Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Selasa, September 08, 2009

Mengampu tahap kronik

hasbie

Oleh: Mohd Hasbie Muda

1. Saya tidak pasti mengapa perkara ini masih wujud di dalam masyarakat Malaysia kita yang semakin bertambah ramai golongan cerdik pandainya.

2. Setiap kali Perdana Menteri baru mengumumkan gagasan atau slogan yang baru, ianya akan disambut dengan begitu ghairah dan taat setia tanpa berbelah bahagi.

3. Teringat sewaktu Pak Lah mengumumkan Islam Hadhari seawal beliau mengambil-alih kepimpinan negara 5 tahun lalu, konsep itu disambut dan dilaungkan dengan begitu rancak sekali. Semua perkara mahu di’Hadhari’kan. MPMUM (badan pelajar utama UM) sesi 2004 hingga 2007 juga pernah mewujudkan Biro Kerohanian dan Islam Hadhari. Paling melucukan, ada menu-menu di hotel dan restoren ternama yang meletakkan nama Hadhari pada masakan mereka. Maka wujudlah nama-nama seperti Nasi Beriani Hadhari, Siakap Stim Hadhari dan Jus Tembikai Hadhari. Institusi lain juga tidak terkecuali.

4. Pada kali ini, Datuk Sri Najib mengitar semula satu konsep yang dinamakan 1Malaysia. Seperti biasa syarikat-syarikat korporat, institusi-institusi pendidikan tinggi, sekolah, jabatan-jabatan kerajaan, kedai-kedai makan, restoran dan sebagainya berlumba-lumba menyekutukan mereka dengan 1Malaysia. Tidak salah untuk menyokong gagasan atau slogan pimpinan kerajaan jika ia difikirkan betul dan sesuai. Namun biarlah sokong kerana faham bukan sokong kerana mahukan perhatian.

5. Seperti biasa, gagasan PM yang terdahulu iaitu Islam Hadhari sudah dilupakan. Ustaz dan penceramah yang dahulu paling aktif bercakap tentang Islam Hadhari, pada hari ini sudah lupa prinsip Islam Hadhari yang pertama. Paling malang, orang ramai yang dahulunya menyokong kuat gagasan itu sudah tidak lagi berminat untuk bercakap tentang Islam Hadhari.

6. Saya yakin apabila PM baru nanti mengambil alih, 1Malaysia juga akan menjadi bahan yang layak disimpan di ‘Muzium Slogan’. Fenomena sokong bermusim ini boleh adalah antara contoh budaya ampu yang wujud dalam masyarakat kita.

7. Mengapa perkara ini berlaku?

8. Masyarakat yang malas berfikir akan memilih jalan-jalan pintas untuk mencapai sesuatu hajat. Ahli perniagaan yang mahukan projek, ahli akademik yang mahukan pengiktirafan dan populariti, pekerja yang mahukan kenaikan gaji dan pangkat, mahasiswa yang mahu kepentingan diri dijaga, dan semua golongan terdedah dengan budaya ini. Mengampu adalah salah satu jalan pintas yang sangat tidak bermaruah. Ia adalah suatu kesalahan yang berat bagi mana-mana individu yang mengaku bertamadun.

9. Seorang pengampu akan menurunkan tahap produktiviti negara baik secara kualitatif mahupun kuantitatif. Apabila persaingan tidak lagi berasaskan meritokrasi tetapi dipandu oleh keupayaan untuk berdampingan dengan pemilik kuasa, maka negara sebenarnya sedang bergerak ke arah malapetaka dan kehancuran. Pada suatu jangka masa yang panjang, kita sedang membina masyarakat kita yang semakin rendah nilainya.

10. Kita tidak dapat menahan apatah lagi menghukum orang-orang yang melakukan kesalahan mengampu. Kita tidak mampu mengesan siapa, bila dan di mana jenayah mengampu itu dilakukan. Kita hanya mampu berdoa dan berpesan-pesan agar masyarakat kita tidak membudayakan ampu.

11. Apa yang kita mampu harapkan juga adalah setiap orang daripada kita agar berlaku jujur pada diri sendiri. Samada memilih untuk menjadi masyarakat yang mulia ataupun rela dipandang hina.

————

*Penulis ialah Presiden Economics Student Leaders Council (ECONS), sebuah badan pemikir dan NGO bebas terutamanya dalam isu-isu sosio-ekonomi negara, mengembangkan pemikiran kritis dalam politik dan ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya. Blog Pencak Bicara MHM kini menjadi ruang analisis dan perkongsian beliau.

Tiada ulasan: