Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Isnin, Julai 28, 2008

Konsep agama : Ambil Pengajaran Isra' Mikraj

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk tidak lama lagi. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.



Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah s.a.w. Ia juga dianggap salah satu komponen daripada 'Sirah Nabawiyyah', yang bermaksud: Sirah Nabawiyyah adalah pelaksanaan Islam secara praktikal dan contoh tepat dalam menegakkan sebuah negara Islam - Syeikh Munir Muhammad al-Ghadban / Al-Manhaj al-Haraki Li as-Sirah an-Nabawiyyah, juzuk 1, Maktabah al-Wafa', Mansoorah, Mesir � 1986.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa penting itu. Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Saddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.

Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sohih atau pun kata-kata Sahabat yang Sohih.

Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal. Justeru tiada nas yang menyebut keistimewaan beramal pada hari tersebut, sama ada dengan ibadat puasa atau yang lain, kerana puasa pada hari yang tidak jelas bila berlaku peristiwa itu adalah sebahagian daripada perkara bidaah, kerana tiada nas yang jelas menyuruhnya, tetapi jika kebetulan ia jatuh pada hari Isnin atau Khamis, puasa yang dilakukan itu dibolehkan kerana Nabi sering melakukannya.1

Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).2

Adapun berpuasa sunat pada bulan Rejab secara umumnya adalah sesuatu digalakkan berdasarkan satu hadis do'if yang disebut oleh Imam as-Suyuti daripada Ibnu Abbas, baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, dia bagaikan berpuasa satu bulan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari, maka dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka (kerana ia telah ditutup buatnya), sesiapa yang berpuasa sepuluh hari, maka segala kejahatannya diganti dengan segala kebaikan." 3

Adakah Israk berlaku dengan roh dan jasad Nabi?

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Mereka berpendapat, bahawa peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam mimpi baginda, iaitu hanya dengan roh sahaja dan tidak dengan jasad sekali, itu hanya dakwaan Muhammad semata-mata.

Namun bagi para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali, tidak hanya dengan roh seperti yang didkawa oleh musuh-musuh Islam.

Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan ia berlaku hanya dengan roh sahaja adalah berdasarkan riwayat-riwayat palsu yang sengaja untuk melemahkan keperibadian Rasulullah.

Sedangkan terdapat riwayat menunjukkan bahawa baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu secara langsung daripada Allah SWT adalah dengan roh dan jasad, itulah satu-satu ibadat khusus yang diberikan Allah secara langsung kepada baginda berbeza dengan ibadat-ibadat lain.

Program masjid ke masjid menjadi ukuran hiburan baginda

Peristiwa Israk dan Mikraj berdasarkan penjelasan para ulama berlaku sebelum penghijrahan baginda ke bumi Madinah. Ia sebagai satu pendekatan Allah untuk menghiburkan Nabi-Nya yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah, namun Allah SWT mahu baginda terus berhubung kepada-Nya dalam keadaan yang penuh dengan kesedihan dan kemurungan.

Maka Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan, iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting.

Ia berlaku dalam semalaman sahaja yang menandakan bahawa Allah mampu bertindak demikian, walaupun ramai di kalangan manusia tidak mempercayainya malah menafikannya, sehingga pada waktu itu datang Abu Bakar as-Siddiq tanpa mengambil masa panjang terus mengiyakan peristiwa berkenaan.

Hasil daripada program masjid ke masjid

Yang paling penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj, ialah baginda menerima kewajipan solat lima waktu yang dijemput Allah secara langsung di langit yang ketujuh.

Walaupun pada peringkat awal, Allah mewajibkan 50 waktu solat yang dijangkakan bahawa umatnya tidak mampu untuk melakukannya atas nasihat Nabi Musa a.s, maka baginda terus melakukan tawar menawar dengan Allah agar dikurangkan kepada jumlah yang sedikit.

Baginda berjumpa dengan Allah dengan merayu kepada-Nya supaya ia dikurangkan, dengan perasaan malu baginda tetap berjumpa Allah sehingga ia dikurangkan kepada lima waktu, itulah pengorbanan dan ingatan baginda terhadap umatnya.

terdapat di kalangan umatnya tidak berterima-kasih kepada baginda kerana sanggup meninggalkan solat fardu berkenaan, walaupun kita hanya melakukan lima waktu, tetapi diganjari dengan lima puluh pahala, berbeza dengan umat terdahulu, lima puluh waktu solat hanya diganjari satu pahala setiap solat. Inilah kelebihan kita sebagai pengikut dan umat Nabi Muhammad, tetapi mengapa masih ramai yang mengabaikan tanggungjawab ini, sedangkan solat adalh perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari Qiamat, tidak yang lain.

Baginda mengimamkan solat nabi-nabi sebelum dimikraj

Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebelum berangkat dengan 'Buraq' untuk menuju langit ketujuh, menjadi imam solat kepada nabi-nabi terlebih dahulu, antaranya Nabi Musa a.s., ia berdasarkan sebuah hadis, di mana baginda bersabda: "Jika Musa bin Imran diutus di kalangan kamu, maka tiada sebab dia menjadi salah seorang pengikutku."

Suasana solat berjemaah yang diimamkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. itu menunjukkan bahawa para nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah.

Mereka bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran dan simbolik menyerahkan tugas kerasulan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia juga sebagai satu petanda betapa hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa begitu intim dan akrab, apatah lagi majoriti para nabi di kalangan Bani Israil yang merupakan kiblat pertama umat Islam di muka bumi ini, selain menjadi syiar agama Islam terdahulu.

Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Nabi terakhir diperakui oleh Allah, sebagaimana yang ditegaskan menerusi beberapa ayat al-Quran mengenainya.4

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.5

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.

Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.6

1 Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, soal jawab dalam Islamonline.net 17/8/06 (Puasa pada 27 Rejab)

2 Ibid - soal jawab dalam Islamonline.net 9/7/08 (Benarkah Israk berlaku pada malam 27 Rejab.

3 Syeikh �Atiah Saqar � soal jawab agama di Islamonline 17/7/2007 (Puasa pada bulan Rejab)

4 Syeikh Jaafar Ahmad at-Talhawi � soal jawab agama dalam Islamonline.net 30/8/04 (Kepimpinan baginda Rasulullah terhadap para Anbiya pada malam Israk dan Mikraj).

5_____al-Qaradawi � soal jawab agama dalam islamonline.net 8/8/07 (Pengajaran penting daripada peristiwa penting Israk dan Mikraj).

6 _____Ibid. - lanh _


Tiada ulasan: