Jika langkah ini dipersetujui oleh kerajaan , ia secara tidak langsung akan memartabatkan bahasa kebangsaan yang kian "robek" dirakus oleh bahana politikus yang tidak memahami kepentingan penguasaan bahasa Melayu seperti yang berlaku melalui dasar kerajaan untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) , dasar sesetengah syarikat di Malaysia terutama syarikat pelaburan asing yang mengutamakan graduan yang berkebolehan berbahasa Inggeris dan penggunaan papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang dan yang terbaru di Perak .
In termasuklah langkah untuk memansuhkan pengajaran huruf jawi dalam sukatan pelajaran pada suatu ketika dahulu sehingga Melayu hilang identitinya.
Bahasa Melayu akan dipandang tinggi oleh masyarakat dengan mengira sejarah bahawa bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca ataupun bahasa utama untuk berhubung .
Dengan bahasa Melayulah , umat Melayu dapat mengenal jati dirinya yang sebenar , dapat mengenal bahawa bangsa ini pernah mendaulatkan Islam dengan penegakan sebuah negara (negeri) Islam di Melaka , menjadi Pusat penyebaran Islam di nusantara dan pernah memiliki keupayaan ekonomi yang cemerlang berdasarkan perkiraan bahawa terdapat beberapa pelabuhan perdagangan menjadi pelabuhan utama .
Jadi , usaha untuk menaikkan kembali martabat bahasa Melayu sepatutnya menjadi agenda penting bagi mengembalikan semula "maruah" dan roh Melayu islam di alam jagat.