Oleh: Mohd Shafie Hashim*
Tanggal 31 Ogos setiap tahun merupakan tarikh keramat bilamana Negara Malaysia yang tercinta ini telah merdeka setelah sekian lama di jajah oleh bangsa asing.
Laungan ‘Merdeka’ oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajj menutup sudah siri penjajahan kolonial-kolonial barat mahupun timur terhadap Malaysia.
Lain manusia lain tafsiraNnya tentang kemerdekaan . Setiap individu manusia atau setiap kumpulan manusia atau setiap bangsa, masing-masing mempunyai fahaman dan pandangan yang tersendiri dalam memberikan erti kemerdekaan itu, bagaimana bentuk kemerdekaan itu dan bagaimana harus diusahakan untuk mencapai kemerdekaan itu.
Dan dalam hal ini, kalaulah kita tanyakan kepada seorang individu tentang fahaman dan pandangannya terhadap erti kemerdekaan itu, kelak ada yang akan berkata bahawa kemerdekaan bererti bebas membuat apa sahaja, tanpa batas dan mengikut apa sahaja yang dikehendaki oleh hawa nafsu manusia itu, sekalipun berlawanan dan bertentangan dengan undang-undang,tatasusila dan hak asasi manusia lain.
Kemudian kalau kita tanyakan kepada kaum buruh pula , erti kemerdekaan pada mereka pula adalah bebas dari cengkaman kaum kapitalis dan dapat membuat tuntutan terhadap kehendak-kehendak yang diperlukan olel kaum buruh.
Kalau kita bertanya pula kepada golongan nasionalis lain pula tafsiran mereka yang membawa maksud terlepas daripada dijajahi oleh bangsa lain ke atas bangsa dan negaranya.
Pada mereka, kemerdekaan memberi peluang seluas-luasnya untuk mereka mengatur kehidupan bangsa dan negara samada dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lainnya mengikut apa yang mereka kehendaki.
Golongan kapitalis pula, memandang merdeka adalah menggunakan modal dengan sebebas-bebasnya untuk mendapat keuntungan sebanyak mana yang mungkin walaupun terpaksa menindas kaum buruh ataupun merosakkan akhlak manusia atau menempuh jalan yang haram.
Nah ,seterusnya bagaimana dengan kita ?
Setiap tahun Malaysia menyambutnya dengan perarakan sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa bersejarah ini. Slogan demi slogan di cipta bagi menunjukan betapa meriahnya sambutan hari bermakna ini.
Kibaran Jalur Gemilang juga menjadi rutin tahunan sebaik sahaja menjelang 31 0gos. Manakala pengamal media dan perfileman sibuk menghasilkan tayangan-tayangan yang mampu membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kesusahan negara ini mencapai kemerdekaan
Namun di celah-celah kemerdekaan ini wujud juga golongan-golongan yang tidak mengenal erti kemerdekaan yang sebenar. Kemeriahan malamnya di sambut dengan hiburan yang keterlaluan kononya inilah trend untuk membuktikan Malaysia merdeka khususnya di era globalisasi ini.
Tiba sahaja malam kemerdekaan , maka berpusu-pusulah manusia bertandang ke pusat Bandar, menanti saat 12 malam sambil mendengar dentuman meriam .
Remaja dengan gayanya, yang tua tidak ketinggalan. Hotel-hotel penuh dengan tempahan hingga ke subuh manakala botol-botol arak bergelimpangan seakan lupa bahawa arak ibu segala maksiat.
Beginikah membuktikan masyarakat Malaysia sudah merdeka ? Jawapannya tentulah tidak. Biarpun laungan kemerdekaan itu merupakan sejarah yang tidak boleh di padam namun hakikatnya kita masih terjajah .
Terjajah minda dengan pengaruh songsang dari luar sehingga menelanjangkan pakaian nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, hidup aman dan harmoni.
Mahasiswa Dan kemerdekaan
Dalam konteks mahasiswa pula pada saya belum lagi merdeka . Sejarah gerakan mahasiswa satu ketika dahulu menunjukan bahawa mereka benar-benar merdeka .
Merdeka dari sudut minda, personaliti dan tindakan. Era 60an -70 an menukilkan sejarah mahasiswa yang tampil dengan spirit yang menggerunkan banyak pihak samada di kalangan mahasiswa dan pemimpin negara sendiri.
Keberadaan mereka di rasai oleh semua pihak. Perjuangan mereka tidak retorik, ada sahaja perkara yang tidak betul merekalah menjadi jaguh bagi membetulkan keadaan .
Lihat sahaja bagaimana kehebatan mahasiswa dahulu di dalam isu kemiskinan di Baling , Isu Hamid Tuah dan banyak lagi. Perjuangan mereka tidak kenal erti takut, erti di penjara, melainkan di hadapan mereka hanya ada prinsip jelas bahawa yang hak tetap hak , manakala yang batil tetap batil.Yang benar perlu di tegakkan , manakala yang salah perlu di hapuskan sama sekali. Bagaimana pula kita hari ini.
AUKU menjajah Mahasiswa ??
Kewujudan Akta Universiti & kolej Universiti (AUKU ) 1975 telah merencatkan sebahagian besar mahasiswa dalam segenap aspek pada ketika itu . Mahasiswa kembali lesu serta tidak proaktif dalam berbincang dan berpencak seperti mahasiswa seblum Akta kuku besi itu wujud .
Walaubagaimanapun mahasiswa tetap bangkit meredah tembok yang kebal itu. Setiap tahun mahasiswa berjuang tanpa menghiraukan tembok di hadapan, bekal didikan yang mantap , tidak timbul lagi soal takut dengan tindakan polis, tindakan universiti dan sebagainya yang terkandung dalam akta draconian itu. Aksi demi aksi terus berlaku tanpa menghiraukan risiko yang bakal di hadapi.
Kesannya membawa mahasiswa berjaya mendesak kerajaan Malaysia meminda AUKU untuk di pinda kali ke kedua pada tahun 2008. Walaupun begitu, mahasiswa masih di telengkup dengan strategi permunian kalausa yang mengelirukan mahasiswa dalam memahami akta ini.
Pendek kata AUKU masih lagi merencatkan pada sesetengah pergerakan mahasiswa. Biarpun di pandang sebagai ketelusan pemimpin negara dalam menerima kebebasan mahasiswa bersuara , tetapi ianya hanya indah khabar dari rupa.
Namun , kekangan ini tidak menjadi masalah hanya bagi mereka yang berani menyepak AUKU ini seperti bola kerana sasaran mereka yang serius dengan perjuangan hanyalah ‘tiang gol’ di hadapan.
Tukar paradigma Kita
Justeru itu, sudah tiba masanya , pada sambutan kemerdekaan ini, mahasiswa perlu berani melakukan perubahan dalam meninggikan martabat mahasiswa itu sendiri.
Sampai bila kita masih mahu tunduk dengan satu sistem yang menjajah diri kita sendiri. Kita ada hak , tetapi kenapa kita membiarkan hak-hak kita di kawal oleh orang lain.
Akta yang di cipta bukan lagi penghalang utama kepada mahasiswa. Jangan pernah sama sekali merasakan diri di jajah sehingga terkunci mati tindakan kita untuk menjadi penyelamat ummat di tengah-tengah kepincangan yang ada.
Beranilah berubah, jika rakyat di luar sana berani mencabar kebatilan atas dasar kefahaman , kenapa kita mahasiswa masih lagi melakukan pertimbangan untuk berubah? .
Sesungguhnya kita tidak tahu sampai bila hayat hidup kita. Mungkin sesaat lagi kita menutup mata . Justeru dalam peluang yang dikurniakan ini, marilah sama-sama kita merdeka diri kita dari terus di jajah dan permainkan .
Berjuanglah untuk kebenaran, Bebaskan diri daripada di jajah. Selamat menyambut Hari kemrdekaan yang ke 52 buat seluruh mahasiswa yang berjuang untuk kebenaran. Student Power!
———-
*Penulis anti rasis ini suka menonton filem Kungfu Panda dan Gadoh sambil berkongsi pengalaman dan idea bersama rakan-rakan aktivis. Beliau kini ialah pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional merangkap Pengerusi Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) disamping sebagai exco Persatuan Mahasiswa Islam Uni. Malaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan