Terduduk. Termangu. Termenung. Sepi. Saat satu kali air mata jantan merembes mengalir ke pipinya di wajah yang tersirat 1001 luka itu. Zainuddin tidak pasti apa yang menjadikan dia menitiskan air mata. Mungkin sebab cintanya terasa payah untuk dicapai setelah hasrat peminangannya ditolak, mungkin kerana terlalu mengenangkan kisah lalu yang penuh kekecewaan . dan mungkin juga bila dia melafazkan kata kepada RabbNya seusai solat tahajud tadi. ,KataNya sambil diringi alunan tangisan yang sungguh hiba persis anak kecil yang merindukan belaian dari emaknya ,” Ya Rabbi, berilah kami kekuatan dalam mencari redhaMu . Jadikan kami di kalangan pejuangMu yang ikhlas dan istiqamah dan jalanMu..dan seandainya cintaMu itu terletak di atas cinta kepada hambaMu, maka dekatlah aku kepadanya… seandainya cintaku itu letaknya atas kepada cintaMu yang agung itu, maka jauhkanku darinya……
Mengimbas kembali kenangan dulu, saat masa di bangku sekolah. Siapa yang tak kenal Zainuddin – lelaki Mat Romeo yang sentiasa mencari gadis untuk diusik. Walaupun itu perkara dulu, yang telah lama berlalu ,namun pemikiran itu tetap berlegar di minda Zainuddin, umpama suatu perkara yang sukar untuk dihakis dari mindanya sehinggalah dia mengenali Fatimah, gadis ayu comel dari Grik Perak . "Mengenali" cinta pertama itu sungguh indah dan senyuman gadis cilik yang berlesung pipit dan bersuara lembut tetap melekat di jiwanya. "Wirawati" yang baginya “gagah” semangat dan adat ketimuran cukup menambahkan kesempurnaan wanita itu. Perkenalan di sekolah berasrama penuh itu berlanjutan sehingga 8 bulan hingga dia terpaksa menerima hakikat bahawa dia terpaksa keluar dari sekolah tersebut akibat beberapa permasalahan yang melanda . Dengan hati yang parah dan berat Zainuddin balik semula ke sekolah lamanya dahulu, sekolah harian biasa lelaki.
Umpama sang pencinta yang kehilangan cintanya, dan umpama kapal yang patah kemudinya, Zainuddin kerap termenung dan bercakap di dalam tidurnya ,meratap "kematian" hakikat cinta pertamanya yang tak akan dia lupakan . Terbangun . kerapkali tersentak dan tersebut nama Ema , baginya satu nama insan yang sempurna. Hidupnya tidak lagi ceria seperti dahulu. Alam pembelajaran tidak seindah dahulu lagi, dan rasa nikmat hidup umpama disentap dari kotak mindanya.
Zainuddin mengeluh.
Namun, kesedihannya umpama sedikit terubat bila mengenali Khairunnisa , gadis lincah putih melepak yang muda beberapa tahun dengannya di Pusat membeli belah berhampiran sekolahnya. Masa itu , dunia dirasakan indah kembali , ditambah pula sifat Khairunnisa yang agak “sporting” dan penuh kenakalan sepertimana anak perempuan remaja Bandar yang lain. Sejak mengenali Khairunnisa , Zainuddin mampu mengukir sedikit senyuman dan berasa sedikit pengharapan dari makhlik Tuhan yang agung yang bernama wanita.
Disangkakan panas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari. Genap sebulan bila termeterai janji cinta antara Zainuddin dan Nisa, dia menerima mesej yang berbunyi ,” maafkan Nisa Zai….kita terpaksa berpisah dahulu… mungkin kita dah tak ada jodoh… ayah Nisa marah Nisa lepas kita start couple… dia bimbang Nisa akan hanyut dan menjejaskan prestasi Nisa Nanti… Maafkan Nisa ya, sayang ! Zainuddin mula tertunduk dan membaca mesej itu berulang kali. Hatinya kembali terguris dan dirasakan dunia umpama menghempapnya. Dia melepaskan geram dengan menjerit kepada emaknya. Dia tahu dia salah tapi, jiwanya yang baran dan berserabut dengan segala permasalahan mengakibatkan beliau kembali “mengurung diri” dalam dunia khayalannya yang penuh duka. “Bukan aku yang harap begini… “ dia cuba memujuk hatinya yang lara dan lesu itu. Sepintas kenangan dan luka bersama Ema bersiram kembali dalam sanubarinya.
Dia mula mengenali istilah “headbanging” . Dia mula meminati muzik aliran keras.. dia mula mengenali beberapa band yang selama ini cukup dibencinya. Mungkin itu satu tanda protes terhadap apa yang menimpa kepada dirinya. Terhadap segala kesedihan yang menimpa. Protes kepada siapa , dia sendiri tidak pasti. Atau mungkin lebih kepada “penghukuman’ kepada dirinya sendiri. Zainuddin mula hanyut dngan aliran muzik itu dan measa sedikit puas dan “terisi” bila “melayan” lagu yang bingit dan sarat dengan mesej “kekejaman” hidup dan keluhan yang berpanjangan.
“Kesukaan” baru ini mula “ berehat” bila dia bertemu dengan Moniza, gadis kampung yang 2 tahun lebih tua daripadanya . Moniza itu, cukup cantik bukan sahaja dari pandangan Zainuddin tapi semua orang turut memuji kecantikan yang terhias pada diri Moniza. Zainuddin suka mengusik Moniza dengan panggila Maya Karin. Memang rupanya pun agak sama. Barangkali bagi mengelakkan kekecewaan berulang , dia memanggil gadis itu kakak, walaupun terkadang layanan yang diberikan Moniza terhadapnya lebih daripada layanan seorang kakak. Monizalah tempat dia mengadu nasib, Monizalah tempat dia mula mengenal hakikat insan seorang wanita dan Monizalah menjadikan dia semakin kuat dalam menempuh perjalanan hidup yang dirasakan tak keruan itu. Namun , dia tiada niat untuk menjadikan Moniza sebagai temannya, lantaran keperitan “cinta” itu masih terasa.
Lamunan Zainuddin terhenti seketika tatkala rakan sebiliknya Shazwan terbatuk dengan kuat. Zainuddin menoleh seketika kepada teman sebiliknya itu lantaran ke"tidaksopanan"nya “membunyi”kan dengkuran tajamnya walaupun Zainuddin tahu itu memang tak disengajakan. Zainuddin kini menatap kembali ke hujung sejadah yang telah dibasahi dengan air matanya . Dia berasa jijik dengan tingkah sesetengah individu yang rela menangis disebabkan Akademi Fantasia , mahupun Malaysian Idol. Tak kurang juga yang rela menangis bila menonton filem-filem yang melekakan . Perasaan jelik itu cuma sekilas sahaja, tapi cukup mewarnai jiwanya yang cukup tenang ketika itu.
Kenangan mulai terusik bila direnung jauh lagi ke dalam . Perpisahan kali terakhir bersama insan bernama wanita sebagai “couple” amatlah memeritkan. Dia teringat saat dia terpaksa “menendang” Atirah , bekas rakan sekolah rendahnya dahulu apabila cinta telah berputik selama 3 bulan. Zainuddin akui , dia “terpaksa” mengambil Atirah disebabkan “rimas” dengan “gangguan” wanita lain di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN). Walaupun Zainuddin bukannya segak mahupun “handsome” , tapi seolah-olah ada tarikan padanya yang tidak ada pada lelaki yang lain yang mengakibatkan dia sentiasa diburu dan disebut.
Akibat “tekanan” jiwa dan perasaan yang melampau, Zainuddin terpaksa melepaskan Atirah jauh dari hidupnya. Saat ini , Zainuddin rasa hidupnya tidak berguna lagi. Atirah ada mengugut untuk membunuh diri, namun Zainuddin berjaya memujuk Atirah, gadis yang padanya memiliki sifat-sifat "sporting" yang terkadang melampau. Pada malam perpisahan itu, Zainuddin tidak mampu bergerak , lemah tak bermaya , hatta sebelah tangan , lantaran dibebani dengan segala "penyesalan" dan “kesakitan “ yang melampau.
Mengingatkan peristiwa ini , Zainuddin mula bangun untuk menunaikan solat hajat , minta dikuatkan jiwanya yang sarat dibebani persoalan yang sungguh haru dan menyesakkan. Dalam rakaat kedua , Zainuddin sujud lama. Air mata kedukaan merembes kembali . seakan merintih kepada empunya Langit dan bumi. Umpama merintih dengan segala putaran kenangan lalu bersimpang siur dalam kepalanya. Sarat dengan kedukaan dan kelukaan yang melampau. “Ya Allah, moga diperkuatkan daku, dalam menghadapi mehnahmu….”.
Selepas solat hajat, Zainuddin duduk bersimpuh sambil membilang tasbih di jari jemarinya. Lafaz Subhanallah ,walhamdulillah, wallahuakbar keluar dari mulutnya seiring dengan pergerakan biji-biji tasbih di hujung antara ibu jari dan jari telunjuknya. Terdetik dalam hatinya , “begitu jauh diriku berubah ya Tuhan…. Mampukah aku menebus segala dosa silamku….”. Dalam diam di amat berharap Allah memberikan ketenangan dalam jiwanya kembali.
Mengapa Zainuddin boleh berubah begitu sekali ? Zainuddin tidak pernah pun terfikir bahawa dialah yang akan rukuk dan sujud pada malam ini. Munkin dia masih bergayut atau berSMS kata-kata sayang dan cinta pada masa ini lantaran dunianya yang haru. Mungkin kekosongan jiwanya yang “memaksa” dia kembali kepada “fitrah” seorang hambaNya. Dia teringat firman Allah s.w.t dalam Surah Yusof ayat 87 :
Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan orang yang kafir.
Ya Allah, kami tidak mahu menjadi seumpama kaum yang kafir, sentiasa berputus asa dari rahmatMu dan kebenaran . Doanya dalam separuh sedar.
Pengenalannya kepada jemaah tabligh menjadi sinar kepadanya apabila dia mula menapaki sebuah institusi pengajian di utara tanah air. Dia tidak pernah kenal pergerakan ini sebelum ini sebenarnya. Pada mulanya , dia hanya sekadar “taklid” , ikut sekadar sekadar sahaja. Namun setelah keluar beberapa hari ,dia mulai menyukai pergerakan ini . Serba ringkas dan “ikhlas” . Namun jodohnya dengan program “jihad” ziarah pergerakan tabligh tidak lama bila dia mulai mengenal Usrah Jemaah Islah Malaysia (JIM) . “Sempoi gak usrah ni…. Ada perbicangan dan tak kaku sangat…..”. Baginya usrah memberi banyak pengertian kepada hidupnya . Pendekatan yang digunakan Ikhwanul Muslimin dari Mesir ini banyak membantunya “membaiki” dirinya dan menjadikan dirinya tidak segan untuk masuk kembali kepada usaha pentarbiyahan.
Zainuddin bangun mengemaskan sejadahnya dan disangkutkannya di tali ampaian. Dia mematahkan jari jemarinya dan membetulkan lipatan kain pelekatnya. Dia kemudian terkenang Aisya, gadis senegerinya yang baginya cukup istimewa . Gadis manis bertudung labuh dan ”buas” . Aisya bukannya “seperiang” gadis –gadis yang pernah bertahta di hatinya dahulunya . Tapi baginya, Aisya punyai kekuatannya sendiri. Senyumannya. Mungkin. Jiwanya yang kental dan tenang. Mungkin.
Dada Zainuddin kembali sebak. Entah , mungkin jiwa budak setan ini terlalu merana dan ranap . Dia kembali merenung firman Allah s.w.t dalam Surah Ali –Imran ayat 139 –
Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah kamu berdukacita , padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (darjatnya) , jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman .
Ada ura-ura pertunangannya akan berlangsung tahun ini, namun terpaksa dibatalkan disebabkan halangan keluarga.Malu tak payah kiralah. Naqib Zainuddin dah tahu. Sahabat-sahabat pun dah tahu . Sebagai seorang lelaki Zainuddin rasa tertipu , diperbodohkan dan tercabar . Tapi sebagai seorang yang cuba mengubah dirinya, Zainuddin redha. “Mungkin bukan jodohku.,”bisik hati kecilnya. Aku berhenti berharap. Getusnya lagi.
Dalam diam Zainuddin berdoa ,” Ya Allah , seandainya dia baik bagiku , tetapkan aku dengannya. Seandainya dia tak dijodohkan untukku , jauhilah aku dengannya. Tutupilah hati kami .
Mungkin cinta Aku hanya untuk Allah…………………………….. bisiknya sambil melepaskan satu keluhan …….. Tuhan tak pernah mengecewakan Aku……..
Dalam diam, dia bertekad di dalam hati, untuk menjadi sebahagian daripada "mata rantai" dakwah. Lalu dia bergegas turun ke motosikal hitam yang baru dimilikinya dan merenung kembali firman Tuhan dalam Surah At-Taubah ayat 111 ;
Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman jiwa mereka dan harta mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga , (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah , maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang sedemikian adalah ) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat , Injil dan Quran . Dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah ? Oleh itu bergembiralah dengan jualan kamu jalankan jual belinya itu , dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
Mujahid Page
Tiada ulasan:
Catat Ulasan