Oleh: Muhammad Fuad Syazwan Ramli*
Penulis berkesempatan menonton dokumentari Tragedi Trisakti dan Semanggi[1] di Indonesia ketika era Reformasi dahulu. Penulis terasa begitu teruja melihat kelantangan dan kegigihan serta keberanian para demonstran yang terdiri daripada anak-anak mahasiswa di universiti-universiti terkemuka di Indonesia. Mereka ini berdemonstrasi bukanlah kerana elaun mereka ditarik. Bukanlah kerana Kafeteria di kolej mereka ditutup. Bukan juga kerana masalah parking di Fakulti. Tapi mereka ini berjuang, turun berpanas di jalan raya kerana ingin menyuarakan suara rakyat bawahan.
Mahasiswa adalah agen kepada rakyat marhaen. Orang politik sukar untuk diharap bagi membela nasib rakyat. Jika ada “political mileage”, cepat sahaja mereka membantu. Tapi jika tiada, jangan harap nak nampak batang hidung. Ini semua kerana orang politik gilakan kuasa, dengan kuasa sahaja mereka dapat menjalankan agenda mereka. Jika sesuatu perkara itu tidak mendatangkan faedah kepada usaha mereka dalam mendapatkan kuasa, buat apa mereka bersusah?
Di sini lah mahasiswa memainkan peranan yang cukup besar. Mahasiswa adalah golongan yang bebas dari mana-mana faham politik kepartian. Mereka berjuang atas nama mahasiswa. Mereka jatuh, mereka bangun, mereka tumbang, mereka bangkit, mereka dipasung, mereka direjam, semua atas nama mahasiswa. Ini yang sepatutnya berlaku. Dengan adanya minda bebas dari cengkaman parti politik, maka mahasiswa akan secara automatik merasa terpanggil untuk membela nasib rakyat marhaen, tak kira menguntungkan mereka atau tidak.
Contoh mudah, Tragedi Baling. Apa kaitan mahasiswa di Universiti Malaya, di Institut Teknologi Mara, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia[2] dengan masyarakat Baling? Adakah kemiskinan, kemelaratan, kebangsatan masyarakat Baling akan mengurangkan elaun mahasiswa ini? Adakah kebuluran di Baling akan memberi kesan terhadap kualiti makanan di Kafeteria? Adakah perarakan kaum buruh di Baling akan menghalang mahasiswa untuk parking di Fakulti masing-masing?
Jawapan kepada semua pertanyaan sinis ini sudah tentulah tidak. Tidak ada langsung pertalian di antara mahasiswa ini dengan rakyat Baling. Yang ada cumalah mereka semua merupakan warganegara Malaysia. Itu kalau dilihat dengan mata kasar. Mata yang cuma melihat zahiriyah tapi sering buta terhadap batiniyah.
Tidakkah bodoh mahasiswa ini berpanas, beresak-esak membawa sepanduk, melaung-laung di bawah panas terik semata-mata demi rakyat Baling yang tiada kena mengena dengan mereka? Jika anda adalah Doktor Mahathir, maka jawapannya adalah ya. Bagi anda mereka bodoh. Tapi jika anda merupakan seorang yang beridealisma, maka anda akan menyangkal kebodohan Doktor Mahathir ini[3].
Perjuangan mahasiswa tidak dirantai pada isu-isu yang bersangkut-paut dengan hak mahasiswa sahaja. Ia juga bukan hanya setakat isu berkaitan politik. Ia jauh melangkau isu-isu popular ini. Isu penderitaan rakyat juga termasuk dalam agenda perjuangan mahasiswa. Akan tetapi, kenapa hari ini dalam pada mana hampir setiap masa kita mendengar masalah rakyat dengan golongan keparat yang rakus membaham tanah rakyat dan hak-hak mereka, mahasiswa kita masih lagi sibuk dengan isu seperti ISA, e-Undi, dan sebagainya lagi yang rata-rata berkait dengan politik. Seolah-olah, perjuangan mahasiswa ini semata-mata berkaitan politik sahaja.
Ini pandangan yang tidak betul. Mahasiswa wajib berpolitik, tapi jangan sampai gila politik. Biarkan kegilaan itu dirayakan oleh para politikus. Kita sebagai mahasiswa menggugat, yang bebas dari sebarang faham politik kepartian, harus mengambil jalan tengah. Yang baik kita sokong, yang buruk kita tentang. Tak kira siapa yang melakukannya. Kita berpolitik ikut kadar kita, ikut cara kita. Jangan dicontohi bulat-bulat perangan parti politik. Kita gerakan mahasiswa, bukan parti politik. Kita tidak perlukan “political mileage”. Kita tidak perlukan populariti. Jangan semua jentera kita dihalakan buat membedil isu-isu politik semata.
Kita seharusnya tahu dengan jelas agenda perjuangan. Jangan hanya mabuk dalam politik. Ramai, bukan sedikit mahasiswa hari ini yang melihat gerakan mahasiswa sebagai agen parti politik. Akhirnya, ramai yang masuk kerana ingin dilihat sebagai “PAS”, “UMNO”, dan sebagainya. Tak kurang juga yang menolak menyertai gerakan mahasiswa kerana tidak suka kepada politik. Ini lah keburukan yang berlaku bila mahasiswa terlalu gila politik.
Berbalik kepada persoalan asal, mahasiswa seharusnya menjadikan diri mereka pejuang kepada golongan yang tertindas. Orang kampung, mereka kebanyakan tak faham bidang perundangan, mereka tidak fasih bab ekonomi. Sebut nama Lord Atkin, terlopong mulut mereka. Jadi, adakah mereka ini boleh diharap dalam membela nasib sesame mereka? Sudah tentu golongan yang tamak, boleh berlagak umpama orang mengantuk disorong bantal. Mudah sahaja menipu rakyat. Rakyat hanya akan sedar mereka ditipu setelah semuanya sudah terlambat.
Jadi, di sinilah mahasiswa memainkan peranan. Kita harus menjadi golongan yang memberi faham kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya ditipu. Kita seharusnya menjadi agen yang mempertahankan kepentingan rakyat. Orang kampung tak berani untuk membuka mulut. Kalau berani pun, mereka tak tahu ke mana mereka harus pergi untuk buka mulut. Jika mereka tertindas di bumi BN, mereka boleh mengadu nasib kepada PR. Tapi bagaimana jika yang ditindas itu berada di bumi PR? Hendak mengadu kepada PR? Ibarat kambing masuk kandang harimau. Jadi kita lah yang harus menyuarakan suara golongan yang tertindas ini. Kita tidak tunduk pada tekanan parti politik. Kita tidak menjadi ahli dalam mana-mana pakatan. Kita bebas bertindak mengikut acuan kita sendiri. BN atau PR, apa beza nya? Semua akan ditentang jika menindas rakyat.
Malangnya, adakah mahasiswa hari ini, sanggup untuk berbuat demikian? Apakah mahasiswa sanggup menggadai cita-cita politik mereka demi kepentingan rakyat? Kita hari-hari bermimpi untuk mengulangi pencapaian wira-wira kampus seperti Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, yang lantang melaungkan “STUDENT POWER” hingga menggugat kerusi pemerintah. Tapi adakah aspirasi dan keazaman kita hari ini selari dengan mereka semua? Adakah matlamat perjuangan kita hari ini, sejelas matlamat mereka? Mereka berjaya, kerana mereka punya agenda yang jelas dan mereka berpegang teguh kepada agenda itu. Tapi kita hari ini?
Ayuh rakan mahasiswa, bangkitlah dan sedar bahawa tugas membela rakyat tertindas terletak di bahu kita, bukan di bahu JKKK atau JSR. Kita yang harus berjuang memartabatkan kembali maruah rakyat. Jangan salahkan politikus jika kita sendiri tak buat kerja. Kita bukan agenda parti poltik. Tapi kita agen rakyat.
Sekian.
[1] Dalam tragedi ini, mahasiswa Indonesia yang beraspirasi tinggi turun ke jalan raya bagi menumbangkan regim Suharto yang rakus memperkosa kepercayaan rakyat. Kebangkita hebat mahasiswa ini bagaimanapun telah dibalas dengan kekerasan melampau dari pihak tentera. Akhirnya, para mahasiswa pejuang rakyat menjadi mangsa.
Tragedi Trisakti, 13 November 1998. Cedera, 253 orang. Cedera akibat tembakan: 14 mahasiswa, 1 orang pensyarah, 2 pelajar sekolah tinggi, dan 15 pemerhati.
Tragedi Semanggi, 13 November 1998. 7 mahasiswa terkorban, 1 pelajar sekolah tinggi, 9 pemerhati, dan 1 anggota polis.
http://www.youtube.com/watch?v=sD89O4_6ZPY
[2] Penderitaan masyarakat tani di Baling menarik perhatian pelajar di kampus dan kezahiran pendapat mereka terhadap isu ini dengan mengadakan demonstrasi di kelab Sultan Sulaiman pada 3 Disember 1974. Persatuan pelajar yang bergabung di bawah satu barisan terdiri PKPIM, PKPM, KSITM, PMUK, PMIITK, PMIUPM, PBCUM, Kelab Sosialis dan PMUM. Perhimpunan ini disuraikan oleh polis pada pukul 9.50 pagi dan mereka berundur serta berkubu di Masjid Negara. Polis menyerbu Masjid Negara setelah Iman Masjid Negara meminta polis masuk ke dalam masjid kerana pelajar mengugut akan merosakkan peralatan masjid. Seramai 1138 orang pelajar ditahan termasuk 77 wanita. Perkara yang menarik, demonstrasi pelajar pada kali ini bersifat kulli atau kolektif kerana diadakan di beberapa tempat di negara ini. Seramai 300 pelajar USM turut berdemonstrasi di Sungai Nibong dan seramai 200 pelajar Politeknik Ungku Omar berhimpun di depan Sekretariat Negeri Perak. Mohamad Ridhwan Bin Alias, Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya, 2004.
[3] Doktor Mahathir adalah insan keparat yang bertanggungjawab merogol aspirasi mahasiswa dengan memperkenalkan AUKU. Tiada guna bersimpati kepada Doktor Mahathir. Genius? Firaun membina Piramid yang kukuh sehingga beribu tahun. Geniuskah Firaun di mata kita?
Penulis merupakan mahasiswa tahun pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). (Kuliyah undang-undang Ahmad Ibrahim). Blog beliau ialah sampah sarap kehidupan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan