Sempena dengan cadangan kerajaan untuk menjadikan subjek sejarah sebagai subjek wajib lulus bagi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 2013 di samping subjek Bahasa Melayu, amat penting bagi kita untuk meletakkan subjek ini di tempat yang sebenarnya. Seperti sistem yang melingkungi kita sehari-hari, sejarah juga tidak terlepas daripada ancaman sekularisasi dan sejarah yang berlandaskan sudut pandangan penjajah , bukan anak watan.
Sejarah adalah Sunatullah
Pohon kehidupan
Apa makna sejarah? Terlebih dahulu kita lihat asal-usul perkataan sejarah. Ini akan memberi gambaran kepada pengertian dan kesan yang diharapkan dari mempelajari sejarah. Perkataan sejarah berasal dari Bahasa Arab iaitu ‘syajaratun’ atau pohon. Dari sini sejarah menggambarkan suatu konsep yang kompleks, sepadu, hidup dan berkesinambungan seperti sebuah pohon.
Sebagaimana sebuah pohon, akarnya terhunjam ke bumi untuk memastikan pohon yang disokongnya stabil dan mendapat khasiat serta bekalan air yang berterusan untuk kelangsungan hidup serta tumbesarannya.
Kemudian bahagian pohon yang zahir terdiri dari batang yang kuat dan pejal. Batang tadi bercambah menjadi beberapa dahan besar yang berpecah pula kepada beberapa dahan kecil. Dahan-dahan kecil ini pula bercambah menjadi ranting-ranting. Ranting-ranting inilah yang mengeluarkan daun, bunga dan buah.
Ranting-ranting itu beransur-ansur membesar menjadi dahan seiring dengan pokok yang semakin meninggi dan besar. Ia akan mengeluarkan ranting-ranting dan pucuk-pucuk yang baru buat menggantikan daun-daun yang kering dan gugur. Begitu juga ia akan mengeluarkan bunga yang kemudiannya berputik menjadi buah yang masak ranum.
Begitulah gambaran kehidupan manusia di atas muka bumi. Kehidupan manusia adalah ibarat pohon yang tumbuh berterusan. Seperti pohon, kewujudan seorang manusia adalah penerusan dari mata rantai kewujudan manusia yang tidak pernah putus dari Nabi Adam a.s. sehinggalah kepada manusia yang terakhir.
Ia adalah satu pewarisan yang berterusan ibarat pohon yang bermula dengan akar dan berakhir dengan pucuk dan putik yang tumbuh silih berganti. Di samping susur-galur manusia itu berkesinambungan ia juga bercambah menjadi beberapa banyak cabang. Semakin berusia pohon tersebut maka semakin banyaklah cabang yang dibentuknya. Setiap cabang menyokong rangkaian dahan, ranting dan pucuknya yang tersendiri.
Begitu jugalah manusia. Setiap seorang dari insan yang ada di atas muka bumi ini adalah produk atau kelahiran dari generasi sebelumnya dan ia sendiri menjadi punca kepada terbitnya generasi akan datang. Dalam perkataan lain dia adalah penyambung kepada generasi yang terdahulu dan generasi yang bakal diwarisinya.
Seperti sebuah pohon yang mempunyai pelbagai cabang, begitulah seorang insan mempunyai pertalian atau hubungan dengan insan yang lain meski tidak dari susur-galur keturunan yang sama. Hakikatnya nenek moyang mereka dahulu bermula pada titik temu yang sama.
Inilah pengertian sejarah yang sebenar. Jika dilihat dari perspektif ini maka sejarah bukan semata-mata himpunan kisah-kisah silam tetapi lebih tepat lagi merumuskan haluan yang telah diambil dan membayangkan hala tuju sebuah bangsa yang bakal ditempa.
Sebuah bangsa atau tamadun tidak dapat lari dari mencari identitinya dalam sejarah mereka sendiri. Lantaran itu sesebuah bangsa atau tamaddun harus membina kekuatan di atas kekuatan yang sedia ada atau asas yang telah ditinggalkan oleh generasi terdahulu.
Amat silap jika ada yang berpendapat kita boleh membina kehebatan dengan meminjam dari tamadun lain atau budaya asing meskipun kita menganggap ianya lebih maju dari apa yang diwarisi dari nenek moyang sendiri. Ini termasuklah persoalan bahasa, pembinaan budaya ilmu dan budaya fikir.
Apa yang berlaku pada hari ini ialah setengah golongan yang terjajah mindanya samada oleh penjajahan tanah air di masa silam atau penjajahan minda era perkampungan global tanpa sempadan, cuba membina kekuatan di atas kekuatan yang asing dengan jatidiri bangsa dan tamadunnya sendiri.
Kemudian al Quran juga menggunakan perumpamaan dan perbandingan di antara pohon yang baik ‘syajaratan kasyajaratan’ dan pohon yang rosak. Pohon yang baik menjulang tinggi ke langit dan akarnya terhunjam teguh ke bumi. Ini juga menunjukkan bahawa satu tamadun yang baik akan mewariskan generasi yang hebat.
Jika sesuatu bangsa itu punya kekuatan atau kelebihan tertentu maka tidak sedikit pengaruh sejarah dan warisan di dalam membentuk kelebihan-kelebihan tersebut. Sebaliknya sebuah generasi yang lemah juga adalah warisan dari generasi sebelumnya. Tamadun yang hebat akan mewariskan nilai-nilai kehebatan kepada generasi berikutnya.
Sebaliknya tamadun yang bankrap juga akan mewariskan nilai-nilai kebobrokan kepada generasi penerusnya. Oleh itu apabila sesuatu bangsa itu kelihatan hebat maka ia adalah produk kehebatan yang terbina oleh generasi-generasi pelopor.
Dan jika sesebuah bangsa itu terjerumus ke dalam budaya bankrap nilai seperti rasuah dan zalim ia adalah manifestasi dari pemupukan nilai-nilai bobrok yang dipelopori oleh generasi terdahulu. Dalam keadaan yang sedemikian dahan dan ranting yang rosak dari pohon itu mesti dicantas melalui satu proses perawatan yang dinamakan islah.
Generasi dan bangsa yang mewarisi nilai-nilai bankrap tersebut perlu melaksanakan satu proses reformasi menyeluruh untuk membina semula kekuatan bangsa dan tidak sedikit contoh yang kita temui dalam sejarah. Ini bakal dikupas dalam bab yang lain.
Sejarah adalah Sains?
Ilmu sains dikaitkan dengan tiga proses ini; ujikaji, pemerhatian dan kesimpulan. Ilmu sains terbina dari fakta hasil ujikaji yang dilakukan berulang-kali. Hasil dari proses empirikal (ujikaji, pemerhatian dan kesimpulan) ini terbentuklah teori-teori sains. Teori sains tidak dipertikaikan dan dianggap benar dalam semua keadaan.
Contohnya teori mengenai graviti atau daya tarikan bumi. Ini terangkum dalam Newton’s first law (Undang-undang Newton yang pertama) iaitu setiap objek di bumi jatuh dengan kadar kecepatan 9.98 m22. Nilai inilah yang disebut sebagai ‘g’, berapapun berat objek tersebut. Newton menemukan undang-undang ini setelah melihat dan memikirkan tentang buah epal yang jatuh dari pokok ke tanah.
Sebenarnya apa yang diolah oleh Isaac Newton telah wujud sejak bumi ini dicipta. Inilah yang disebut oleh Allah SWT dalam al Quran sebagai sunatullah. Sunatullah ialah hukum-hukum yang mentadbir perjalanan alam ini. Hukum-hukum inilah yang menjamin alam ini berfungsi dengan teratur tanpa sebarang kacau bilau.
Dengan hukum sunatullah inilah cakerawala kita bahkan seluruh jagatraya yang terbentuk dari cakerawala/nebula yang tidak terhitung banyaknya berada dalam susunan yang harmonis. Setiap planet dan bintang bergerak pada garis paksinya masing-masing tanpa berlaku sebarang perlanggaran dan pertembungan.
Jika salah satu dari planet dan bintang yang bertaburan itu menyalahi mana-mana dari hukum sunatullah itu akan berlakulah kemusnahan jagatraya dan mungkin menandakan permulaan kepada peristiwa kiamat.
Itu dalam bentuk makro. Di dalam bentuk yang mikro dan lebih kecil kita dianjurkan oleh al Quran untuk merenung tentang kejadian alam sekeliling yang dapat dinikmati dengan mata kasar yang tidak kurang hebat dan menakjubkan.
‘Tidakkah kamu perhatikan bagaimana unta diciptakan, langit ditinggikan, bumi diratakan dan gunung-ganang ditegakkan’. ‘Dan pada penciptaanmu sendiri tidakkah kamu perhatikan’. Allah tidak segan menjadikan lalat sebagai perumpamaan.
Orang-orang kafir itu bertanya apakah tujuannya menjadikan lalat sebagai perumpamaan. Dengan perumpamaan itu Allah memberi petunjuk dan dengan perumpamaan itu Allah menyesatkan segolongan yang lain.
Ayat-ayat ini antara lain mengajak manusia untuk merenung kejadian-kejadian yang bersifat organik dan biologikal. Setiap unit hidupan yang berada di atas muka bumi ini samada tumbuhan, haiwan atau agen mikrobial (bakteria dan kulat) berfungsi melalui proses-proses biologikal yang sama. Lantaran itu saintis telah merumuskan tujuh proses yang wajib ada bagi setiap hidupan iaitu respirasi (bernafas), penghadaman makanan, perkumuhan, pembiakan, bertindak balas pada stimuli (ransangan) dan akhir sekali kematian.
Tidak ada satupun dari makhluk yang melata yang boleh mencabar hukum-hukum yang menjamin kelangsungan hidup mereka. Andai kata mereka punya kekuatan untuk melawan atau keluar dari garis hukum yang ditetapkan, mereka pasti akan menemui kemusnahan dan memilih untuk menamatkan riwayat hidupnya sendiri.
Justeru Allah berfirman ‘Carilah agama selain dari agama Allah sedang telah tunduk (islam) semua yang di langit dan di bumi samada suka atau terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan’. Islam yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah tunduk kepada ketetapan Allah atau yang dinamakan sunatullah.
Perkara ini amat mudah untuk difahami oleh setiap insan dan dia tidak perlu belajar sains dan pelbagai teori sains seperti hukum Newton untuk memahami hakikatnya. Contoh yang paling mudah ialah manusia akan mati kalau dia cuba-cuba melawan fitrah kejadiannya.
Umpama seseorang itu memilih untuk tidak makan atau mengambil bahan yang tidak sesuai dengan sistem penghadamannya seperti kaca. Kematian adalah pasti baginya dan tidak perlu dibuktikan dengan percubaan sains. Ia adalah logik yang diterima hatta oleh orang yang tidak berpelajaran sekalipun.
Sunatullah juga boleh dilihat berlaku dalam proses lain yang tidak melibatkan unit biologikal atau kehidupan. Ketetapan hukum sunatullah juga berlaku kepada proses yang melibatkan nombor atau ilmu matematik.
Oleh kerana ketetapan hukum yang tidak berubah selamanya inilah yang memungkinkan ilmu matematik berkembang dan dibangunkan oleh pelbagai tamadun terutamanya tamadun Islam. Rahsia inilah yang memungkinkan cerdik pandai dan saintis muslim menemukan pelbagai teorem matematik seperti aljeba dan almuqabbala (persamaan kuadratik).
Seperti juga sunatullah yang mengikat kehidupan biologikal, begitu jugalah sunatullah mengikat hubungan di antara nombor (integer). Sebagaimana seseorang itu tidak perlu belajar ilmu Sains untuk menanggapi persoalan ini begitu jugalah seseorang itu tidak perlu menguasai rumus-rumus matematik yang rumit.
Cukup sekadar memahami asas pengiraan seperti tambah dan darab yang diperlukan dalam urusan kehidupan seharian. Sebagai contoh hasil tambah dua dengan dua jawapannya tidak pelbagai tetapi tetap empat. Jawapan ini merentas ruang dan waktu tanpa kecuali.
Maka apakah hubungan sains dan sejarah? Apakah sejarah juga merupakan satu manifestasi dari sunatullah? Kita boleh mendapat jawaban dari persoalan ini dari al Quran. Al Quran adalah ibrah atau peringatan dan salah satu dari pendekatan al Quran ialah dengan memaparkan kisah-kisah sejarah.
Apakah relevannya al Quran membentangkan kisah-kisah silam dari lipatan sejarah jika ia tidak mempunyai sebarang signifikan kepada manusia hari ini. Lantaran itu pada beberapa tempat Allah mengajak manusia dengan seruan seperti ini ‘berjalanlah di atas muka bumi dan perhatikan apakah kesudahan orang-orang yang zalim, yang membelakangkan perintah Allah’.
Lebih khusus lagi pada beberapa tempat Allah merakamkan peristiwa-peristiwa besar yang pernah menimpa umat yang terdahulu seperti firmanNya ‘Tidakkah kamu perhatikan bagaimana kami perbuat ke atas kaum Ad. Penduduk Iram yang membina rumah di bukit-bukit, yang tidak ada sepertinya di zaman itu’.
Di lain tempat Allah berfirman ‘Tidakkah kamu perhatikan apa yang telah diperbuat tuhanMu terhadap tentera bergajah?’ Soalan-soalan yang dilontarkan ini bertujuan untuk mengetuk pintu hati manusia dan mendorong mereka untuk berfikir.
Apakah yang telah dilakukan oleh umat yang terdahulu sehingga mereka ditimpakan azab yang begitu besar oleh Allah SWT. Jika ia sekadar rekod atau catatan sejarah yang tidak punya sebarang kaitan dengan masa ini dan akan datang apakah perlunya kesah-kesah ini diungkap oleh al Quran. Al Quran bukan buku sejarah tetapi petunjuk bagi manusia untuk sepanjang zaman.
Dalam perkataan lain kesah-kesah sejarah yang didedahkan oleh Allah SWT dalam al- Quran adalah petunjuk kepada peristiwa yang bakal berlaku di masa depan dan pada segenap zaman. Apa yang dipaparkan jua merupakan satu sunatullah atau hukum yang tidak berubah… dan sejarah adalah buktinya! Ia membawa satu isyarat jelas bahawa manusia tidak akan terlepas dari natijah perbuatan mereka.
Kezaliman lambat laun akan berakhir dengan kehancuran dan kemusnahan. Lambat atau segera bukan soal. Jika perhitungan dilewatkan itu hanya fitnah (cubaan) kepada mereka yang lalai.
Orang yang melakukan kezaliman tidak selamanya beruntung. Mereka mungkin mencapai kekuasaan dan kekayaan dikemuncak kezaliman mereka. Namun mereka hanya diberi tangguh sahaja. Apabila tiba saat perhitungan mereka akan jatuh ke lembah yang paling hina.
Tidakkah manusia menyedari fenomena ini yang terus berulang sehingga hari ini? Ini adalah kenyataan yang sedang berlaku dan akan terus berlaku. Seorang tiran (penguasa yang zalim) pada saat ia berada dipuncak kekuasaan dengan mudah menghantar musuh-musuh politiknya ke tali gantung.
Maha suci Allah, ketika tiran yang sama dlucutkan kekuasaannya dan dijatuhkan hukuman mati, dia dihantar ke tali gantung yang sama yang telah meragut ribuan nyawa musuh-musuhnya. Sebelumnya juga ada seorang tiran yang mewarisi dinasti terkuat dan terkaya di Asia. Kekayaan dan kekuasaannya dibangunkan di atas kezaliman dan rampokannya ke atas harta rakyat.
Akhirnya maharaja yang berkuasa ini mati dalam buangan. Bahkan kuasa besar yang melindunginya selama ini tidak sudi untuk menerima beliau. Matilah beliau dalam kehinaan dengan air mata kesyukuran rakyat yang ditindasnya selama ini.
Kesah-kesah yang dibawa oleh al Quran juga bertujuan untuk memberi keyakinan kepada pendukong-dukong kebenaran dan keadilan.
Meskipun mereka dizalimi, teraniaya dan ditindas namun pada penghujung cerita duka mereka, kemenangan tetap memihak kepada mereka. Ia menuntut pihak yang berjuang menegakkan kebenaran dan menentang kepalsuan dan kezaliman supaya tetap istiqamah dan teguh menghadapi pelbagai mehnah (cubaan) dan fitnah yan ditimpakan ke atas mereka.
Mudah-mudahan mereka terus meletakkan harapan yang tinggi terhadap pertolongan yang bakal datang. Inilah objektif sebenar kenapa Allah SWT meramkamkan perjuangan para Nabi dan golongan soleh di dalam al Quran. Kesah-kesah mereka ini seolah-olah membawa tema yang berulang-ulang iaitu pejuang kebenaran pasti akan meraih kemenangan meskipun mereka berhadapan dengan seluruh jentera pendukong-pendukong kepalsuan yang amat berkuasa.
Ia juga menjadi peringatan kepada golongan yang memilih untuk menentang kebenaran bahawa perbuatan mereka sia-sia. Meski mereka memiliki semua harta dan kekayaan, kuasa dan pengaruh serta berlaku zalim kepada manusia, namun kesenangan dan kekuasaan mereka hanya bersifat sementara.
Mereka sebenarnya tertipu kerana Allah SWT hanya memberi mereka penangguhan waktu ke atas kehancuran yang bakal mereka hadapi. Akhirnya apabila kehancuran itu datang mereka menjadi manusia yang paling kecewa dan berputus asa. Inilah yang menimpa Firaun dan semua pewaris-pewarisnya yang tertipu dengan kekuasaan yang dipinjamkian sementara oleh Allah SWT.
Kenapa Allah SWT menyebut beberapa kesah sejarah tanpa menyebut di mana dan bila peristiwa tersebut berlaku? Bila dan di mana sebenarnya tidak penting kerana al Quran bukan buku sejarah. Ia tidak pula menghalang manusia untuk membuat kajian dan menentukan di mana dan bilakah peristiwa-peristiwa yang dirujuk oleh al Quran itu terjadi.
Di antara peristiwa tersebut ialah mangsa-mangsa parit api yang dinyatakan dalam kesah ashabul ukhdud, kesah pemuda yang tertidur dalam gua, ‘ashabul kahfi’ dan kesah pemuda yang berlari-lari dari hujung kota untuk mengajak umatnya beriman kepada para rasul yang diutus kepada mereka dalam surah yaasin.
Apa yang hendak diketengahkan oleh al Quran ialah pengajaran-pengajaran untuk generasi manusia sepanjang zaman. Sungguh apa yang berlaku mempunyai pelajaran yang sangat besar kepada manusia yang mahu mengambil peringatan.
Namun sejarah selalunya berulang; petanda bahawa manusia sering melupakan sejarah sehingga ada kata-kata yang merakamkan kealpaan manusia ini ‘mereka yang melupakan sejarah akan mengulangi kesilapan orang terdahulu’’Those who fail to take from history are condemn to repeat the same error’.
Semua ini menunjukkan bahawa sejarah seperti sains adalah sunatullah atau hukum yang tidak berubah. Jika dalam sains, sunatullah mengatur hubungan di antara objek-objek alam tabi’i (fizikal dan biological), di dalam sejarah, sunatullah mengatur hubungan di antara perbuatan dan natijah.
Seperti dalam sains fizik hukum suatu tindakan akan menghasilkan tindak-balas (action – reaction) begitulah di dalam sejarah setiap perbuatan akan menatijahkan hasil yang tertentu. Setiap orang akan menuai hasil dari apa yang disemai. Jika benih padi yang disemai maka padilah yang akan dituai. Namun jangan sekali-kali mengharapkan hasil padi jika yang disemai ialah bibit lalang.
Oleh kerana garis-garis besar sejarah dikawal oleh hukum yang tidak berubah seperti sains, maka falsafah dan matlamat akhir dari pembelajaran sejarah seharusnya membawa natijah yang sama iaitu meyakini akan wujudnya kesegaraman peraturan di alam ini.
Ini juga membawa insan kepada meyakini satu kuasa yang tunggal yang mentadbir dan menyusun perjalanan alam dengan begitu harmonis. Bukan sahaja tidak ada percanggahan di antara pelbagai objek yang menyatu sebagai alam semesta, dari peringkat mikro sehingga ke peringkat makro, bahkan tidak ada percanggahan di antara proses sejarah dan masa depan.
Dalam perkataan lain, seseorang boleh melakar masa depan dengan berpandukan kepada petunjuk-petunjuk sejarah. Mereka tidak perlu membuat sebarang ujikaji atas pilihan yang bakal diambil.
Jika jalan yang bobrok yang dipilih seperti mengamalkan rasuah, berlaku zalim, menipu, memeras dan menindas maka jangan sekali mengimpikan kemakmuran, kelestarian dan keamanan. Jika wujudpun kemakmuran fizikal ia tetap membawa kehancuran kepada sendi-sendi masyarakat.
Akhirnya masyarakat yang sedemikian rupa akan dihinggapi dengan pelbagai wabak sosial dan gejala yang membawa keruntuhan akhlak, syaksiah, institusi keluarga dan masyarakat. Generasi akan datang akan melihat binaan-binaan fizikal yang diwarisi tidak lebih dari satu legasi yang melambangkan kemorosotan nilai dan akhlak seperti halnya piramid Mesir, Persepolis Persia dan Akropolis Yunani.
Atau lebih malang lagi apabila mereka mewarisi dan melonjakkan lagi nilai-nilai bobrok tersebut sehingga monument-monumen itu menjadi lambang nasional yang dibangga, diperaga dan dipuja-puja. Semakin jauhlah masyarakat terseret ke jalan yang membawa kepada kemusnahan nilai.
Dr Hafidzi Mohd Noor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan