Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Rabu, September 29, 2010

Wahai Pemuda


Wahai Pemuda

Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.

Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.

Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman;

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)

Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambahberat.

Oleh itu sepatutnya kamu berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.

Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.

Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.

Kita, Angkatan Pemuda Islam ini, bertuah sebab kita termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata kita melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan. Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh angkatan yang terus menerus bekerja dan bertindak.

Wahai angkatan pemuda!

Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.

Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.

Memandang semua inilah saya berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah

Wahai angkatan pemuda !

Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-bangang, dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.

Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.

Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.

Allah berfirman(Al-Imran:18-19):

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُوْلُوا الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.

Suatu lagi firman Allah (Al-Ma’idah:3):

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا

Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.

Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak. Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.

Allah berfirman (Al-Imran : 85):

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ

Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali – kali akan di terima.

Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan dikelubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya. Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.

Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.

Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita angkatan pemuda Islam ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.

Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah kita itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.

Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.

Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.

Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :

Allah matlamat kami ;

Rasul itu ikutan kami ;

Al-Quran itu perlembagaan kami ;

Jihad jalan kami; dan

Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.

Wahai angkatan pemuda !

Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan kamu angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada kamu serta mendidik kamu atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan kamu di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada kamu kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.

Allah berfirman (Al-Imran : 110):

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ

وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ

Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.

Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru kamu ialah hendaklah kamu mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah kamu menyedari martabat kamu dan yakinlah bahawa kamulah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi kamu dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

Oleh itu, wahai angkatan pemuda!

Hendaklah kamu menentukan matlamat dan haluan kamu. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan. Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukminin.

Seluruh dunia berada di dalam keadaan cengang -bengang lagi bergejolak. Segala sistem yang ada kini telah gagal mengubatinya. Tidak ada sebarang ubat untuk menyelamatkan dunia ini melainkan dengan Islam jua. Oleh itu, tampillah ke hadapan dengan nama Allah untuk menyelamatkan dunia itu kerana seluruh umat manusia sedang bertunggu-tunggu ketibaan seorang penyelamat dan juru penyelamat ini tidak akan berlaku melainkan dengan mengamalkan risalah (perutusan) Islam, iaitu risalah yang dibawa obor-obornya oleh kamu. Bangkitlah dan siarkanlah nya ke seluruh alam.

Wahai angkatan pemuda !

Ada pun manhaj atau program induk kita angkatan pemuda Islam memanglah mempunyai tahap-tahap yang tertentu, lengkap dengan rancangan-rancangannya yang terang lagi jelas. Sebenarnya kita memang benar-benar tahu apa yang kita kehendaki dan kita juga memang tahu bagaiman wasilah dan jalan yang boleh menyampaikannya kita kepada kehendak kita itu.

(1) Mula-mula sekali kita mahu diwujudkan individu muslim; iaitu individu muslim dalam pemikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya. Muslim dalam segala tindak-tanduknya. Ini dinamakan pembentukan keperibadian kita.

(2) Selepas itu kita mahu diwujudkan rumahtangga muslim, iaitu rumahtangga yang bersifat muslim dalam fikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya, muslim dalam segala amalan serta tindak tanduk. Bagi mencapai matlamat ini kita memelihara wanita sama seperti mana kita memelihara angkatan pemuda. Ini dinamakan pembetukan keluarga kita.

(3) Selepas itu kita mahu diwujudkan umat Islamiyah, iaitu umat bersifat muslim dalam semua sudut yang tersebut tadi. Bagi mencapai maksud ini kita bekerja supaya seruan dakwah kita sampai ke setiap buah rumah. Kita berusaha supaya suara kita kedengaran hingga ke setiap tempat, supaya fikrah kita ini berpeluang meresap masuk keseluruh dusun dan desa, pekan dan bandar, kota dan negeri. Dalam hal ini kita tidak boleh kedekut tenaga seperti mana kita tidak akan membiarkan mana-mana wasilah yang mampu kita lakukan.

(4) Selepas itu kita mahu diwujudkan kerajaan Islam. Kerajaan yang memimpin umat ini menuju ke masjid, yang boleh mendorongkan orang ramai ke arah petunjuk Islam seperti mana didorongkan para sahabat Rasulullah s.a.w dahulu seperti Abu Bakar dan Umar. Untuk mencapai maksud ini kita tidak boleh menerima sebarang pemerintahan kerajaan yang tidak bertapak di atas asas Islam dan tidak mengambil ajaran dari sumbernya(Al-Quran dan As-Sunnah). Kita tidak dapat mengakui parti-parti sekular yang ada sekarang. Kita tidak dapat menerima segala bentuk dan corak yang sudah usang yang dipaksakan kepada kita oleh orang kafir dan musuh-musuh Islam supaya kita berhukum dengan undang-undang mereka. Akan tetapi sebaliknya kita akan terus bertindak untuk menghidupkan semua sistem pemerintahan Islam dalam semua bidangnya sehinggalah terbentuknya kerajaan Islam di atas asas sistem fikrah kita ini.

(5) Selepas itu kita mahu mencantumkan semula setiap bahagian tanahair Islam kita, tanahair yang telah dipecah belahkan oleh politik barat dan yang dihapuskan perpaduannya oleh sikap tamak-tamak dan haloba negeri-negeri Eropah. Bagi mencapai tujuan ini kita tidak dapat menyetujui segala pembahagian sempadan dan negara yang dilakukan dengan tujuan politik seperti yang ada sekarang. Kita juga tidak menerima segala perjanjian antarabangsa yang menyebabkan tanahair umat Islam dipecah-belahkan menjadi negeri-negeri kecil yang lemah dan dikotak katikkan supaya mudah ditelan oleh para perampas. Kita juga tidak akan berdiam membisu terhadap perbuatan menceroboh kebebasan umat-umat yang lemah ini dan segala bentuk cengkaman ke atas mereka. Mesir, Syria, Iraq, Saudi, Yaman, Libya, Tunisia, Algeria, Morocco, Malaysia dan setiap jengkal bumi yang di dalamnya terdapat insan muslim yang mengucapkan Lailaha illa Allah, semuanya itu adalah merupakan tanahair Islam yang terbesar. Kita terus menerus berusaha demi untuk memerdekakannya dan menyelamatkan serta melepaskannya dari cengkaman luar dan akhirnya mencantumkannya semula segala bahagiannya yang bercerai-berai itu.

Jika sekiranya seseorang Jerman itu meletakkan dirinya sebagai pembela kepada sesiapa sahaja orang yang berketurunan darah Jerman, maka aqidah Islam pula mewajibkan setiap orang muslim sebagai pembela kepada setiap insan yang meresap masuk ke dalam dirinya ajaran kitab Qur’an. Menurut istilah Islam, faktor-faktor keturunan darah-daging tidak boleh dianggap lebih kuat hubungannya dari faktor iman kepada Allah. Dalam persoalan ini aqidah Islam itu yang merupakan segala sesuatu kerana iman itulah yang membezakan di antara kasih sayang dengan kebencian.

(6) Selepas ini kita mahu pula panji-panji Allah itu kembali berkibaran di angkasa segala pelusuk dunia yang pada suatu masa dulu pernah menikmati kebahagiaan hidup di bawah fikrah Islam, iaitu negeri-negeri yang pernah berkumandang suara azan dengan ucapan takbir dan tahlil membesarkan Allah. Kemudian malangnya negeri-negeri tersebut menjadi malap cahayanya lalu jatuh semula ke tangan kafir setelah beriman. Sepanyol, Sicily, negeri-negeri Balkan(Bosnia, Croatia, Serbia dll) dan Itali Selatan semuanya itu adalah negeri-negeri kepunyaan umat Islam yang mesti kembali semula kepangkuan Islam. Laut Mediterranean dan Laut Merah sebagai dua tasik kepunyaan umat Islam mestilah dikembalikan seperti sediakala.

Jika sekiranya Mussolini (Diktator Italy semasa perang dunia kedua) berpendapat bahawa beliau berhak mengambil empayar Rom yang telah diwujudkan di atas asas kehalobaan dan hawa nafsu, maka kita pula berpendapat bahawa kita adalah berhak mengembalikan keagungan empayar Islam yang telah diwujudkan di atas asas keadilan dan keinsafan dengan tujuan menyebarkan cahaya serta petunjuk bagi seluruh umat manusia.

(7) Selepas itu, di samping perkara-perkara yang dicita-citakan tadi, kita mahu mencanangkan seruan dakwah kita kepada seluruh dunia dan kita mahu menyampaikannya kepada sekalian umat manusia sehingga meresap keseluruh pelusuk bumi dan sehingga tunduklah setiap makhluk yang angkuh itu kepada seruan tersebut, agar tidak lagi berlaku fitnah dan kembalilah ugama itu semuanya kepada Allah. Pada ketika itu bergembiralah orang-orang mukmin dengan pertolongan Allah. Allah pasti menolong sesiapa yang di kehendakinya kerana Dia adalah Maha Gagah lagi Maha Penyayang.

Perlu di sebut bahawa setiap tahap program induk tadi telah lengkap mempunyai perencanaannya, pecahan serta wasilah-wasilah yang boleh digunakan. Tetapi di sini kita memadai dengan serba ringkas tanpa membicarakannya dengan panjang dan perincian. Allah jualah tempat kita memohon pertolongan dan memadailah Dia sebagai tumpuan kita dan sebaik-baik pengawal.

Biarlah orang-orang yang culas serta pengecut itu berkata kononnya dakwah kita ini “hanya suatu angan-angan yang begitu jauh dan suatu dongengan yang menawan hati manusia.

Sebenarnya itulah yang dikatakan kedayusan yang kita tidak pernah kita kenali dan tidak juga diajar oleh Islam. Itulah dia yang dikatakan al-wahn atau sifat pengecut yang dilemparkan ke dalam hati umat kita ini lalu mendedahkannya kepada musuh-musuh, dan itulah yang dikatakan kemusnahan hati sanubari serta kekosongannya dari iman dan inilah yang merupakan sebab kejatuhan umat Islam.

Namun demikian, kita tetap mengistiharkan dengan jelas serta terus terang bahawa sesiapa orang muslim yang tidak percaya kepada program induk dakwah kita ini dan tidak bekerja untuk menjayakannya maka mereka tidak langsung mempunyai saham kepada Islam. Eloklah ia mencari fikrah lain untuk dipercayai dan bekerjalah dengan ideologi tersebut.

Wahai angkatan pemuda,

Sebenarnya kamu sekarang tidaklah begitu lemah berbanding dengan angkatan yang terdahulu dari kamu yang diberikan kemenangan oleh Allah hasil usaha mereka. Oleh itu janganlah kamu merasa hina, merasa lemah malah hendaklah kamu meletakkan di ruang matahati kamu akan firman Allah (Al-Imran:173):

الَّذِينَ قَالَ لَهُمْ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

Mereka berkata kepadanya: sesungguhnya orang ramai telah pun mengumpulkan tenaga terhadap kamu, hendaklah kamu merasa takut kepada mereka itu, tetapi mereka ini menjadi bertambah kuat imannya. Lalu mereka berkata memadailah Allah itu untuk kami dan Dialah sebaik-baik pengawal.

Kita akan mendidik diri kita sendiri supaya terbentuklah dari kalangan kita ini apa yang dinamakan individu muslim. Kita juga akan mengasuh rumahtangga kita supaya lahirlah daripadanya nanti apa yang kita sebutkan sebagai rumahtangga muslim. Kita juga akan membentuk umat kita supaya terbentuklah apa yang dinamakan umat Islam. Dan sudah tentu kita akan turut serta ke dalam umat Islam ini dan kita akan terus menerus bergerak menurut langkah-langkah yang sudah ditetapkan menuju hingga ke hujung jalan dan sehingga tercapai sasaran yang Allah tentukan kepada kita; bukan sasaran yang kita sendiri menentukannya. Dan dengan izin Allah serta pertolongannya kita akan tiba di matlamat yang ditujui. Allah tetap enggan melainkan mesti menyempurnakan citaNya walaupun dibenci oleh orang kafir.

Bagi menghadapi persoalan ini kita telah pun menyediakan iman yang sekali-kali tidak akan bergoyang, kerja-kerja yang tidak tersekat-sekat, kepercayaan yang tidak luntur kepada Allah, bahkan kita juga telah menyediakan jiwa raga yang merasai sebahagia-bahagia hari baginya ialah hari yang mereka gugur sebagai para syuhada’ di jalan Allah.

Jadikan itu semua sebagai polisi dalaman dan luaran kita kerana kita mengambil pengertian tersebut dari hakikat Islam sendiri. Pemisahan di antara ugama dengan politik bukanlah dari ajaran Islam yang maha suci. Orang Islam yang tulin keugamaannya dan yang benar-benar memahami segala pengajarannya tidak mengerti pemisahan seperti itu. Oleh itu sesiapa jua yang cuba hendak memesongkan kita daripada hakikat manhaj ini, maka eloklah dia meninggalkan kita kerana orang seperti itu tidak terkeluar dari salah satu dari dua jenis manusia iaitu:

musuh kepada Islam atau pun jahil mengenai hakikat Islam.

Wahai angkatan pemuda !

Silaplah orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini ialah suatu kumpulan Darwisy-Tok Lebai yang mengongkong diri di dalam ruangan sempit ibadat Islam yang hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Sebenarnya angkatan Islam yang pertama dahulu tidaklah memahami hakikat Islam dalam bentuk yang sempit seperti itu; mereka juga tidak beriman dengan cara begitu; akan tetapi mereka itu beriman dengan Islam sebagai aqidah serta ibadat, sebagai tanahair dan kebangsaan, sebagai akhlak serta kebendaan, sebagai kebudayaan dan undang-undang serta toleransi dan kekuatan.

Mereka yakin bahawa Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang sesuai dengan segala bidang kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia seperti mana ia menyusun urusan ke akhiratnya. Mereka yakin Islam itu sebagai suatu sistem yang mempunyai kedua-dua sudut amalan dan teorinya sekali. Dengan keyakinan seperti itu maka Islam bagi mereka ialah ugama dan negara serta Qur’an dan pedang.

Namun demikian mereka tidaklah pula lalai dari menunaikan urusan peribadatan mereka dan tidak culas menunaikan segala fardhu yang diwajibkan untuk Tuhan mereka. Mereka cuba sedaya upaya untuk mengelokkan lagi tata tertib solat. Mereka juga membaca kitab Allah serta berzikir kepada Allah menurut cara yang disuruh oleh Allah dalam batas-batas yang ditentukan kepada mereka, tanpa mengada-ngada dan melampau-lampau, dengan tidak bermain-main di kulit luar dan tidak pula terlampau mendalam berlebih-lebihan. Mereka itu lebih mengetahui mengenai sabda Rasulullah s.a.w yang bererti:

ان هذا الدين متين فأوغل فيه برفق إن المنبت لا أرضا قطع ولا ظهرا أبقى

Sesungguhnya ugama Islam ini amat kukuh; oleh itu resapilah ke dalamnya perlahan-lahan. Sesungguhnya orang yang sangat keterlaluan itu akhirnya tidak ada bumi yang dijalaninya malah tidak pula ia kekal sebarang tunggangannya.

Meskipun demikian namun mereka tetap jua mengambil bahagian mereka dari keduniaan sekira-kira kadar yang tidak merosakkan akhirat mereka; mereka beramal dengan firman Allah: (surah Al – A’raf : 32)

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنْ الرِّزْقِ

Katakanlah: siapakah pula yang mengharamkan perhiasan Allah yang diberikannya kepada hamba-hambanya dan juga rezeki yang baik-baik itu ?

Angkatan Islam mengerti bahawa sebaik-baik gambaran yang diberi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w ialah:

رهبان فى الليل وفرسان فى النهار

Ertinya :

Pendeta di malam hari dan satria yang gagah perkasa di siang hari.

Demikianlah pula angkatan Islam ini cuba membentuk diri mereka – Allah jualah tempat kita memohon pertolongan.

Silaplah juga mereka yang menyangka kononnya angkatan Islam mengabaikan tanahair dan patriotik.

Sebenarnya orang-orang Islamlah yang paling ikhlas kepada tanahair mereka. Merekalah yang paling banyak berkorban kepada tanahair. Merekalah orang yang paling menghormati sesiapa juga yang bekerja dengan ikhlas untuk tanahair. Lihatlah, saudara sendiri mengetahui sejauh mana angkatan Islam menyintai tanah air dan setinggi mana pula mereka bercita-cita untuk kebaikan umat mereka.

Tetapi perbezaan di antara orang-orang Islam dengan orang-orang lain yang mendakwa pejuang tanahair ialah asas patriotis Islam ialah aqidah Islamiyah. Oleh itu maka pejuang Islam yang bekerja untuk sesebuah tanahair -misalnya Mesir(atau Malaysia), berjuang pada jalannya dan mereka sanggup mati dalam jihad seperti itu adalah kerana negeri Mesir itu ialah termasuk ke dalam bumi Islam. Mereka kemudiannya tidak pula membataskan perasaan patriotis ini kepada negeri Mesir sahaja tetapi mereka merangkumkan juga setiap bumi Islam dan setiap tanahair orang-orang Islam.

Adapun pencinta tanahair yang tidak bersifat Islam akan membataskan kecintaannya itu kepada bangsanya sahaja. Mereka pula biasanya hanya berjuang kerana ikut-ikutan, sukakan promosi, mencari kebanggaan atau kerana kepentingan-kepentingan yang tertentu. Mereka berjuang bukan menurut kewajipan yang Allah turunkan kepada hamba-hambanya.

Memadailah untuk saudara mengetahui bahawa faham patriotisma mengikut angkatan Islam ialah mereka yakin dengan sepenuhnya bahawa kecuaian terhadap sejengkal sekalipun dari bumi yang didiami oleh orang-orang Islam adalah suatu jenayah yang tidak boleh diampuni, hinggalah mereka dapat mengembalikannya atau pun biarlah mereka mati kerana berjuang untuk mengembalikannya. Mereka yakin bahawa mereka tidak akan terselamat dari balasan Allah melainkan dengan berbuat demikian.

Silaplah lagi orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini merupakan penyeru ke arah kemalasan atau keculasan. Sebenarnya angkatan Islam mengistiharkan saban waktu bahawa seseorang muslim itu mestilah menjadi pimpinan dalam segenap perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, bekerja, dan berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, kekuatan, kesihatan, dan juga kekayaan.

Perlu disebut bahawa apa jua kemunduran dalam sesuatu bidang adalah merosakkan fikrah perjuangan kita dan menyalahi pula ajaran ugama kita.

Meski pun demikian kita memanglah menolak fahaman kebendaan(materialisma) yang menimpa umat manusia, lalu membawa mereka ke arah hidup untuk diri sendiri sahaja(individualistik) dan mendorong mereka mengguna segala kemudahan semula jadi, segala masa dan tenaga ke arah kehebatan diri sendiri semata-mata. Dengan demikian maka seseorang dari mereka itu tidak akan bekerja untuk faedah orang lain walau sekecil-kecil khidmat sekalipun malah ia tidak akan mengambil tahu walau sedikit pun dari hal umatnya. Sabda Nabi saw yang bermasud:

من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

Sesiapa yang tidak menghiraukan urusan umat Islam maka dia bukanlah daripada mereka.

Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud:

إن الله كتب الإحسان على كل شئ

Allah mewajibkan kesempurnaan dan keelokkan dalam setiap perkara.

Silap juga orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam itu adalah juara penyeru ke arah sentimen perkauman. Sebenarnya kita dari angkatan Islam ini memahami bahawa Islam sangat-sangat menghormati hubungan umum di kalangan umat manusia seperti mana yang tersebut di dalam firman Allah(surah Al-Hujurat:13):

يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Wahai sekalian manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal – kenalan.

Kita mengetahui bahawa Islam itu datang membawa kebajikan kepada semua manusia dan sebagai suatu rahmat kepada sekalian makhluk. Mana jua ugama yang tugasnya demikian rupa adalah jauh sekali dari perbuatan yang memecah belahkan hati manusia dan hasut-menghasut sesama mereka. Qur’an sendiri menguatkan perpaduan ini dengan firman Allah (Al- Baqarah:285):

لا نفرق بين أحد من رسله

Kami tidaklah membeza-bezakan sesiapa pun dari antara para Rasulnya.

Perlu disebut bahawa Islam melarang dan mengharamkan pencerobohan hinggakan dalam keadaan kemarahan dan permusuhan sekalipun, Allah berfirman (Al-Maidah: 8):

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى

Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh kedudukan satu-satu pihak sehingga kamu berlaku tidak adil kerana ianya adalah lebih hampir kepada taqwa.

Dan Islam menganjurkan kebajikan dan kebaikan di kalangan warga negara sesebuah negara walaupun mereka itu berlainan aqidah dan ugama. Allah berfirman (Al-Mumtahanah:8):

لَا يَنْهَاكُمْ اللَّهُ عَنْ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ

Allah tidaklah menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu pada ugama dan yang tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu.

Islam juga menganjurkan kita berlaku adil kepada orang-orang zimmi (orang tidak Islam di dalam negara Islam) dan bergaul baik dengan mereka. Ini ialah menurut dasar :

لهم ما لنا وعليهم ما علينا

Ertinya:

Mereka mendapat hak sama seperti kita dan mereka memikul tanggungjawab seumpama kita juga.

Kita mengetahui semuanya itu; oleh kita tidaklah menyeru ke arah faham apartheid dan tidak juga ke arah faham fanatik kelompok. Walaubagaimanapun, kita tidaklah pula menjual iman kita dengan harga perpaduan tersebut dan kita tidak juga bersedia untuk tawar-menawar kerana menegakkan perpaduan tadi sehingga tergadai akidah kita. Kita tidak akan sanggup berusaha untuk menegakkan perpaduan tersebut hingga mengorbankan kepentingan orang-orang Islam. Sebaliknya, cukuplah kita bersedia mengorbankan perpaduan demi kebenaran dan keadilan, tetapi lebih dari itu.

Oleh itu, barang siapa cuba membuat selain dari itu maka tentulah kita mesti menghalangi perbuatannya dan kita akan jelaskan kepadanya kesilapan fahamannya itu. Bagi Allahlah segala kebesaran dan bagi Rasulnya dan juga bagi orang-orang mukminin.

Suatu kesilapan juga orang-orang yang menyangka angkatan Islam ini bekerja untuk kepentingan badan yang tertentu atau pun mereka bergantung dagu kepada mana-mana kumpulan. Sebenarnya angkatan Islam ini bekerja untuk mencapai segala matlamat mereka sendiri menurut petunjuk dari Tuhan mereka iaitu bersama Islam dan pemeluknya di setiap masa dan tempat. Mereka membelanjakan apa yang dianugerahkan oleh Tuhan mereka demi untuk mencapai keredhaannya. Mereka merasa bangga kerana sehingga sekarang pun mereka masih belum pernah lagi menadah tangan kepada sesiapa dan mereka tidak pernah meminta pertolongan dari mana-mana orang atau badan atau pun mana-mana kumpulan.

Wahai angkatan pemuda !

Di atas dasar-dasar yang tetap dan berdasarkan ajaran-ajaran yang mulia inilah kita menyeru anda sekalian. Jika anda percaya kepada fikrah perjuangan ini dan anda menurut jejak langkahnya, memasuki bersama kita jalan Islam ini, melepaskan diri dari sebarang fikrah yang lain, menguntukkan segala tenaga untuk aqidah anda, maka itu adalah sebaik-baik pendirian untuk anda di dunia dan juga di akhirat. Insyaallah, Tuhan akan menjayakan melalui anda seperti mana yang dijayakannya melalui angkatan salaf yang terdahulu dari anda ketika zaman permulaan dulu.

Dengan itu, setiap pekerja yang ikhlas dari anda yang bekerja di jalan Islam akan mendapati balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal dengan masanya, jika ia benar-benar termasuk ke dalam golongan pejuang-pejuang tulin.

Akan tetapi sebaliknya, jika anda enggan dan terus menerus berdolak-dalik dan teragak-agak, atau masih mencari-cari antara perjuangan bukan Islam sebenar yang telah ternyata gagal, maka ketahuilah bahawa batalion tentera Allah akan terus mara tanpa menghiraukan sama ada sedikit atau ramai dengan penuh yakin kepada firman Allah (Al-Imran:126):

وما النصر الا من عند الله العزيز الحكيم

Kemenangan itu hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana.

Catatan Sang Mujadid -Imam Hassan Al Banna

Selasa, September 28, 2010

Setelah jauh ku bergelumang dalam jalan ini...2

Tarbiyah bukan segala-galanya , tetapi segala-galanya bermula daripada tarbiyah. Saya agak bersetuju dengan pernyataan ini kerana kita tidak menjadikan tarbiyah sebagai asbab kepada semua perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita tetapi menjadikan tarbiyah uitu sebagai segala punca kepada sumber inspirasi kita, tujuan kita bekerja dan belajar sebagai contoh dan dengan tarbiyah kita telah melahirkan ihsan yang al-fahmu. Tarbiyah adalah sesuatu yang dididik secara perlahan-lahan , lembut dan secara terus menerus menerjah masuk ke dalam benak pemikiran ini ummat ini.



Dakwah adalah bersifat universal . Bahkan hadith nabi sendiri dengan maksud tersirat merungkaikan persoalan adakah kita yang tidak mendapat pendidikan formal agama ini bercakap tentang agama . Hadith “Sampaikan daripadaku walau satu ayat” memberi lesen besar dan wajib digalas oleh setiap mukallaf untuk berdakwah . Berdakwah boleh dilakukan melalui pena ,melalui media kreatif , melalui lisan melalui akhlak yang ditunjukkan dan sebagainya. Islam bersifat syumuliyyah begitu juga dakwah . Keseluruhan aspek dalam diri seseorang daie itu merupakan satu dakwah. Pandangan matanya , pertuturannya, aktiviti hariannya, dan segala-galanya berkenaan si daie merupakan satu dakwah . Dari saat dia bangkit sehingga dia bangkit kembali ,itulah dakwahnya. Sebenarnya skop dakwah ini terlampau luas sehinggakan apa yang ada pada si daie-termasuklah kelemahannya menjadi kayu ukur bagi Islam itu sendiri.



Dakwah tidak boleh lari dari konsep amar makruf nahi mungkar. Ia merupakan satu benda yang pasti ada bagi setiap hamba yang menjadikan dakwah sebagai “full time job”. Kata-kata berunsur jahiliah seperti mengatakan bahawa amar makruf hendaklah ditegakkan hanya dengan bercakap yang baik-baik sahaja tanpa unsur pencegahan haruslah dihindari. Bahkan andai kita semua meneliti kehendak hukuman dalam Islam ia bukan setakat memberi pengajaran kepada si pelaku salah atau yang melihat hukuman dikenakan terhadap pesalah, ia turut memberi amaran pencegahan kepada si pelaku dan orang lain supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut. Amar makruf nahi mungkar hendaklah dilakukan secara berhikmah di mana “hukuman” yang dilakukan oleh daie hendaklah berkadaran dengan kesalahan yang dilakukan . Janganlah si pesalah merasa teraniaya walhal semua perkara tersebut dilakukan atas nama Al-haq (iaitu Allah jalla wa ala).



Dakwah bukanlah satu part time job , tetapi ia merupakan pekerjaan sepenuh masa. Bagaimana anda ingin tinggalkan dakwah sedangkan anda telahpun sebati di dalamnya ? Namun untuk menjadi daie yang betul-betul ittiba’(ikut) terhadap jalan dakwah ini bukanlah merupakan satu kerja yang mudah. Berapa ramai pendakwah-pendakwah yang dikatakan memalukan agama disebabkan ketidakcekapan atau kegagalan mereka dalam menempuh ujian atau pekerjaan. Apa yang pasti ,sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan kepada kita untuk terus tsabat di jalan ini, jalan yang sungguh panjang.



Ya Allah kekalkanlah jejak ku di dalam jalan dakwah ini… walaupun aku terkorban atau dikorbankan oleh keadaan … Ya Allah jadilah kami pembantu-pembantu agama Mu…Amin.

Dr Asri: Rakyat terima bantuan kerajaan guna hasil judi tidak haram

Dr Asri: Rakyat terima bantuan kerajaan guna hasil judi tidak haram

September 27, 2010

Asri: Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram, sebabnya mereka bukan berjudi... mereka (hanya) mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, rakyat yang menerima bantuan kerajaan sebenarnya tidak haram walaupun dana yang diperoleh pihak berkuasa adalah daripada pelbagai sumber termasuk judi — yang menjadi amalan kerajaan pusat dan sesetengah kerajaan negeri.


“Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram, sebabnya mereka bukan berjudi... mereka (hanya) mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.


“Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Asri menjelaskan kesalahan akibat penjaan wang hasil perjuadian ditanggung oleh kerajaan dan syarikat judi.


“Sama dengan mereka yang mendapat gaji daripada kerajaan, atau penjual yang menjual makanan lalu dibayar dengan wang judi.


“Wang itu halal kerana dia tidak berjudi tetapi yang berniaga makanan,” kata beliau mengulas kontroversi terbaru terbabitkan kerajaan negeri Pulau Pinang yang berhadapan dengan serangan Umno bahawa pentadbiran negeri Pakatan Rakyat menggunakan sumber judi untuk membayar wang ihsan RM100 kepada warga emas.


Dalam kenyataann Jumaat lalu, Pemuda Umno mendakwa bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu.


Bagaimanapun ia dinafikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan mendakwaan kenyataan yang dibuat Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sehari sebelum itu sebagai “satu pembohongan.”


Lim berkata, wang ihsan adalah hasil penjimatan manakala sumbangan kelab kuda digunakan untuk membantu rakyat miskin tegar bukan Islam.


Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.


Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.


Kira-kira seminggu itu beliau mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.


Dalam kenyaatan itu, Asri juga berkata, hakikatnya di Malaysia, wang judi digunakan oleh kerajaan Pulau Pinang dan juga kerajaan pusat.


“Berapa banyak cukai judi, arak, hiburan dan lain-lain yang dipungut oleh kerajaan.
“Pendapatan kerajaan itu juga digunakan untuk pelbagai keperluan rakyat.


“Kakitangan kerajaan yang mendapat gaji juga dari pelbagai sumber,” kata beliau sambil menegaskan judi adalah haram dan merosakkan masyarakat.


“Segala aktiviti yang menggalakkan judi hendaklah dicegah oleh semua kerajaan,” kata beliau lagi.

Sabtu, September 18, 2010

Setelah jauh ku bergelumang dalam jalan ini..

Setelah jauh ku bergelumang dalam jalan ini..

Perjalanan dakwah ini sungguh panjang sebenarnya. Dakwah ini bukan hanya sekadar bersifat stereotype, di mana seorang ustaz atau orang alim akan tekun memberi ajaran kepada pendengarnya atau muridnya. Dakwah adalah bersifat universal, mana yang baik dan menyeru ke arah kebaikan, itulah dakwah sebenar. Pada suatu ketika mungkin kita lebih kepada berdakwah melalui program atau usrah , manakala pada suatu ketika kita berdakwah melalui program motivasi.


Ada yang berdakwah dengan menggunakan pendekatan politik, ada yang menggunakan pendekatan mengajak orang ke masjid, ada yang berdakwah melalui turun ke lapangan masyarakat dan berdakwah kepada orang awam, ada yang cenderung berdakwah di masjid melalui ceramah mahupun tazkirah, ada yang lebih suka menggunakan pendekatan seminar dan perhimpunan pemikir-pemikir bahkan ada yang suka berdakwah melalui media massa seperti media cetak dan elektronik



Sifat dakwah yang pelbagai ini menuntut kepada satu kefahaman , bahawa hanya Allah menjadi tujuan kita , bukan jalan yang bersimpang siur. Ada yang begitu mudah menyesatkan dan menjatuhkan pendakwah yang lain. Kenapa kita begitu mudah menjatuhkan dan memandang rendah pendakwah lain? Lupakah mereka bahawa Allah sendiri melarang mereka untuk bersangka buruk dan menjatuhkan orang lain?


Kita mempunyai tujuan yang sama walaupun mempunyai manhaj atau pendekatan yang berbeza. Kenapa mereka yang kata mereka “totok” parti tertentu akan ber kata merekalah yang terbaik sebab menuju kea rah penubuhan daulah Islamiah? Dan kenapa sesetengah daripada mereka yang berkata mereka kuat tarbiyah namun pada masa yang sama mereka mereka mengasingkan tarbiyah mereka dengan pentadbiran.


Dalam jalan dakwah ini saya menemui ramai teman-teman yang kata mereka totok parti tertentu, sedangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz sendiri berkali-kali menegaskan ,” seandainay UMNO menukar dasarnya daripada nasionalis kepada Islam, hari ini juga kita bubar PAS”. Sebenarnya kata-kata ini member isyarat bahawa Tok Guru cukup terbuka dalam menentukan tujuan parti ini diwujudkan .


Kita memilih sesuatu parti politik bukan sebab nama dia macam itu, tetapi kita memilih disebabkan dasar sesuatu parti politik . Tidak mustahil suatu hari nanti parti yang kita taksubkan dan kita sanggup bergadai nyawa deminya ini akan menukar dasarnya menjadi sebaliknya.

Saya lebih suka seandainya kita sama-sama memegang tali Allah ,nescaya kita tidak akan bercerai berai. Permasalahan kafir mengkafir, sesat menyesatkan dan merasakan hanya jemaah kita yang hebat tidak akan wujud seandaiinya kita hanya memegang kepada dua perkara Al-quran dan sunnah .


Permasalahan dan pergaduhan yang berlaku tidak lain hanyalah disebabkan ramai yang begitu taksub kepada tokoh-tokoh mereka, memandang siapa yang kata bukan apa yang ,mereka kata, taklid membuta tuli, tidak suka mengkaji dan meneliti serta jahil. Inilah yang menjadi musuh kita zaman berzaman sehinggkan perkara yang batilpun mudah tersebar di tengah-tengah masyarakat. Kenapa begitu ramai ingin menjadi “nabi”?


Dakwah ini seharusnya bersifat amar makruf nahi mungkar, bahkan ia menjadi kewajiban bagi setiap muslim sehinggakan nahi mungkar yang paling minimum pun ditekankan dalam hadis nabi iaitu membenci dengan hati !Ramai yang lebih gembira dan puas hati dengan program-program, ceramah yang mereka lakukan , namun mereka lupa adakah matlamat mereka untuk amar makruf nahi mungkar tercapai? Kenapa dirasakan bahawa kita telah melakukan apa yang terbaik sedangakan kita hanyalah melakukan apa yang terbaik untuk diri kita sendiri.


sambungan..

Khamis, September 16, 2010

Wahabi? Apa itu wahabi?-


Istilah wahabi,kaum muda ,salafi dan sunnah umpama satu perkataan keramat sekarang. Keramat dengan maksud baik dan buruk. Banyak kata wahabi ini tidak ikut mazhab, tidak hormat ulama . suka mencerca dan menyesatkan orang lain, membidaahkan orang lain, keluar dari pemikirian umum dan pemecahbelah masyarakat,


Artikel saya kali ini cuba merungkaikan apa itu wahabi dalam konteks saya yang serba kekurangan ini. Artikel ini sebenarnya bukan membela atau ,menentang mana-mana aliran tetapi lebih kepada pandangan saya berdasarkan bahan bacaan, diskusi dan percayalah, kebanyakan lebih kepada pengalaman saya sendiri


Sepanjang pencarian saya , saya tidak pernah jumpa orang wahabi sebab saya sendiri tidak pernah tahu apa itu wahabi! Ada yang kata Dr. Asri Zainal Abidin ini wahabi, ada yang kata Ustaz Rasul Dahari ini wahabi, ada yang kata Dr . Johari Mat ini wahabi, ada yang kata Maulana Asri Yusof ini wahabi, ada yang kata ustaz Abdul Kadir Sahak ini wahabi , ada yang kata Al Ustaz Abdullah Qari sebagai wahabi ada yang kata orang tu wahabi, orang ni wahabi sedangkan kalau kita mengkaji dan meneliti tanpa bias dan prasangka, kita akan dapati pendekatan mereka semua itu berbeza, sekurang-kurangnya pandangan mereka.


Bahkann Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah dikatakan wahabi. Kalau dahulu, orang yang dikaitkan dengan wahabi ialah orang yang belajar di luar Negara seperti Mesir ,Jordan dan Pakistan di mana budaya ilmu mereka lebih terbuka.

Tidak semua orang yang digelar wahabi ini mahu atau tahu mereka digelar wahabi. Apa itu wahabi? Adakah mereka digelar wahabi sebab mereka membawa pemikiran yang terkeluar sedikit daripada masyarakat? Adakah mereka digelar wahabi sebab mereka mengamal dan menyeru kepada sunnah? Adakah mereka digelar wahabi disebabkan mereka banyak menegur perlakuan ynag dilambangkan bidaah?


Adakah mereka digelar wahabi kerana mereka meninggalkan kebiasaan pada masyarakat ? Saya di Pulau Pinang mengikuti kuliah aqidah Tauhid tiga serangkai (Uluhiyah, rububiyah, asma wa sifat) daripada seorang ustaz yang juga mantan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang. Saya akui mengikut kuliah pengajian kitab Riyadussolihin daripada seorang ustaz daripada Institut Ibnu Qaiyyim. Namun sampai sekarang saya tidak menjumpai apa itu wahabi dan kenapa wahabi ini sesat. Ramai kata saya wahabi, saya Tanya balik, apa itu wahabi? Adakah wahabi itu sesat?

Adakah dengan memiliki pandangan yang lebih sukakan sunnah, menentang bidaah, menegakkan aqidah berlandaskan alquran dan sunnah , akan segera digelar wahabi? Saya ada pengalaman berdebat dengan salah seorang pengikut Tariqat sesat Ahli Salikin di Bachok ,Kelantan.


Orang tersebut Tanya apa pandangan saya mengenai agama. Saya jawab,” saya lebih suka menggunakan dalil berlandaskan al quran dan sunnah, tidak sukakan perkara-perkara yang baru dalam masyarakat , menentang syirik dan khurafat”. Beliau segera berkata ” enta ni wahabi ke?”


Kalau hendak kata puak-puak yang orang kata wahabi ini suka sesatkan orang , saya mempunyai pengalaman seorang saudara sampai mengkafirkan kita di depan muka . sampai tidak mahu solat di belakang orang yang dikatakan wahabi ini.


Kalau hendak dikatakan puak-puak wahabi ini tidak ada mazhab , seorang tokoh yang dikaitkan dengan ajaran wahabi ini, As Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab juga mempunyai mazhab , beliau bermazhab hambali. Tinggal yang terang-terang kata dia tiada mazhab ialah Astora Jabat !


Ada yang kata wahabi ini ini suka membidaahkan orang, tetapi sepanjang pemerhatian saya , hanya beberapa kerat sahaja yang suka membidaahkan orang. Yang lain lebih suka berdakwah dengan lebih halus seperti member nasihat dan pandangan. Takkan kerana seorang kita ingin berhukumkan kepada semua? Saya sendiri tidak berapa gemar dengan tokoh-tokoh yang suka “cari pasal” ini. Bukankah dakwah itu seharusnya disampaikan dengan berhikmah?


Saya akui ada sesetengah sahabat saya yang begitu taksub kepada tokoh-tokoh yang dikatakan wahabi ini seperti Salih Al Uthaimin, Albani dan beberapa tokoh lagi , tetapi adakah ketaksuban itu “bertepatan” dengan ajaran imam mazhab itu sendri?


Ada sesetengah tokoh yang dikatakan wahabi ini kata kita jangan taksub tokoh, dan saya akui ada sesetengah anak murid kepada tokoh taksub kepada tokoh mereka itu. Puak-puak yang dikatakan sunnah ada juga yang tak sunnah! Mereka Kata jangan taksub tokoh tapi mereka amat melampau dalam menerima pendapat tokoh mereka. Amat ironi dengan perjuangan mereka . Ini pemikiran yang tidak boleh diterima oleh sesiapa .

Ada sesetengah aliran mengkafirkan golongan yang dikatakan wahabi ini. Mereka guna lah hujah bahawa puak-puak wahabi ini seperti mujassimah ,iaitu golongan yang suka menjisim dan menjasadkan Allah jalla wa ala. Mereka kata wahabi pakai pendekatan tauhid yang terkeluar dari ahlusunnah wal jamaah.


Mereka kata wahabi ini ini tidak diterima amalan sebab tauhid mereka pun tak betul! Sebagai orang yang mengkaji dan meneliti aliran pemikiran dengan ilmu yang terhad, saya boleh menyifatkan mereka yang suka mengkafirkan orang ini sebenarnya taksub tokoh, taklid membuta tuli dan malas membaca !


Mereka mungkin tidak mengkaji pergerakan ikhwanul muslimin melalui pemikiran Imam As Syahid Hassan Al Banna dalam usul 20. Namun persoalan aqidah (sama aqidah tiga serangkai atau sifat 20) ini tidak menjadi isu utama sebab ia telahpun Berjaya memporakperandakan masyarakat muslim sekian zaman .

Sampai sekarang saya mencari apakah kesesatan wahabi ini. Andai aqidah yang dipegang wahabi ini sesat maka ikhwanul muslimin pun patut disytiharkan sesat. Padahal mereka dalam sedar atau tak sebenarnya telah mengkafirkan banyak jemaah islam di seluruh dunia . Mereka kalut dok kafirkan dan sesatkan orang. Mungkin inilah satu-satunya jasa mereka dalam menegakkan agama ini!


Kita tinggalkan persoalan sifat Allah. Ada yang kata wahabi ini pemecahbelah masyarakat. Tetapi secara jujur saya melihat sesetengah yang anti wahabi ini lebih giat memcahbelahkan masyarakat ! Ada yang sampai mengunakan jawatan mereka yang tinggi dalam jabatan agama kerajaan untuk mengkafirkan dan menyesatkan orang lain.


Ada yang sampai menuduh orang itu ekstremis dan radikal! Contohnya tindakan seorang ustaz yang berbincang dengan Bukit Aman mengenai ancaman wahabi ini. Sampai sekrang ,saya ulangi tidak pernah tahu apa itu wahabi..


Ada sesetengah kata wahabi ini tidak baca doa qunut dan tidak membaca doa lepas sembahyang. Saya rapat dengan seorang akh yang menentang wahabi,bermazhab syafie tetapi dia tidak pun baca doa qunut dan baca doa lepas solat! Sebab itu sampai sekaranga saya tidak mengerti apakah yang dikatakan wahabi itu. Adakah orang yang bermazhab hanafi patut digelar wahabi hanya kerana beliau tidak berqunut?


Saya akui saya pernah dikatakan wahabi dan kafir pada suatu ketika oleh pengikut satu aliran . Namun saya lebih suka membuatt kajian di mana apa yang baik kita terima, apa yang kurang baik kita tolak ataupun apa yang kita tak gemarkannya kita letak tepi. Senang cerita ! Kelemahan orang melayu ialah malas membaca dan mengkaji. Sebab tulah dok kalut sesatkan orang kafirkan orang tak memasal.


Dua kesimpulan daripada celoteh saya kali ini :


Kesimpulan pertama : Saya tidak tahu dan tidak pernah tahu apa itu wahabi sebenarnya. orang boleh memberi beberapa definisi tentang wahabi, cirri-ciri seorang wahabi tetapi persoalannya adakah mereka yang dikatakan wahabi itu tahu mereka itu wahabi?


Sebab itu saya berasa agak ironi kepada kebanyakan orang yang suka menyesatkan orang tu, mengkafirkan orang ni, pada masa yang sama mereka tak tahu sebenar-benarnya apakah benar tuduhan tersebut. Mereka ini kebanyakannya malas mengkaji dan malas membaca. Ada seorang pelajar p*****k di Kelantan secara jelas mengkafirkan Ibu Taimiyyah dalam satu program di Kelantan pada tahun ni, program yang menghimpunkan Dato’ Nakhaie Ahmad, Ustaz Fendi, Dato’ Nik Amar dan Dr Asri Zainul Abidin.


Ironinya, saya berani kata dia tak kenal pun siapa orang yang dikafirkannya itu . Kadang-kadang dakwaan mereka itu(baca: fitnah atau cakap-cakap tanpa bukti) itu mencetuskan perasaan gelihati saya ini . Secara jujur, banyak buat tuduhan tanpa asas.


Kesimpulan kedua : Janganlah kita mudah-mudah mengkafirkan dan menyesatkan orang lain tanpa hujah dan dalil yang jelas. Ketaksuban membuta tuli dan taklid secara membabi buta hanya melahirkan manusia yang tidak seperti manusia kerana ketidakupayaan mereka menggunakan akal yang dikurniakan.


Andailah wahabi ini sesat dan kafir, setakat ini yang saya tahu syiah , tarikat sesat, qadiani dan astora jabat banyak terluka disebabkan wahabi ini ! Mana yang lain? Mungkin yang lain lebih suka mengkafirkan orang lain yang berbeza aliran . Kuman di seberang Nampak, tetapi gajah di depan mata tak Nampak ! Berfikirlah dengan akal bukan dengan hawa nafsu ! Orang Melayu kita ini jiwanya lembut tetapi suka bertengkar.

Saya tinggalkan dua kesimpulan ini kepada kita semua untuk direnungi bersama. Berlapang dadalah . Jangan bertaklid membuta tuli !