oleh: Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
Integriti Intelektual Muda[1]
oleh
Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM)
www.ilmuwan-w.blogspot.com
Pendahuluan
Intelektual muda merupakan golongan pelapis yang menjadi harapan ummat bagi menggerakkan upaya intelek dan tradisi keilmuan di dalam masyarakat.Sukar dibayangkan watak masyarakat yang bakal lahir seandainya kita meminggirkan peranan intelektual muda .Intelektual muda mampu membawa dan memimpin perubahan dalam masyarakatnya seandainya suara mereka didengari dan peranan mereka diiktiraf oleh masyarakat.Namun hanya intelektual muda yang punya integriti sahaja yang mampu merealisisasikan agenda perubahan yang diimpikan tersebut.Tanpa integriti ,seseorang itu langsung tidak layak digelar intelektual .
‘’Integriti bagaikan pokok yang berdiri teguh di hutan.Akarnya dalam,menunjangi yakni menyokong batang pokok yang besar lagi tinggi yang mempunyai rimbunan dedaun menghijau sebagai mahkotanya.Ia berbunga bersama buah-buahan yang merimbun,dengan warna cantik berkilat,ranum,dan sedia menaburkan biji benihnya.Unggas dan haiwan lain mencari tempat bertenggek yang selesa di dahannya yang selamat.’’
(Dari Akar Hingga Buahnya,Cetakan Kedua 2007 ,Institut Integriti Malaysia)
Makna integriti
Perkataan Integriti berasal daripada perkataan Latin,integritas yang boleh dimaksudkan sebagai tidak terjejas(unaffected)-kukuh(intact)-benar(upright)-boleh diharapkan(reliable).
Glosari Integriti memberi maksud integriti sebagai perihal sifat individu dan organisasi yang sempurna berteraskan nilai murni seperti jujur,benar,amanah,tertanggungjawabkan,telus,cekap dan bijaksana.
Kamus Dewan Edisi Keempat pula memberi definisi integriti kejujuran ,keadaan sempurna dan utuh atau keutuhan , ketulusan
Manakala The Oxford English of Dictionary menyatakan ‘’Integrity mean wholeness,entireness,completeness,chastity and purity’’[2]
Dalam Pelan Integriti Nasional (2004) pula memberi takrifan erti integriti individu sebagai berikut:-
‘’keselarasan dengan apa yang diperkatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya,keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral,etika dan undang-undang serta antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. [3]
Berani membela kebenaran
Intelektual muda yang punya integriti mempunyai keberanian yang luar biasa dalam membela kebenaran.Tiada ketakutan dan sifat bacul dalam dirinya dalam menyuarakan kebenaran. Segala kepalsuan,pembohongan,penyelewengan,kerosakan dan kemungkaran akan dilawan sedaya upaya sehingga kebenaran itu tetap terzahir .Keberanian para intelektual muda ini bukanlah keberanian kosong dan sia-sia bahkan ia merupakan keberanian yang terlahir hasil keyakinan terhadap prinsip kebenaran itu sendiri.
Prof Dr Deliar Noer dalam bukunya Partisipasi Dalam Pembangunan pernah mengupas apa yang dikatakan oleh bekas wakil Presiden Indonesia ,Mohammad Hatta,
’’titik berat pendidikan di perguruan tinggi terletak pada pembentukan karakter,watak.Pangkal segala pendidikan karakter ialah cinta akan kebenaran dan bererti mengatakan salah dalam menghadapi sesuatu yang tidak benar.Pendidikan ilmiah pada perguruan tinggi dapat melaksanakan pembentukan karakter itu kerana…ilmu ujudnya mencari kebenaran dan membela kebenaran.’’[4]
Demikianlah watak intelektual muda yang berintegriti sang pencinta kebenaran yang berani melawan kepalsuan dan yang dengan ilmu yang dimilikinya dia sentiasa berusaha mencari dan membela kebenaran.
Keinsafan tentang tanggungjawab sosial
Intelektual muda perlu insaf bahawa ilmu yang diraihnya bukan sekadar untuk manfaat dirinya seorang sahaja.Sikap individualistik tidak sewajarnya wujud dalam diri seorang intelektual.Ilmu yang ada perlu dikongsi bersama dan upaya intelektual tersebut perlu dilakukan secara kolektif atau berjamaah.
Selain itu juga intelektual muda yang berintegriti perlu memperjuangkan hak dan aspirasi rakyat dan masyarakat sekeliling.Segala rintihan dan luahan hati rakyat perlu diambil kira oleh intelektual muda dalam gerak kerja intelek mereka dan bukan hanya hanyut dengan teori-teori dan idea-idea yang tidak ‘merakyat’- ‘mengakar’-‘merimbun’ meminjam istilah yang sering diungkapkan oleh Dato Dr Siddiq Fadzil.
Persoalan tanggungjawab ini pernah dikupas oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam tulisannya Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam tatkala memberikan takrifan tentang insan yang baik iaitu:
‘’Insan yang baik itu ialah insan yang berilmu luhur,yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada tuhannya yang Hak,insan yang memahami serta menyelenggarakan penunaian tanggungjawabnya terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya,insan yang dalam serba-serbi tingkah lakunya sentiasa mengasuh dirinya menuju kearah kesempurnaan sebagai insan adabi[5].
Inklusif bukan esklusif
Intelektual muda yang berintegriti tidak akan bersifat esklusif dan bertindak lagak golongan elit.Dekat di hati masyarakat dan mudah diterima rakyat keseluruhannya.Demikianlah yang boleh digambarkan watak intelektual muda yang inklusif.Tidak wujud jurang atau tembok pemisah yang ketara antara intelektual muda dan masyarakatnya bahkan intelektual muda itu dengan kesedaran bahawa mereka juga sebahagian daripada masyarakat sedaya upaya cuba menganalisis masalah yang menimpa masyarakatnya lantas cuba menyelesaikan permasalahan tersebut .Profesor Syed Hussein AlAtas(Allahyarham) dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun mengungkapkan bahawa :-
‘’Kaum intelektual yang harus menjelaskan masalah masyarakat dan mencuba menyelesaikannya.Selain itu,kaum intelektual menghasilkan idea-idea dan menyebarluaskannya kepada anggota masyarakat lainnya.’’[6]
Idea-idea dan pemikiran intelektual muda tidak seharusnya hanya berlegar sekitar kelompok mereka sahaja dan segala perbahasan dan perdebatan intelek mereka tidak sewajarnya terlalu ‘melangit’ tinggi dan tidak berpijak di bumi yang nyata atau sekadar mengungkapkan idea dan pemikiran yang tidak ‘membumi’.Bahasa dalam mengungkapkan daya fikir intelek mereka juga perlulah difahami atau menggunakan bahasa yang mudah tetapi sarat dengan falsafah dan penuh dengan idea bernas.
Memelihara amanah keilmuan
Amanah keilmuan merupakan amanah yang cukup besar dan perlu dipikul oleh para ilmuwan.Intelektual muda yang berintegriti perlu sentiasa memastikan amanah keilmuan ini terus dipelihara.Menuntut ilmu yang benar,menyampaikan dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat ,menyanggah ilmu palsu dan batil misalnya merupakan amanah keilmuan yang akan dipertanggungjawabkan kelak.
Anwar Ibrahim dalam bukunya Gelombang Kebangkitan Asia mengungkapkan tentang peranan para guru,sarjana dan cendekiawan seperti berikut ;-
‘’Peranan para guru,sarjana dan cendekiawan perlu meniupkan semula semangat cintakan ilmu,mengajak masyarakat kembali menikmati ladhdha al-ma’rifa,merasakan keseronokan bertemu dan menerokai pemikiran besar dan renungan pemikiran agung.’’[7]
Usaha berterusan untuk menyuntik semangat cintakan ilmu dan kebenaran dalam diri setiap individu perlu digerakkan dan inilah amanah keilmuan bagi setiap intelektual muda. Benar seperti yang pernah dikatakan oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali,
’’melakukan jihad ilmu pengetahuan dalam pertempuran untuk memajukan umat ini adalah suatu kewajiban yang tidak dapat ditangguh.Jika kita gagal dalam hal ini,kita akan menerima kesannya yang sangat pedih[8]
Bebas dan bersikap terbuka
Intelektual muda yang berintegriti bebas dan bersikap terbuka dalam kegiatan intelek mereka.Dalam memperkatakan soal kebenaran,memihak kepada kebenaran menjadi keutamaan para intelektual muda dan bukan hanya sekadar memihak kepada kelompok,parti,puak,mazhab atau aliran-aliran tertentu.
Kita tidak mahu melahirkan satu generasi ilmuwan yang diungkapkan oleh Dato Dr Siddiq Fadzil sebagai ‘’ generasi ilmuwan yang mewah dengan kebendaan tetapi kehilangan kebebasan lalu muflis pemikiran’’[9]
Kebebasan dalam membicarakan soal kebenaran menjadi aset penting para intelektual muda bagi mengelakkan mereka daripada menjadi kuda tunggangan dan boneka mana-mana pihak yang ingin mempergunakan keilmuan mereka demi mencapai agenda peribadi mereka.
Intelektual muda yang berintegriti juga perlu sentiasa bersikap terbuka misalnya bersikap terbuka menerima kritikan orang lain,bersikap terbuka menyampaikan ilmu kepada mana-mana pihak ,bersikap terbuka mendengar dan memanfaatkan ilmu orang lain atau bersikap terbuka dengan khazanah ilmu agama,bangsa atau tamadun-tamadun lain.Sikap terbuka ini mampu membuka ruang kepada para intelektual muda untuk mencari kebenaran dan meraih ilmu yang benar.
Menghormati keahlian dan authoriti ilmuwan lain
Terdapat kecenderungan di kalangan segelintir intelektual muda masa kini untuk menafikan kewibawaan ilmuwan lain yang tidak sependapat dengan pemikiran mereka dan akhirnya menjurus mereka untuk tidak menghormati keahlian dan authoriti ilmuwan lain.
Keegoan dalam diri mereka ,sikap taksub dan terlampau mendewa-dewakan tokoh-tokoh tertentu menyebabkan mereka sukar untuk menerima pandangan dan pemikiran ilmuwan lain walaupun jelas ilmuwan tersebut lebih pakar dalam bidang pengkhususan ilmu masing-masing.
Dalam hal ini tokoh pemikir,Dr Muhammad ‘Imarah pernah mengungkapkan seperti berikut,:-
‘’Islam sebagai satu agama telah memberi panduan kepada kita bahawa untuk mengetahui kebenaran(al-haq),kita hendaklah berpegang pada keahlian seseorang itu dalam ilmu yang dimilikinya.Jadi ,kita tidak boleh merujuk kepada orang yang telah tergelincir daripada kebenaran kerana perbuatan tersebut mengaibkan Islam’’[10]
Oleh kerana itu seorang intelektual muda yang berintegriti perlu sentiasa menghormati keahlian dan authoriti ataupun hormat kritis terhadap para ilmuwan lain.
Mengamalkan ilmu yang dimiliki
Intelektual muda yang berintegriti akan sentiasa mengamalkan ilmu yang dimilikinya tanpa mengira sebanyak mana ilmu yang telah diperolehinya.Tanpa pengamalan terhadap ilmu,pincang tahap keintelektualan mereka dan mereka hanyalah insan yang terpukau dan khayal dengan teori-teori ,konsep-konsep,idea dan gagasan yang muluk-muluk sahaja.
Barangkali peringatan Prof Dr.Mohd.Kamal Hassan di bawah ini perlu menjadi renungan buat para intelektual muda:-
‘’Intellectual knowledge or rational understanding alone,however is inadequate.The knowledge should be translated into action and a pattern of excellent behaviour for others to emulate’’[11]
Akhlak dan peribadi para intelektual muda yang tidak mengamalkan ilmu yang dimiliki mereka pasti lebih teruk daripada mereka yang tidak berilmu lantas inilah yang akan membawa kepada kerosakan dan malapetaka yang dahsyat dalam masyarakat akibat pengkhianatan para ilmuwan dan intelektual yang tidak mengamalkan ilmu yang mereka perolehi.
Penutup
Integriti intelektual muda perlu terus diperkasakan.Hanya dengan memiliki integriti,intelektual muda mampu memainkan peranan bermakna dalam menggerakkan perubahan dalam masyarakat dan memimpin misi pencerahan dan pencerdasan ummat.Semoga intelektual muda terus memantapkan kualiti keilmuan mereka dengan integriti.
Rujukan
1) Anuar bin Haji Ahmad ,’Integriti Dalam Pembinaan Jatidiri’’(Kertas kerja Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan pada 8 Ogos 2009 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia(IIM)
2) Anwar Ibrahim, Gelombang Kebangkitan Asia,Cetakan Pertama 1997,Dewan Bahasa dan Pustaka
3) Dari Akar Hingga Buahnya,Cetakan Kedua 2007 Institut Integriti Malaysia
4) Himpunan kertas kerja Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam,Cetakan Pertama 2002,Dewan Bahasa dan Pustaka
5 )Mohd.Kamal Hassan ,Moral and Ethical Issues In Human Resource Development:Old Problems and New Challenges,IKD Monograph Series-Institut Kajian Dasar (IKD))
6) Muhammad ‘Imarah, Anugerah Islam Untuk Ketamadunan terjemahan Dr Muhammad Nur Manuty-cetakan kedua 2007-Terengganu Development Institute-Centre For Studies In Modernity and Civil Society(CESMACS)
7) Muhammad Al-Ghazali,Warisan Pemikiran Islam Menurut Syara’ Dan Akal,penterjemah Nur Hadi Ihsan cetakan 2009-Crescent News(K.L.)Sdn Bhd
Syed Hussein AlAtas, Intelektual Masyarakat Membangun,Cetakan Kedua 2009,Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur
[1] Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Intelek Muda anjuran Akademi Sains Islam Malaysia(ASASI) pada 10 Oktober 2009 (Sabtu) bertempat di Perpustakaan Daerah Hulu Langat,Selangor Darul Ehsan
[2] Rujuk kertas kerja Anuar bin Haji Ahmad ,’Integriti Dalam Pembinaan Jatidiri’’(Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan pada 8 Ogos 2009 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia(IIM)
[3] Pelan Integriti Nasional merupakan cetusan idea Perdana Menteri Malaysia Kelima,Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi yang berteraskan prinsip dan falsafah Rukun Negara dan cabaran Wawasan 2020 dan ia dilancarkan pada tahun 2004
[4] Prof Dr Deliar Noer ,Partisipasi dalam pembangunan, Cetakan Pertama 1977,Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) ms 85
[5] Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas ,Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam-,Himpunan Kertas Kerja Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam,Cetakan Pertama 2002,Dewan Bahasa dan Pustaka
[6] Syed Hussein AlAtas, Intelektual Masyarakat Membangun ,Cetakan Kedua 2009,Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur,ms 11
[7] Anwar Ibrahim,Gelombang Kebangkitan Asia,Cetakan Pertama 1997,Dewan Bahasa dan Pustaka
[8] Muhammad Al-Ghazali,Warisan pemikiran Islam menurut syara’ dan akal,penterjemah Nur Hadi Ihsan Cetakan 2009,Crescent News(K.L.)Sdn Bhd
[9] Siddiq Fadzil,,Minda Muslim:ketegaran dan keluwesannya, Himpunan Kertas Kerja Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam,Cetakan Pertama 2002,Dewan Bahasa dan Pustaka
[10] Dr Muhammad ‘Imarah-,Anugerah Islam Untuk Ketamadunan ,terjemahan Dr Muhammad Nur Manuty,Cetakan Kedua 2007,Terengganu Development Institute-Centre For Studies In Modernity and Civil Society(CESMACS)
[11] Prof Dr.Mohd.Kamal Hassan , Moral and Ethical Issues In Human Resource Development:Old Problems and New Challenges,IKD Monograph Series
Tiada ulasan:
Catat Ulasan