , suka duka dan perit. Saya akui untuk menjadi seorang Zhafri agak sukar kerana Zhafri ini dilihat keras , tidak mampu bertolak ansur dan sebagainya. Tetapi hakikatnya niat itu hanya Allah yang tahu .Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi untuk menjadi seorang daie itu sehinggakan kita sendiri terdetik dalam hati adakah pertolongan Allah itu sudah dekat ? Bukan bererti kita hendak menafikan pertolongan Allah kerana dalam Al-Quran sendiri memberi jaminan kepada pejuang-pejuang agamaNya bahawa pertolongan Allah sungguh dekat. Bahkan seorang daie itu sedar bahawa Allah s.w.t telah berfirman di dalam kitabNya yang mulia , "Adakah kamu (dibiarkan berkata) kami telah beriman sedangkan kamu tidak diuji? "Namun ia lebih sekadar pertanyaan dalam diri. Sabar atas sabar-merupakan satu azimat kepada setiap ujian yang Allah tetapkan. Mahukah Aku tunjukkan kepadamu perniagaan yang tidak akan rugi? -Allah secara jelas menerangkan bahawa di dalam dakwah kita tidak akan bertemu istilah yang dipanggil rugi.

Saya lebih suka bekerja seorang diri walaupun agak memenatkan sebab saya jenis yang suka melakukan sesuatu secara cepat dan pantas . Bukan niat saya untuk mencari pangkat atau kedudukan , demi Allah , seandainya ada yang lebih layak memikul jawatan atau bebanan saya ini ,saya rela lepaskan semua jawatan saya . Saya berpendapat bahawa ada sesetengah perkara kita kena lakukan secara bersama,iaitu bersama tanzim lokaliti. Sebagai contoh program high impact seperti ceramah , pertandingan hafazan tafsir dan sebagainya,

Namun ada sesetengah perkara yang kena kita lakukan sendiri seperti mengisi kelompongan atau kekosongan pada program tanzim seperti membuka kelas aqidah ,kelas guru sedar dan sebagainya. Ada sesetengah orang yang tidak faham menganggap perkara ini seumpama satu ANCAMAN terhadap pangkat dan kedudukan mereka, sesetengah menentang atas alasan yang cukup kelakar seperti tidak mendapat kebenaran daripadsa HEP dan masih dalam perbincangan dan sebagainya.

Saya ulangi bukan niat saya-bahkan pangkat itu menjadi bebanan kepada saya suatu hari nanti. Tugas saya hanya bekerja -dan terus bekerja walaupun demam, kecederaan , keletihan dan ditentang . Kekerasan kepala saya juga terserlah bila saya berpandangan bahawa "kalau ada yang hendak bekerja bersama saya ,silakan , alhamdulillah saya terima dengan hati terbuka.

Kalau tidak mahu bekerja bersama saya ,syukur terima kasih ,saya tidak mengharapkan pertolongan sesiapa kecuali kepada Allah" . Prinsip ini seharusnya dipegang oleh setiap daie sebab saya melihat ramai daie2 atau penggerak-penggerak yang begitu takut untuk menyatakan pendapat atau membuat sesuatu yang disifatkan sebagai "lain dari kebiasaan" , "thinking out of the box" , berisiko tinggi dan takut akta! Ramai takut untuk kehadapan sehingga mesyuarat atau perjumpaan hanya dihadiri oleh orang-orang yang pasrah menerima tugasan pihak atasan dan takut untuk membangkang dan hanya bercakap di belakang.

Saya juga berpandangan bahawa institusi surau atau masjid haruslah diperkasakan dengan pengisian berbentuk tarbiyah dan sebagainya. Tidak cukup jika kita hanya bercakap bahawa kita mempunyai banyak kumpulan usrah, tetapi pengisian yang bersifat umum ini tidak ditekankan.

Usrah itu lebih kepada khususiyah manakala majlis ilmu lebih kepada umum. Bukan semua orang yang mahu dan mampu mengikuti sistem usrah ini. Pengisian juga tidak harus diskemakan , di mana setiap majlis ilmu itu terpaksa mendapat kebenaranan daripada pihak atasan , mendapat permit dan harus melalui musyawarah (yang terkadang tidak relevan dan tidak perlu) dan sebagainya. Sesetengah pengunjung masjid atau surau begitu mendambakan majlis ilmu , tetapi kehendak mereka itu tidak dipenuhi. Surau dan masjid tidak harus dimilikperibadikan , atau diswastakan atau dikawal aktiviti di dalamnya kecuali aktiviti tersebut bercanggah dengan hukum syarak .

Wanita ? Bagi saya wanita merupakan makhluk paling indah dicipta oleh Allah di alam ini. Bahkan kehormatan seorang wanita itu lebih berharga dari segala emas dan harta di dunia ini. Nabi Muhammad s.a.w begitu menyayangi kaum ini ,di mana antara kalimah baginda sebelum menghadap Rabbul jalil adalah "wanita, wanita, lindungi wanita". Sesungguhnya Islam telah mengangkat kaum ini ke tempat yang seharusnya dan sepatutnya. Apabila Islam datang , wanita dipandang sebagai suatu kaum yang terhormat, mulia, makhluk paling dipuji dan disanjungi , sesuai dengan sifat wanita yang lebih pelembut, penyabar dan mempunyai belas insan yang tinggi. Wanita seharusnya sedar tentang "harga " diri mereka sendiri dan tidak terperangkap dalam kancah pemikiran dan eksploitasi yang dicetuskan oleh kaum Adam .

Kaedah sirr (rahsia) dan hazaar (hati-hati) seharusnya tidak menjadi alasan untuk kita tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Ramai orang begitu takut menegur kesalahan sahabat lain atas dasar hendak jaga hati , hendak jaga supaya dia tidak lari usrah dan sebagainya. Kaedah ini relevan dipakai apabila ia melibatkan unsur-unsur strategi seperti pembentukan kabinet bayangan dan pemilihan pemimpin secara rahsia.

Namun dalam ,konteks dakwah di Malaysia , secara umumnya, kaedah seperti ini tidak sesuai digunakan kerana dakwah hari ini merupakan dakwah yang disampaikan secara terbuka dan telus. Orang ramai yang tidak menerima tarbiyah juga tidak akan begitu takut untuk menghampiri sahabat-sahabat tarbiyah ini seterusnya ini akan menarik sahabat-sahabat di luar tarbiayah untuk menyertai tarbiyah. Sudah masanya kita bangkit dan menuruti sabda nabi dalam satu hadis sahih <" Sesungguhnya jihad yang paling besar adalah dengan menyatakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim". Ramai yang suka jaga periuk nasi sendiri dan takut bertindak. Inilah ciri-ciri wahn sepertimana yang ditekankan dalam satu hadis nabi.

Saya juga tersentuh dengan satu rangkap kata-kata yang dinukilkan oleh sahabat nabi yang besar , Saidina Omar RA. Beliau berkata , "seorang pemuda tidak akan menyatakan itu adalah ayahku ,tetapi seorang pemuda yang berani akan berkata inilah aku!" Kata-kata itu sebenarnya merupakan satu azimat kepada diri saya sebenarnya . Saya ada identiti sendiri . iNILAH AKU !

Ahad, Julai 19, 2009

Bepelajaran Tidak Berpendidikan

PETIKAN DARIPADA WEB SAIFUL ISLAM

“Ramai yang beranggapan bahawa kalau belajar Sains dan Matematik, boleh jadi kaya. Boleh buat duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang Sejarah, bidang Geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ia tidak mendatangkan keuntungan”, rungut Prof. Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama malam tadi.

Saya tidak mampu berkata apa-apa kecuali mengangguk dan terus mengangguk.

Mengangguk setuju dan mengangguk kecewa.

Hari ini Buletin Utama membangkitkan isu kegagalan sistem pendidikan kita berfungsi melahirkan modal insan, sebagaimana yang diharapkan oleh negara.

Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan.

Apa maknanya itu? Biar pun saya sedikit kebingungan dengan penjelasan Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz tentang beza berpelajaran dan berpendidikan, tetapi mesejnya jelas. Kita mengukur kecemerlangan dari jumlah A yang terkumpul, hingga ada sekolah yang menyekat pelajar dari mengambil mata pelajaran tertentu di dalam peperiksaan SPM, demi untuk tidak menjejaskan rekod cemerlang sekolah!


S. Subashini,12, a student of Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Simpah died in hospital, a day after she was found hanging from the ceiling of her room. [The New Straits Times Online]

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.

Sejauh mana isu ini diperbahaskan?

Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?

Sesungguhnya berita itu benar-benar menjadikan saya kecewa dan hampir putus harapan terhadap masa depan negara ini. Lebih-lebih lagi dengan komen simplistik semua pihak yang ditemui oleh pihak media. Sedangkan kes adik S. Subashini sepatutnya menggegarkan seluruh sistem pelajaran Malaysia, izinkan saya menggunakan perkataan rasmi ‘pelajaran’ biar pun jiwa ini lebih mencari nilai sebuah ‘pendidikan’.

“Modal insan bukan bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara”, komen Profesor Khoo Kay Kim lagi.

Dan saya terus kecewa dan berduka di depan televisyen.

Siapakah yang peduli kepada saranan beliau?

Siapakah yang mahu bersungguh-sungguh berfikir tentang hal ini?

HARAPAN DARI SEBUAH PENDIDIKAN

Saya teringat kembali kepada presentation saya semasa menjadi panelis bagi Seminar Ibn Khaldun II yang diadakan bulan lalu di Institut Integriti Malaysia. Saya memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam menjawab soalan “Islam: A Blessing to Malaysians?”

“Biar pun saudara Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Islam dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, sedangkan pembayar cukai Malaysia lain yang Hindu, Kristian dan Buddha dirangkumkan dalam satu kategori dan diberikan pendidikan MORAL, saya tidak dapat melihat ia sebagai suatu kelebihan bagi umat Islam di Malaysia. Bahkan mungkin mata pelajaran itulah punca kepada masalah mengapa kita sulit untuk menjawab ISLAM: A BLESSING TO MALAYSIANS?”, saya memulakan ucapan.

Sejauh manakah pendidikan Islam di Malaysia berjaya melahirkan Muslim yang boleh menjustifikasikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia (boleh juga dibaca sebagai wa maa arsalnaaka illaa rahmatan lil ‘aalameen)?

Saya lontarkan isu ini kerana saya tidak melihat kecenderungan masyarakat kita untuk meletakkan pendidikan sebagai suatu keutamaan dalam menggarap masalah-masalah yang wujud di negara kita. Semuanya mahu diselesaikan dengan politik, ketika politik kita gersang dari integriti dan kejujuran. Masakan tidak, jika dulu parti politik banyak digerakkan oleh guru selaku pendidik, tetapi kini trend berubah kepada kemenangan politik bagi yang punya wang dan sokongan mereka yang punya wang. Itu sahaja sudah cukup untuk menjelaskan warna politik negara kita.

Apabila saya sebutkan pendidikan, saya maksudkan ia sebagai pendidikan formal dan tidak formal. Malah saya lebih menjurus kepada mengharapkan agar kita kembali kepada fungsi pendidikan tidak formal yang menjadi tanggungjawab setiap individu. Ibu bapa ada tanggungjawab pendidikan kepada anak-anak, imam dan paderi ada tanggungjawab mendidik pengikut masing-masing, dan seterusnya mereka yang mempunyai minda kritis mempunyai tanggungjawab untuk membawa pemikiran mereka kepada masyarakat melalui seminar, dialog, perbincangan yang merupakan sebahagian daripada maksud pendidikan.

Tetapi kita tidak minat dengan semua itu.

MEMPOLITIKKAN SEGALANYA

Kita lebih cenderung untuk mensensasikan apa sahaja yang boleh melakukan surat khabar.

Asalkan ada sahaja isu yang muncul, semuanya mahu ditangani dengan kuasa, dengan politik dan kemudian semuanya berakhir sebagai berita sensasi dan tidak ada apa-apa yang dapat diketengahkan sebagai bahan untuk mendidik masyarakat.


Antara buku yang diharamkan di Malaysia, biar pun ia telah banyak membetulkan salah faham masyarakat antarabangsa tentang Muhammad SAW, malah ramai pula yang memeluk Islam kerananya

Ada buku yang pelik sedikit, haramkan!

Ada sahaja wacana yang lain dari definisi rasmi, ban!

Timbul isu penggunakan kalimah Allah dalam literasi Kristian, sekat, haramkan, saman… segala-galanya disensasikan dan berakhir dengan sentimen yang tidak punya apa-apa nilai pendidikan.

Malah kadang-kadang kita begitu gelojoh mahukan hasil tanpa mahu melalui prosesnya. Saya meragui rasionalnya permintaan Luthfi Assyaukanie dari Jaringan Islam Liberal yang mahukan dialog dihentikan, sebaliknya terus sahaja kepada menghasilkan polisi kebebasan beragama kerana baginya, dialog itu membuang masa.

Saya 50-50 dalam mengiya dan menidakkannya.

Dialog membuang masa, jika kita sensasikan apa sahaja yang ingin dibicarakan. Kita berdialog bukan untuk mendidik dan tanpa ketulusan motif. Kita pilih tajuk-tajuk yang mencetus emosi masyarakat dan kemudian kita memuncung bibir apabila dialog gagal menghasilkan apa-apa.

DIALOG POLISI

Tetapi semasa Seminar Ibn Khaldun II berlangsung, saya cuba meminjam pengalaman ketika mengendalikan dialog antara agama ketika saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara. Dialog itu bukan dialog teologi tetapi ia adalah dialog polisi. Kita bukan berhasrat mahu mengheret agama bertanding di medan dialog tentang siapa benar dan siapa batil, tetapi mengajak pandangan agama dikongsi bersama untuk mencari formula penyelesaian kepada isu Euthanasia. Memanfaatkan agama untuk menghasilkan polisi yang boleh disepakati bersama.

Tiada siapa yang membawa superiority attitude dalam dialog berkenaan.

Wakil Protestan dan Katholik memberikan pandangan berdasarkan kepercayaan masing-masing, dan saya memberikan pandangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Hasilnya kami dapat mengutip beberapa pandangan bernas dari kesemua wakil untuk diajukan kepada National Health Service (NHS) sebagai polisi kesihatan dalam kes Euthanasia.

Ia suatu pengalaman berharga.

Pengalaman yang memberikan keyakinan kepada saya bahawa seteruk mana sekali pun polemik politik, ekonomi dan sosial masyarakat, sinar harapan tetap ada di dalam pendidikan.

Semua pihak harus kembali kepada tugas yang lahir bersama tujuan hidup kita… mendidik yang makruf dan menegah yang keji. Jalannya adalah pada mendidik masyarakat.

Tetapi apabila pendidikan diinstitusikan secara membuta tuli, ramai yang melihat pendidikan sebagai tugas guru dan sekolah, manakala sekolah pula menunding jari bahawa ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak mereka. Segalanya berakhir dengan tiada siapa yang memberikan sepenuh hatinya kepada komitmen mendidik.

Semakin bertambah ilmu dan maklumat masyarakat, tindak tanduknya semakin dungu dan tidak masuk akal.

SERANGAN SOCRATES

Inilah yang menjadi kritikan Socrates terhadap golongan Sophists dan relativism mereka dalam menangani pendidikan.


Golongan Sophists ini hanya sibuk mengajar kemahiran dan skil kerja kepada anak-anak Athens tetapi mereka mengabaikan soal yang lebih penting.

“Apakah tujuan hidup ini?”

“Apakah nilai yang sepatutnya dipegang oleh seorang manusia dalam hidup ini?”

“Bagaimanakah seorang manusia itu boleh menyempurnakan karaktor dan personalitinya?”

Persoalan sebegini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah melahirkan ‘pekerja’, melahirkan ‘ahli politik’ yang licik dan bijaksana.

Sedangkan Socrates berjuang bermati-matian untuk memberitahu masyarakat Athens bahawa matlamat pendidikan adalah untuk menyempurnakan watak seorang manusia, memulihkan akal agar terguna secara bijaksana dan melatih murid-murid agar berdialektik dan tidak kekok mengemukakan soalan dalam mencari kefahaman.

Tetapi seruan Socrates tidak diendahkan.

Akhirnya pada usia 70 tahun, Socrates telah dikenakan tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens, bahkan mengimani Tuhan lain yang bukan Tuhan rasmi masyarakat arus perdana.

Tidakkah itu sejarah yang berulang?

Bahawa masyarakat kita juga menuju ke arah yang sama.

Jika segala-galanya berorientasikan keuntungan semata-mata… tidak hairan ilmu agama menjadi beku tanpa makna, ilmu sains kemanusiaan terabai tanpa perhatian… kerana yang diutamakan hanyalah untuk melahirkan ‘pekerja’, dan ahli politik yang licik dan bijaksana… bukan pemikir yang sering dituduh sebagai peracun minda.

SAYA HIDUP UNTUK MENDIDIK

Biar pun profesyen saya bukan sebagai seorang guru, tetapi sebahagian maksud hidup saya adalah untuk membentuk dan mendidik manusia… biar pun terpaksa ‘meracun’ minda mereka.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
6 Januari 2008

Sabtu, Julai 18, 2009

Guru Pelatih Jangan Terkebelakang


DIPETIK DARIPADA BLOG AKH FAKHRUL EZAM (IPGM KAMPUS RAJANG ,SARAWAK)

Gerakan Mahasiswa kini nampaknya semakin berbisa. Mereka sudah sampai ke tahap menjadi de facto dalam dasar- dasar negara. Sememangnya inilah peranan mahasiswa. Mereka lantang bersuara mebidasa dan menjadi check and balance pada kerajaan dalam segenap isu. Mereka membuktikan kekuatan mereka dengan ilmu yang mereka miliki dmi memastikan masa hadapan terus cerah dan tidak terancam di tanah air sendiri.

Sirna baharu mereka ini dilihat sebagai sesuatu yang positif oleh masyarakat. Mahasiswa tidak lagi lesu sebagai pembela masyarakat. Kalau dahulu ya masyarakat kita buta huruf, buta teknologi tak tahu apa- apapun tentang erti kemajuan. Maka tanah terjual, kampung tergadai. Tatkala itu terjadi hanya dua tiga orang sahaja anak kampung menjadi mahasiswa maka mereka bersuara. Kini kian ramai anak kampung bergelar mahasiswa. Malahan mereka juga punya bekalan fikrah dan kerohanian yang tinggi.

Jauh nun di ibu kota, di Universiti Malaya mahupun di Universiti Kebangsaan Malaysia, mahasiswa kita berdepan dengan satu ranjau penuh berani. Memperjuangkan hak mereka, hak masyarakat, hak agama dan generasi masa hadapan. Mereka membantah isu PPSMI. Mereka juga sudah terkehadapan dengan penyerahan memorandum dan membawa suara masyarakat jauh lebih penting dari peranan ahli parlimen.

Kerajaan pula janganlah hanya memainkan retorik sahaja menyatakan bahawa mahasiswa adalah modal penting negara. Peranan mereka ditagih untuk membangunkan negara mancapai tahap dan status negara maju. Dengarlah dan ambil perhatian pada suara mahasiswa ini. Dalam segenap hal, mahasiswa lebih memahami dan arif berbanding ahli parlimen. Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara yang bakal berlangsung Julai ini adalah hasil inisiatif Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) harus menjadi perhatian dan medan kerajaan mengkaji keberkesanan sistem pendidikan nasional ketika ini.

Mahasiswa IPTA sudah jauh ke hadapan. Kemalapan pula menghantui mahasiswa bergelar guru pelatih di 28 buah IPGM seluruh negara. Mahasiswa IPGM dikatakan tidak bersuara. Persoalannya, adakah kami tidak bersuara atau kami dikunci mulut? Inilah yang harus diketahui pihak di luar sana sebelum menyatakan apa- apa berkenaan kemalapan mahasiswa IPGM. Mahasiswa IPGM inilah yang akan berada di barisan hadapan kelak mendidik anak bangsa kita menjadi insan berguna dan terpelajar. Tetapi kami juga yang dirundung kemalapan kini.

Guru pelatih kini dalam situasi terkongkong. Terus ditekan dan tiada punya kebebasan segah mahasiswa IPTA. Mahasiswa IPTA hebah dengan mengusung keranda Akta 152, membanjiri jalanan mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI tetapi guru pelatih hanya diam membisu? Kenapa? Bukankah mahasiswa IPGM ini adalah guru. Mereka sepatutnya mempertahankan bahasa kebangsaan.

Keruntuhan akhlak dan hedonisme yang kian merebak dalam kalangan belia negara juga menjadi perhatian mahasiswa IPTA. Tetapi kenapa guru pelatih masih berdiam diri? Tiada sebarang kenyataan atau bantahan sehebat mahasiswa IPTA. Mahasiswa IPTA sanggup ke parlimen menyerahkan memorandum, pergi ke Kompleks Perdana di Putrajaya menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri. Apa bezanya Universiti Malaya dan IPGM Kampus Bahasa Melayu juga Kampus Bahasa-Bahasa Antarabangsa yang hanya bersebelahan?

Sedarilah bahawa kita adalah barisan paling hadapan. Kita yang mengerakkan dan berada dalam dasar ini kelak. Andai PPSMI terus gagal, kita adalah yang mengagalkannya. Andai bahasa kebangsaan dianak tirikan di negara sendiri, kita lah yang gagal membangkitkan dan menjadikannya sebagai bahasa citra bangsa kita.

Hari-hari aku dizalimi-suatu tafsiran

Melihat ke luar jendela
Memagar pemikiran dalam kalimat insani
melihat dengan mata hati anak kecil meaung hiba,
mana ayahku, mana ibuku , mana rumahku,
kisah anak di Palestin, Kosovo dan xinjiang

Anak desa pulang menjengah ke kampung,
masih mampu tersenyum melihat indahnya bendang yang bapa semaikan padi semalam
Sesetengah anak desa hanya mampu melihat jentolak meratakan tanah,
Pak Saoid dari kota mula menjengah tanah di sini,
mencari tanah setelah kota penuh dengan binaan bangunan berteraskan besi

Pencabulan, seks ,rogol ,pembunuhan,
berlaku di tepi rumah kita, di kejiranan kita,
mana sifat manusiamu?
Adakah jnaluri manusia itu sendiri terpadam
apabila semua manusia mula meninggalkan fitrah?

Aku tertipu, sunguh tertipu,
rupanya musang berbulu ayam, pemimpin puaka memakan haloba duit rakyat,
eh, mana duitku? ke mana kamu wahai pemimpin membawa lari duit kami?
masih belum kenyang dengan penindasan terhadap rakyat,
masih tersa lapar bila makan hasil korupsi ?

Remaja, oh remaja,
pemimpin masa depan yang akan menggagas masa depan
ke mana hilangmu?
masih di cyber cafe kah? masih di dalam khayalan cintakah?
masih dalam shoppng complexkah? ataupun di masjid atau pesantren
sekadar menambah ilmu?

Hari-hari aku dizalimi.
dengan segala permasalahan yang berlaku,
masih adakah penyelamat di sini,
mujadid oh mujadid
ke mana kamu.,.

Ahad, Julai 12, 2009

Da‘waholic[1]

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

Suasana da‘wah masyarakat di Malaysia hari ini berada di tahap yang agak memuaskan. Pelbagai usaha da‘wah yang dilakukan oleh individu-individu atau badan-badan yang tidak berkepentingan dilihat sebagai salah satu tanda penerimaan faham Islam yang sahih dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup seharian. Tanda-tanda ini dikuatkan lagi dengan penganjuran program-program keagamaan oleh badan kerajaan atau sukarelawan yang semakin bertambah dari sehari ke sehari sehingga mendapat sambutan baik terutama dari pihak media seperti TV9 dan sebagainya.

Dalam keributan masyarakat memberi respon yang sangat positif terhadap usaha-usaha da‘wah seperti ini, pelbagai bentuk kemungkaran masih lagi berlaku dalam setiap sudut pemikiran dan tatacara kehidupan umat Islam di Malaysia. Kemungkaran ini bukanlah persoalan yang kecil tetapi sangat serius sehingga melibatkan pegangan tuntas umat Islam iaitu ‘aqidah. Malah, kesedaran masyarakat Islam dalam mempertahankan ‘aqidah belum lagi mencapai ke tahap yang baik apabila kemungkaran ‘aqidah yang tumbuh dalam masyarakat hari ini berpunca daripada masyarakat Islam itu sendiri. Mengapa ini terjadi sedangkan usaha da‘wah diterima oleh segenap masyarakat Islam dengan baik? Hairan binti ajaib.



Apa Itu Da‘wah?

Da‘wah berasal daripada perkataan bahasa ‘Arab iaitu da‘wah (دعوة) yang bermaksud menyeru atau mengajak, dijadikan kata perbuatan bagi memanggil atau menjemput (kata akar ‘Arab: و ع د). Manusia yang berda‘wah digelar sebagai penda‘wah atau dā‘ī (داعي). Di dalam al-Qur’ān, da‘wah disebut berkali-kali sebagai suatu bentuk perbuatan yang wajib dilakukan oleh umat Islam sebagai sebuah amanah dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh para Rasul terdahulu. Kegiatan berda‘wah ini wajib bertujuan untuk mengangkat Allah SWT sebagai Tuhan mutlak dan mendidik manusia-manusia lain ke arah mengenali Allah SWT melalui ilmu dan amalan yang telah ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Namun hari ini, kegiatan da‘wah hanya ditekankan dari sudut tatacara berda‘wah sedangkan tujuan da‘wah tersebut menjadi asas terpencil dalam beberapa siri perbincangan yang berkaitan. Hikmah dalam berda‘wah, pentahapan da‘wah, cara berda‘wah yang terbaik, dan berbagai lagi menjadi tajuk perbincangan yang serius. Tidak dinafikan tajuk-tajuk sebegini penting tetapi harus dimulakan dengan tujuan berda‘wah sebagai pengantar kepada pemahaman para penda‘wah dalam menyeru dan mengajak manusia lain kembali mengenali Tuhan mereka. Mana mungkin si pemandu kereta (baca sebagai penda‘wah) yang cekap dalam pemanduan malah berbakat dalam melakukan aksi-aksi lasak ketika memandu, sedangkan tempat yang ingin ditujui masih lagi kurang jelas dalam niat dan perhatian si pemandu. Ini bukan sahaja membahayakan penumpang yang dibawanya, malah boleh mengakibatkan kemalangan serta membahayakan pemandu-pemandu yang lain!



Tujuan Da‘wah

Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah Ṭāghūt.” Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya”

[QS al-Naḥl 16:36]

Di dalam ayat di atas, Allah SWT secara jelas menerangkan tujuan da‘wah adalah untuk mengajak atau menyeru manusia menyembah atau dengan kata yang lebih tepat iaitu mengabdikan (kata akar ‘abd: عبد)[2] diri kepadaNya serta mengajak atau menyeru manusia untuk menjauhi ṭaghūt (طغوت).

Muhammad bin Ishaq berkata dari Hassan bin Fa’id bahawa Saidina ‘Umar bin al-Khattab mengistilahkan ṭaghūt adalah Syaitan. Ibn Abi Hatim merekodkan Jabir bin ‘Abdullah apabila ditanya tentang ṭaghūt beliau berkata:

“Mereka adalah tukang tilik yang datang pada mereka kejahatan”[3]

Imam Malik pula berkata:

“Ṭaghūt adalah setiap benda yang menyembah selain Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Terpuji”[4]

Secara kesimpulan dan ringkasnya, ṭaghūt adalah sebarang bentuk kejahatan yang membawa kepada kesesatan ‘aqidah.

Huraian tujuan da‘wah di atas kurang dihayati oleh para penda‘wah hari ini sehingga ramai dalam kalangan mereka secara bersenang-lenang dan bersuka-ria melakukan kegiatan da‘wah mengikut acuan ilmu jiwa (psychology) bertunjangkan pandangan sarwa dan faham Barat yang terhasil daripada pensekularan ilmu. Perkara ini menjadi lebih serius apabila banyak program-program hiburan hari ini yang menampilkan “keseronokan” ibadat sebagai jalan terbaik menyampaikan da‘wah kepada masyarakat umum sehingga menempel ayat-ayat al-Qur’ān dan potongan al-Ḥadīth dalam program mungkar tersebut. Perkara ini tidak ubah seperti musang berbulu ayam. Pada pandangan luar kelihatan amat indah, namun isi di dalam ternyata membawa kepada kesesatan yang sangat nyata!

Maka, masyarakat yang dididik sebegitu rupa akan menjadikan program-program da‘wah sebegini sebagai landasan untuk ‘beribadat sambil berhibur’ dan secara tidak sedar membela nafsu perlahan-lahan sehingga setiap perkara yang haram itu dihalalkan. Inilah akibatnya jika tujuan da‘wah yang sahih dan benar kabur pada pandangan para penda‘wah seterusnya merosakkan lagi pandangan masyarakat umum terhadap Islam. Benar sekali bahawa niat tidak menghalalkan cara.



Hakikat Da‘wah

Para penda‘wah juga harus sedar bahawa usaha da‘wah wajib disertai dengan doa kepada Allah SWT Yang Maha Memberi Petunjuk. Jika diperhatikan dalam surah al-Naḥl di atas, Allah SWT berfirman:

“…Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan…”

Hidayah itu tuntas milik Allah SWT Yang Maha Berkuasa menentukan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya untuk menerima kebenaran yang diserukan oleh para penda‘wah. Hakikat ini seharusnya menjadi pegangan utama setiap pendukung gerakan da‘wah bagi mengelakkan kekecewaan dalam berda‘wah atau sifat putus asa dalam menyampaikan risalah kebenaran kepada masyarakat umum.

Gugurnya para penda‘wah di dalam lapangan masyarakat hari ini adalah berpunca daripada keyakinan yang terlalu tinggi dalam menyeru masyarakat kembali kepada Allah SWT tanpa disertakan dengan doa dan pengharapan terhadap Allah SWT Yang Maha Berkuasa dalam menentukan kejayaan da‘wah seseorang. Keyakinan sebegini langsung tidak selari dengan keyakinan sebenar yang dianjurkan dalam Islam.

Usaha menyeru atau mengajak manusia untuk kembali kepada Allah SWT wajib dilakukan oleh para penda‘wah namun penyerahan mutlak hidayah penerimaan kebenaran oleh seseorang yang dida‘wah wajib diserahkan kepada Allah SWT Yang Maha Pemberi Petunjuk. Ini sehubungan dengan firman Allah SWT:

“Jika mereka berpaling ingkar, maka (ingatlah) Kami tidak mengutusmu (Wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu)…”

[QS al-Shūrā 42:48]



“Bukanlah kewajipanmu (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufiq) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)…”

[QS al-Baqarah 2:272]



Saiz Da‘wah

Pemahaman da‘wah terlalu luas tetapi para penda‘wah serta masyarakat hari ini menyempitkan faham da‘wah dalam bentuk program keagamaan dan penyampaian tazkirah dalam bentuk rasmi. Sekecil-kecil da‘wah seperti menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berupa al-Ḥadīth atau pesan-pesan ulama’ kepada sahabat handai merupakan da‘wah yang sangat besar jika dilakukan dengan konsisten.

Malah, di dalam sebuah ḥadīth riwayat Bukhari dan Muslim:

“Berkata ‘Aishah RA: Amalan yang paling dicintai Allah SWT adalah amalan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit”[5]

Pemahaman ḥadīth ini seharusnya meresapi setiap jiwa penda‘wah dalam mengendalikan da‘wah ke arah tujuan yang lebih berkesan. Sayang sekali jika penda‘wah yang hebat berhujjah atau lantang bersuara di atas pentas tetapi kemungkaran di dalam keluarga serta maksiat yang berlaku di kawasan jiran tetangganya sendiri tidak ditangani dengan konsisten serta berhikmah.

Sekecil-kecil da‘wah walaupun dilakukan dengan konsisten, harus diingat tentang tujuannya. Kerosakan da‘wah yang konsisten juga boleh berlaku jika niat si penda‘wah bukanlah untuk menyeru atau mengajak manusia kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT, tetapi bertujuan mengambil hati dan perhatian manusia lain! Na‘uzubiLlah.



Da‘waholic

Apabila da‘wah mula difahami dan diamalkan sebagai sebuah kerjaya atau aktiviti sukarelawan, sedikit demi sedikit faham sebegini akan mengubah maksud da‘wah yang sebenar sehingga melahirkan generasi penda‘wah yang gila berda‘wah atau ketagihan da‘wah. Mungkin bunyinya seperti baik, namun hakikatnya tidak sama sekali! Da‘wah wajib dilakukan atas niat yang baik melalui kaedah yang betul. Niat yang baik bertunjangkan faham da‘wah dalam al-Qur’ān, kaedah yang betul berasaskan al-Sunnah yang ditunjukkan oleh RasuluLlah SAW dan al-Khulafā’ al-Rāshidūn.

Da‘wah itu merupakan amanah dan tanggungjawab bagi setiap muslim mengikut ukuran ketaqwaan masing-masing. Peringkat da‘wah ini juga seharusnya dilakukan dalam bentuk yang sangat tersusun dan berkesan bagi mewujudkan kesinambungan usaha da‘wah yang lebih besar dalam ruang lingkup yang lebih luas. Mana mungkin da‘wah yang dilakukan dengan penuh aktif – contohnya seminggu sekali program da‘wah – sehingga menyebabkan matlamat da‘wah terabai tetapi kepuasan berprogram tercapai atas sambutan masyarakat yang sangat menggalakkan. Keadaan begini meruncingkan lagi masa depan Islam di tangan para pendukung da‘wah.

Sifat terlalu taksub berprogram atau beramal tanpa adab seharusnya diketepikan dengan segera. Da‘wah yang benar sepatutnya dilakukan dengan mengikut landas-landas yang telah digariskan oleh RasuluLlah SAW dan al-Khulafā’ al-Rāshidūn. Da‘wah menuntut sunnah pentahapan (marḥalah: مرحلة) di dalamnya[6] bagi mewujudkan keberkesanan da‘wah selari dengan penerimaan manusia sebagai makhluk yang berakal serta bernafsu.

Suatu ketika, ‘Abd al-Malik bertanya kepada ayahnya iaitu ‘Umar ‘Abd al-‘Aziz:

“Wahai ayah, mengapa berbagai hal tidak engkau laksanakan secara langsung? Demi Allah, aku tidak peduli bila periuk mendidih yang dipersiapkan untukku dan untukmu dalam melakukan kebenaran”

Akan tetapi ayahnya yang bijak menjawab pertanyaan anaknya:

“Jangan tergesa-gesa wahai anakku, kerana sesungguhnya Allah SWT mencela khamar (arak) dalam al-Qur’ān sebanyak dua kali, kemudian mengharamkannya pada kali yang ketiga. Dan sesungguhnya aku khawatir bila aku membawa kebenaran atas manusia secara sekaligus, maka mereka juga akan meninggalkannya secara sekaligus. Kemudian tercipta orang-orang yang memiliki fitnah.”[7]



Bersabarlah Wahai Penda‘wah

Kesabaran dalam da‘wah menuntut para penda‘wah melakukan muhasabah bagi menilai kembali jiwa penda‘wah dalam menelusuri liku-liku perjalanan hidup sama ada masih di atas landasan yang digariskan oleh RasuluLlah SAW atau tidak. Sebagai seorang manusia biasa, para penda‘wah seharusnya memiliki kesabaran yang maha hebat dalam membawa risalah kebenaran untuk disampaikan kepada umat manusia bagi menyambung perjuangan yang dipikul oleh RasuluLlah SAW dan para Sahabat baginda.

Penda‘wah yang terlalu taksub dengan program-program da‘wah sehingga hilang adab-adab dalam berda‘wah bukan sahaja merosakkan kebenaran yang terancang, bahkan menghilangkan rahmat Allah SWT yang dikurniakan dalam setiap amal da‘wah. Kehilangan rahmat Allah SWT ini akan mengakibatkan penda‘wah mudah letih seraya berputus asa dalam meneruskan perjuangan memartabatkan kefahaman Islam yang sahih lagi benar dalam diri penda‘wah serta masyarakat yang lain.

Golongan pemuda da‘wah hari ini dilihat sebagai aset penting dalam menyambung perjuangan ulama’-ulama’ yang begitu komited membersihkan salah faham terhadap Islam dalam kacamata masyarakat umum. Jika golongan pemuda da‘wah begitu bersemangat berda‘wah sehingga berpuluh-puluh gerakan da‘wah disertainya bagi mendukung segala macam pintu-pintu da‘wah, perkara ini bukanlah sesuatu yang bijak.

Pesan Saidina ‘Ali RA:

“Kebatilan (kepalsuan) yang terancang itu membatalkan kebenaran yang tidak terancang”

Da‘wah yang dilakukan secara waras dan tersusun merupakan sebuah kebenaran yang terancang.



Sempadan Da‘wah dan Jihad

Da‘wah sifatkan datang bersama jihad sebagai pelengkap kepada amanah dan tanggungjawab seorang manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Dalam menyeru atau mengajak (da‘wah) manusia kembali kepada Allah SWT, mempertahankan atau melindungi kesucian Islam dengan bersungguh-sungguh (jihād: جهاد) daripada pelbagai jenis serangan yang boleh merosakkan masa depan umat Islam merupakan perkara yang sangat dituntut bahkan melengkapkan usaha da‘wah tadi. Firman Allah SWT:

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid al-Harām itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

[QS al-Tawbah 9:19-20]

Dalam ayat di atas, Allah SWT mengangkat martabat perbuatan yang banyak mendatangkan manfaat kepada orang lain berbanding perbuatan yang hanya mendatangkan manfaat untuk diri sendiri. Sebesar manfaat yang dirasakan oleh orang lain, sebesar itu pula keutamaan dan pahalanya di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu, jenis perbuatan jihad adalah lebih afdhal daripada ibadah haji, kerana manfaat ibadah haji hanya dirasakan pelakunya, sedangkan manfaat jihad dirasakan oleh umat Islam keseluruhannya.[8]

Namun, para penda‘wah hari ini yang sangat hebat dalam menghuraikan hujjah-hujjah ilmiah tentang Islam sebahagiannya tidak mahu berjihad atas alasan yang pelbagai. Malah, ada juga penda‘wah yang jahil mengklasifikasikan muslim yang berjihad sebagai seorang pengganas! Sepatutnya pemahaman para penda‘wah tentang jihad perlu dicerahkan kembali serta dibersihkan daripada unsur-unsur sekularisme ilmu yang dibawa melalui agenda globalisasi.

Jihad bukanlah bermaksud berperang seperti yang difahami oleh kebanyakan orang. Jihad bermaksud berjuang dengan bersungguh-sungguh. Perjuangan ini dituntut dalam Islam bagi menjaga kesucian ajaran Islam dari pelbagai sudut sama ada melalui fitnah, serangan pemikiran, peperangan, dan lain-lain. Jihad dalam bentuk perang dilaksanakan jika terjadi fitnah yang membahayakan kewujudan umat Islam, contohnya serangan dari luar. Jihad tidak boleh dilaksanakan kepada orang-orang yang tunduk kepada aturan Allah SWT atau mengadakan perjanjian damai ataupun ketaatan.

Sungguh benar firman Allah SWT:

“Diwajibkan atas kamu berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

[QS al-Baqarah 2:216]

Firman Allah SWT lagi:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).”

[QS al-Ḥajj 22:39]

Hari ini, ramai penda‘wah yang terlalu risau akan risiko-risiko duniawi yang bakal menimpa diri mereka sendiri sehingga kebenaran tentang Islam dikuburkan melalui sikap tidak mahu berjihad di jalan Allah SWT. Penda‘wah sebegini telah meletakkan garis sempadan antara da‘wah dan jihad sehingga pencerobohan golongan yang merosakkan faham Islam yang sebenar rakus meratah ‘aqidah umat Islam tanpa dipertahankan oleh sesiapa pun. Pencerobohan ke atas ‘aqidah dan syari‘at umat Islam hari ini berlaku dengan sangat jelas di depan mata para penda‘wah sehingga serangan pencerobohan oleh golongan anti-Islam seperti gerakan Zionis serta golongan pro-murtad seperti fahaman Islam Liberal berleluasa ‘merogol’ umat Islam dari aspek pemikiran dan penghayatan budaya ilmu.
Maka hari ini para penda‘wah lebih berbangga menepuk dada mengaku sebagai penda‘wah, tetapi menikus meniarap lantai tidak mahu mengaku sebagai mujahid!

[1] Disyarahkan dalam kuliyyah Subuh, Isnin, 29 Jun 2009, sempena Latihan Gerak Masyarakat 2009 (LGM09) di Kampung Kubang Semang, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang dalam tajuk ‘Da‘wah dan Islam’.

[2] QS al-Dzāriyāt 51:56 “Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepadaKu.”

Dalam surah al-Naḥl ayat 36 ini, perkataan ‘abd diterjemahkan kepada menyembah. Amalan, pekerjaan atau perkhidmatan seseorang yang mengabdikan diri disebut sebagai ‘ibādāt (عبادات).

“‘Ibādāt merujuk kepada segala perbuatan, amalan atau perkhidmatan yang disedari dan dilakukan dengan sukarela dan yang ditujukan semata-mata kerana dan kepada Allah SWT, dan tiada kerana dan kepada yang lain, dan yang diperkenan olehNya, termasuk segala amalan seperti salat yang difardhukan dan yang lain pula.” Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam: Faham Agama Dan Asas Akhlak, ABIM (KL: 1977)

[3] Tafsiran ṭaghūt dalam surah al-Nisā’ ayat 51 dalam Tafsir Ibn Kathir.

[4] Ibid.

[5] Ṣahih al-Jamī’ al-Ṣaghīr

[6] Yūsuf al-Qarḍāwī, Fiqh Prioritas, Pustaka Online Media ISNET (http://www.geocities.com/pakdenono/)

[7] Ibid.

[8] Ibid.


--
`Izzat Anwari bin Hasni,
Ketua Usrah Pemikiran,
Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),
Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),
Pulau Pinang.
Blog: http://DarahMerdeka.wordpress.com

Jumaat, Julai 10, 2009

Majlis Sambutan Pemansuhan PPSMI


Oleh GMP: 19 Julai 09
"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam dewan rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said (Penasihat GMP)

...dan berikut adalah kenyataan media Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) berhubung pemansuhan dasar itu pada 2012 oleh kerajaan tempoh hari:-

Kenyataan Media 9 Julai 2009

Gerakan Memansuhkan PPSMI(GMP) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin selaku Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang telah mengumuman pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) sepenuhnya tahun 2012.

-Bagi kami ini bererti bahawa mulai tahun 2010 semua pelajar baru tahun satu sekolah kebangsaan/sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah tingkatan 1 dan sekolah menengah tingkatan 4 akan memulakan sesi baru tahun 2010 dengan menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sepenuhnya.

- Untuk tujuan itu kementerian seharusnya telah bersedia untuk menyediakan buku teks dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda.

- GMP penuh berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk peringkat universiti.

- GMP perihatin terhadap para pelajar sekolah yang penguasaan ilmu sains dan matematiknya bertaraf rendah akibat kegagalan memahami bahasa Inggeris. Sehubungan itu GMP berharap pihak Kementerian Pelajaran hendaklah mengadakan kelas pemulihan untuk membaiki pencapaian mereka setaraf dengan mutu pelajaran sains dan matematik sebelum 2003.

- Pemansuhan PPSMI ini adalah suatu kejayaan kepada perjuangan rakyat. Bagi menghargai sokongan rakyat terhadap perjuangan ini maka Sambutan Pemansuhan PPSMI akan diadakan pada ahad 19hb Julai 2009 jam 9.00 di Stadium Baru Bandar Bangi, Selangor. Semua dijemput hadir.Sekian Terima Kasih

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Dato' Dr. Hassan Ahmad.

Khamis, Julai 09, 2009

Perjuangan SITC menegak Bangsa

Oleh AF Yassin (petikan daripada Majalah Dewan Masyarakat Julai 1973)

Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki di daerah bertuah kawasan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (SITC) yang seluas seratus ekar, terletakdi sempadan Perak dan Selangor. Dan di sini pohon-pohon dan bangunannya menjadi saksi ribuan kaki dari mereka yang memberikan jasa baktinya kepada bangsa dan tanah air. Udara di sini sejak lima decade dulu seakan-akan meniupkan semangat , mengipas bara yang kemudian menyala memanggang memasakkann politik , pendidikan, bahasa dan kesusasteraan menjadi seperti yang kita rasakan hari ini.

Ada rasa kepedihan ketika saya masuk ke bangunan induk maktab di mananpusat pentadbiran dan bilik-bilik kuliah ditempatkan . Bangunan-bangunan keinggerisan zaman pertengahan (medieval) dengan atap terbuka cara Gothik ini direkabentuk oleh Kesteven . Bentuk yang asing ini tidak melemahkan semangat guru-guru pelatihnya melanjutkan perjuangan mendapatkan kembali hak-hak kebebasan sejak ianya dirampas penjajah pada tahun 1511.

Guru-guru dan penutut-penuntut maktab dengan asahan semangat oleh Pengetua O.T.Dussek yang dianggap pro melayu adalah sebahagian dari pejuang-pejuang yang ingin mengembalikan keagungan kerajaan Melayu ke taraf keagungan Kerajaan Melayu Zaman Sriwijaya (Palembang Tua) tahun 671 . Kembali kepada keagungan Kerajaan Acheh di bawah Paduka Iskandar Muda Mahkota Alam. Kembali kepada keagungan Kerajaan Hayam Wuruk di bawah Perdana Menteri, Patih Gajah Madanya , dan kembali kepada zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka kurun ke 15. Antara barisan nama-nama pejuangnya terdapatlah saudara-saudara Ibrahim Haji Yaakob, A.Karim Rash, id Abdul Hadi Haji Hassan , Mohd Isa bin Mahmod , Syed Nasir , Rahman Talib, Ghaffar Baba, Senu Abdul Rahman, Jaafar Hassan dan Ghani Ali di bidang politik , Za'ba (tidak menuntut di SITC) , Harun Aminurrashid , Abdullah Sidek, Yassin Makmur, Shahrum Hussein , Buyong Adil , Atan Long , Awang Had Salleh, M.Noor Azam , Saleh Daud ,Kassim Talib dan Aminuddin Baki (tidak menuntut di SITC) di bidang persuratan dan pendidikan.
Di asrama yang berbentuk bintang saya mengenang dan membayangkan keadaan pejuang-pejuang ini memendam rasa, berfikir bagaimana hak-hak kebebasan orang-orang Melayu dapat dipulihkan .Jabatan Karang Mengarang yang ditubuhkan dalam tahun 1924 banyak mengilhamkan mereka agar segera bertindak .. Ini pula banyak diperbantu oleh pensyarah-pensyarah yang sama-sama berdedikasi dan bersimpati dengan perjuangan bangsa seluruhnya . Faktor kekalahan Rusia di tangan Jepun dalam peperangan Russo Jepun.
bersambung..

Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012 - Muhyiddin


PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya ketika mengumumkan perkata itu di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.

Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Selain itu, katanya, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi.

Katanya peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya.

Beliau berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Muhyiddin berkata laporan "Trends in Mathematics and Science Study 2007" turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007.

"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," katanya.

Beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya.

Katanya berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK(T).

-- BERNAMA

Rabu, Julai 08, 2009

Tahniah kepada para pejuang bahasa dan bangsa - Dasar Tutup Sebelah Mata akhirnya terkubur jua

Tahniah kepada para pejuang bahasa dan bangsa atas usaha kalian ang tidak henti-henti, semata-mata ingin melihat anak bangsamu terus maju dan disegani.

Malaysia ni negara yang kuat retoriknya. Kata untuk memajukan bangsa, bahkan sesetengah program sengaja dicipta untuk menyemai unsur perkauman yang sempit, tetapi lidah yang sama juga mengungkapkan ungkapan bersatu padu antara kaum dan satu Malaysia. Kalau dalam agama golongan ini disebut sebagai munafik. Dalam penggunaan bahasa Melayu ,golongan ini disebut lidah bercabang, talam dua muka, jari telujuk kelingking berkait dan sebagainya.

Begitu juga dengan dasar PPSMI yang diperkenalkan ini. Pada asasnya dan perkiraannya menampilkan hasrat murni kerajaan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris terutama kepada anak bangsa sendiri .Namun dasar ad hoc hanya layak dikatakan sebagai mencipta dasar "hantu" iaitu dasar jauh dari realiti semasa dan tidak berpijak ke bumi yang nyata.

Tulisan jawi telahpun dimatikan secara bersistem oleh "pejuang-pejuang bangsa a.k.a nasionalisme Melayu" ini sehingga melahirkan generasi yang majoriti tidak langsung mampu membaca dalam tulisan jawi. Usah terkejut, mereka inilah juga yang tidak mampu membaca Al-Quran disebabkan huruf jawi dan arab semua sama kecuali ada penambahan 3 aksara kepaa tulisan jawi.

Tahniah kepada sahabat-sahabat yang rela bermandi air berasid, teman-teman yang kesakitan akibat lemparan gas pemedih mata dan kepada saudara-saudara yang anggota badannya lebam-lebam akibat dipukul oleh para pencegah perusuh kita.

Tahniah juga kepada pembentang-pembentang kertas kerja, kepada penceramah-penceramah yang peka terhadap anak bangsa, kepada saudara-saudara yang rela mengepos atau menghantar "maklum balas" kepada kerajaan -sama ada dalam bentuk blog, laman web, memorandum, risalah -risalah dan sebagainya.

Keranda 152- Usman Awang
Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya di Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak-anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi kelu

Usman Awang (1967)

Tahniah daripada seorang bakal guru sains 2011
Takbir!

Isnin, Julai 06, 2009

KENYATAAN AKHBAR OLEH GERAKAN HAPUSKAN PPSMI (GMP)


GMP1. Kenyataan ini dibuat setelah kami menerima desakan daripada banyak penyokong GMP supaya kami menjelaskan hasil pertemuan antara Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin bin Hussein dengan saya dan Datuk A. Samad Said, Sasterawan Negara dan anggota Jawatankuasa Pusat GMP, di pejabat Menteri pada 19 Mac 2009 yang baru lepas. Ada pihak yang menyangka bahawa kami telah bertolak ansur dengan Menteri dan tidak akan meneruskan lagi desakan supaya kerajaan memansuhkan PPSMI.

2. Sebenarnya, pertemuan itu, yang diadakan atas inisiatif YB Menteri, bertujuan untuk mengetahui dengan lebih dekat dan lebih jelas lagi apakah sebenarnya yang dituntut atau dipeIjuangkan oleh GMP dan apakah pendirian kerajaan, khususnya YB Menteri Pelajaran. Menteri mahu kedua-dua pihak tidak bertelagah dalam akhbar atau media disebabkan salah faham atau maklumat yang tidak tepat tentang pendirian dan perasaan masing-masing. Kami bersetuju dengan hasrat Menteri itu.


3. Kami telah mendengar pendirian Menteri tentang pelbagai isu tentang pendidikan, nasib bangsa dan negara, tentang cabaran yang dihadapi oleh negara dan bangsa Melayu, dan lain-lain lagi. Kami juga faham tentang isu-isu, masalah dan cabaran yang disebutkan oleh menteri itu, cuma perspektif kami adalah berbeza. Salah satu isu yang patut diselesaikan segera adalah isu PPSMI.

4. Kami berdua menjelaskan pendirian GMP dan sebab-sebab GMP meminta kerajaan supaya memansuhkan PPSMI dan kembali sepenuhnya kepada dasar sebelum tahun 2003. Menteri itu memahami dan menghormati pendirian GMP itu. Walau bagaimanapun Menteri berharap isu PPSMI ini tidak dipolitikkan, yakni GMP tidak diperalatkan oleh parti-parti politik. Kami dengan tegas menjelaskan bahawa, setahu kami, tiada pihak yang secara terang-terang menggunakan kesempatan untuk mendapat faedah politik daripada perjuangan GMP itu. Kami memberitahu Menteri bahawa GMP tidak akan membiarkan perjuangannya disalahgunakan oleh para anggota dan penyokongnya atau diperalatkan oleh mana-mana pihak. Kami menganggap bahawa isu PPSMI ini bukan isu individu atau golongan tertentu, bukan untuk kepentingan mana-mana pemimpin atau parti politik, tetapi adalah isu yang menyentuh kepentingan rakyat, bangsa dan negara. GMP tidak mempunyai hak atau kuasa untuk mempolitikkan isu ini.

5. GMP tidak menyangka begitu ramai orang dari pelbagai pihak dan golongan, termasuk dari beberapa NGO Cina dan India dari seluruh negara yang menyokong GMP. Dan kami tahu banyak yang menyokong itu tidak mahu, atas sebab-sebab tertentu, menyatakan sokongan mereka secara terbuka. Menteri memahami hal ini.

6. Jika ada mana-mana pihak yang meminta GMP atau pakar-pakar bahasa dan ilmu sains dan matematik yang membantah PPSMI itu untuk memberi penjelasan (tidak lebih daripada itu) kepada mereka dalam seminar ilmu yakni bukan seminar politik, maka pihak GMP berasa patut menunaikan permintaan itu memandangkan negara ini mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab. Kami tidak mahu pendirian GMP disalahfahami oleh pelbagai pihak yang berkepentingan sendiri. Kami tidak mahu maklumat yang salah tentang GMP disebarkan oleh pihak yang tidak benar-benar faham tentang isu ini.

7. Pertemuan ini berlaku dalam suasana yang amat mesra dan terbuka. Kami berterima kasih kepada Menteri dalam hal ini. Kami dilayani sebagai kawan bukan sebagai lawan.

8. Walau bagaimanapun, tiada apa-apa keputusan dan persetujuan yang dicapai dalam pertemuan ini. Kedua-dua pihak cuma mendengar dan cuba memahami fikiran, pendapat, pendirian masing¬-masing berhubung dengan PPSMI. Menteri memberitahu kami bahawa beliau akan membawa kes PPSMI ini ke Kabinet untuk diputuskan. Menurut Menteri beberapa faktor perlu diambil kira oleh pihak beliau sebelum keputusan ‘yang terbaik’ dapat dicapai.

Kami menegaskan pendirian GMP dalam pertemuan itu: meminta kerajaan kembali kepada dasar sebelum 2003. Ini bererti, kembali mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan, dari peringkat rendah hingga ke peringkat menengah dan sampai ke peringkat pengajian tinggi, seperti yang telah diamalkan dengan baik dan tanpa apa-apa masalah yang serius. Ini juga bermaksud mengajar mata pelajaran yang sama dalam bahasa ibunda Cina dan India (Tamil) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Bagi kami, tiada sebab yang munasabah mengapa dasar yang berkesan ini tiba-tba digantikan dengan dasar PPSMI ini. Hal ini telah kami sampaikan kepada Menteri.

Dato’ Dr. Hassan Ahmad
Pengerusi GMP

Datuk A Samad Said
Sasterawan Negara

24 Mac 2009
Rumah Pena, Kuala Lumpur.

TIBA MASA GURU PELATIH KELUAR DARIPADA ZON SELESA. AYUH!

DIPETIK DARIPADA BLOG MUNA IZZAH IPGM KTB
6/14/2009 09:50:00 PM

بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Perjuangan

Dewasa ini kebangkitan mahasiswa IPT dan persatuan-persatuan yang diwakili mereka mula menunjukkan belang masing-masing. Suara mereka mula bergema di sana sini, demonstrasi demi demonstrasi mula menjadi medan luahan hati dan pandangan mereka.

12 Ogos 2008 menyaksikan demonstrasi besar besaran yang dilakukan oleh pelajar-pelajar UiTM daripada seluruh negara yang mengadakan tunjuk perasaan sambil berarak sejauh 3km ke Bangunan SUK, Selangor, semata-mata untuk membantah kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tentang isu kuota 10 % bukan melayu di UiTM.

Pada tarikh yang sama juga, sekumpulan pelajar Kolej Masterskill juga membuat demontrasi berkaitan isu Pinjaman Tabung Pendidkan Tinggi Negara (PTPTN) di perkarangan Kolej mereka.

Diikuti dengan peristiwa 17 Oktober atau Ten Seventeen yang mana menjadi sejarah dalam gerakan mahasiswa apabila buat julung kalinya mahasiswa dapat menyerahkan memorandum secara by hand kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin dan melakukan demontrasi di hadapan Dewan Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia selama satu jam yang dikhususkan kepada bantahan terhadap sikap diam menteri terbabit.






Ini merupakan salah satu siri-siri demontrasi yang dilakukan oleh mahasiswa sepanjang tahun 2008, yang sebelum ini demontrasi dianggap perkara asing selepas dekad awal 90an. Jika masih ingat, antara demonstrasi terakhir daripada mahasiswa adalah pada 2006 yang lalu iaitu demonstrasi membantah kezaliman zionis di kedutaan Amerika dan demonstrasi Baling iaitu kira-kira pada 24 tahun yang lalu di Kuala Lumpur.

Jelas dan nyata di sini membuktikan mahasiswa sekarang bukan lagi mahasiswa yang sekadar menjadi pak turut yang mengangguk jika setuju dan menggeleng jika membantah. Mahasiswa sekarang bukan lagi golongan mahasiswa yang dipandang lesu tidak bermaya, tiada idealisme. Pandangan masyarakat terhadap golongan mahasiswa sebagai golongan tiada idealisme ini telah berubah sama sekali apabila ada pihak yang menyelar tindakan sebuah parti politik yang bersifat angkuh apabila tidak mahu sama sekali 'mendengar' kritikan atau isu-isu yang diktengahkan oleh kaum muda dan mahasiswa. Biar apa kritikan sekalipun mahasiswa pada hari ini benar-benar menjadi golongan “Task Force” atau “Pressure group” kepada semua orang, daripada senarai parti politik hinggalah kepada orang perseorangan itu sendiri. Mahasiswa hari ini bebas mengkritik, menegur dan memberi cadangan kepada mana-mana pihak dalam memperjuangkan hak dan keadilan masyarakat umum di negara ini.

Terbaru, BERSIH dan DEMA (Student Democratic Movement) telah mengadakan satu bantahan yang digelar "1BlackMalaysia AfterDinnerCoffee" pada 11 Jun lalu yang lantang menyelar situasi politik di Malaysia. Menariknya penggabungan dan kerjasama antara mereka adalah bermula daripada Facebook, laman web sosial yang terkenal.

Namun satu yang masih menjadi persoalan saya hingga kini. Di mana mahasiswa daripada IPGM? Mana suara guru-guru pelatih? Apakah guru-guru pelatih ini pengecut?? Sekadar berapi-api di belakang, apabila diajak bersuara di hadapan, tak mahu! Dengan alasan kita orang kerajaan, tak boleh bersuara lebih-lebih. Pegangan apakah ini? Malaysia negara demokrasi bukan? Kita juga punya hak untuk bersuara bukan? Ini bukan persoalan yang saya ingin ajukan di sini tapi ia adalah hakikat namun realitinya adalah jauh berbeza. Memetik kata-kata Mujahid Page "apakah mulut-mulut guru pelatih ini terkunci atau dikunci?" Itu persoalannya.

Di Malaysia terdapat 28 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau dahulunya dikenali sebagai Maktab yang telah, sedang dan bakal melahirkan beribu ribu guru yang mana bidang tugasnya diketahui umum, mengajar, mendidik masyarakat. Apakah kita sekadar inginkan guru yang bakal lahir itu sekadar guru semata-mata? Guru yang kerjanya sekadar mengajar, atau guru yang sekadar- mengajar?

Pertukaran nama daripada maktab - institut - IPGM melihatkan antara usaha KPM untuk membuat anjakan paradigma kepada bakal-bakal guru ini yang antara hasrat KPM adalah untuk melahirkan insan guru yang profesional dan bersepadu. Saya tidak berminat untuk menyentuh lebih mendalam dalam peranan KPM merealisasikan impian mereka yang satu ini kerana bagi saya jika akar umbinya sendiri sudah pincang, untuk membetulkan ranting-ranting kecil adalah satu perkara sukar tetapi tidak mustahil untuk dilakukan.

Melahirkan Guru Yang Murabbi.

Guru yang Murabbi itu kerjanya bukan mengajar semata-mata tetapi mendidik dan mentarbiyah anak-anak muridnya dalam masa yang sama. Murabbi bukan satu perkataan asing untuk guru-guru pelatih yang dalam kelompok tarbiyah saya rasa kerana hal menjadi guru yang murabbi adalah perkara yang ditekankan dalam konteks tarbiyah guru pelatih. Namun bagaiman dengan kelompok yang satu lagi? Kelompok guru pelatih yang tidak mendapat tarbiyah apatah lagi untuk mempunyai fikrah. Kelompok ini saya kira sebagai golongan majoriti dalam satu satu IPGM itu dan suara kita jika bergabung adalah satu perkara yang menakjubkan. Saya bukanlah berniat untuk 'mengkelompokkan' guru-guru pelatih kerana nyatanya kita bernaung di bawah bumbung yang sama, namun ini adalah hakikatnya. Perpecahan dalam kalangan guru pelatih itu memang wujud dan isu ini jika tidak diketengahkan dan tidak diambil perhatian akan menjadi satu isu ibarat duri dalam daging yang menjadi pucuk kepada segala permasalahan perpaduan yang berlaku. Namun saya kagum dengan usaha kelompok beberapa perwakilan pelajar yang mengambil inisiatif sendiri untuk berdiri dan bersuara dengan menubuhkan ikatan-ikatan dan kesatuan yang melibatkan usahsama guru-guru pelatih daripada IPGM yang berbeza. Sudah lama medan perjuangan guru-guru pelatih IPGM ketandusan pergerakan yang betul-betul mantap yang boleh menggegarkan dewan parlimen mungkin.




Timbul lagi satu persoalan di benak fikiran. Mengapa pelajar IPGM tidak sebebas pelajar IPTA?

Saya menyeru kepada para guru pelatih sekalian usah sekadar berani di belakang, di alam maya, mari kita bersama-sama bangkit pertahankan hak kita di alam realiti. Ayuh bersama rakan lain perjuangkan bahasa kita yang semakin hilang yang bakal membunuh anak Melayu. Guru pelatih - anda kelompok paling PATUT bersuara dalam isu PPSMI kerana kita antara yang bakal menjadi mangsa dalam isu ini. Kenapa kita masih diam? Diam melihat kemusnahan demi kemusnahan yang bakal menimpa anak bangsa kita, kepincangan demi kepincangan dalam ummah. Jika kita bersatu hati, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kita berada di jalan yang benar.

Sudah sudahlah menikmati hidup muda yang takkan pernah puas yang sentiasa dahagakan hiburan. Suara anda diperlukan!! Tinggalkan segala macam game, hiburan-hiburan yang melalaikan - kita tak nak lahir guru yang turut menjadi mangsa hedonisme! Guru yang tidak mengetahui isu semasa, guru yang lari daripada kenyataan dan sentiasa hidup dalam angan-angan melayan perasaan sendiri. Kita nakkan guru yang profesional, yang lantang bersuara pertahankan hak anak bangsa, yang punya idea-idea bernas untuk dilontarkan demi menggerakkan masyarakat, guru yang bersama sama turun membanteras gejala sosial, guru yang MURABBI!

Ingat, suara anda diperlukan kerana dengan suara anda kita mungkin boleh mengubah dunia. Siapa tahu?



Rujukan.
-Mahasiswakini.
-GamisDaily
-Just A Note - Deafening Silent
-FikrahMahasiswa

Ahad, Julai 05, 2009

Perjuangan Kita Sebagai Rausyanfikir Masyarakat Masih Jauh

Saya berkesempatan untuk menyertai Muktamar Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi(PERAWI) di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah di Alor Setar anjuran Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah . Muktamar kali ini hanya berjaya menghimpunkan 150 orang sahaja . Mungkin ini disebabkan hari ini (hari Ahad) merupakan hari bekerja di mana kebanyakan yang hadir terdiri daripada pak cik dan mak cik yang pernah merasai kehangatan penggunaan tulisan jawi dalam masyarakat.

Satu lagi isu yang SEWAJIBNYA guru pelatih IPGM ambil tahu , selain meneruskan kitaran bodoh sehari-hari-(makan , tidur, kuliah , dan seterusnya tanpa perubahan sepanjang tahun) , ialah untuk menggarap kembali perjuangan untuk membangkitkan lagi penggunaan tulisan jawi di Malaysia.

Sepatutnya guru pelatih lebih terkehadapan dalam isu ini , juga termasuk isu-isu lain yang melibatkan integriti agama , bangsa dan leluhur jati diri seperti isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) , isu pengekalan status asal agama anak setelah salah seorang ibu bapa memeluk islam , isu murtad, penderaan , gejala sosial yang membarah ,Liberalisme Islam serta ideologi yang menjadi perosak aqidah yang lain yang tidak tahu hujung pangkalnya dan sebagainya.

Suara guru pelatih seakan terus sepi dari segi "suara" dan "kerja tangan" yang melibatkan isu-isu yang melibatkan masyarakat. Ini seakan mewujudkan satu tanggapan bahawa profesion keguruan merupakan profesion orang yang tak tahu apa-apa selain jadi robot , penagampu, peneruskan dasar-dasar tolol dan tidak realistik oleh pihak-pihak tertentu yang semakin hari semakin menggadai agama , bangsa dan tanah air mereka walaupun giat mencanagkan kepada masyarakat bahawa merekalah pejuang bangsa dan negara yang sebenar.


Ini berbeza dengan sahabat-sahabat daripada IPT yang seakan begitu gah dengan budaya intelek ,diskusi , debat , budaya ilmu , aktivisme ( penyerahan memorandum ,, perhimpunan dan sebagainya) dan kesedaran kendiri . Berbeza dengan kita di IPGM , kita Masih lagi terperangkap dengan pemikiran picisan dan hedonisme -main permainan video , "dating" ,suka dimanjakan dan dilayan seperti anak-anak belasan tahun, malas seumpama meneternak ayam di sangkar. Prinsip yang mereka amalkan ialah Cukup masa pergi cari makanan .Inilah yang amat menyedihkan terutama apabila mengenangkan bahawa gejala sosial hari in bukan lagi suatu barah , tetapi suatu wabak melanda seluruh masyarakat kita pada hari ini.

Berapa orang yang sedar terhadap permasalahan ini? Mana suara guru pelatih kita? Masih tidur? Teruskan tidur. Sehingga kita "dibangkitkan" kelak dalam keadaan diseksa disebabkan gagal untuk memahami realiti masyarakat semasa.Tertarik dengan kata-kata Profesor Khoo Kay Kim .

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."


Walaupun dalam kata-kata tersebut beliau hanya menyebut berkenaan dengan Universiti, tetapi kata-kata ini juga boleh diterjemahkan sebagai mahasiswa, yang juga berkait rapat dengan guru-guru pelatih (atau mahasiswa "keguruan") institusi pendidikan guru di Malaysia.

Rabu, Julai 01, 2009

PPSMI Tidak Wajar Diteruskan, Kerajaan Jangan Teragak-Agak - Anwar Ibrahim 28 Jun


Mesyuarat Pimpinan Pusat hari ini membincangkan antaranya kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Seharusnya semua pihak menyedari kedudukan Bahasa Melayu dijamin oleh peruntukan Perlembagaan serta Dasar Pendidikan Nasional. Sewajarnya perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu dihimbau semula bagi mengingatkan kita akan jerih perih pejuangan nasionalis tulen. Adalah menjadi tanggungjawab kita rakyat Malaysia untuk memartabatkannya sesuai dengan hasrat Kemerdekaan negara dan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Oleh itu kelengahan Kementerian Pelajaran dan kabinet membuat keputusan berhubung kedudukan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seumpama mengenepikan semangat yang terkandung jelas dalam Perlembagaan. Dengan merosotnya prestasi matematik dan sains terutamanya di kalangan pelajar luar bandar tambah memburukkan keadaan.

Makanya pada sidang media seusainya mesyuarat tengahari tadi, saya mengulangi desakan agar kerajaan umno-bn kembali mematuhi intipati Dasar Pendidikan Nasional serta memartabatkan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kami juga menggesa agar sains dan matematik diajar dalam bahasa ibunda masing-masing di sekolah rendah jenis kebangsaan. Perlaksanaan PPSMI sekian lama memangsai rakyat terbanyak dan pembaziran berjumlah RM 4.5 billion.

Desakan ini dibuat tanpa menidakkan keperluan memperkukuh penggunaan Bahasa Inggeris dan kepentingannya, terutama di peringkat menengah atas serta pengajian tinggi. Namun kami menolak sebarang usaha untuk memastikan kelulusan Bahasa Inggeris diwajibkan di peringkat SPM. Perhatian mestilah ditumpukan kepada usaha untuk menghantar guru yang benar-benar terlatih ke kawasan luar bandar. Kandungan kurikulum juga perlu dilakar sesuai bagi menghasilkan kualiti pembelajaran dan pelajar yang terbaik.

Turut disentuh ialah isu tanah yang menimbulkan beban yang bukan sedikit kepada penduduk di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang, Pandamaran, Selangor dan Kampung Layang-Layang di Johor. Mesyuarat memutuskan isu ini akan dikendali oleh Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali. Beliau bersama panel lainnya akan meneliti serta berusaha mengurangkan beban yang ditimpa rakyat. Pimpinan parti juga secara sebulat suara menyokong penuh calon Pas di Manek Urai dan akan bersama-sama memastikan kemenangan Rakyat.

ANWAR IBRAHIM