Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Sabtu, April 24, 2010

Kemanisan Dalam Ujian


Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin


Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.



Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.



Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.

Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)

“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).

Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.


- Gambar Hiasan

Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.

Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.

Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.

Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)

“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).

Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.

Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.

Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.

Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.

Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.

Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.

Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.


- Gambar Hiasan

Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.

Firman Allah: (maksudnya)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).

Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:

“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.

Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (”Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).

Ahad, April 18, 2010

Pernyataan daripada Muhammad bin Abdul Wahab berkenaan aqidah

أُشهد الله ومن حضرني من الملائكة وأشهدكم أني اعتقد ما اعتقدته الفرقة الناجية أهل السنة والجماعة من الإيمان بالله وملائكته وكتبه ورسله والبعث بعد الموت والإيمان بالقدر خيره وشره، ومن الإيمان بالله الإيمان بما وصف به نفسه في كتابه على لسان رسوله صلى الله عليه وسلم من غير تحريف ولا تعطيل بل أعتقد أن الله سبحانه ليس كمثله شيء وهو السميع البصير، فلا أنفي عنه ما وصف به نفسه ولا أحرف الكلم عن مواضعه ولا ألحد في أسمائه وآياته ولا أكيف ولا أمثل صفاته تعالى بصفات خلقه لأنه تعالى لا سميّ له ولا كفؤ له ولا ند له ولا يقاس بخلقه فإنه سبحانه أعلم بنفسه وبغيره وأصدق قيلا وأحسن حديثا، فنـزّه نفسه عما وصفه به المخالفون من أهل التكييف والتمثيل وعما نفاه عنه النافون من أهل التحريف والتعطيل فقال: سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين، والفرقة الناجية وسط في باب أفعاله تعالى بين القدرية والجبرية، وهم في باب وعيد الله وسط بين المرجئة والوعيدية، وهم وسط في باب الإيمان والدين بين الحرورية والمعتزلة وبين المرجئة والجهمية، وهم وسط في باب أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الروافض والخوارج.
وأعتقد أن القرآن كلام الله منـزل غير مخلوق، منه بدأ وإليه يعود وأنه تكلم به حقيقة وأنزله على عبده ورسوله وأمينه على وحيه وسفيره بينه وبين عباده نبينا محمد صلى الله عليه وسلم. وأومن بأن الله فعّال لما يريد ولا يكون شيء إلا بإرادته ولا يخرج شيء عن مشيئته وليس شيء في العالم يخرج عن تقديره ولا يصدر إلا عن تدبيره ولا محيد لأحد عن القدر المحدود ولا يتجاوز ما خط له في اللوح المسطور.
وأعتقد الإيمان بكل ما أخبر به النبي صلى الله عليه وسلم مما يكون بعد الموت فأومن بفتنة القبر ونعيمه وبإعادة الأرواح إلى الأجساد فيقوم الناس لرب العالمين حفاة عراة غُرلا تدنو منهم الشمس، وتنصب الموازين وتوزن بها أعمال العباد فمن ثقلت موازينه فأولئك هم المفلحون ومن خفت موازينه فأولئك الذين خسروا أنفسهم في جهنم خالدون، وتنشر الدواوين فآخذ كتابه بيمينه وآخذ كتابه بشماله. وأومن بحوض نبينا محمد صلى الله عليه وسلم بعرصة القيامة ماؤه أشد بياضا من اللبن وأحلى من العسل آنيته عدد نجوم السماء من شرب منه شربة لم يظمأ بعدها أبدا، وأومن بأن الصراط منصوب على شفير جهنم يمر به الناس على قدر أعمالهم. وأومن بشفاعة النبي صلى الله عليه وسلم وأنه أول شافع وأول مشفَّع ولا ينكر شفاعة النبي صلى الله عليه وسلم إلا أهل البدع والضلال، ولكنها لا تكون إلا من بعد الإذن والرضا كما قال تعالى: ولا يشفعون إلا لمن ارتضى، وقال تعالى: من ذا الذي يشفع عنده إلا بإذنه، وقال تعالى: وكم من ملك في السماوات لا تغني شفاعتهم إلا من بعد أن يأذن الله لمن يشاء ويرضى، وهو لا يرضى إلا التوحيد ولا يأذن إلا لأهله، وأما المشركون فليس لهم من الشفاعة نصيب كما قال تعالى: فما تنفعهم شفاعة الشافعين. وأومن بأن الجنة والنار مخلوقتان وأنهما اليوم موجودتان وأنهما لا يفنيان وأن المؤمنين يرون ربهم بأبصارهم يوم القيامة كما يرون القمر ليلة البدر لا يضامون في رؤيته.
وأومن بأن نبينا محمد صلى الله عليه وسلم خاتم النبيين والمرسلين ولا يصح إيمان عبد حتى يؤمن برسالته ويشهد بنبوّته وأن أفضل أمته أبو بكر الصديق ثم عمر الفاروق ثم عثمان ذو النورين ثم علي المرتضى ثم بقية العشرة ثم أهل بدر ثم أهل الشجرة أهل بيعة الرضوان ثم سائر الصحابة رضي الله عنهم، وأتولى أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم وأذكر محاسنهم وأترضى عنهم وأستغفر لهم وأكف عن مساويهم وأسكت عما شجر بينهم وأعتقد فضلهم عملا بقوله تعالى: والذين جاؤا من بعدهم يقولون ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلاّ للذين آمنوا ربنا غنك رؤوف رحيم، وأترضى عن أمهات المؤمنين المطهّرات من كل سوء.
وأقرّ بكرامات الأولياء وما لهم من المكاشفات إلا أنهم لا يستحقّون من حق الله تعالى شيئا ولا يُطلب منهم ما لا يقدر عليه إلا الله، ولا أشهد لأحد من المسلمين بجنة ولا نار إلا من شهد له رسول الله صلى الله عليه وسلم، ولكني أرجو للمحسن وأخاف على المسيء، ولا أكفّر أحدا من المسلمين بذنب ولا أخرجه من دائرة الإسلام. وأرى الجهاد ماضيا مع كل إمام برا كان أو فاجرا، وصلاة الجماعة خلفهم جائزة والجهاد ماضٍ منذ بعث الله محمدا صلى الله عليه وسلم إلى أن يقاتل آخر هذه الأمة الدجّال، لا يبطله جور جائر ولا عدل عادل، وأرى وجوب السمع والطاعة لأئمة المسلمين برهم وفاجرهم ما لم يأمروا بمعصية الله، ومن ولي الخلافة واجتمع عليه الناس ورضوا به وغلبهم بسيفه حتى صار خليفة وجبت طاعته وحرم الخروج عليه، وأرى هجر أهل البدع ومباينتهم حتى يتوبوا وأحكم عليه بالظاهر وأكل سرائرهم إلى الله وأعتقد أن كل محدثة في الدين بدعة.
وأعتقد أن الإيمان قول باللسان وعمل بالأركان واعتقاد بالجنان يزيد بالطاعة وينقص بالمعصية وهو بضع وسبعون شعبة أعلاها شهادة أن لا إله إلا الله وأدناها إماطة الأذى عن الطريق، وأرى وجوب الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر على ما توجبه الشريعة المحمدية المطهرة. فهذه عقيدة وجيزة حررتها وأنا مشتغل البال لتطلعوا على ما عندي والله على ما نقول وكيل.
Maksudnya: “Aku mempersaksikan kepada Allah dan kepada para Malaikat yang hadir di depanku, dan aku mempersaksikan kepada kamu bahawa sesungguhnya aku beri’tiqad (berpegang) dengan i’tiqad (pegangan) firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, para Rasul, (Hari) Kebangkitan selepas kematian dan beriman dengan Al-Qadar (sama ada) baik atau buruk.

Antara (ciri) keimanan dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia sifatkan DiriNya dengannya dalam kitabNya melalui lidah RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna) dan tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bahkan aku beri’tiqad bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Justeru aku tidak menafikan dariNya apa yang Dia sifatkan diriNya dengannya, aku juga tidak tahrifkan kata-kata (Al-Quran) dari maksud-maksudnya, aku juga tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama serta ayat-ayatNya, aku juga tidak mentakyif (menggambarkan rupa bentuk) dan tidak mentamthil (mengumpamakan makna) sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana Dia Maha Tinggi, tiada persamaan, tiada kesetaraan dan tiada sekutu bagiNya, Dia tidak boleh dikiaskan dengan makhlukNya kerana sesungguhnya Dia yang Maha Suci lebih mengetahui tentang diriNya dan yang selainNya.

Dia yang paling benar dan paling elok percakapanNya, Dia mensucikan diriNya daripada apa yang disifatkan pada diriNya dengannya oleh para penyeleweng dari kalangan ahli takyif dan tamthil, dan (Dia juga mensucikan diriNya) daripada apa yang dinafikan dariNya oleh para penafi dari kalangan ahli tahrif dan ta’til, lalu Dia berfirman: “Maha suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dari apa yang mereka sifatkan, dan selamat sejahtera ke atas sekelian Rasul, dan segala pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam.

Firqah najiah (berada) di pertengahan antara puak Qadariyyah dan Jabriyyah dalam bab perbuatan-perbuatanNya Yang Maha Tinggi, mereka juga berada di pertengahan antara puak Murji’ah dan Wa’idiyyah dalam bab wa’id (janji) Allah, mereka juga berada di pertengahan antara puak Haruriyyah (aliran Khawarij) dan Mu’tazilah atau antara puak Murji’ah dan Jahmiyyah dalam bab iman dan agama, dan mereka juga berada di pertengahan antara puak Rafidah dan Khawarij dalam bab Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam”.

“Dan aku beri’tiqad (berpegang) bahawa Al-Quran itu Kalam Allah yang diturunkan, ia bukan makhluk, daripadaNya ia bermula dan kepadaNya ia kembali, Dia berfirman dengannya secara hakiki dan Dia menurunkannya ke atas hambaNya, rasulNya, pemegang amanah wahyuNya, dan juga dutaNya antara Dia dan hamba-hambaNya, (iaitu) Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Aku beriman bahawa Allah Maha Berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki, tidak berlaku sesuatu melainkan dengan kehendakNya, tiada suatu pun yang terkeluar daripada kehendakNya, tiada suatu pun dalam alam ini yang terkeluar daripada takdirNya dan tidak terbit melainkan melalui pentadbiranNya, tiada seorang pun yang terkecuali daripada Qadar yang dihadkan dan dia tidak melangkaui apa yang telah tertulis baginya di Lauh Mahfuz.

Dan aku beri’tiqad dengan keimanan terhadap setiap apa yang dikhabarkan dengannya oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, berkenaan perkara yang akan berlaku selepas kematian, aku beriman dengan (adanya) fitnah kubur dan ni’matnya, dan juga (aku beriman) dengan pengembalian ruh ke dalam jasad, dimana sekalian manusia bangkit (menuju) kepada Tuhan semesta alam dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup[6], Matahari menghampiri mereka. Kemudian dipacakkan neraca-neraca penimbang amalan lalu ditimbang dengannya segala amalan para hamba. Sesiapa yang berat neraca timbangan (kebaikannya) maka merekalah orang yang beroleh kemenangan, manakala sesiapa yang ringan neraca timbangan (kebaikannya) maka merekalah orang yang merugikan diri mereka sendiri, yang kekal di dalam Neraka Jahannam. Kemudian dibahagi-bahagikan pula dawawin (buku-buku amalan), maka ada yang mendapatnya melalui tangan kanan dan ada pula yang mendapatnya melalui tangan kiri.

Aku beriman dengan (adanya) kolam Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam di tengah-tengah laman Hari Qiamat, (warna) airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, bekas-bekas (minumannya) sebanyak bilangan bintang di langit, sesiapa yang meminum seteguk darinya tidak akan dahaga selepas itu selama-lamanya. Aku beriman bahawa titian Sirat itu terbentang di atas tebing Neraka Jahannam, (cara) manusia melintasinya mengikut kadar amalan mereka.

Aku beriman dengan (adanya) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bahawa dialah yang pertama memberi syafa’at dan yang dibenarkan memberi syafa’at, tidak ingkar (kewujudan) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini melainkan ahli bid’ah dan golongan sesat. Namun, ia (syafa’at) tidak akan terhasil melainkan selepas keizinan dan keredhaan, sebagaimana firmanNya: “Dan mereka (para Malaikat) tidak memberi syafa’at melainkan kepada orang yang diredaiNya”. Dia juga berfirman: “Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izinNya”. Dia juga berfirman: “Dan berapa ramaikah Malaikat di langit yang syafa’at mereka tidak sedikitpun berguna melainkan sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang Dia kehendaki dan yang Dia redhai”. Sedangkan Dia tidak akan redha melainkan tauhid dan Dia juga tidak akan mengizinkan kecuali untuk ahlinya (ahli tauhid). Manakala golongan musyrikin pula, maka tiada bagi mereka habuan syafa’at sedikitpun, sebagaimana firmanNya: “Maka tiada berguna lagi bagi mereka syafa’at dari orang yang memberi syafa’at”.

Aku beriman bahawa Syurga dan Neraka itu adalah dua makhluk, dan bahawa kedua-duanya sudah sedia wujud pada hari ini, dan bahawa kedua-duanya tidak akan binasa, dan bahawa orang beriman akan melihat Tuhan mereka dengan penglihatan mereka pada Hari Qiamat, sebagaimana mereka melihat bulan pada malam purnama, mereka tidak tertanya-tanya ketika melihatNya.

Aku beriman bahawa Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah pemutus segala Nabi dan Rasul, tidak sah iman seseorang hamba sehingga dia beriman dengan kerasulannya serta mengaku kenabiannya, dan bahawa sebaik-baik umatnya ialah Abu Bakr As-Siddiq, kemudian ‘Umar Al-Faruq, kemudian ‘Uthman Zu An-Nurain, seterusnya ‘Ali Al-Murtada, dan diikuti oleh baki 10 orang (yang dijamin masuk syurga), kemudian Ahli Badr, kemudian Ahli Syajarah, Ahli Ba’iah Al-Ridwan dan seterusnya seluruh para Sahabat radhiallahu ‘anhum, aku beristighfar untuk mereka, aku menahan diri (daripada berkata) mengenai keburukan mereka, aku diam mengenai perselisihan yang berlaku antara mereka, aku meyakini kelebihan mereka kerana beramal dengan firmanNya yang Maha Tinggi: “Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami! Ampunkanlah kami dan juga saudara-saudara kami yang terlebih dahulu beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami kedengkian terhadap orang beriman, Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”. Aku bertaraddi (menyebut radiallah) terhadap para isteri Nabi yang suci daripada sebarang kejahatan.

Aku memperakui (adanya) karamah dan kasyaf bagi para wali, tetapi mereka tidak berhak mendapat sedikitpun daripada hak (ketuhanan) Allah, tidak boleh dipohon daripada mereka perkara yang hanya mampu dilakukan oleh Allah. Aku tidak memperakukan Syurga atau Neraka bagi seorangpun dari kalangan orang Islam melainkan orang yang telah diperakukan oleh Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam, cuma aku berharap (balasan Syurga) bagi orang baik dan aku bimbangkan (balasan Neraka) ke atas orang jahat.

Aku tidak mengkafirkan seorangpun dari kalangan orang Islam dengan sebab dosa dan aku juga tidak mengeluarkannya dari daerah (agama) Islam. Aku berpendapat bahawa jihad itu berterusan bersama setiap Imam (Khalifah), (tak kira) sama ada dia orang baik atau jahat, harus solat berjamaah di belakang mereka, jihad itu berterusan semenjak Allah mengutuskan (Nabi) Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah generasi terakhir umat ini membunuh Dajjal, ia (jihad) tidak terbatal oleh kezaliman (Imam) yang zalim atau keadilan (Imam) yang adil.

Aku berpendapat wajib patuh serta taat kepada para pemimpin orang Islam, sama ada yang baik atau yang jahat selagi mereka tidak menyuruh melakukan maksiat terhadap Allah. Sesiapa yang memegang jawatan Khalifah manakala orang ramai pula berkumpul untuk (membai’ah)nya serta mereka redha dengannya, sedangkan dia menguasai mereka dengan kekerasannya sehingga dia menjadi Khalifah, maka wajib mentaatinya dan haram keluar menentangnya.

Aku berpendapat (wajib) menjauhi Ahli Bid’ah dan membezai mereka sehingga mereka bertaubat, aku menghukum mereka secara zahir dan aku serahkan rahsia-rahsia (hati) mereka kepada Allah, aku beri’tiqad bahawa setiap perkara baru dalam agama itu adalah bid’ah.

Aku berpegang bahawa iman itu adalah mengucap dengan lidah, beramal dengan anggota badan dan beri’tiqad dengan hati, ia bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat, ia ada lebih 70 cabang, yang paling tinggi ialah syahadah La Ilaha Illallah manakala yang paling rendah ialah membuang bahaya dari (permukaan) jalan. Aku berpendapat wajib menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran mengikut apa yang diwajibkan oleh syari’at Nabi Muhammad yang suci.

Maka inilah ringkasan aqidah, yang telah aku karangnya dalam keadaan minda yang sibuk agar kamu dapat meneliti apa yang ada padaku, dan hanya Allah sahajalah yang mewakili apa yang kami kata

Sabtu, April 17, 2010

Penjelasan Terhadap Tohmahan Zamihan Md Zin Al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahlus Sunnah Dan Para Tokohnya


Kata Pengantar
Oleh:

Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim
(Panel Akidah JAKIM)

Mentohmah orang lain di depan khalayak ramai dengan tidak memberi peluang kepada yang ditohmah untuk menjawabnya adalah termasuk dalam suatu bentuk kezaliman. Perkara ini lebih memalukan lagi jika ia dilakukan oleh seorang yang bergelar ustaz.

Bila ada orang menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim sebagai mujassimah dan musyabbihah (Allah itu berbadan dan menyerupai makhluk), terus terlintas di hati saya pertanyaan: "Adakah Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim itu tidak beriman dengan ayat:
Maksudnya: "Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat, Sifat, dan Pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat"[1].

Jika Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim beriman dengan ayat ini, maka berdosa besarlah orang yang menuduh mereka berdua sebagai mujassimah dan musyabbihah, kerana kepercayaan seperti itu adalah kepercayaan orang bukan Islam. Sedangkan Ibn Taimiyyah sendiri telah menulis sebuah kitab khusus berjudul Iqtida' As-Sirat Al-Mustaqim Fi Mukhalafat Ashab Al-Jahim untuk menjelaskan kewajipan berbeza dengan golongan bukan Islam dalam semua perkara usul dan furu'.

Wahhabiyyah memang sudah lama menjadi momokan di kalangan segelintir orang di negara ini. Sekadar memuntahkan kata-kata dalam majlis ceramah untuk memomok dan menuduh orang lain sebagai sesat tidaklah memada, silalah tulis buku atau debat terbuka tanpa menghadkan masa. Iaitu debat cara Islam yang dikenali dengan adab al-bahth wa al-munazarah.

Pada hemat saya, perkembangan ilmu Akidah Islam terbahagi kepada tiga peringkat:

Pertama: Zaman murni, iaitu zaman Sahabat RA, Tabi'in dan Tabi' At-Tabi'in. Mereka berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta Ijma'. Mereka dikenali dengan nama Salaf (Salaf Zamani).

Kedua: Zaman selepas Tabi' At-Tabi'in yang menyaksikan pertambahan krisis politik dalaman dan terjemahan karya-karya asing ke dalam bahasa Arab, termasuklah karya-karya yang berkaitan dengan penghayatan agama dan yang mendewakan akal sebagai lebih tinggi mutunya daripada wahyu. Berdasarkan tiga faktor asas yang berlaku di zaman kedua ini, maka lahirlah pelbagai aliran, mazhab dan puak (firaq) yang terus-menerus berpecah sehingga kini. Pengaruh daripada zaman kedua ini menyebabkan Islam mengalami `celupan asing' yang amat tenat kerana menelan jangka zaman yang begitu lama. Ada golongan yang sabar dan berlapang dada cuba mencari jalan penyelesaiannya dan mereka dikenali sebagai mujaddid.

Ketiga: Zaman timbulnya semangat untuk mengembalikan kemurnian penghayatan Islam seperti di zaman pertama. Semangat ini muncul di kalangan mereka yang melihat tidak ada jalan penyelesaian selain kembali semula kepada pegangan di zaman pertama. Mereka yang mencetuskan semangat ini dikenali sebagai Salafiyyah (Salaf Manhaji), maka lahirlah pelbagai tulisan yang menyeru umat Islam agar kembali kepada manhaj salaf, antaranya sebuah buku yang berjudul Wujub Ad-Da'wah Ila Al-Kitab Wa As-Sunnah Bi Fahmi Salaf Al-Ummah Wa Minhaj Jama'ah At-Tabligh Fi Zalik.

Buku tulisan saudara Dr. Azwira Abdul Aziz yang berjudul Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar?: Penjelasan Terhadap Tohmahan Zamihan Mat Zin Al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahli Sunnah Dan Para Tokohnya (klik di sini), adalah mencerminkan gejala zaman ketiga ini. Buku ini bertujuan untuk menjelaskan sebahagian daripada tohmahan yang dilontarkan ke atas Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendukung sunnah yang lain. Kepada yang sedar diharap berlapang dada, banyak bersabar dan bertoleransi.

Yang benar

Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim
Jabatan Usuludin & Falsafah
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Khamis, April 08, 2010

ABABIL Mendesak Kaji Semula Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama (Inter-religious Understanding Committee)

Penubuhan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama (Inter-religious Understanding Committee) pada bulan Februari yang lalu di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seharusnya dikaji semula secara menyeluruh melibatkan tokoh-tokoh agamawan serta tokoh-tokoh intelektual yang diiktiraf oleh semua agama. Langkah ini bertujuan mencegah daripada berlakunya pertelingkahan yang melibatkan dasar agama terutamanya Islam yang memerlukan kefahaman kerangka asas Islam iaitu ‘aqidah dan syari‘ah serta kepakaran dalam pentafsiran al-Qur’an dan al-Hadith mengikut sumber kelimuan yang sahih lagi benar.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini ditubuhkan bertujuan mengenal pasti dan menyelesaikan pertikaian berkaitan dengan agama bagi mengelakkan perselisihan faham yang boleh menggugat keharmonian negara. Namun begitu, Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) berpendapat bahawa penglibatan ahli jawatankuasa serta matlamat utama penubuhan jawatankuasa ini seharusnya dikaji semula dengan lebih mendalam dan telus.

Jawatankuasa ini yang bernaung di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seharusnya memfokuskan perpaduan kaum yang melibatkan kepelbagaian kebudayaan serta adat resam dalam masyarakat dalam mewujudkan keharmonian negara. Penglibatan JPNIN dalam mewujudkan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama sedikit sebanyak menyisih bidang kuasa autoriti agama yang lain secara tidak langsung seperti Institusi Istana, Mahkamah Syari‘ah, Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, dan lain-lain lagi.

Malah, penubuhan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini dilihat tidak bertujuan membawa perpaduan antara agama tetapi lebih kepada toleransi antara agama. Perkara ini perlu dipandang serius kerana tujuan perpaduan antara agama sepatutnya melibatkan pendidikan yang intensif kepada masyarakat dan bukannya perbincangan setelah masalah antara agama terjadi. Dari perspektif Islam pula, perkara-perkara yang berkaitan ‘aqidah dan syari‘ah tidak wujud soal toleransi sehingga mengorbankan prinsip asas dalam Islam seperti yang terkandung di dalam surah al-Kāfirūn, surah ke-109 ayat ke-6 iaitu,
“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”

Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, antara perkara yang akan dibincangkan di dalam jawatankuasa ini ialah isu kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh Herald Tribune. Di samping itu, menurut ketua Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama, Datuk Ilani Datuk Isahak, pertikaian agama yang bakal diketengahkan juga termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah-rumah ibadat dan isu tanah perkuburan. Jika dilihat secara jujur, kesemua isu ini langsung melibatkan hubungan Islam dengan agama-agama lain. Situasi ini nampaknya begitu serius kerana perkara-perkara yang disentuh bukanlah perkara-perkara remeh dalam Islam, tetapi perkara yang melibatkan dasar Islam itu sendiri iaitu ‘aqidah dan syari‘ah. Kebimbangan ABABIL bertambah kerana dasar-dasar perbincangan ini seakan-akan mirip tujuan penubuhan Interfaith Commission (IFC) yang menjadi kontroversi suatu ketika dahulu.

Bagi sesebuah jawatankuasa yang bertujuan menyelesaikan pertikaian agama, keahlian seharusnya diberikan kepada orang yang benar-benar pakar dalam bidang keagamaan. Islam terutamanya menekankan dasar keilmuan al-Qur’an dan al-Hadith dalam meletakkan prinsip hidup seseorang Muslim serta masyarakat di atas jalan yang benar. Kegagalan dalam menguasai bidang keilmuan sebegini boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat timbul sehingga menyebabkan kesesatan ‘aqidah yang menjadi pegangan asas seseorang Muslim.

Walaupun Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyatakan jawatankuasa ini tidak melibatkan ahli politik, tetapi Datuk Ilani Datuk Isahak merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu yang berlatarbelakangkan politik secara langsung. Ketelusan dalam pemilihan Ketua Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini sepatutnya dititikberatkan dengan memilih tokoh agamawan yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik dan diiktiraf oleh semua agama.

Penglibatan ulama’ yang diiktiraf bagi mewakili masyarakat Islam seharusnya di ambil kira sebagai langkah utama. Kepakaran ilmu golongan ulama’ sangat penting dalam menentukan sesuatu keputusan berkaitan masalah-masalah yang melibatkan Islam. Kesilapan tidak meletakkan ulama’ yang benar untuk membincangkan perkara dasar Islam dalam jawatankuasa ini menyebabkan ketegangan antara agama di Malaysia khususnya akan menjadi lebih parah seperti kata pepatah “tikus membaiki labu”.

Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) di bawah Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) mendesak kajian semula terhadap penglibatan ahli Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini yang sepatutnya mengambil ulama’, tokoh agama dan tokoh intelektual yang diiktiraf oleh semua agama bagi mengelakkan kecelaruan dasar agama yang seterusnya menggugat keharmonian negara. Matlamat utama jawatankuasa ini juga sepatutnya dijelaskan secara telus supaya bidang kuasa mutlak Institusi Istana, Mahkamah Syari‘ah, Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan serta badan-badan autoriti agama yang lain tidak diketepikan secara langsung atau secara halus.

‘Izzat Anwari bin Hasni
Koordinator
Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL)
Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP)-- `Izzat Anwari bin Hasni,Ketua Usrah Pemikiran,Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API),Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),Pulau Pinang.Blog: http://DarahMerdeka.wordpress.com