Prof. Khoo Kay Kim said...

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim

Rabu, April 29, 2009

GURU SELEPAS 50 TAHUN KEMERDEKAAN

ARTIKEL YANG AKU GALI DARI ARKIB WEBLOGS

Kita bakal menyambung ulangtahun kemerdekaan yang ke-50. Setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda, tidak kira apapun pekerjaannya pasti ternanti-nanti akan kemunculan hari yang bersejarah ini. Sama ada kita memahami erti kemerdekaan yang sebenarnya bergantung kepada diri setiap individu. Bagi mereka yang pernah mengharungi perit getir dijajah pasti akan menghargai setiap detik kemerdekaan itu. Bagi mereka yang jauh daripada mengenal makna kesengsaraan akibat penjajahan mungkin sambutan kemerdekaan sama seperti menyambut hari ulangtahun kelahiran atau perayaan sahaja. Yang digambarkan hanya keseronokan dan kemeriahan sambutan hari tersebut sahaja.

Sedarkah kita bahawa 50 tahun yang lepas, guru memainkan peranan yang penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanahair? Keprihatin para guru akan kesengsaraan rakyat di bawah penjajahan Jepun dan British mendorong ramai dalam kalangan guru yang berusaha meniup semangat patriotisme dalam hati setiap anak-anak didik dan hati setiap golongan masyarakat. Bukan sahaja menerusi perjuangan dalam parti politik , tetapi juga menerusi bidang persuratan. Benar kata pepatah, ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang”. Kelebihan itu yang digunakan oleh golongan guru untuk menyemarakkan semangat perjuangan dalam kalangan masyarakat. Guru yang memikul amanat besar menyedarkan masyarakat menerusi aktiviti penulisan.

Dengan beraninya golongan ini menyuarakan komentar serta pandangan tajam mereka mengenai penjajah melalui suratkhabar seperti Utusan Melayu, Majlis, Warta Malaya, Warta Ahad dan Warta Jenaka. Ada juga yang menulis dalam akhbar-akhbar sebelum dan semasa pemerintahan Jepun seperti Persaudaraan Sahabat Pena Malaya, Semangat Asia dan Fajar Asia. Tulisan mereka lebih berkisar kepada cerpen dan rencana yang menyentuh soal politik, kebudayaan dan pendidikan. Nama-nama seperti Abdul Ghafar Baba, Syed Nasir Syed Ismail, Alimin, Buyong Adil, Za'ba, Abdullah Sidek, Harun Md.Amin (Harun Aminurrashid) dan Shaharom Husain adalah antara tokoh guru penulis yang telah mewarnai dunia penulisan waktu itu.

Fenomena ini secara tidak langsung telah meningkatkan martabat dan maruah golongan guru di mata masyarakat. Ramai yang menyanjung dan menghormati golongan guru yang bukan sahaja diakui mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak dan pengalaman yang luas tetapi juga mempunyai semangat yang tinggi dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan negara. Namun kini, di ambang 50 tahun kemerdekaan negara, di manakah kedudukan guru di mata masyarakat? Kemerdekaan sudah dicapai, apakah pula yang harus diperjuangkan oleh golongan guru ini?

Sambutan Hari Guru tetap diadakan baik pada peringkat sekolah mahupun pada peringkat kebangsaan setiap 16 Mei. Objektifnya ialah untuk menarik perhatian masyarakat untuk mengenang kembali peranan dan pengorbanan guiru yang tentunya tidak ternilai oleh masyarakat. Guru ialah agen perubahan dan pembentuk modal insan. Walau bagaimanapun berapa ramaikah daripada kita yang sedar akan hakikat ini? Usahkan masyarakat malah warga guru sendiri kian hilang kepercayaan kepada kebolehlaksanaan mereka terhadap peranan yang perlu dimainkan.

Teringat penulis terhadap satu peristiwa yang berlaku baru-baru ini. Seorang rakan guru telah diduga oleh kejadian yang menguris hati dan perasaannya. Manakan tidak. Keretanya yang baru dibelinya telah dicalar oleh pelajar sekolah. Dalam perjumpaan guru di sekolah tersebut, guru itu dengan nada sedih telah meluahkan perasaannya. Dia menyatakan bahawa dia mendidik dan membuat teguran kepada pelajar-pelajar dengan niat ikhlas namun dia tidak menduga inilah balasan pelajar kepada keikhlasan yang diberikan.Guru tersebut kelihatan sudah berputus asa. Kejadian yang menimpanya membuatkannya berfikir dua tiga kali untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan anak-anak didik. Hal ini jelas tergambar apabila guru itu memberi nasihat kepada rakan sekerja supaya lebih berhati-hati terutama ketika membuat teguran atau memarahi pelajar-pelajar. Ternyata beliau tidak mahu kejadian yang sama menimpa guru yang lain.

Itu hanya sebahagian daripada peristiwa-peristiwa yang mungkin dianggap kecil oleh masyarakat. Banyak lagi peristiwa yang seumpama yang mendorong para guru untuk mengambil sikap lepas tangan terhadap maslaah disiplin pelajar. Rata-rata guru yang berbuat demikian, bukan disebabkan sudah lupa akan peranan atau rasa tanggungjawab mendidik pelajar namun lebih didorong oleh faktor menjaga kepentingan dan keselamatan diri.

Guru juga mempunyai kehidupan sendiri. Ada keluarga dan anak-anak yang perlu diberi perhatian. Keikhlasan mendidik yang dewasa ini kurang dihargai oleh pelajar mahupun masyarakat sekeliling menyebabkan guru sudah tidak sanggup berkorban. Logiknya, kenapa perlu mengundang masalah? Seandainya pelajar tidak mahu belajar, tidur di dalam kelas, membuat bising atau keluar masuk ke dalam kelas sesuka hati, kenapa tidak dibiarkan sahaja? Asalkan sukatan pelajaran dihabiskan. Untuk apa menanggung risiko?

Dugaan guru zaman dahulu tidak sehebat zaman sekarang. Dengan kedudukan dan status ibu bapa yang berpelajaran tinggi, kini sesetengah pelajar tidak lagi menghormati guru serta takut kepada guru berbanding murid 20 tahun lalu. Banyak cerita murid mencabar kewibawaan guru telah didengar dan dibaca. Tindakan guru cuba mendisiplinkan pelajar ada ketikanya membawa kepada peristiwa hitam dalam diri seperti disaman oleh ibu bapa di mahkamah, diberi surat tunjuk sebab atas kesalahan yang direka oleh ibu bapa, dikejar dengan senjata oleh pelajar ditumbuk oleh pelajar, diconteng namanya dengan tulisan-tulisan lucah di dinding-dinding sekolah, malah banyak lagi penghinaan dan tohmahan.dan sebagainya.

Kejayaan pelajar dalam akademik jarang dikaitkan dengan gurunya yang mengajarnya.Pelajar seringkali dikaitkan dengan sikapnya sendiri yang rajin dan bersungguh-sungguh dalam mengulangkaji pelajaran. Namun usaha gurunya tidak diberi perhatian langsung. Tanpa guru mana mungkin seorang pelajar itu mendapat keputusan yang cemerlang. Memang benar, pelajar perlu digerakkan untuk berusaha dengan tekun untuk mencapai kejayaan namun siapakah yang menjadi penggeraknya? Siapakah yang menunjukkan arah yang betul kepada pelajar? Siapakah yang seringkali menegur dan membetulkan pelajar tatkala pelajar membuat kesalahan aatau kesilapan dalam proses pembelajaran. Siapakah lagi kalau tidak guru? Namun ironinya apabila pelajar berjaya, yang difokuskan oleh media massa ialah sikap pelajar sendiri dan rahsia kejayaan pelajar seringkalui dikaitkan dengan usaha yang positif daripada pelajar sendiri. Namun apabila pelajar menemui kegagalan yang disalahkan ialah warga guru. Guru dikatakan tidak mendidik dengan betul, guru yang hanya memberi tumpuan kepada bisnes kecil-kecilannya ,dengan jualan kain, kasut,alat mekap dan sebagainya di sekolah. Guru dituduh mengabaikan pelajar-pelajarnya.

Begitu juga halnya dengan tingkah laku disiplin. Masyarakat mudah menunding jari kepada para guru. Sebagaimana pernah dijelaskan oleh Dato’ Seri HIshamuddin Tun Hussien, masyarakat mudah menyalahkan seluruh warga guru biarpun hanya dua peratus pelajar kita terlibat dalam salah laku disiplin. Sedangkan kejayaan guru kita mendidik 98% pelajar lain langsung tidak diambil kira. (Amree Ahmad,Sampai Bilakah Guru Harus Berkorban?, Majalah Dewan Masyarakat, Mei 2005, hal 12)

Setiap kali timbul masalah melibatkan sekolah dan pelajar, para ibu bapa selalu memperkecil malah menyalahkan guru.Banyak pandangan dilemparkan kepada institusi perguruan dengan tujuan memberi panduan serta teguran yang mungkin ikhlas untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan khususnya kepada individu guru. Tetapi sebahagian besar teguran tersebut lebih menjurus memperkecilkan malah memperlekehkan guru. (Shasha Azman, Pengorbanan Guru dan Realiti Dunia Pendidkan, Dewan Masyarakat,Januari 2004,hal 8-10)

Negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke-50 namun masih banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan untuk membela nasib guru. Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan 12 jawatan khas “Guru Cemerlang” dan lima jawatan “Pengetua Cemerlang” dengan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) selepas Skim Adiguru (Guru Super) yang dilaksanakan akhir tahun 2004 merupakan usaha pertama untuk memartabatkan profesion perguruan.(Mohd Shukri Mohd Ariff, dalam ruangan Catatan Kepada Pembaca, Majalah Dewan Masyarakat ,Mei 2005).

Nasib guru sudah mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan. Hasrat Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien untuk memartabatkan profesion perguruan harus dipuji. Diana Asyikin dalam esei bertajuk “Merenung Kembali Profesion Keguruan di Malaysia” menjelaskan bahawa hasrat Menteri Pelajaran itu dilaksanakan melalui empat strategi utama iaitu penekanan aspek pemilihan bakal guru dan latihan guru, usaha pemantapan karier perguruan, usaha penambahbaikan persekitaran kerja guru, dan usaha meningkatkan rasa bangga dan keyakinan diri guru serta mengembalikan penghormatan masyarakat terhadap profesion perguruan. ( Majalah Dewan Masyarakat, Mei 2005, hal 13)

Apapun hakikatnya, Kementerian Pelajaran telah mulai mengambil langkah pertama.Guru juga harus memainkan peranan mereka. Jadilah seperti guru-guru 50 tahun yang lalu. yang aktif dan bersungguh-sungguh meniupkan semangat perjuangan mendaulatkan maruah bangsa terutama golongan guru Melayu. Nurul Halawati Azhari dalam artikel bertajuk, “Peranan Persuratkhabaran Dan Golongan Guru Dalam Kemerdekaan” menegaskan bahawa kesusahan yang dialami masyarakat Melayu telah menyuntik semangat guru-guru pada zaman itu, menunjangi pergerakan politik. sama ada dengan menyertai parti-parti politik seperti Umno, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pada waktu itu, guruguru Melayu mempunyai rasa insaf diri yang tinggi. Sedar akan kelemahan orang Melayu ketika itu, guru-guru bersatu dalam kesatuan sama ada berhaluan kiri atau kanan. Tapi, waktu itu sama ada memilih parti berhaluan kiri atau kanan, matlamat perjuangan mereka adalah sama iaitu ingin membebaskan tanah air daripada penjajahan.
Seperti yang dinaytakan sejak awal-awal lagi, ada juga kalangan guru yang menggunakan medium penulisan sebagai alat menyampaikan pandangan serta seruan masing-masing. Mereka turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran rakyat. Mereka menulis dengan tujuan yang sungguh murni iaitu untuk perkembangan dan kedaulatan bahasa dan sastera serta kemerdekaan tanah air. Pahit getir perjuangan penulisan mereka terasa manisnya apabila laungan kemerdekaan bergema di seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.Sumbangan golongan guru penulis untuk memartabatkan bangsa tidak terhitung nilainya. Jiwa pendidik yang cintakan bangsa terus subur walaupun ada ketikanya dipuji dan dibela, ada waktunya pula dikeji dan difitnah.

Zaaba ialah antara individu yang aktif dan lantang menyuarakan pendapatnya menerusi mata pena. Beliau memperlihatkan sikap antikolonial British dari awal lagi.
Shaharom yang menggunakan nama pena Mashor Malaya, Shabhi dan Dharmaya, misalnya seorang guru yang banyak menyentuh tentang peri mustahaknya guruguru menanamkan semangat kebangsaan pada murid-muridnya dalam hasil karyanya. Ia turut menyeru guru-guru lain agar turut serta menyuntik kesedaran dalam diri murid-murid Melayu akan tanggungjawab mereka terhadap keselamatan, kesejahteraan dan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Seharusnya itu yang diperjuangkan oleh guru-guru abad ini. Walau bagaimanapun fokus utama bukan sahaja menyedarkan murid-murid akan tanggungjawab mereka tetapi juga memerdekakan mereka daripada terus dijajah mindanya oleh pengaruh negatif globalisasi.Guru berperanan mengeluarkan pelajar daripada belenggu budaya hidup barat yang hanya mementingkan keseronokan dan hiburan semata-mata. Guru perlu memainkan peranan yang besar dalam menyemai rasa cinta akan tanahair dan semangat sanggup berkorban untuk negara di hati setiap pelajarnya. Pembentukan jati diri pelajar harus diberi keutamaan , bukan sekadar memberi tumpuan kepada akademik semata-mata.
Sememangnya tanggungjawab ini amat besar. Malah semua pihak tidak kira kerajaan, pihak swasta mahupun ibu bapa sendiri menaruh harapan yang tinggi kepada guru. Demi negara dan martabat profesion perguruan, setiap insan bergelar guru perlu terus berjuang selagi gelaran guru itu masih terpahat di dada.Perjuangan meningkatkan maruah diri dan perjuangan menjadikan pelajar-pelajar benar-benar bebas daripada segala masalah sosial yang mengganggu gugat kesejahteraan negara. Perjuangan ini tidak pernah selesai.
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan yang ke-50 wahai para guru! Manisnya sambutan kemerdekaan ini ialah apabila anda sedar bahawa golongon guru merupakan nadi kemerdekaan negara. Tanpa insan bergelar guru, tidak mungkin tanahair.kita mengecapi kemerdekaan. Biar di manapun kedudukan guru selepas 50 tahun kemerdekaan ini, yang penting guru sendiri sedar dan yakin tugas guru yang penuh cabaran dan menuntut banyak pengorbanan ini merupakan tugas yang mulia dan hanya mampu dipikul oleh insan yang terpilih sahaja. Calang-calang orang sahaja yang mampu menjadi guru.

Maka berbanggalah wahai insan yang dipanggil ‘cikgu’. Anda ialah insan yang dihormati .Andalah insan yang bermaruah. Andalah insan yang tinggi darjat dan kedudukannya.Anda ialah insan yang cekal hatinya.Andalah insan yang kuat semangatnya.Andalah ‘role model’ pelajar-pelajar yang akan menjadi pewaris negara.. Hormatilah diri anda sendiri!Angkatlah darjat anda! Biarpun banyak tohmahan dan fitnah yang ditabur, namun percayalah bahawa di hati setiap insan pasti akur bahwa tanpa insan yang bergelar guru , “they are nobody” . Tidak akan ada pemimpin yang akan menggegar pentas dunia. Tiada peguam yang akan berjaya menegakkan keadilan, tiada doktor yang berjaya menyelamatkan nyawa, lantaran segala-galanya bermula dari insan yang hanya bergelar guru.
(Artikel ini pernah di siarkan di majalah Ehwal Pendidikan Ogos 2007)

Tiada ulasan: