Merujuk kepada kenyataan Zamihan bahawa dalam pembentangannya kepada pihak penguatkuasa dan wakil-wakil universiti itu, beliau hanya menyebut “Dr Asri sepemikiran dengan Wahabi”. Katanya, tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri melalui sebuah buku Bid’ah: Istilah yang Disalahfahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu. Katanya: “Saya hanya copy and paste (salin dan tampal) pandangannya yang menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian. Zamihan menambah, pandangan yang “keras” sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini.” (Malaysiakini 24 Jun 2010).
Berikut ulasan saya;
1. Ini adalah satu pendustaan yang nyata. Dalam buku Bid’ah: Istilah yang Disalahfahami sama sekali tiada disebutkan perkataan sedemikian. Sekadar yang ada sentuhan yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H), pun begitu tiada perkataan beliau yang dipetik menyamakan dengan Kristian. Saya mencabar Zamihan membuktikan ayat dan muka surat mana yang menyebut hal seperti itu.
2. Sebenarnya, persoalan maulid pernah saya sebut dalam artikel lain yang bertajuk ‘Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan’ yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia dan tiada pun perkataan seperti didakwa itu disebutkan. Bahkan saya menyebut: “Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selainnya. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu”.
3. Adapun dalam artikel lain yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia bertajuk ‘Melayu Dan Mamak Penang’ yang mempertahankan pendirian MB Kelantan mengenai isu maulid, perkataan Kristian ada disebut tetapi bukan perkataan saya, sebaliknya seperti berikut: Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada ‘Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya. Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris: “Pada pendapat kami –Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga. Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan jenerasi kemudian menyeleweng” (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan). Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain”. Saya hanya menyebut pendapat tersebut, tetapi tidak menyatakan menyokongnya.
4. Dengan ini jelas bahawa beliau telah memberikan taklimat yang dusta lagi bohong kepada pegawai keselamatan dan TNC-TNC seluruh negara. Persoalannya, bagaimana kerajaan atau pihak polis boleh membenarkan pendustaan seperti ini dibuat dalam satu taklimat penting mengenai keselamatan negara?
5. Di sudut yang lain, jika ada pihak yang tidak ingin mengadakan perayaan Maulid seperti Kerajaan Kelantan atau Perlis, apakah pula kaitannya dengan keselamatan negara? Jelas, isu keselamatan negara telah menjadi mainan pihak tertentu dan dipermudah-mudahkan.
6. Isu ini menggambarkan betapa suasana pengurusan keselamatan negara diperjudikan atas perkara-perkara remeh seperti ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan