Oleh: NOORHAYATI SHOHAILI - Universiti Putra Malaysia, Serdang
SEJARAH tidak pernah menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara.
Kelahiran guru-guru seperti Harun Aminurrasyid Makmur, Ahmad Bakhtiar, A. Samad Ahmad dan Abdullah Sidek dalam lembaran sejarah lepas yang lantang menentang penjajah di samping meniup obor semangat masyarakat ketika itu merupakan suatu perjuangan yang patut dibanggakan.
Masyarakat ketika itu menjadikan guru sebagai idola dan pakar rujuk dalam segala hal.
Dalam era globalisasi kini, tugas guru sebenarnya menjadi lebih rumit dan kompleks.
Kalau dulu guru terpaksa berhadapan dengan pihak penjajah secara terang-terangan, kini, jajahannya diterjemahkan dalam bentuk yang lain pula iaitu lebih mencabar lagi kerana ia melibatkan jajahan pemikiran, budaya dan jati diri yang perlu dihadapi secara profesional dan kreatif.
Hanya guru-guru yang komited dan intelek sahaja yang mampu mendepani cabaran-cabaran dalam dunia alaf baru ini.
Namun, kini, sejauh mana kita mengiktiraf dan memartabatkan peranan guru berbanding dahulu?
Mengapa masih ada lagi yang menganggap profesion perguruan sebagai kelas kedua?
Mengapa masih ada yang berani mempertikaikan keupayaan dan kemampuan guru sebagai golongan pendidik?
Mengapa kerjaya guru dilihat sebagai kerjaya yang tidak mempunyai masa depan dan peluang yang cerah?
Adakah peranan guru semakin hilang taringnya kerana masyarakat telah mengalih pandangan kepada kerjaya yang diiktiraf sebagai profesional oleh pihak kerajaan seperti doktor, peguam dan arkitek?
Adakah status guru tidak setaraf dengan kerjaya dan profesion lain yang dianggap lebih berprestij seperti golongan korporat?
Sampai bila kita hendak membiarkan guru berkonflik terhadap status guru yang lebih mirip kepada pekerjaan (vocation) dan bukan profesion?
Pihak manakah yang bertanggungjawab dalam memastikan profesion perguruan dimartabatkan di tempat yang sepatutnya?
Soalan demi soalan bertalu-talu bermain di benak fikiran golongan pendidik.
Apa yang nyata, kini, sudah tiba masanya untuk kita mengorak langkah bagi memastikan keprofesionalan guru tidak mudah diganggu gugat atau dipertikaikan.
Kadang-kadang kita perlu menilai dan mengambil kira pandangan-pandangan insan veteran dalam dunia perguruan dan pendidikan.
Contohnya kenyataan daripada Abu Bakar Shawkat Ali iaitu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (KPPK) yang menegaskan bahawa keadaan dan masa yang berubah dengan begitu pantas menyebabkan kemudahan untuk guru kini perlu setanding dengan profesion lain.
Begitu juga dengan harapan Tan Sri Profesor Dato' Dr. Awang Had Salleh iaitu Presiden Persatuan Pendidikan Malaysia semasa penulis bersoal jawab dengan beliau dalam Seminar Pengurusan Personalia Pelajar 2000 di UPM pada 14 Disember 2000 iaitu beliau ingin melihat kerjaya guru diiktiraf sebagai suatu profesion yang profesional.
Jadi, diharap selepas ini tiada lagi rintihan hati daripada para guru sama ada tentang gaji yang tidak setimpal dengan beban tugas yang semakin bertambah, kedudukan guru yang sedang berkhidmat, jawatan dan peluang kenaikan pangkat mahupun persepsi dan apresiasi masyarakat terhadap profesionalisme perguruan itu sendiri.
Pihak kerajaan perlu bersunguh-sungguh dalam menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang unggul dan disegani ramai.
Pihak-pihak yang terlibat dengan kebajikan dan prospek perguruan pula seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) perlulah memainkan peranan yang aktif dalam membentuk satu organisasi yang mantap dan kuat yang boleh menjaga kepentingan para guru seterusnya mempunyai kuasa kawalan terhadap para guru itu sendiri.
Sebagai penutup, penulis ingat akan kata-kata Dr. Muhamad Hasan Abdul Rahman iaitu Timbalan Dekan Pelajar dan Pembangunan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia semasa penulis berdialog dengan beliau baru-baru ini iaitu beliau menegaskan dalam usaha untuk memartabatkan profesion perguruan selain daripada peranan pihak Kementerian Pendidikan, Persatuan Perguruan dan masyarakat, para guru sebenarnya mempunyai tangggungjawab yang besar dalam meningkatkan aspek keprofesionalannya dengan melengkapkan diri dengan pelbagi jenis ilmu dan kemahiran yang tinggi.
***petikan ini dipetik dari Portal Pendidikan Utusan
Dihantar oleh maryani@yahoo.com
Prof. Khoo Kay Kim said...
"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan