AYUH ! MARILAH MENUJU KE ARAH KEMERDEKAAN PEMIKIRAN DAN JIWA
Satu perkara yang demi Allah sering bermain dalam minda saya semenjak 5 tahun setengah dahulu. Perkara tersebut ialah “Mengapa harus aku menjadi guru “ dan “apakah yang aku ingin capai dalam bidang perguruanku nanti”. Secara jujurnya persoalan-persoalan inilah sentiasa bermain dalam minda saya semenjak dahulu lagi, dan secara tidak langsung mencorakkan pergerakan aktivisme dan gerak kerja saya selama saya berada di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang.
Saya sering memulakan kalam saya dengan pelbagai soalan kerana kaedah ini menjadi sebahagian daripada kaedah yang sering digunakan oleh rasul-rasul dan pemikir-pemikir dalam mencari kebenaran . Selain soalan yang telah saya sebutkan tadi dalam pendahuluan kata-kata saya tadi, satu lagi persoalan yang mungkin timbul ialah “adakah pemikiran dan jiwa kita masih lagi tidak merdeka dan terjajah?” Persoalan seumpama ini seharusny ditanggapi dengan penuh saksama dan bijaksana kerana pada pandangan saya ia menentukan pandang sarwa atau tasawur pemikiran dalam pergerakan kita sebagai guru pelatih.
Sebagai seorang guru, saya beranggapan bahawa tugas kita bukan sahaja memberi ilmu kepada anak bangsa kita, kita juga seharusnya berfikir lebih jauh , lebih bermatlamat dan lebih bermisi dalam meneruskan pengajaran kita. Kita ini bukan setakat menjadi pengajar (yang kadangkala fungsi ‘pengajar’ ini boleh diambil alih oleh rancangan berunsur pendidikan di Astro dan LCD Projektor) , tetapi kita turut ditugaskan untuk menjadi ‘pendidik’.Sesungguhnya guru atau pendidik merupakan antara profesion yang tertua di dunia.
Menurut kaca mata Islam , setiap nabi diutuskan sebagai pemimpin dan pendidik kepada sesuatu kaum dan bangsa dan nabi atau rasul juga berperanan sebagai wakil bagi sesuatu kaum tersebut. Tidak dikatakan melebih-lebih jika dikatakan bahawa seseorang nabi diutus sebagai penyempurna perlambangan kemajuan kerohanian di samping material . Nabi atau rasul ini adalah cikgu atau guru bagi sesebuah masyarakat tersebut. Mereka ini menuntun masyarakat mengenal siapa diri mereka, tujuan mereka hidup , ke mana mereka akan pergi selepas ini dan sebagainya. Buangkanlah pemikiran rancu dan kacau yang hanya mengaitkan segala pendidikan ini dengan keuntungan materi dan bersifat keuntungan .
Begitu juga sifat seorang guru. Mereka menjadi penuntun masyarakat, setidak-tidaknya kepada anak-anak muridnya sendiri. Bayangkan sendiri anak-anak murid apabila mendengar gurunya mencarut atau bercakap kasar, atau melihat gurunya membuat sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar guru, tentu mereka akan merasakan bahawa melakukan perkara yang salah itu suatu realiti dan tidak bersabit dengan mana-mana kesalahan. Bayangkan pula seorang guru biasa mampu berbicara tentang akhlak dan agama, tentu sekali murid-murid merasa bahawa pengajaran dan pendidikan ini merupakan satu bentuk yang satu , tanpa mampu dipisahkan.
Cuba teliti balik sirah dan hadis nabi Muhammad. Bagaimana dakwah baginda masih boleh diteruskan walaupun menghadapi tentangan yang hebat dan mencabar sehingga dituduh penipu dan tukang sihir? Ini tidak lain adalah kerana baginda berjaya menjadi “qudwatun hasanah” iaitu contoh teladan yang baik kepada manusia lain . Sejahat manapun perencaan musuh-musuh dakwah nabi dilakukan untuk menyekat seruan suci nabi, namun ia tidak mampu merubah pandangan manusia-manusia yang diberikan akal untuk berfikir mana yang benar mana yang salah. Jadikan diri kita ini sebagai murobbi, palin tidakpun seseorang yang mampu memberikan “sesuatu” yang positif terhadap perkembangan sahsiah dan akal murid-murid.
Mana mungkin seorang pemain permainan video computer tegar akan boleh berbicara tentang kepentingan menguruskan masa dengan baik kerana ini akan menyebabkan manusia menjadi kurang percaya dan merasakan bahawa apa yang beliau sampaikan itu hanya sekadar ucapan mulut, tanpa berbekas di hati. Begitu juga seorang guru. Mana mungkin seorang guru itu mampu berbicara tentang Islam dan akhlak andaikata guru tersebut masih boleh lagi dipertikaikan penghayatan Islaminya .Bukankan dalam surah AsSoff sendiri Allah berfirman ,” mengapa kamu menyatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan ?, sesungguhnya ia amat dibenci oleh Allah ..”
Jika para guru pelatih ini tidak begitu gemar melibatkan diri dengan usrah atau organisasi Islam hanya kerana kelemahan yang mungkin ada pada sistem atau organisasi tersebut , bagi pandangan saya masih boleh diterima tetapi dengan satu syarat. Syarat tersebut ialah , guru pelatih tersebut hendaklah melibatkan diri dalam mana-mana organisasi yang bersifat menjana pemikiran , kesedaran , aktivisme dan mampu memberi kita penghayatan terhadap bidang keguruan ini seperti organisasi bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan alam sekitar,hak-hak pengguna, serta berorinetasikan pemikiran di samping melibatkan diri dalam badan-badan yang berdaftar dengan IPG seperti kelab bahas, kelab bahasa melayu , kelab Bahasa Inggeris dan sebagainya.
Namun secara realiti , saya mendapati bahawa kesedaran berpersatuan di kalangan guru pelatih masih lagi di peringkat yang rendah dan tidak memberi apa-apa implikasi yang positif. Kenapa kita harus aktif dalam NGO atau persatuan –persatuan ini.? Bukankah kita juga boleh hidup sihat wal afiat walaupun tanpa menyertai mana-mana pertubuhan dan persatuan? Ya. Itu memang benar wahai pembaca yang dikasihi. Namun kita kena ingat bahawa tujuan kita sepertimana yang saya tekankan pada permulaan kalam tadi ialah , selain mengajar kita seharusnya menjadi pendidik. Serahkan tugas mengajar tanpa henti itu kepada sang LCD projector, dan kita mengambil peranan sebagai pendidik. Dan untuk menjadi seorang yang benar-benar “ mendidik” orang lain, kita seharusnya benar-benar “terdidik”. Agak mustahil untuk kita berbicara tentang mendidik sedangkan kita sendiri perlu dididik. Didikan ini boleh diperolehi melalui penglibatan kita dalam persatuan dan NGO tersebut.
Saya teringat beberapa tahun lepas, mantan Pengarah IPG KPP, Encik Rijeng Jahet sering menyeru supaya guru-guru pelatih sentiasa berfikir di luar kotak (thinking out of the box). Namun saya mendapati bahawa seruan ini hanya sekadar satu slogan atau seruan yang tidak bersambut. Masakan kita ingin berbicara tentang berfikir di luar kotak sedangkan kita masih lagi jumud, pemikiran kita masih lagi terbelenggu dengan cara fikir di sekolah , takut untuk berfikir jauh dan berbeza, taksub dengan pendapat sendiri, atau kurang mengikuti perbahasan ilmiah samaada melalui ceramah, seminar, makalah-makalah ilmiah , forum dan sebagainya? Apakah kita ini masih jua bermimpi di siang hari?
Keberadaan saya di IPG Kampus Pulau Pinang bukanlah lama, namun dengan baki “usia” yang ada di IPG KPP ini saya mengharapkan saya mampu merubah , atau paling tidakpun “menjentik” pemikiran guru-guru pelatih yang akan bergelar sebagai seorang guru atau murobbi suatu hari nanti. Kalau pembaca boleh mengikuti penulisan saya 5 tahun dahulu, perkara seumpama inilah yang sering saya tekankan kepada pembaca-pembaca. Secara jujurnya , saya sering membaca tentang kehebatan-kehebatan para guru pelatih di dekad 40-60 an yang menjadi guru pelatih terutama guru pelatih di Sultan Idris Training College (SITC, kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris) . Saya sering mendengar bahawa beberapa nama guru atau tokoh guru menjadi antara pelopor pada usaha kemerdekaan . Siapa tidak kenal Tun Ghafar Baba? Siapa tidak kenal Zainal Abidin bin Ahmad?
Persoalan sekarang ialah, mampukah kita mengulangi kegemilangan seperti itu? Dahulunya guru-guru pelatih mempunya jiwa dan pemikiran mereka sendiri. Kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan masih lagi tinggi dalam diri mereka. Walaupun skop perjuangan pada hari ini tidak lagi berkisar tentang kemerdekaan , namun PERANAN guru sebagai pendidik anak-anak murid dalam membentuk pemikiran anak-anak muridnya masih lagi diperlukan .Saya secara peribadi melihat -banyak isu-isu yang boleh ditanggapi oleh kita sebagai guru pelatih dan perkara ini boleh diselitkan dalam pengajaran dan pembelajaran kita secara langsung mahupun secara tidak langsung . Antara isu-isu tersebut ialah gejala sosial, kemiskinan , penindasan, perpaduan , keicntaan terhadap agama, dan sebagainya.
Pengalaman saya yang sedikit ini boleh saya kongsikan bersama iaitu ketika saya sedang melakukan praktikum di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Secara jujurnya, saya berasa amat sedih melihat kebanyakan anak murid yang berada di kelas yang tercorot adalah terdiri daripada anak-anak murid yang datang dari keluarga yang miskin. Kebanyakan m ereka mempunyai kes disiplin di sekolah dan boleh dikatakan hampir semua tidak mampu menulis , membaca dan mengira. Pendekatan yang saya gunakan ialah turut sama menjalinkan hubungan dengan mereka dan menanamkan kesedaran kepada mereka tentang pentingnya pendidikan secara langsung mahupun tidak langsung.