Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Ahad, Jun 07, 2009

Anugerah Pejuang Bahasa – PAS: Sekali peristiwa … acara begini, Dewan Bahasa dan Pustakalah yang empunya cerita - Prof. Emer. Abdullah Hassan


Adapun maruah bangsa itu adalah pada bahasanya.

Oleh sebab itu perjuangan mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan adalah sebuah perjuangan besar. Ada ramai orang yang terlibat. Ada banyak nama orang terkemuka. Namun, Jawatankuasa Anugerah Bahasa terpaksa menyaring dan memilih hanya dua orang tokoh bagi menerima Anugerah Bahasa. Kami melihat dan menggunakan kriteria berikut:

a. Ketokohan sesorang itu,
b. Tindakan yang dilakukannya,
c. Pemikiran dan daya pengaruhnya,
d. Pertaruhan yang diletakkannya, dan
e. Kesan yang dicapainya setakat ini.


Dengan demikian, Jawatankuasa Anugerah Bahasa bersependapat, bahawa yang wajar menerima Anugerah Bahasa 2009 adalah:

Datuk Dr. Hassan Ahmad (Pengerusi, GMP – Gerakan Mansuhkan PPSMI)
Datuk Abdul Samad Said (Sasterawan Negara dan Penasihat GMP)

Sumbangan mereka adalah seperti berikut:

Datuk Hassan Ahmad

Datuk Hassan Ahmad adalah seorang budayawan dalam perjuangan bahasa dan budaya. Beliau adalah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, dan bekas Wakil Malaysia ke UNESCO di Paris. Dan kini beliau adalah Pengarah Eksekutif, Yayaswan Karyawan, sebuah badan yang menerbitkan karya agung dalam bahasa Melayu.

Beliau menyempurnakan pengajian dan tesis phdnya, dan seterusnya dianugerahi ijazah Kedoktorannya oleh Universiti Leiden pada 1998.

Dalam dunia pendidikan dan budaya, nama beliau adalah besar. Inilah karisma yang dibawanya apabila beliau menerima cadangan rakan-rakan supaya beliau memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI – GMP. Dengan kata lain, GMP menumpang pada ketokohan beliau.

Apabila Datuk Hassan Ahmad memegang jawatan Pengerusi GMP, maka GMP mendapat kepercayaan besar daripada masyarakat akademik dan budaya dalam negara. GMP dilihat sebagai sebuah badan yang berwibawa bagi memperjuangkan bantahan terhadap pelaksanaan PPSMI. Mesyuarat dan perhimpunan yang dilaksanakan oleh GMP sentiasa mendapat sambutan masyarakat.

Ada suatu pemikiran yang menjadi panduan beliau dalam memimpin GMP, iaitu kita mesti menolak penjajahan bahasa. Begitu generasi lalu memperjuangkan kemerdekaan negara, supaya kita merdeka daripada segala sisi; politik, ekonomi dan budaya. Setelah berjaya, kini pemimpin kita mahu membawa kita kembali ke alam penjajahan bahasa.

Penjajahan bahasa ini akan membawa kita kembali ke dalam penjajahan segala-galanya. Kebergantungan kita pada kuasa Barat, khususnya Inggeris akan membawa kita kembali ke dalam cengkaman budaya, ekonomi dan politik Barat. Oleh sebab itu, perjuangan GMP mendapat makna penting di bawah kepimpinan beliau.

Daya kepimpinan beliau dapat menggembeling tokoh-tokoh lain yang memimpin 148 Badan Bukan Kerajaan, termasukkah Persatuan Guru dan Lembaga Pengurus Sekolah Cina dan Persatuan Guru Sekolah Tamil. Semuanya memberi sokongan pada perjuangan Gerakan Mansuhkan PPSMI dan panggilan menegakkan bahasa ibunda.

Dalam memimpin GMP ini Datuk Hassan Ahmad, meletakkan risiko yang besar pada ketokohan dan kedudukannya sebagai budayawan terkemuka. Semuanya dilakukan demi menegakkan bahasa ibunda.

Kesan kepimpina beliau adalah jelas. Pelancaran GMP pada 31 Januari 2009, mengisytiharkan aktiviti GMP secara rasmi, sekali gus menyatakan kepada Kerajaan bahawa pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik itu dibantah. Sekiranya selama ini pihak Kementeria Pelajaran memandang ringan terhadap isu ini, pada kali ini ada pihak yang memperjuangkannya secara serius. Bantahan kepada PPSMI menjadi lebih signifikan.

Sekiranya dahulu masyarakat merasakan ada sesuatu yang tidak kena, sekarang GMP menyatakan dengan jelas sememangnya ada sesuatu yang tidak benar dan perlu dihentikan. Kepimpinan beliau telah melakar kejayaan dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Dari SOGO, Datuk Hassan Ahmad, membawa GMP ke Parlimen pada 17 Februari 2009 bagi menyampaikan memorandum GMP kepada Datuk Seri Hishammuddin Husssein, Menteri Pelajaran Malaysia. Dan pada 7 Mac 2009, Datuk Hassan Ahmad, berjaya memimpin 100,000 orang menghantarkan memorandum GMP kepada DYMM Baginda Yang Dipertuan Agung.

Dan, pada beliau ”Itu baru gelombang pertama!” Beliau akan terus memimpin GMP menggerakkan gelombang kedua dan seterusnya, sehingga PPSMI dimansuhkan.

Demi kejayaan dan sumbangan beliau, Jawatankuasa Anugerah Bahasa memperakukan Datuk Hassan Ahmad diberi Anugerah Bahasa 2009.

Datuk Abdul Samad Said

Datuk A Samad Said adalah seorang sasterawan tersohor. Beliau adalah antara Sasterawan Negara yang sentiasa menghijau, berkarya terus hingga semenjak lima puluh tahun dahulu hingga sekarang. Beliau terkenal dengan perjuangannya semenjak Angkatan Sasterawan 50 lagi, yang mula bergerak pada tahun 1950-an. Dalam penelitian mengusahakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Petama hingga pada tahun 1952, hinggalah yang ketujuh pada tahun 2002. Sebagai sasterawan beliau tidak pernah alpa pada alat kerjanya, bahasa Melayu.

Dalam perjuangan ini, khususnya Gerakan Mansuhkan PPSMI, beliau adalah tokoh yang sentiasa berada di muka perbarisan. Semasa GMP dilancarkan di SOGO pada 30 Januari 2009, beliau sentiasa menjadi tumpuan orang ramai, wartawan, dan juga polis. Pada 17 Februari 2009, beliau juga berada dalam barisan berarak ke Parlimen bagi menyampaikan memorandum GMP kepada ketua-ketua parti di Parlimen, dan juga semestinya kepada Menteri Pelajaran Malaysia. Dan Pada 7 Mac 2009, beliau juga turut dibedil dan digas dalam perjalanan menyampaikan memorandum GMP kepada DYMM Baginda Yang Dipertuan Agung. Dan dalam pada itu beliau sentiasa berhadapan dengan masyarakat di seluruh tanah air, bagi menyampaikan perjuangannya.

Apakah perjuangan beliau? Datuk Abdul Samad Said mempunyai pendekatan dan daya persuasi sendiri. Dalam perjuangan beliau, ada beberapa ungkapan yang sampai dan melekat di mulut masyarakat semenjak beliau mula bercakap-cakap dengan khalayak. Dalam pelancaran GMP beliau membuat rayuan keras, Jangan Bunuh Bahasa Ibunda.

Apabila rayuan beliau tidak juga diendahkan selepas GMP menemui Menteri Pelajaran Malaysia di Parlimen, beliau mula menasihatkan rakyat Malaysia supaya menghukum pemimpin yang menguncupkan bahasa ibundanya sendiri. Juga, apabila jawapan yang diterima daripada pemimpin adalah berlainan daripada gambaran yang diberi, beliau langsung hilang kepercayaan pada pemimpin yang berlidah dua dan bertelinga satu.

Seterusnya beliau membuat keputusan supaya kita mengajar pemimpin ini dalam pilihan raya akan datang. Kita hukum mereka dengan tidak lagi mengundi mereka bagi mewakili kita di Parlimen.

Seterusnya, pada 7 Mac 2009, dalam perjalanan menuju Istana Negara, beliau juga turut dibedil dengan gas pemedih mata dan ditembak dengan meriam air berasid. Antara esakan nafas yang sesak dan mata yang berair akibat tembakan gas pemedih mata pada orang tua berusia 76 tahun, beliau berkata ”sekarang saya turut merasa manisnya rasa (gas pemedih mata) memperjuangkan bahasa sendiri. Saya tidak faham mengapa kita dianggap sebagai musuh!”

Ini sedikit pun tidak melemahkan semangat beliau. Beliau bertambah teguh dan tegas memperjuangkan bahasa ibunda. Beliau terus berdepan dengan khalayak, naik ke pentas tanpa mengira parti dan ideologi. Pada beliau hanya ada satu perjuangan Bahasa Ibunda Jangan Dibunuh.

Pertaruhan Datuk Abdul Samad Said adalah banyak. Semasa diadakan sidang menemui wartawan, beliau mengungkapkan suara sasterawan negara yang lain. Semuanya menolak PPSMI. Apabila ditanya oleh wartawam ”Apakah Datuk sanggup melepaskan Anugerah Sastera Negara yang diberikan oleh Kerajaan kepada beliau. Dengan menjawab dengan tenang. ”Ya, sudah semestunya saya rela.”

Kesan yang beliau bawa bukan sedikit. Jemputlah beliau ke sebarang perhimpunan. Khalayak yang datang mendengar belaiu bukan sedikit. Bukalah internet, dan google sahaja PPSMI, nescaya nama Datuk Abdul Samad Said akan muncul. Malah Menteri Pelajaran yang lalu pun menggeruni Datuk, lalu beliau menasihatkan Datuk supaya jangan lagi ikut dalam demonstrasi dan berceramah.

Jawatankuasa Anugerah Bahasa 2009

Prof. Emeritus Abdullah Hassan (Pengerusi)
Prof. Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim
Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abdul Hamid
Datuk Ustaz Abu Bakar Chik
Sdr. Dinsman (Setiausaha)