Penganjuran pertandingan i-Dance oleh Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama Danzity Dance House dan Hotlink yang diwarwarkan sebagai aktiviti riadah sebenarnya boleh membawa lebih banyak keburukan daripada mendatangkan manfaat terutama kepada golongan belia yang terlibat. Malah penganjuran street dance ini dilihat sebagai aktiviti yang memburukkan lagi iklim pendidikan belia di Malaysia yang kian pincang saban hari.
Penyertaan pertandingan secara terbuka ini bukan sahaja melibatkan golongan remaja yang masih bersekolah, malahan golongan muda yang beragama Islam. Pertandingan yang dimulakan pada jam 7.00 petang ini dikhuatiri menyebabkan golongan belia Islam yang menyertai mahupun menjadi penonton akan mengabaikan solat Maghrib seterusnya melalaikan mereka sehingga lewat tengah malam.
Saya jelik melihat ada pihak yang membandingkan budaya street dance dengan budaya rosak yang lain seperti rempit dan sebagainya. Perbandingan ini seolah-olah nampak logik dengan memenangkan street dance sebagai budaya yang sihat dan mengisi masa lapang supaya tidak terjebak dengan dadah, alkohol, melepak, mencuri, merempit, dan sebagainya. Persoalan sebenarnya ialah golongan belia yang menagih dadah, peminum alkohol tegar, pencuri kenderaan orang lain, remaja yang merempit di jalan raya, mereka ini tidak langsung berminat dengan aktiviti street dance ini!
Di Sebalik Street Dance
Budaya menari dalam pertandingan ini sebenarnya berasaskan keseronokan hiburan semata-mata disamping unsur-unsur pergerakan tangkas yang kononnya memberi kesihatan kepada badan. Elemen tradisional juga turut diselitkan dalam pergerakan ini sebagai syarat untuk menampakkan bahawa adat tradisi dalam tarian turun-temurun yang diberi nafas baru. Namun, sebenarnya elemen sebenar tarian tradisional bukanlah pergerakan atau gaya tari tetapi penghayatan dan kesan kebudayaan hidup masyarakat di Tanah Melayu dahulu yang diterjemahkan ke dalam tarian. Perkara ini berlaku secara semulajadi melalui fasa-fasa tertentu hinggalah kebudayaan tempatan `dibunuh' oleh unsur hiburan dari Barat seperti street dance ini.
Penerimaan budaya tarian Barat ini sepatutnya dipertanggungjawabk an kepada pihak media yang melambakkan rancangan-rancangan hiburan yang bertemakan `keseronokan ala moden'. Rancangan seperti Sehati Berdansa, So You Think You Can Dance?, dan sebagainya sebenarnya mempromosikan budaya hidup masyarakat Barat yang berteraskan hiburan dan material semata-mata. Ini sama sekali berlawanan dengan adat ketimuran yang dipegang oleh masyarakat di Malaysia selama ini. Malahan, sejarah perkembangan Tanah Melayu yang dilihat secara telus sebenarnya menyatukan kaum-kaum di Malaysia sehinggalah campur tangan pihak penjajah British yang menjalankan dasar pecah dan perintah serta kesinambungan dasar pendidikan yang menyimpang.
Aktiviti street dance ini juga sebenarnya merupakan `gula-gula' untuk menarik perhatian golongan belia supaya mereka ini mudah dibelokkan perhatian serta menjadi kurang sensitif dengan isu-isu semasa yang menindas masyarakat Malaysia saban hari. Isu rundingan United State Free Trade Agreement (USFTA), isu penindasan golongan kapitalis terhadap rakyat di setiap pelusuk negeri di Malaysia, isu penghakisan budaya tempatan melalui pengaruh media secara terus kepada masyarakat, isu krisis ekonomi dunia yang meruncing, dan lain-lain lagi seharusnya didukung oleh golongan belia bagi membela nasib rakyat Malaysia supaya impak negatifnya kurang pada hari mendatang.
Namun, penganjuran aktiviti hiburan seperti ini secara rasmi nampaknya meruncingkan lagi kesedaran belia pelbagai kaum di Malaysia dalam menangani bersama isu-isu luar serta dalam negara yang bakal memberi impak negatif jangka masa panjang kepada masyarakat. Maka, pemimpin yang akan lahir sedekad akan datang diramalkan mempunyai ideologi berseronok semata-mata tanpa memikirkan nasib serta kehidupan rakyat umumnya. Siapa yang harus dipersalahkan? Pemimpin yang bakal dilahirkan ini atau pemuda-pemudi `gila hiburan' sekarang yang bakal menjadi ibubapa mereka?
Tarian Tradisional Masyarakat Cina
Secara umumnya, masyarakat Cina terlibat secara langsung dengan pertandingan street dance ini jika dibandingkan dengan masyarakat lain. Latar budaya masyarakat Cina yang penuh dengan adat serta seni tarian sepatutnya dibela dengan ketat tanpa kompromi. Tarian opera Cina pada hari ini dilihat kurang sambutan oleh golongan muda pelbagai kaum terutama kaum Cina akibat kuatnya pengaruh tarian Barat yang melambak di media massa.
Sewajarnya adat Cina seperti tarian tradisional diberi tempat yang sepatutnya. Seni tarian masyarakat Cina dikenalpasti sebelum penemuan tulisan Cina yang pertama. Pasu seramik yang dijumpai di tapak arkeologi Sun Chia Chai di negeri Ta-tung yang terletak di barat tanah besar China mempunyai ukiran pergerakan tarian yang unik. Kajian artifak purba yang menunjukkan budaya masyarakat Neolitik Yang-shao terlukis dalam gambaran pergerakan tangan dan kaki manusia yang diseragamkan oleh mainan alat muzik sudahpun wujud pada abad keempat sebelum Masihi. Ini membuktikan bahawa seni tarian tradiosional wujud subur dalam sosial hidup masyarakat Cina ketika itu.
Malah, tarian tradisional masyarakat Cina dibahagikan kepada dua iaitu tarian rakyat dan tarian tentera semasa era Shang dan Chou pada abad pertama sebelum Masihi. Dalam tarian rakyat, penari akan memegang bulu yang memberi simbol buah sewaktu tiba musim memburu haiwan atau menangkap ikan. Tarian ini kemudiannya berkembang menjadi tarian yang digunakan dalam upacara korban oleh maharaja yang dilakukan di luar istana dan seterusnya menjadi tarian yang digunakan dalam upacara keagamaan. Manakala penari tentera yang ramai bilangannya, digunakan di dalam unit tentera sambil memegang senjata dan bergerak ke hadapan dan ke belakang dalam koordinasi gerak kumpulan. Tarian ini kemudiannya berkembang menjadi pergerakan yang digunakan dalam senaman tentera.
Tarian Cina yang banyak menggunakan koreografi pergerakan tangan dan kaki sebagai simbol penghayatan semangat langit dan bumi (heaven and earth) yang diterjemahkan dalam aspek harian sehingga melibatkan perasaan perkongsian rasa gembira dan indah daripada penari kepada penonton. Malah, tarian tradisional Cina ini memberi satu rasa perhargaan sama ada kepada penari mahupun penonton di sekeliling mereka.
Saya sama sekali tidak nampak penganjuran street dance membela atau memperkenalkan tarian masyarakat Cina yang penuh dengan adat dan seni kepada masyarakat di Malaysia secara umum. Malah, penganjuran pertandingan seperti ini sebenarnya menjadi perencat kepada perkembangan budaya masyarakat Cina di Malaysia dengan penghakisan adat resam mereka sendiri melalui pengaruh budaya Barat.
Riadah atau Redah?
Street dance sebagai riadah golongan belia merupakan alasan yang kurang kukuh kerana tarian sebegini langsung tidak mencakupi makna `sihat' yang sebenarnya. Kesihatan sepatutnya dipandang dari sudut yang lebih holistik melalui penerapan nilai fizikal, mental, emosi, sahsiah, dan spiritual. Penganjuran street dance dilihat menekankan aspek fizikal semata-mata dengan menyelitkan unsur keseronokan hiburan Barat bersama-sama gaya menari yang direkacipta sendiri. Ini sama sekali berbeza jauh daripada tarian tradisional yang lahir secara semulajadi melalui budaya dan adat tempatan serta dizahirkan melalui penghayatan gerak tari dalam rentak muzik yang penuh seni.
Penganjuran street dance ini juga dikatakan budaya sihat dengan larangan dadah dan alkohol semasa penganjurannya. Alasan ini jelas kelihatan `jauh panggang dari api' kerana punca utama menagihan dadah dan alkohol bukanlah berasal daripada tarian jalanan. Malah, jika penganjur benar-benar ingin membanteras penagihan dadah dan alkohol dalam kalangan belia hari ini, sepatutnya kempen roadshow se-Malaysia atau penganjuran bengkel `Bebaskan Belia daripada Dadah dan Alkohol' dianjurkan secara besar-besaran melalui dana sumbangan kerajaan dan orang ramai.
Seharusnya kerajaan negeri mengkaji dahulu kesan penganjuran aktiviti seperti ini kepada belia pelbagai peringkat umur serta berbilang latar belakang. Sikap sambil lewa serta redah dalam menganjurkan aktiviti seperti ini sepatutnya dielakkan bagi mengurangkan risiko kebejatan gejala sosial yang boleh meruntuhkan nilai moral masyarakat Malaysia. Sebagai bakal guru, saya melihat penganjuran aktiviti hiburan sebegini adalah bertentangan dengan dasar serta tujuan pendidikan yang dirangka di sekolah.
Riadah street dance ini juga seharusnya tidak dianjurkan secara terbuka dan meriah kerana boleh menyebabkan remaja yang masih bersekolah kurang berminat dengan ilmu lalu terjun ke alam hiburan di usia yang masih muda. Saya masih ingat lagi tatkala saya mengikuti latihan mengajar sebagai guru praktikal di sebuah sekolah di Perai, Pulau Pinang. Apabila saya bertanya kepada salah seorang anak murid saya di dalam kelas yang kurang berminat untuk belajar tentang cita-citanya di masa hadapan, dia menjawab,
"I want to be a dancer"
Di dalam sosiologi, antropologi dan pengajian budaya (cultural studies), subculture adalah sekumpulan manusia dengan budaya (nampak ataupun sembunyi) yang berbeza dengan budaya besar (major culture) di mana mereka tinggal. Perkara yang paling ditakuti oleh para intelek sejarah dan pendidikan adalah timbulnya subculture yang menyimpang dari nilai kemanusiaan sehingga boleh menyebabkan runtuhnya struktur sosial sesebuah negara. Budaya punk, black metal, gothic, hiphop, dan sebagainya yang melambak di Barat sepatutnya dijadikan iktibar kepada masyarakat di Malaysia.
Budaya-budaya ini lahir selepas wujudnya unsur hiburan yang dibawa pada awalnya dengan alasan kononnya meluangkan masa melalui minat yang sama. Kemudian, budaya sebegini menjadi satu gaya hidup di mana penampilan luaran direkacipta dan dijadikan lambang kumpulan masing-masing. Maka, selepas itu sikap gah dengan kumpulan masing-masing mula menguasai diri, malah sifat dengki dan iri hati dengan subculture yang lain timbul sehingga mengakibatkan pergaduhan serta pembunuhan.
Budaya punk tidak dapat lari dengan imej rambut serta pakaian duri mereka dan budaya hiphop tidak dapat lari dengan imej senjata, dadah, dan teman wanita seksi mereka. Pengenalan imej-imej setiap kumpulan sebeginilah yang menyebabkan timbulnya pemikiran yang tidak sihat malah menjadi satu ideologi yang sangat merosakkan sistem hidup manusia.
Belia di Malaysia suatu ketika dahulu dipopularkan dengan budaya rap dan kemudiannya budaya ini hilang ditelan modenisasi hidup. Hari ini pula, timbul pelbagai subculture yang mempunyai asas yang sama dengan rap tetapi berbeza dari segi aspek luaran. Street dance juga sama sekali tidak akan bertahan lama dan akan lenyap ditelan arus globalisasi yang sangat deras. Ini kerana subculture street dance ini bukanlah satu budaya yang lahir daripada sistem sosial masyarakat secara semulajadi tetapi direkacipta sebagai mengisi keseronokan sementara, sama seperti punk, hiphop, gothic, dan lain-lain yang seangkatan dengannya.
Jadi, mengapa perlu mengangkat subculture ini menjadi sebahagian daripada projek terbesar pihak berkuasa sehingga mengenepikan unsur pendidikan dan adat resam budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia?
Bantah i-Dance!
Penganjuran i-Dance oleh Kerajaan Pulau Pinang seharusnya dihentikan bagi mengurangkan kesan buruk jangkamasa panjang masyarakat di Pulau Pinang khususnya. Alasan street dance ini merupakan riadah dan penggunaan alkohol serta penagihan dadah dikawal sewaktu pertandingan langsung tidak menunjukkan langkah pencegahan awal oleh pihak yang terbabit. Saya pasti selepas promosi kelas tarian serta budaya street dance ini di Pulau Pinang, akan timbulnya pertandingan seumpama ini yang akan dianjurkan secara kerap oleh pelbagai pihak. Maka, di waktu itu pemantauan terhadap unsur-unsur negatif tidak dapat digunakan akibat kekurangan tenaga manusia yang kononnya ingin mengawal tingkah laku buruk golongan belia.
Pembantahan i-Dance ini juga bukanlah omong-omong kosong malah berdasarkan keilmuan serta pemahaman melalui pelbagai bidang ilmu yang benar. Saya sama sekali tidak akan berganjak daripada keputusan pembantahan ini. Saya berdiri sebagai seorang rakyat Malaysia yang ingin membela adat resam budaya pelbagai kaum di Malaysia dan saya juga berdiri sebagai seorang muslim yang faham atas pengajian saya selama saya masih hidup.
`Izzat Anwari bin Hasni,
Ketua Usrah Pemikiran,
Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),
Pulau Pinang.
Blog: http://DarahMerdeka .wordpress. com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan