Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Ahad, Oktober 31, 2010

Manhaj Tarbiyyah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,




Marhalah dakwah terdiri dari :

1. Tabligh (penyampaian umum).

2. Ta’lim (pengajaran).

3. Takwin (pembentukan).

4. Tandzim (penyusunan).

5. Tanfidz (pelaksanaan).

Pada setiap tahapan ini terdapat aktiviti dakwah dan tujuan dakwah.

a. Pada marhalah tabligh dan ta’lim, aktiviti dakwahnya adalah mengubah dari kejahilan kepada ma’rifah (pengenalan) sedangkan tujuannya adalah menyampaikan ilmu dan memperbaiki ilmu.

b. Marhalah takwin mempunyai aktiviti mengubah ma’rifah kepada fikrah dan mengubah fikrah kepada harakah, sedangkan tujuannya adalah memperbaiki fikrah dan melatih amal.

c. Pada marhalah tandzim, aktiviti dakwahnya adalah mengubah harakah kepada hasil sedangkan tujuannya adalah menyatukan saf, mengkoordinasikan amal dan pengawasan kegiatan.

d. Pada marhalah tanfidz, aktiviti dakwah adalah mengubah hasil kepada tujuan (mardhatillah) adapun tujuannya adalah mobilisasi amal.

MARHALAH TABLIGH DAN TA’LIM

Amal dakwah pada marhalah tabligh dan ta’lim adalah mengubah jahiliyah kepada ma’rifah.

Marhalah ini adalah marhalah yang terbuka dengan penyampaian terbuka dan bahan yang sifatnya umum. Mereka yang hadir dalam marhalah ini adalah mereka yang berada pada tingkatan umum.

Di antara contoh-contoh amal tabligh adalah :

1. Aktiviti dakwah di masjid berupa ceramah, khutbah dan tazkirah.

2. Aktiviti di kampus seperti seminar, kuliah dan daurah.

Setelah itu datangnya marhalah ta’lim iaitu marhalah selepas tabligh. Mereka yang berminat dengan dakwah dan Islam diajak kepada marhalah ta’lim.

Bentuk pengajian umum boleh dikategorikan sebagai marhalah ta’lim di mana kita mendapatkan ilmu melalui pengajaran yang berjadual dan dilaksanakan secara tertib.

Dengan berlangsungnya usaha-usaha dakwah tabligh dan ta’lim ini dengan sifat yang umum, peserta umum dan tujuan umum, maka aktiviti ini bersifat mengubah dari ketidaktahuan kepada pengetahuan (ma’rifah).

Di dalam melaksanakan amal dakwah sedemikian, banyak aktiviti yang boleh dilakukan seperti melalui :

a. Media.

b. Brosur.

c. Kaset.

d. Video.

e. Permainan.

f. Latihan.

g. Rehlah.

Seiring dengan amal dakwah yang dilakukan di marhalah ini maka tujuan dan dakwahnya adalah memberi ilmu dan memperbaiki ilmu.

Bagi peserta yang tidak mempunyai ilmu maka dengan penyertaan mereka di dalam marhalah tabligh dan ta’lim ini akan menambah ilmu sedangkan bagi yang sudah berilmu akan menambah ilmu atau memperbaiki lagi kefahaman terhadap ilmu.

Diskusi dan pembahasan adalah sebahagian dari aktiviti marhalah ini sehingga mencapai keperluan akal atau kognitif individu seperti ilmu.

MARHALAH TAKWIN

Peribadi yang sudah menyedari pentingnya ilmu sehingga dirinya sentiasa hadir dalam pengajian yang terus menerus dan tertib disamping juga mulai tumbuh semangat beramal pada dirinya, maka mereka ditingkatkan kepada marhalah takwin.

Marhalah takwin dimulai dengan mengubah ma’rifah yang telah dicapai pada marhalah sebelumnya kepada fikrah.

Ma’rifah hanya mengenal sahaja tetapi belum mempunyai kesedaran dan pemahaman yang baik. Kesedaran dan pemahaman yang dapat membentuk amal adalah fikrah.

Ramai orang Islam yang mempunyai ilmu tetapi tidak ada fikrah sehingga amal dan usahanya tidak jelas dan tidak teratur, bahkan dengan sikap dan tingkah lakunya, kadang-kadang ia mudah menyimpang dan mudah terpengaruh oleh serangan pemikiran sehingga muncul beberapa peribadi yang tidak ada komitmen dan tidak konsisten.

Usaha mengubah ma’rifah kepada fikrah dilakukan dengan membuat bedah siasat terhadap realiti yang berlaku dan merujuk kepada nilai Islam yang bersumber dari Al Qur’an dan As Sunnah.

Aktiviti berikutnya adalah mengubah fikrah kepada harakah. Fikrah tidak cukup untuk dimiliki oleh seseorang tanpa diamalkan dan diwujudkan dalam harakah. Fikrah mesti dibuktikan di dalam amalnya.

Mengubah fikrah kepada harakah adalah melatih peserta ke dalam amal (peribadi) dan membimbingnya untuk merasakan amal harakah yang dilakukan secara bersepadu bersama-sama atau dalam perkataan lain secara berkelompok atau berorganisasi.

Jadi selain diberi peluang kepada peserta untuk beramal, juga diberi latihan-latihan yang dapat merasakan realiti dan aplikasi fikrah yang sebenarnya dalam harakah.

Contohnya, kita hanya memahami bahwa dakwah itu wajib dan orang yang berdakwah, maka dia akan dibantu oleh Allah dan hanya dengan dakwah, Islam boleh tegak.

Fikrah sedemikian perlu dirasakan dengan amal di dalam harakah. Latihan yang diberikan dan juga peluang yang disediakan akan mengarahkan peserta kepada harakah dengan kaidah-kaidah yang telah dicontohkan oleh Nabi saw seperti perlaksanaan tarbiyah para sahabat di rumah Arqam bin Abi Arqam.

MEMBINA AKTIVIS DAKWAH

“Dialah yang telah mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”. (QS Al Jumu’ah : 2)

Membangun dan membina merupakan aktiviti positif yang seiring dengan peningkatan kualiti sumber daya manusia.

Namun kadangkala ada pembinaan yang tidak berkadar lurus dengan perubahan ke arah perbaikan, bahkan mungkin menjadi suatu yang kontraproduktif.

Perkara ini berlaku bukan disebabkan oleh wujudnya ketidakselarasan antara pembinaan dan keberhasilan, melainkan mungkin wujudnya kesalahan dalam proses yang dijalankan.

Pembinaan sebagaimana hakikatnya tetap merupakan perkara penting. Cuma pembinaan seperti mana yang kepentingannya itu dapat dirasakan oleh semua pihak, maka disitulah akar permasalahannya.

CIRI-CIRI PEMBINAAN YANG EFEKTIF

Ada empat ciri pembinaan yang efektif yang perlu diperhatikan agar kita tidak terjerumus kepada kesalahan proses, iaitu :

  1. Pembentukan.
  2. Penerusan.
  3. Bertahap.
  4. Menyeluruh.

Namun mari kita cuba menyelami faktor pertama yang merupakan satu faktor yang amat penting dalam proses pembinaan iaitu ‘pembentukan’.

Pembentukan merupakan sifat dakwah Rasulullah saw sebagaimana firman Allah swt dalam Al Qur’an :

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (QS Al Jumu’ah : 2)

“Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (QS Ali Imran : 164)

Bila kita tadabbur kedua-dua ayat tersebut, maka kita akan temui tiga pola utama dakwah Rasulullah saw iaitu :

  1. Tabligh.
  2. Takwin.
  3. Ta’lim.

Dengan membacakan ayat-ayat Allah kita jadi tahu dan sedar.

Dengan menyucikan jiwa-jiwa kita akan menjadi kita berakhlak baik.

Dengan mengajarkan Al Kitab dan Al Hikmah menjadikan diri kita berwawasan luas.

Dengan melalui tiga (3) proses di atas, walaupun sebelumnya para sahabat adalah dalam kesesatan yang nyata namun akhirnya mereka terbentuk dan menjadi kumpulan manusia idaman.

PROSES PEMBENTUKAN

Membentuk adalah :

  1. Membuat untuk jadi sesuatu.
  2. Mengadakan suatu proses.
  3. Melakukan latihan.
  4. Mencetak keperibadian.

Ia bukanlah hanya sekadar transformasi ilmu.

Di dalam surah Ali Imran, ayat 104 Allah swt memerintahkan “waltakun minkum…”,“Dan hendaklah dibentuk di antara kamu…”

Pola akhir pembentukan adalah ummat iaitu suatu kelompok manusia yang siap sedia mengikuti dan memperjuangkan syariat.

Tugas ummat tersebut adalah :

  1. Mengajak kepada Islam.
  2. Menyuruh yang ma’ruf.
  3. Mencegah yang munkar.

Pembentukan bukanlah proses yang sebentar.

Jika kita memerlukan waktu yang lama untuk mengubah kayu menjadi kerusi iaitu melibatkan proses :

  1. Menggergaji.
  2. Memahat.
  3. Mengukir.
  4. Menggosok menggunakan kertas pasir.
  5. Mengecat.

Lebih-lebih lagi manusia yang tidak begitu mudah untuk dibentuk kerana memiliki pelbagai sifat dan dimensi pemikiran yang berbeza.

Oleh kerana itu diperlukan kesabaran sebagaimana ayat-ayat Al Qur’an berikut :

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” ( QS Al Kahfi : 28)

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” (QS Ali Imran : 200)

Kesabaran juga mempunyai beberapa tingkatan :

  1. Sabar untuk tetap dalam kebenaran.
  2. Sabar untuk menjauhi ma’siat.
  3. Sabar dalam musibah dan kesempitan.
  4. Sabar dalam memperbaiki diri dan membina aktivis-aktivis dakwah.

Memandangkan pentingnya proses pembentukan yang memakan masa yang panjang di samping memerlukan kesabaran yang tinggi, maka Imam Hasan Al Banna pernah berpesan kepada pengikut-pengikutnya :

“Wahai Ikhwan, sesungguhnya kamu dalam fasa Takwin (pembentukan), maka janganlah kamu tertipu dengan bayangan fatamorgana dari membuat persediaan yang baik dan kesempurnaan persediaan. Gunakanlah 90% bahagian dari waktumu untuk Takwin (pembentukan) dan bersungguh-sungguhlah kamu semua di dalamnya untuk dirimu. Kemudian gunakanlah 10% yang baki untuk urusan-urusanmu yang lain. Agar pengembalianmu dapat dipercepatkan, persediaanmu sempurna dan persediaanmu lengkap. Pada ketika itu Allah akan “membuka” antaramu dan kaummu dengan Hak dan Dialah sebaik-baik Pembuka.”

TIGA (3) UNSUR PEMBENTUKAN

Dalam usaha pembentukan, sekurang-kurangnya ada tiga (3) unsur yang perlu diberi perhatian :

PERTAMA : LATIHAN

Tidak dinamakan latihan jika hanya diberikan teori atau sekadar informasi bahkan memberikan keteladanan dan melibatkan diri iaitu dari segi keikutsertaan dan penugasan merupakan bahagian yang penting dari sebuah latihan.

Peristiwa Sayyidina Hasan dan Husein berdakwah secara amali ketika melihat seorang tua yang salah wudhu’nya adalah suatu contoh latihan.

Begitu juga berbagai pendekatan yang dilaksanakan dewasa ini seperti :

  1. Latihan berkhutbah.
  2. Kelas memperelokkan bacaan Al Qur’an.
  3. Kursus kewartawanan.
  4. Latihan tatacara penyelenggaraan jenazah.
  5. Latihan peningkatan kerohanian.

Jika kita teliti madrasah yang dibangunkan oleh Imam Hasan Al-Banna, ternyata pola pembentukan yang dilaksanakan juga bersifat amali.

Di Dalam Risalah Muktamar kelima beliau menjelaskan bahwa Tarbiyah adalah kilang pembinaan ‘Rijal’ dengan kata-kata berikut :

“Persiapkanlah dirimu dan datangkanlah kepadanya dengan Tarbiyah yang sahih, pembentukan yang teliti dan ujilah ia dengan amal. Sesungguhnya amal yang kuat itu adalah amal yang dibenci di sisinya, berat ke atasnya, dan ceraikanlah ia dari syahwatnya, perkara-perkara yang ia sukai dan adat kebiasaannya.”

KEDUA : PENYELIAAN

Penyeliaan merupakan penerusan dari sebuah latihan.

Para mutarabbi yang sudah diberi pengarahan dan diikutsertakan dalam sesi latihan kemudiannya akan dipantau perkembangannya melalui sistem pemantauan dan penilaian (mutaba’ah).

Ada mutaba’ah khusus bagi setiap individu yang dikelolakan melalui tahapan yang berstruktur dan ada pula mutaba’ah umum yang melibatkan masyarakat dalam mengamati dan menilai mereka yang dibentuk.

Sistem penyeliaan adalah sangat bermanfaat agar tercapainya pembentukan suatu binaan yang berkualiti tinggi.

Memasuki era keterbukaan, para mutarabbi akan dibiasakan untuk berinteraksi dengan realiti umum di mana mereka akan belajar dari kegagalan dan keberhasilan dalam berinteraksi dengan masyarakat luas yang bercampur baur.

Para mutarabbi mestilah dibiasakan dengan suasana dinamik kelompok masyarakat agar mereka lebih dewasa dalam menghadapi berbagai permasaalahan dan tidak bersikap ‘over reactive’.

Menjadi tugas murabbilah untuk :

  1. Memantau perkembangan kehidupan mereka.
  2. Menegur segala kekurangan.
  3. Meluruskan setiap kesilapan.
  4. Memberi penilaian samada kritikan, masukan dan juga penghargaan ke atas aktiviti seharian mereka.

KETIGA : DOA

Kita perlu akui bahwa kadangkala proses pembentukan yang dilaksanakan tidak membawa hasil yang memuaskan.

Walaupun sekian lama kita membentuk sejumlah individu, namun kadang-kadang tidak terserlah juga perkembangan yang mampu memberi erti pada diri mereka.

Latihan demi latihan disertai penyeliaan ternyata belum cukup untuk mengubah keadaan mereka. Maka dalam situasi ini, sudah selayaknya kita menguatkan segenap usaha kita dengan memperbanyakkan doa.

Kita mesti sedari bahwa Allahlah yang memberi hidayah, bukan kita.

“Sesungguhnya engkau tidak boleh memberi hidayah kepada orang yang kau cintai, akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada orang-orang yang dikehendakinya dan Allah lebih mengetahui siapa yang mahu menerima hidayah.”(QS Al Qashash : 56)

Maka tetaplah kita dalam pengharapan kepada Allah dalam usaha pembentukan para mutarabbi. Mohonlah terus kebaikan dan sikap istiqamah bagi mereka.

“…dan berdoalah untuk mereka, sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka” (QS At Taubah : 103)

Bagi mereka yang dibentuk, mereka mestilah sedar bahwa Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum jika kaum itu sendiri tidak mahu mengubah nasibnya.

Oleh kerana itu, perlu adanya sifat interaktif, iaitu :

  1. Kemampuan menyesuaikan diri dengan tuntutan dari luar.
  2. Bersedia mengikuti latihan dan melaksanakan program-program.

Ianya bukan hanya pada ketika-ketikanya sahaja, tetapi interaksi itu sudah membudaya dalam dirinya.

Contohnya program latihan kerohanian dalam seminggu yang mengajak untuk qiyamul-lail, puasa sunat dan memperbanyakkan tilawah Al Qur’an di mana interaksi yang dituntut bukanlah hanya sekadar ketika ada program tersebut, namun di luar waktu tersebut, para mutarabbi sudah terbiasa dengan puasa sunat, tilawah harian Al Qur’an dan qiyamul-lail.

Para mutarabbi yang interaktif inilah yang nantinya mampu untuk menyesuaikan diri dengan realiti masyarakat dalam berbagai aspek dan bagi menuju ke sana tentu sahaja perlu melalui proses pembentukan yang panjang.

Kesungguhan dan keikhlasan para murabbi ditambah dengan kedisiplinan dan interaktifnya para mutarabbi dan disertai dengan latihan, penyeliaan dan doa, insyaAllah akan melahirkan aktivis-aktivis dakwah yang berkelayakan.

“Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mu'min akan melihat hasil pekerjaanmu itu….” (QS At Taubah :105)

Ya Allah tetapkanlah kaki-kaki kami di atas jalan tarbiyah dan pembentukan kerana ianya merupakan jalan ke arah kemenangan dan kejayaan. Limpahkanlah kesabaran ke atas kami dalam menjalani proses pembentukan ini yang memerlukan masa yang panjang dan komitmen yang berterusan sehingga kami pulang menemuiMu dalam keadaan redha dan meredhai.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali

JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

Tiada ulasan: