KE ARAH ISLAMISASI BIDANG PERGURUAN
(Tajdid Pendidikan)
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa yang mepelajari sesuatu bidang ilmu untuk mengajar orang lain , nescaya ia akan diberikan pahala tujuh puluh siddiqqin “
(Riwayat Abu Mansor al-Dailami dalam musnah Al Firdaus)
Sabdanya lagi:
“ Sesungguhnya Malaikat , penduduk langit dan bumi ; termasuk semut dalam lubangnya bahkan ikan-ikan (di laut) mendoakan orang mengajar kebaikan kepada orang lan”
(Riwayat Tarmizi)
Mukaddimah
Mendidik adalah profesion yang paling tua dan paling tinggi martabatnya . Rasulullah saw menerangkan bahawa beliau diutus sebagai pendidk. Beliau menegaskan lagi bahawa beliau diutus untuk menyempurnakan kemanusiaan dengan akhlak dan budipekerti yang mulia.Tugas-tugasnya ini tentunya dilaksanakan melalui pendidikan .
Dengan pendidikan ilmu , kemahiran , pengalaman, sikap dan kecenderungan dapat disalurkan kepada generasi baru yang bakal mengembangkan dan menyalurkan pula ilmu pengetahuan tersebut kepada generasi lain.
Kejayaan proses pendidikan bergantung kepada beberapa prasyarat yang perlu dipenuhi . Prasyarat tersebut ada yang berkaitan dengan keperluan kurikulum, pengalaman dan kegiatan yang relevan dengan keperluan dan persoalan anak didik serta masyarakat.
Ada yang berkaitan dengan buku teks , bahan dan alat bantu pengajaran yang bermutu, dan kelengkapan serta makmal yang cukup untuk membantu mengekalkan dan mempraktikkan apa yang telah dipelajari . Ada juga yang berhubung dengan prngurusan pendidikan yang licin serta binaan sekolah yang sesuai dan seterusnya.
Meskipun semua aspek di atas perlu direalisasi dengan sempurna untuk menghasilkan pembelajaran yang baik, tetapi ia belum dapat menjamin proses tersebut berjalan lancar tanpa wujudnya guru-guru yang baik , yang dapat memimpin dan mengurus proses pengajaran dengan cekap dan berkesan; guru yang mampu mrnggunakan unsur-unsur di atas dengan baik dan dapat pula menutupi kekurangan –kekurangan yang ada.
Kepentingan Peranan Guru
Guru adalah faktor yang terpenting dan berpengaruh dalam proses pembelajaran murid. Guru yang baik bergantung kepada penyediaan dan latihan keguruan yang baik. Guru yang baik amat penting sekali dalam proses pendidikan. Tanpa kehadiran guru yang baik dari segi keperibadian ,minat mengajar dan kemahiran mendidik, pengajaran dan pembelajaran akan menjadi kurang berkesan.
Kepentingan peranan guru semakin dirasakan berikutan dengan perkembangan pesat yang dilalui oleh pengertian dalam konsep pengajaran dan tanggungjawab guru yang merangkum bidang pendidikan ,pengetahuan , sosial, politik dan lain-lain.
Peranan guru tidak lagi sekadar menghurai buku teks atau mengulang-ulangkan perkataan atau ungkapan tertentu , bahkan peranan mereka lebih komplek dari itu.
Proses pengajaran memerlukan kefahaman watak murid-murid , ciri-ciri , kecenderungan , tahap pencapaian akal mereka, keperluan kejiwaan , sosial dan keperluan-keperluan pembelajaran secara khusus.
Guru juga harus mempunyai kefahaman yang baik tentang proses pembelajaran , prinsip-prinsip pembelajaran serta kaedah-kaedah dapat membantu pembelajaran yang sihat. Kini proses pembelajaran menuju ke arah pengembangan keperibadian anak didik secara menyeluruh dan tidak hanya sekadar mengisi akal murid dengan maklumat dan data ilmiah sahaja.
Guru di zaman moden ini perlu memiliki pelbagai kemahiran yang mungkin tidak diperlukan oleh guru-guru pada masa dahulu. Guru-guru kini memerlukan kemahiran ,seperti :
a) Membina hubungan kemanusiaan dengan rakan sejawat , murid-murid dan penjaga mereka;
b) Memberikan perhatian terhadap perbezaan –perbezaan individu dalam pelbagai sudut di kalangan anak didiknya yang semakinmeluas berikutan dengan peluasan fungsi pendidikan .
c) Menggunakan kaedah pendidikan perseorangan mahupun melalui kaedah perkumpulan , perbincangan dan sebagainya.
d) Dengan menggunakan alat bantu , teknologi pendidikan dan alat pandang dengar(audio –visual) moden yang sesuai dengan mata pelajaran dan topic yang hendak disampaikannya.
Guru tidak boleh berpandu dengan bahan-bahan pengajaran biasa seperti buku teks dan papan hitam sahaja.
Selain daripada tugas mendidik dan segala aspek yang berkaitan dengannya , guru juga harus peka dengan perkembangan masyarakatnya. Ia mempunyai tanggungjawab yang lebih luas daripada ruang sekolahnya.
Ia bertanggungjawab terhadap masyarakat seluruhnya untuk menampilkan generasi baru yang beriman, berilmu dan bertakwa yang meyakini tasawur (world view) dan nilai-nilai idealisme Islam.
Guru mestilah menjadi mediator dan agen masyarakat yang boleh memindahkan nilai, kemahiran , pengalaman , dan budaya warisan kepada generasi baru, di samping mampu mengembangkan warisan ilmu dan budaya setelah ditapis dengan saksama dari segi kesesuaiannya dengan agama .
Guru sepatutnya juga turut serta dalam menampilkan pola penyelesaiannya terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Guru juga diharapkan dapat menimbulkan dan mengembangkan kesedaran beragama dan berperadaban dalam masyarakat.
Guru patut meningkatkan lagi kualiti profesionnya. Keguruan tidak lagi merupakan tugas yang mudah , tetapi adalah suatu kerjaya yang bersifat professional yang mempunyai kriteria ,tuntutan kemahiran yang standard serta etika kerja yang tersendiri.
Ia harus peka untuk meningkatkan tahap kecemerlangan melalui peningkatan ilmu dan kemahiran. Ini dapat dilakukan dengan penglibatan dalam seminar-seminar , bengkel dan kursus-kursus iktisas.
Usaha-usaha Islamisasi yang dilaungkan oleh pemerintah akan tinggal laungan jika sekiranya para guru yang terlibat dalam setiap peringkat pendidikan tidak memenuhi beberapa tuntutan asas untuk merealisasikan tujuan ini. Oleh itu guru harus dibekalkan dengan segala bahan, ciri dan pengisian keilmuan dan kemahiran yang setimpal dengan hasrat dan cita-cita murni tersebut.
Petikan daripada buku TAJDID: dalam pendidikan dan masyarakat oleh Haji Abdul Ghani Shamsuddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan