Kata Pengantar
Oleh:
Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim
(Panel Akidah JAKIM)
Mentohmah orang lain di depan khalayak ramai dengan tidak memberi peluang kepada yang ditohmah untuk menjawabnya adalah termasuk dalam suatu bentuk kezaliman. Perkara ini lebih memalukan lagi jika ia dilakukan oleh seorang yang bergelar ustaz.
Bila ada orang menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim sebagai mujassimah dan musyabbihah (Allah itu berbadan dan menyerupai makhluk), terus terlintas di hati saya pertanyaan: "Adakah Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim itu tidak beriman dengan ayat:
Maksudnya: "Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat, Sifat, dan Pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat"[1].
Jika Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim beriman dengan ayat ini, maka berdosa besarlah orang yang menuduh mereka berdua sebagai mujassimah dan musyabbihah, kerana kepercayaan seperti itu adalah kepercayaan orang bukan Islam. Sedangkan Ibn Taimiyyah sendiri telah menulis sebuah kitab khusus berjudul Iqtida' As-Sirat Al-Mustaqim Fi Mukhalafat Ashab Al-Jahim untuk menjelaskan kewajipan berbeza dengan golongan bukan Islam dalam semua perkara usul dan furu'.
Wahhabiyyah memang sudah lama menjadi momokan di kalangan segelintir orang di negara ini. Sekadar memuntahkan kata-kata dalam majlis ceramah untuk memomok dan menuduh orang lain sebagai sesat tidaklah memada, silalah tulis buku atau debat terbuka tanpa menghadkan masa. Iaitu debat cara Islam yang dikenali dengan adab al-bahth wa al-munazarah.
Pada hemat saya, perkembangan ilmu Akidah Islam terbahagi kepada tiga peringkat:
Pertama: Zaman murni, iaitu zaman Sahabat RA, Tabi'in dan Tabi' At-Tabi'in. Mereka berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta Ijma'. Mereka dikenali dengan nama Salaf (Salaf Zamani).
Kedua: Zaman selepas Tabi' At-Tabi'in yang menyaksikan pertambahan krisis politik dalaman dan terjemahan karya-karya asing ke dalam bahasa Arab, termasuklah karya-karya yang berkaitan dengan penghayatan agama dan yang mendewakan akal sebagai lebih tinggi mutunya daripada wahyu. Berdasarkan tiga faktor asas yang berlaku di zaman kedua ini, maka lahirlah pelbagai aliran, mazhab dan puak (firaq) yang terus-menerus berpecah sehingga kini. Pengaruh daripada zaman kedua ini menyebabkan Islam mengalami `celupan asing' yang amat tenat kerana menelan jangka zaman yang begitu lama. Ada golongan yang sabar dan berlapang dada cuba mencari jalan penyelesaiannya dan mereka dikenali sebagai mujaddid.
Ketiga: Zaman timbulnya semangat untuk mengembalikan kemurnian penghayatan Islam seperti di zaman pertama. Semangat ini muncul di kalangan mereka yang melihat tidak ada jalan penyelesaian selain kembali semula kepada pegangan di zaman pertama. Mereka yang mencetuskan semangat ini dikenali sebagai Salafiyyah (Salaf Manhaji), maka lahirlah pelbagai tulisan yang menyeru umat Islam agar kembali kepada manhaj salaf, antaranya sebuah buku yang berjudul Wujub Ad-Da'wah Ila Al-Kitab Wa As-Sunnah Bi Fahmi Salaf Al-Ummah Wa Minhaj Jama'ah At-Tabligh Fi Zalik.
Buku tulisan saudara Dr. Azwira Abdul Aziz yang berjudul Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar?: Penjelasan Terhadap Tohmahan Zamihan Mat Zin Al-Ghari Ke Atas Pegangan Ahli Sunnah Dan Para Tokohnya (klik di sini), adalah mencerminkan gejala zaman ketiga ini. Buku ini bertujuan untuk menjelaskan sebahagian daripada tohmahan yang dilontarkan ke atas Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendukung sunnah yang lain. Kepada yang sedar diharap berlapang dada, banyak bersabar dan bertoleransi.
Yang benar
Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim
Jabatan Usuludin & Falsafah
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan